Thursday, December 31, 2009

Bicara Laskar Pelangi

Bisa menghembus semangat baru

Di dada kanvas hitam pekat berona merah jambu ini aku ingin bicara. Aku bicara kerana ada jiwa yang diusik rasa. Aku bicara kerana ada jiwa yang angau bercinta. Aku bicara kerana ada jiwa yang derai air matanya. Hehe... aku itu adalah gejolak jiwa saya yang telah usai menonton filem 'Laskar Pelangi'. Filem yang sangat dekat di hati saya. Karya yang benar kisahnya dan cukup telus garapannya. Membuatkan saya benar-benar kagum. Kagum dengan dunia pendidikan anak desa. Kagum dengan insan-insan kecil yang punya semangat untuk keluar dari kepompong kejahilan.

Ya Allah, ia betul-betul menjadi pembakar semangat kepada kehidupan dan kerjaya saya sekaligus!

Sebagaimana KCB, LP juga lahir dari adaptasi novel terlaris karya halusan Indonesia. Acap kali mengulangnya, acap kali itu juga seluruh perasaan dan motivasi tersulam dalam keindahan jalan cerita ini. Kehebatan Pulau Belitong bukan pada kaya timahnya tetapi kerana semangat juang sepuluh orang anak pingitan yang kuat tekad untuk bersekolah. Pemandangan yang terpapar dalam filem ini juga sangat cantik keserian alam-Nya. Betul, 'cocok' sekali untuk ditonton dan dihayati. Bisa 'terjerlus' cinta dibuatnya.

Ayuh! "Kejar pelangi sampai ke hujung dunia. Jangan pernah menyerah. Memberi sebanyak-banyaknya dan bukan menerima sebanyak-banyaknya."

Sedikit waktu lagi, cuti sekolah musim ini bakal berlepas pergi. Tiada lagi saat-saat memanjakan diri di rumah. Titik asal saban tahun akan bermula. Makanya, berbondong-bondonglah segala bentuk tugasan yang bakal mengalir tiba. Rutin harian akan kembali rigid. Rigid dengan tuntutan semasa 'gelora' dunia perguruan. Ini bermakna saya perlu bersiap sedia untuk 'menata rias' wajah persekolahan tahun kedua saya bergelar guru.

Saya tidak mahu dihantui 'hari-hari menyeksakan'. Atas dasar keterpaksaan, sememangnya menyakitkan. Buat diri rengus terseksa. Itu natijahnya. Malang sekali bukan? Kemurnian seorang pendidik pasti semakin luntur. Kini, saya telah berjanji akan menjadi sehabis daya yang mampu, memperbaiki segala bentuk kesalahan dan kesilapan diri. Saya perlu lebih nekad. Nah, lihat sahaja hasilnya nanti. Bisakah ia menjadi?

Seharusnya, dari relung hati ini saya perlu berkata jujur. Saya sendiri tidak ketahuan...

Mahu bicara lagi. Saat puas menghayati LP, saya seperti sedang 'bermekaran' dalam keceriaan lagu OST Laskar Pelangi nyanyian Nidji. Hehe... bicara ini sekedar ngasih tau aja. Apa pun terjadi, berjalanlah tanpa henti. Kerana tiada siapa yang mengerti, kecuali engkau sendiri~ Deaf Teacher

Mimpi adalah kunci
untuk kita menaklukkan dunia
berlarilah tanpa lelah sampai engkau
meraihnya

Laskar pelangi
takkan terikat waktu
bebaskan mimpimu di angkasa
warnai bintang di jiwa

Menarilah dan terus tertawa
walau dunia tak seindah surga
bersukurlah pada yang kuasa
cinta kita di dunia

selamanya...

Cinta kepada hidup
memberikan senyuman abadi
walau hidup kadang tak adil
tapi cinta lengkapi kita

Laskar pelangi
takkan terikat waktu
jangan berhenti mewarnai
jutaan mimpi di bumi

Menarilah dan terus tertawa
walau dunia tak seindah surga
bersukurlah pada yang kuasa
cinta kita di dunia

Selamanya...

Wednesday, December 23, 2009

Salam Hijrah 1431H

"Dan di langit terdapat (sebab-sebab) rezekimu dan terdapat (pula) apa yang dijanjikan kepadamu." [adz-Dzariyat: 22)
Ketahuilah, segala keputusan dan ketentuan Allah SWT merupakan yang terbaik bagi seorang mukmin. Sempena kedatangan hijrah kali ini, hilangkan segala keluh kesah. Kutip dan kautlah segala yang bermanfaat bagi diri kita dan mohonlah perlindungan-Nya. InsyaAllah, misi saya untuk mengejar 3M, 'mencari, memiliki dan memberi' sebanyak-banyaknya.

