Tuesday, November 30, 2010

Tolong Ingatkan Padaku

"Dan yang ingat-mengingati dengan kesabaran." [al-'Asr: 3]

Tolong ingatkan padaku
agar leka jangan terus bertamu
berayunan di bawah cemara rindu
sementara sisa ini masih berwaktu

Tolong ingatkan padaku
sedang di depan jalannya berliku-liku

entahkan esok masih di sini atau sudah di situ

sebelum takdir-Nya memihak padaku

Ya Allah,
tolong ingatkan padaku untuk bertabah
kerana sepasang kaki ini mahu terus mengatih zikrullah
dan sekeping hati ini minta diasak-asak sebuah hidayah~

Saturday, November 27, 2010

Semoga Bermakna Dan Allah Redha

Rasulullah SAW bersabda, "Amalan yang paling dicintai
oleh Allah adalah amalan yang paling berkesinambungan walaupun sedikit."

[Hadith riwayat Muttafaq Alaih daripada Aisyah radhiyallahu 'anha]

"Haa, nampak warak kan?"

"Em, rugilah siapa menolak. Payah nak cari!"

"Bagus apa. Selalu je nampak ke masjid. Kenapa tak suka ke?"

Ya. Warak.

Siapa yang tidak suka. Saya suka. Semua orang juga suka.

Warak adalah salah satu ciri orang yang memiliki agama. Orang yang mengamalkan agama. Orang yang menyampaikan agama (dakwah). Walau tidak secara langsung, ia tetap akan membiaskan qudwah.

Benar. Rajin ke masjid untuk berjemaah sangat bagus. Tetapi, lain orang, lain cara mereka menilai warak. Barangkali ramai di antara kita tersalah tanggap dalam memahaminya.

Warak itu bukan teori agama. Sistemnya tidak boleh direka-reka. Dan bukan hias rupa semata-mata.

Begitu juga dengan saya.

Semasa saya kecil dahulu, warak itu skopnya sangat asas. Boleh dilihat dengan mata kasar. Saya mengecam golongan warak ini hanya pada mereka yang menganggotai mana-mana badan dakwah. Ahli al-Arqam dan tabligh. Selebihnya para ustaz ustazah di sekolah.

Mudah hendak mengecam mereka. Asal nampak sahaja berserban lilit, berkopiah putih, berjubah litup, berniqab muka, bercelak mata, sahlah itu golongan warak. Fikir saya, tentu mereka banyak baca kitab dan fasih speaking Arab. Bagi yang lelaki pula, mereka menyimpan janggut panjang dan berjambang.

Apatah lagi yang membawa kalung tasbih. Saya mula menganggap iman mereka jauh lebih baik daripada yang berpenampilan biasa.


Semakin lama, semakin saya berkata tidak hanya untuk itu.

Rupa-rupanya warak ini diserlahkan lagi dengan karekteristik dan gaya hidup. Jalannya tunduk. Pandangan selalu dijaga. Cakap pun bersopan. Tidak bising-bising. Malah, membataskan pergaulan. Baik dengan lelaki mahupun perempuan.

Bila menginjak dewasa, saya melebarkan kefahaman dan penilaian sendiri.

Cukupkah warak tanpa ilmu?

Bukankah warak itu sepatutnya alim?

Tetapi bukan 'alim-alim kucing'.

Alim yang sepatutnya ini ialah mempunyai ilmu hukum Allah. Mengetahui sesuatu yang jelas haram serta menjauhinya. Tidak kira arak, zina, mencuri dan menipu. Waima menghisap rokok sekalipun.

Saya bertambah faham.

Bukan semata-mata itu semua dan bukan.

Ia lebih halus dari apa yang kita sangkakan. Warak itu bukan sekadar penampilan dan pengamalan. Warak memerlukan penghayatan yang akan mencantikkan lagi sifat warak itu sendiri.

Setiap yang haram sangat memberi impak kepada peribadi dan tingkah laku seseorang. Mereka tidak akan terlibat dengan segala perkara yang dilarang oleh Allah Taala. Bahkan perkara-perkara yang syubahah juga terus ditinggalkan.

