Thursday, August 27, 2009

Karamel Kareem

Alhamdulillah, karamel kareem telah dua hari tersedia untuk dimakan sebagai pencuci mulut. Semalam, buat pertama kalinya saya bersungguh hati menjayakan misi turun dapur. Misi dengan resepi baru. Ada yang panggil puding gula hangus atau puding karamel. Cakap baratnya cream caramel. Cakap Ramadhannya pula karamel kareem. Terima kasih kepada kakak saya aka cikgu Suriani kerana dengan garangnya sudi mengajar dan berkongsi resepi.

Nampaknya resepi ini sangat mudah dan cepat disediakan. Cuma perlu guna skill untuk memudahkan part yang leceh. Dalam bahasa kasar kakak saya, 'pakai otak'. Maklumlah adiknya ini tidaklah pandai memasak. Pulang ke kampung baru tunjuk kerajinan hendak belajar memasak. Baru nampak sedikit kemajuan. Sebetulnya begitulah. Kalau tidak saya berasap dengan resepi yang sama sahaja.


Sebagai muslimah, saya perlu tahu memasak dan wajar mempelajari teknik berkesan memasak secara ringkas dan cepat. Bukan belajat untuk sehebat taraf chef-chef profesional di hotel mewah. Hakikatnya, muslimah yang tidak tahu memasak atau malas memasak sebenarnya merisaukan malah menjengkelkan lelaki. Sudah tentu lelaki yang bergelar suami.

Bagaimana pula hakikat seorang lelaki atau suami yang tidak tahu atau malas menjadi imam? Berapa kerat lelaki yang menjadikan sembahyang jemaah di rumah bersama anak isteri
sebagai agenda utama? Jengkelkah seorang wanita terhadap lelaki bernama suami seperti itu?

Saya kira perkara ini perlu diberatkan kerana kedua-duanya sama berperanan. Lekeh memperlekeh tiada penyelesaiannya. Masing-masing perlu menggunakan
kekuatan mental dan keazaman untuk memperbaiki keadaan. Jika kita ingin mencari keredhaan Allah SWT, maka perlunya sikap rajin berusaha dalam menjana kehidupan bersyariat yang lebih baik dan tersusun. Wallahu'alam~
Berperisa kasih sayang dengan campuran pewarna keikhlasan... hanya dalam karamel kareem di MyHumairaKu

Friday, August 21, 2009

Ketibaan yang dinanti... Ramadhan Kareem

Menyambutnya dengan jiwa terbuka seperti ketibaan orang yang kita cintai... Salam Ramadhan 1430H~

Thursday, August 13, 2009

'Walk Lady'

Semenjak penghijrahan bonda ke rumah saya, nampaknya beliau telah banyak menyuntik semangat untuk saya bergerak keluar ke sana sini. Bukannya keluar berpoya-poya tidak menentu arah. Tetapi keluar mencari bahagia dan menambah mesra dengan beriadah di luar. Inilah peluang untuk kami bersama setelah sekian lama bonda 'kesepian' di kampung.


Tentu sahaja kehadiran Sabtu dan Ahad sangat bermakna untuk saya berdating dengan bonda.
Walaupun adakalanya saya terpaksa mengutamakan agenda dan tugasan lain dahulu di sekolah. Sama ada tiba giliran saya mengajar kelas SBT atau kewujudan LADAP mahu pun sekolah ganti di celah-celah hari cuti. Itu semua bukan halangan dan alasan untuk saya menghabiskan masa bermalasan di rumah.

Alah bisa, tegal biasa.


Saya sudah betah berulang-alik sejauh ke Perlis dan Penang.

Setiap kali pulang dari sekolah, sengaja pula saya membiarkan keletihan sambung menyambung. Semangat diri dan sisa-sisa tenaga masih berbaki untuk menyarung 'walk lady'. Separuh hari pun 'menjadi' untuk saya keluar membawa bonda berjalan-jalan dan makan di luar...


Boleh dikatakan misi-misi saya selalunya diputuskan secara mengejut, terjah dan redah. Saya sendiri kurang pasti ke manakah tempat terbaik untuk dituju. Setakat pusat-pusat membeli-belah seperti Sogo, Midvalley, IKEA dan gedung-gedung kaki lima di jalan TAR sudah biasa saya membawanya. Banyak juga tempat menarik yang terlintas difikiran ini. Cuma menanti masa yang sesuai untuk ke sana. Malah setiap dua minggu, bonda jugalah partner yang paling setia menemani saya mengambil stok tempahan Al-Quran Terjemahan di KL.