Pada kalian semua, semoga cita-cita bersama harapan dapat menerangi dan melapangkan jalan kehidupan kita.
Agar setiap daripada kita mengetahui bahawa semakin beratnya musibah yang bakal dihadapi maka bantuan dan kemudahan yang dijanjikan Allah SWT akan bertambah dekat... "Allah kelak akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan." [ath-Thalaq: 7]~

Friday, December 11, 2009

Bukan Sekadar Potong

Menjaga kebersihan merupakan sebahagian keperluan dalam beragama. Bersih bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi untuk manfaat bersama. Ia termasuklah kebersihan diri (bersih fizikal, hati dan amalan) dan juga kebersihan alam sekeliling. Kesemuanya demi mendapat kasih sayang Allah SWT. Apabila Allah kasih, mudah saja diberikan-Nya taufik dan bimbingan ke arah jalan kebaikan dan keselamatan.

Salah satu aktiviti rutin yang menjadi tanggungjawab saya sudah tentulah menjaga kebersihan dan keselamatan rumah. Kebersihan dan keselamatan perlu bermula di kawasan halaman rumah. Namun begitu, luar dan dalam merupakan kombinasi yang sama penting bagi menjamin kesejahteraan. Memandangkan saya tinggal di kawasan perumahan, halaman depan dan belakang rumah mempunyai petak kawasan bertanah yang tidak bersimen.

Rumput, duri keman (semalu), lalang serta tumbuhan liar lain bermaharajalela pada musim-musin bumi disimbah hujan. MasyaAllah, suburnya benar-benar mengalahkan tanaman pasu saya. Tanaman yang selalu dibaja dengan tinggi harapan biak membesar. Harapkan pagar, pagar makan padi, harapkan lain, lain pula yang menjadi. Rumput oh rumput, kenapa cepat panjang? Macam mana aku tak cepat panjang, lambat sangat potong... hehe tersindir rasanya. Mujurlah bukan si kerbau yang disalahkan.

SEBELUM MENJADI MANGSA

Sepakat pula sindiran si rumput dengan pepatah orang Arab, "Air yang bertakung tidak mengalir akan dirosakkan oleh statiknya itu, pemuda yang banyak masa lapang (tidak dinamik) akan dibunuh oleh masa lapangnya itu".

Sebelum saya menjadi mangsa kelapangan, cuti sekolah membuka ruang dan peluang. Inilah peluang menebus kembali aktiviti bertangguh di setiap hujung minggu.

Lagi dibiarkan, lagi bertambah sulit...

'Kelestarian' yang tidak diharapkan itu memang merimaskan pandangan mata. Malah mengusarkan hati saya takut-takut ada makhluk lain pula yang tumpang menghuni. Perasaan tidak selesa, tidak tenteram dan gundah gulana bercampur aduk setiap kali menjengah ke luar. Cuti-cuti sekolah sebegini saya perlu lebih mengambil berat. Perlu lebih produktif dari hari persekolahan biasa. Sekurang-kurangnya aktiviti ini dapat menjadi penawar kemalasan. Selagi berkudrat, benih-benih kemalasan harus diperah keluar sebanyak yang boleh.

Rangkaian tumpang menumpang. Iklan gempak, servis hampeh. Satu kebiasaan!

Ayuh potong! potong! potong!

Jangan tersalah andai pula. Suruhan ini tiada kaitan langsung dengan konotasi lucah sebagaimana panasnya iklan P1 W1max. Bersihkan minda anda. Jom potong rumput!

Akhirnya, berbaloi-baloi macam deco deco Celcom Blue. Modal kerajinan bersama penangan grass trimmer membawa kejayaan. Segala tenaga dan keringat dikerah dengan penuh semangat. Halaman hadapan sudah siap sekemasnya pada minggu sudah lagi. Semalam adalah waktu yang tepat untuk keluar mengadap 'kebun' halaman belakang. Kebetulan pula cuaca agak cantik dan mengizinkan.

Pagi ini, letih dan sengal badan mula terasa...

Alhamdulillah, tapi cukup nikmat bahagianya. Bahagia dan bangga dapat melunaskan kewajipan kerja rumah. Biar pun lambat, semuanya berakhir juga di tangan sendiri. Kerja-kerja berkaitan pembersihan ini bukan sekadar rutin pakai buang. Lepas lelah begitu sahaja. Saya melihat ia sebagai salah satu terapi yang unik. Membuka ruang fikir agar saya dapat menilai erti sebenar susah, usaha dan berjaya. Selain menyihatkan tubuh badan, wang ringgit sebagai upahan memotong rumput juga dapat diselamatkan.


Malah, ada rasa bangga melihat titisan peluh saya yang jatuh pada celahan rumput. Dari celahan itu, sekeping tanah kelihatan mesra dengan pelbagai serangga kecil. Burung-burung pula riang berkicau hinggap selesa untuk mencari makan. Rupanya keperluan hidup ini menuntut pada perkongsian yang satu. Perkongsian bagi mengutip manfaat alam bersama agar berbudi kepada tanah. Esok lusa kepadanya jualah kita akan kembali.

