Monday, August 09, 2010

Punya Cinta Ramadan

"Allahumma bariklana fii Rajab wa Sya’ban wa balighna Ramadan...Ya Allah, berkahilah kami pada bulan Rajab, Sya’ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan." [HR. Ahmad dan Thabrani]

Sebagaimana tahun-tahun lalu, hadir dan perginya 'mereka' tetap sama. Bergilir-gilir mengikut tertib takwim hijri Islami. Malah, setiap satu darinya sentiasa setia bergerak bersama fadhilat masing-masing.

Alhamdulillah, dengan izin-Nya, Rejab sudah jauh meninggalkan kita. Dengan izin-Nya juga, langit Maghrib di ufuk Barat akan segera bertunda-tunda menolak senja Syaaban yang keperangan itu perlahan-lahan pergi.

Ini bermakna, dengan keizinan-Nya, sedikit masa lagi senja Ramadan pula akan dijemput hadir bersama-sama kita.
Senja yang bersedia untuk melukis tompok-tompok lembayung merah di kaki langit Ilahi. Ahlan wa Sahlan, Marhaban ya Ramadan!

Tetapi...

Tatkala ia datang bertamu, sejauh mana kita bersedia mengambil manfaat daripadanya? Adakah kurang lebih berbanding tahun-tahun yang lalu? Atau kekal ditahap yang sama sahaja? Barangkali kita punya harapan. Namun, sungguh manfaat Ramadan itu terbuka kepada segala-galanya...

Selamat berjuang.

Selamat bertungkus lumus...

Saya mendoakan kita semua menjadi golongan yang beruntung dengan mengisi kehadiran Ramadan kali ini. Oh ya, saya mahu pamit sejeda. Ada beberapa perkara perlu dilunasi dan diperhalusi. Semoga ketemu lagi di ambang kemenangan nanti. InsyaAllah, apabila ada rasa terhimpun. Saya akan tukas berinspirasi di sini. Salah silap kata atau perbuatan saya, mohon dimaafi~

Nota:
1. Ramadan membuatkan saya sedar diri. Betapa masa terus pantas berlari. Ya, lompong-lompong amalan harus dipalam dengan lebih berkualiti.

2. Sempurnakah Ramadan dengan membaca buku-buku PTS? Membaca buku sahaja belum mencukupi. Buku sekadar agen membantu.

3. 'Punya Cinta Ramadan' sudah dimiliki. Cinta Ramadan saya, belum ketahuan lagi...

Sunday, August 08, 2010

Pasti Saya Merindui

Kehebatan empat jejaka Melayu terakhir berentap di AQ4
[Sumber: www.budiey.com]
Keputusan akhir AQ4 diketahui sudah. Sebagaimana jangkaan saya, saudara Ahmad Tirmizi Hj Ali telah dinobatkan sebagai juara. Hemat saya, juara atau sebaliknya, semuanya hebat-hebat belaka. Ada keistimewaan dalam persembahan bacaan masing-masing. Bak kata Ustaz Zamri, 'mantop'!

Tahniah! Tunggu kemunculan AQ5 pula.

Maka, berakhirlah pogram realiti Akademi Al-Quran musim ke-4.
Rasanya 13 episod terlalu sekejap menyerikan malam Jumaat saya. Sedih juga untuk berpisah...
Apa pun, syabas kepada Media Prima saluran TV9 yang sentiasa 'dekat di hati' kerana berjaya menganjurkan program-program bercorak ilmiah. Sekurang-kurangnya usaha sebegini dapat menggalakkan pembacaan al-Quran di kalangan muda-mudi masa kini.

Malahan, info-info mengenai ilmu al-Quran dapat disebarkan secara santai dalam bentuk dakwah kontemporari. Apatah lagi, komen-komen nakal para juri juga nampak bersahaja dan berisi. Kadang-kadang buat saya tersengeh-sengeh keseorangan di depan TV.