Memikirkan penularan wabak H1N1 yang semakin menjadi-jadi, saya sengaja mengabaikan risiko di luar. Tiba-tiba ada-ada sahaja idea saya. Dengan moto 'biar jauh di mata, asal dekat di hati', perjalanan sejauh mana pun, dengan izin-Nya, misi tetap diteruskan. Perkataan 'dekat' sudah melekat di bibir. Seakan doa keramat dalam membantu memudahkan setiap misi saya. Tentang itu, bonda saya sudah sedia maklum. Sesat marat bukan perkara biasa lagi pada anak daranya ini.

Sesat dan lambat bukan apa-apa sangat. Memadai kami selamat sampai dengan jayanya ke destinasi yang dituju.
Semoga sepasang 'walk lady' yang sering digunakan untuk memandu itu diberkati oleh Allah SWT. Biarlah ia lusuh sepanjang berjasa di kaki saya.

Nampaknya sepanjang minggu ini, saya tiada perancangan apa-apa. Kalau ada pun, elok bekukan sahaja. Biar 'walk lady' berehat seketika. Mana tidaknya, regu dating saya telah pulang ke kampung pada Isnin yang lalu. Alamatnya saya terpaksa menjadi weekend housewife sementara menunggu ketibaan cuti sekolah awal Ramadhan nanti.

Dua tiga hari ini, saya merasai matahari seakan mogok menyinar. Dipandang ke langit tinggi, bulan pula seperti merajuk untuk menyuluh. Udara juga semakin hambar diselubungi jerebu yang bermaharajalela. Hari dan masa saya terasa berat
dan lambat menghambat. Kini saya keseorangan di rumah. Betul-betul kesunyian membekam. Ya Allah, tiada sabar rasanya menunggu minggu depan. Pulang ke kampung dengan besar harapan agar sekali lagi 'walk lady' dapat membawa bonda ke sini... amin~
Hari Keluarga SKSU di Swiss Garden, Lumut, 25 - 26 Julai 2009...
Percutian singkat di pantai Teluk Batik, 26 Julai 2009...
Memandang lautan rahmat, 'walk lady' mencari tujuan yang jelas sepanjang di jalan yang sulit...
Bonda yang setia menemani 'walk lady'...
Singgah solat di masjid Putrajaya sebelum ke tapak pesta...
Pesta Flora Putrajaya, 2 Ogos 2009...
Sepetang pun jadilah...
Karnival Ulang Tahun IKIM.fm Ke-8, 8 Ogos 2009...
Persembahan nasyid kumpulan As-Saufie di Dewan Besar IKIM...


Friday, August 07, 2009

Soal Mencari Jodoh

Pesan Abu Saif; Soal jodoh jangan tergesa dan jangan pula bertangguh... jangan juga 'kita berdua'

Syukur alhamdulillah, perkhemahan bersama murid-murid Kem One Malaysia 2009 telah berakhir. Setelah empat hari, tiga malam beraktiviti di kem, hari ini saya sekadar menghabiskan cuti rehat di rumah. Batuk dan pening kepala beransur baik.

Seharian di rumah, aktiviti saya cuma bersantai merehatkan badan yang agak kepenatan.

Kebetulan siaran televisyen pada hari Jumaat menarik semuanya. Kena pulak ada ulangan rancangan Semanis Kurma dengan episod 'Mencari Jodoh'. Sesuai sangatlah. Siap mengemas bagasi kem, saya menyambung bacaan siri travelog kembara Ustaz Hasrizal. Buku-buku yang telah dibeli pada KLBF 2009 yang lepas.

Hari ini semuanya berkisar tentang jodoh. Soal jodohlah katakan. Mesti pilih dengan betul, kalau tidak merana badan. Ramai pula yang memprovokkan saya ini terlalu memilih. Serba salah dibuatnya. Selalu saya dengar, mereka yang cepat sampai jodoh dikatanya menggatal. Lambat pula dituduhnya memilih.

Bukankah hidup kita perlukan pertimbangan?

Pertimbangan itulah yang dinamakan 'hak memilih'. Sedangkan 'hak ketentuan' hanya pada kehendak Allah SWT. Betul tak?~