Saturday, April 18, 2009

Di Sebalik 'Pohon Hijau Itu'

"Pohon hijau itu berdiri kaku
megahnya di celah pohonan
ibarat lukisan hidup
tetap tegak dan kaku..."

Ada rasa hiba bercampur baur setiap kali telinga ini melekat pada bait-bait lirik lagu 'Pohon Hijau Itu'. Saya kira tragedi 18 April 2009 masih segar dalam lipatan sejarah kami warga SK Seri Utama. Seri yang diharap namun sebaliknya yang tercorak. Segala kesungguhan dan tukus lumus kami cuma terbayar dengan pelbagai 'ketidaksempurnaan'. Langsung tidak berbaloi.

Kesan itu masih terbuku di hati saya bagai ada jarum yang patah tersimpan di dalam peti.

PENANGAN LESTARI

Mengenangkan episod separuh hari di perkarangan SK Seri Utama membuatkan hiba saya tidak sudah-sudah. Di mana silapnya pun saya sendiri tidak pasti. Saya cuma teringatkan seminggu dua kami yang penuh sesak dengan pelbagai aktiviti. Masing-masing sibuk memenuhi permintaan yang mendesak juga yang terdesak semata-mata atas pakej 'ke arah kelestarian sekolah'.

Kekalutan warga sekolah kami bagai ada kenduri besaran yang mahu dihebahkan.

Sana sini lubang ditampal juga ditutup. Ceruk-ceruk sudut, hiasannya tidak sudah-sudah.

Namun apa yang berlaku, sebut sahaja 'lestari', jika tidak jebik, malu sahaja yang mampu terpalit. Dari awal majlis lagi segalanya seakan tiada perancangan dan pengurusan organisasi yang sepakat. Agaknya masing-masing sudah tidak keruan dek penangan lestari yang meletihkan mental juga fizikal.

Sehingga ke hari ini, sorotan bayangan tragedi 18 April perlu diterjemahkan sebagai qada dan qadar Ilahi atas kealpaan sendiri. Kegagalan sebegini adalah teguran yang maha halus supaya kami lebih berhati-hati dan tidak 'lupa diri' dalam mentadbir program akan datang.

Dan kerana kegagalan itu, saya amat berharap organisasi SK Seri Utama akan lebih matang dek kemelut sehari dua lepas. Moga penangan lestari ini menjadi pencetus kebestarian kami yang lebih bermakna sebagai seorang pendidik.

Sepanjang empat bulan bersama warga SK Seri Utama, saya melihat dan menilai 'keluarga' ini ada kesungguhan, ada komited, ada keikhlasan jika semuanya bertunjangkan kesederhanaan. Apa yang lebih penting, hindarkan sikap beria-ria hingga membuahkan riak lagi.

Biarlah kegagalan lepas dijadikan panduan. Tidak ada gunanya lagi jika masing-masing menunding jari menyalahkan sesama sendiri. Apa yang perlu, banyakkan muhasabah diri.
Baik yang mentadbir di atas, mahu pun yang bergerak di bawah. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh... ini asasnya~


Tuesday, April 07, 2009

Pengisian baru

Rasanya lebih daripada dua minggu saya tidak menulis di sini. Padat sangatkah rutin harian seorang guru? Cukuplah saya mengakui bahawa sibuk seorang guru tidak pernah berkurang. Alhamdulillah, bulan ini saya tidaklah sampai berdepan dengan kehidupan yang terlalu sibuk dan menekan. Sekadar ke hulu ke hilir, keluar masuk bilik berjumpa 'bos-bos'. Saya harap 'kerja-kerja sambilan' ini bukanlah tugasan hingga dirasakan bebanan yang membawa benci.

Keluar masuk kelas P&P bagaimana pula?

Subhanallah, semakin jauh upaya saya untuk 'memberi'.
Sedih benar rasanya melihat 'anak-anak' yang tertanya-tanya gurunya yang tidak muncul tiba. Bagaimana saya mahu menjustifikasikan perbuatan saya ini. Memang niat asal saya tidak mahu berlarutan begitu. Benar sekali memikirkan perbuatan ini sangat tidak patut kerana mengabaikan sesuatu yang hak.