InsyaAllah, cuma tinggal 20 peratus kawasan halaman belakang yang akan diselesaikan sekemasnya. Akar-akar degil semalu masih utuh mencengkam tanah. Timbunan rumput mati pula perlu dibakar untuk pelupusan. Mungkin kerja-kerja meracun akan disusuli kemudian. Terima kasih grass trimmer! Walaupun keupayaanmu tidak sehebat mesin rumput, kehadiranmu banyak membantu saya. Membantu menambah seribu kerajinan juga melatih sejuta kesabaran untuk memandang ke depan dengan fikiran positif~

Daripada Saad r.a katanya Rasulullah s.a.w bersabda: 'Bersihkan halaman-halaman kamu, kerana sesungguhnya orang Yahudi tidak membersihkan halaman-halaman rumahnya.' [Riwayat at-Tabarani]

Wednesday, December 09, 2009

Semoga Bertambah Bahagia...

Salah satu kebahagiaan di dalam hidup kita ialah menjadi jiran yang baik. Malah, dianugerahkan pula kepada kita jiran yang tidak kurang baiknya. Sekali pun jiran kita itu Yahudi atau Nasrani, berlaku ihsan dan baiklah dengan berpada-pada mengikut keutamaan. Maka sesuai benar dengan ungkapan, jiran yang baik lebih mulia daripada saudara yang jauh. Inilah kemanisan hidup berjiran. Bukan sekadar ikatan ukhuwah biasa yang kadangkala seakan melebihi daripada keluarga sendiri.

Nilai kejiranan yang dijaga juga mampu melahirkan mahabbah yang luar biasa indah.
Mahabbah yang dapat melangkaui setinggi-tinggi pagar dan menembusi setebal-tebal tembok rumah kita. Untung sekali, apabila mendapat jiran yang baik seperti dikurniakan rezeki tambahan dan makanan jiwa. Formula mengaut untung hablun minannaas yang ini tidaklah sesusah mana. Cuma perlu bermodalkan diri kita sebagai jiran yang baik. InsyaAllah pasti akan diganjarkan juga hasil yang terbaik. Subhanallah mudahnya...

Pada saya, sekali pun kita tidak mampu mempedulikan kesemua jiran tetangga, memadailah kita bermanis muka dengan senyuman. Sesekali bertembung, murahkan ucapan salam kepada jiran tetangga kita. Kalau agak rajin, hulurlah sepinggan Jemput-Jemput Mahabbah buatan air tangan sendiri. Sambil mengadun dan menggoreng, jangan lupa berdoa agar disuburkan mana yang baik, dileburkan mana yang buruk. Semoga kita menjadi jiran yang berlapang dada, penyabar dan mesra dengan kekal menjaga hak serta adab berjiran. "Ya Allah berilah aku perlindungan dari jiran yang jahat di tempat tinggalku." Ameen ya Rabb~

"Demi zat yang jiwaku berada dalam genggamannya tidaklah beriman seorang hamba itu sehingga dia mencintai jirannya atau saudaranya seperti mana dia mencintai dirinya sendiri." [Riwayat Al-Imam Muslim]

Thursday, December 03, 2009

Wajah Rahsia Hati

Senyuman tipis selama 30 saat lebih menarik berbanding senyuman tajam sesingkat 0.1 saat... klik!

Setiap manusia dilahirkan dengan wajah yang menarik. Namun, wajah yang menarik tidak akan berseri sekiranya tidak mempunyai peribadi yang menarik. Peribadi yang menarik merupakan terjemahan bersama perasaan yang terkandung dalam diri individu. Apa yang kelihatan ini bukan sekadar ilusi pandangan mata.

Jika seseorang tidak mempunyai hati yang ikhlas, sentiasa dengan de
ngki dan riak, wajahnya tetap akan membayangkan kekeruhan, kelat dan kusam. Wajah adalah bayangan hati.

Wajah yang ceria memaparkan kesucian dan kejernihan hati. Sedalam mana ia terlindung, pasti akan terpamer jua. Seperti lirik lagu nyanyian Fauziah Ahmad Daud, "kenakalan atau kesungguhan, sukar mencari perbezaan, betapa kau cuba melindungi, jelas di wajah rahsia hati..."

Tiada siapa yang mempunyai peribadi sempurna 100 peratus. Namun, kita perlu berusaha mempertingkatkan peribadi. Sentiasa ukir senyuman. InsyaAllah, senyuman itu akan memberikan kita kekuatan sekalipun sedang lemah menanggung sakit mahu pun kusut terbeban dengan seribu satu masalah~

Jangan kamu perkecilkan sesuatu yang ma’ruf walaupun sekadar bertemu saudaramu dengan wajah yang ceria[Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi di dalam Syi’ab al-Iman]