Baiklah, hendak mengulas panjang bab al-Quran memang di luar bidang saya. Walaupun saya agak naif berkaitan ilmu tajwid dan fasohah, pastinya saya akan merindui alunan tarannum yang dilagukan oleh saudara Ahmad Tirmizi Hj Ali dan Muhammad Ahmad Zahid~

Nota:
1. Teringin benar hendak menguasai ilmu tarannum, tajwid, qiraat dan pecahan-pecahan lain yang saya tidak ketahui.
2. Tetapi tidaklah berniat untuk menggantikan
Sharifah Khasif Fadzilah. Bukankah ilmu ini semua selaras dengan sabda Rasulullah SAW supaya kita membaca al-Quran dengan lahjah Arab?

Friday, August 06, 2010

Cinta...

Sabda Rasulullah SAW, "Tidak ada yang lebih patut bagi dua orang yang saling mencintai kecuali nikah." [Riwayat Ibni Majah]

Ini adalah kesinambungan entry 'Kami Tidak Berzina'. Sesuatu yang saya janjikan dahulu. Cuma tajuknya sahaja terpaksa diubah mengikut selera penulisan saya.

Saat entry ini ditaip-taip, saya perlu tulus membenarkan apa yang ingin disampaikan. Lebih kurang prinsip 'Telus dan Tulus' akhbar Sinar Harian. Maklumlah, cinta adalah suatu perkara yang sangat besar maknanya. Terlalu indah untuk dibicarakan.

"Tanya sikit, kalau sudah mabuk, angau (separuh gila) dan buta bercinta, adakah itu indah?"

"Itu bukan indah. Itu namanya padah. Sifat cinta bukan untuk merosak."

Ya, benar. Islam ada caranya untuk mengelakkan cinta rosak dan tercela. Cinta secara Islam hanya satu, iaitu perkahwinan. Cinta ini akan berlaku setelah ijab qabul. Inilah kehebatan cinta selepas kahwin. Namanya cinta qudus. Cinta qudus ini cinta yang bermaruah. Ia juga sebahagian daripada maruah diri kita yang perlu dipelihara.

Bagi sesetengah orang, mereka akan mudah meneguk cinta apabila disua
. Bagi segelintir pula, perkara ini bukan sembarangan untuk diteguk manis masamnya. Ala-ala cinta 'suci dalam debu'. Qudus dan bukan kudis. Kudis apabila ia sudah menjadi cinta jalanan. 'Sahamnya' akan jatuh atau murahan untuk diperdagangkan selepas kahwin.

Ingatlah, ada sebabnya mengapa Allah SWT melarang cinta antara lelaki dan perempuan sebelum berlakunya perkahwinan. Allah SWT mahu memberikan 'sesuatu' sebagai ganti yang lebih baik dan indah, iaitu pernikahan.

Tahniah kepada anda yang bijak memilih cinta anjuran Islam. Subur-suburkanlah selalu. Moga mekarnya mengharum hingga ke syurga. Saya? Jawapannya hanya pada kerahsiaan Allah SWT. Wallahu'alam~

Nota:
1. Saya serik dengan Cinta. Banyak perkara perlu dipertimbangkan.

2. Saya bukan tidak menyukai Cinta, tetapi keadaan sangat memaksa. Apatah lagi, kesihatan dan kegusaran saya semakin terancam. Allergic Rhinitis menjadi-jadi. Mata saya juga asyik berair dan membengkak.

3.
Kini, saya nekad membuat keputusan. Mudah-mudahan ia adil untuk kebaikan semua. Cinta, esok kamu perlu dihijrahkan buat kali kedua.

4. Anggaplah kita berpisah kerana Allah SWT, ada jodoh, tidak kemana. Kenang daku dalam doamu. Ingat, tidak perlu gigih untuk pulang mencari saya di sini.

5. Cinta adalah kucing singgahan yang mengharap kasihan saya. Akhirnya, jadilah ia kucing peliharaan. Bak kata jiran saya, setia dan manja. Tapi... ya Allah!