Saya sendiri cuba mencari kepastian di mana silapnya. Yang pasti banyak perkara saya terlupa dan belum tertunai. Banyak juga perkara yang menyebabkan saya jadi lalai dek urusan-urusan 'kerja sambilan'.
Setiap kali termenung di sejadah, saya berbisik sendiri. Mohon pertolongan agar dipermudahkan segala urusan, baik dalam kerjaya, peribadi dan lebih lagi untuk mendekatkan diri padaNya.

Petikan nasihat Ibnu Qayyim saya amati. Benarlah katanya, di dalam hati manusia ada kekusutan dan tidak akan terungkai kecuali menerima kehendak Allah SWT. Di dalam hati manusia ada keganasan dan tidak akan hilang kecuali berjinak dengan Allah SWT. Di dalam hati manusia ada kesedihan dan tidak akan hilang kecuali merasai nikmat Allah SWT. Di dalam hati manusia ada kegelisahan dan akan tenang damai bila berlindung, berteman dan berjumpa dengan Allah SWT. Di dalam hati manusia ada penyesalan dan akan padam bila redha dengan suruhan dan larangan, qada qadar Allah senantiasa bersabar sehingga menemui yang azali. Di dalam hati manusia ada hajat dan tidak akan terbendung kecuali kecintaan pada Allah dan bermohon padaNya. Senantiasalah berzikir kepadaNya.


Keperluan untuk berfikir.

Saya termenung jauh. Dalam larut itu, fikiran saya hanyut berkisarkan tentang diri sendiri dan juga langsung terlintas memikirkan tentang orang lain. Rasa jauh, kurang dan lemah beradun menghimpit jiwa. Saya harus mempertingkatkan diri. Orang yang tidak cuba mencari ilmu baru dalam hidupnya dan berpuas hati dengan apa yang ada tidak akan cemerlang kerana beliau tidak berusaha mempertingkatkan dirinya. Seandainya kita cuba mencari kelainan dalam hidup, hari-hari yang kita lalui adalah hari yang berbeza dan lebih menyeronokkan. Tidak kosong dan hambar ditelan masa begitu sahaja.

Hidup ini perlukan pengisian baru. Mungkin itu akan menyempurnakan sudut kehidupan saya.

Saya teringat akan perihal sebuah tin kosong. Jangan kita berhenti menuntut ilmu kerana tin yang kosong jika terbiar berpanas dan berhujan di luar akan berkarat juga akhirnya. Saya sedar, kita tidak boleh leka dan cukup di situ atau begitu sahaja. Hidup ini perlukan titik mobiliti. Perlukan suatu perubahan.

Mungkin ada yang menganggap dengan memiliki ijazah setinggi gunung, ini sudah cukup untuk membina diri sebagai guru yang terbaik. Ijazah adalah aset yang dapat membantu kita mempertingkatkan diri. Segalanya bergantung pada kesungguhan dan komitmen seseorang. Saya belum menjadi guru yang baik.

Melihat kalendar di sisi meja, kini helaian Mac sudah pun bertukar April. Sungguh pantas masa berlalu dan moga Allah selalu memberkati dan merahmati kita selaku umat Islam yang mukmin. Umat Islam akhir zaman yang cukup banyak mehnah. Melanda sama ada dari sudut dalaman dan juga luaran.

Bulan ini tiada cuti yang dinanti. Sebaliknya saya teringatkan tentang pesta buku KLBF 2009 yang akan berlangsung dari
17 hingga 26 April 2009. Masa operasinya adalah Isnin hingga Khamis pada pukul 10.00 pagi hingga 7.00 petang. Manakala Jumaat hingga Ahad serta public holidays pula dibuka sekitar pukul 10.00 pagi hingga 9.00 malam. Jom pakat-pakat berkunjung ke Putra World Trade Centre (PWTC), Kuala Lumpur, Malaysia. Semoga bertambah ilmu kita untuk pengisian baru~