Semakin lama, semakin saya membenarkan warak tidak yang itu sahaja.

Warak bukan hanya menjauhi yang haram. Meninggalkan yang syubahah. Hatta, sesuatu yang dibimbangi dapat memberikan kesan dan mendorong kepada yang haram pun harus jadi alergi.

Tapisannya semakin halus. Mulus.

Sehingga ke peringkat yang kecil dan dianggap remeh.

Nah, teladannya ada. Sebagaimana Umar mengasah kewarakkannya. Khalifah Umar bin Abdul Abdul Aziz sangat menjaga dirinya daripada hal-hal kecil yang dianggap syubahah. Di mana Umar pernah memadamkan pelita di pejabatnya yang minyak pelita itu adalah milik kerajaan ketika beliau berurusan peribadi dengan anaknya.

Barangkali kalian yang rajin ke masjid pernah terserempak dengan orang-orang yang kelihatan warak bukan? Masih adakah lagi?

Jika dalam dingin hujan masih ada yang sengaja memasang penghawa dingin, adakah itu warak?

Kipas juga begitu.

Jika cuma dua saf yang memenuhi ruang hadapan surau atau masjid, maka baris kipas di belakang masih terbiar dipasang, adakah itu warak?

Hakikatnya, sukar untuk kita temui orang yang meletakkan nilai warak seperti itu kerana malu kepada Allah.

Persoalannya, siapakah yang berusaha mempraktisnya?

Tidak perlu tunggu 'orang agama' atau 'orang belajar agama'.

Jika mahu, kita yang biasa-biasa ini juga boleh ke arah itu.


Maafkan saya jika penulisan ini seakan mahu mengajar atau memperlekehkan sesiapa. Apa yang saya sarankan ini adalah sedikit usaha kecil untuk kita sama-sama tergerak ke arah kebaikan.

Ya. Hidayah itu milik Allah. Barangkali kita cuma asbab penyebar hidayahNya.

Semoga bermakna dan Allah redha~


Nota:
1. Saya pernah terserempak dengan si fulan yang ala-ala warak, tiba-tiba selamba sahaja membuang sampah dan meludah 'ikut dan' di tempat awam.
Malah tidak segan silu menghisap rokok seperti menghisap gula-gula yang kemudiaannya puntung rokok dicampak sesuka hati.

2. Saya pernah terkejut melihat si fulan yang dilabel warak boleh terkinja-kinja dan bersorak macam orang gila bila menonton perlawanan bola sepak. Itu belum lagi bab merendah-rendahkan orang lain.

3. Sedangkan, saya baru sahaja hendak mencontohinya.
Berkira-kira juga kalau boleh dibuat calon memimpin saya. Terus jadi terbantut...

Wednesday, November 17, 2010

InsyaAllah I'll Find My Way

"Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.
Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu." [at-Talaq: 2-3]


Kullu a'min wa antum bikhair.

Dengan izin dan rezeki daripada Allah SWT, hari ini ramai di antara kita sedang bercuti sempena menyambut Eidil Adha. Barangkali rezeki melakukan ibadah korban juga. Jika tidak, cukuplah dengan berkongsi syafaat rezeki daripada bahagian-bahagian daging korban.

Sebagaimana
yang dinyatakan dalam surah as-Shafaat, ayat 102-107. Mudah-mudahan kita sampai kepada roh pengorbanan yang sebenar-benarnya.

Terlanjur bercerita bab cuti, ya, bagi sesetengah sekolah, bahang 'alam ria cuti sekolah' sudah pun mula terasa.

Syukur.

Cuti juga adalah nikmat dari Allah Taala.

Ini bermakna lengkap sudah diari persekolahan saya bagi tahun 2010. Lengkap yang saya maksudkan ini tidak meliputi status kesempurnaan. Apatah lagi sesuatu yang boleh dibangga-banggakan. Cukuplah saya katakan, saya hanya berkemampuan 'memberi' sesuatu kepada anak-anak didik saya. Tidak lebih dari itu.

Dan lengkap bagi saya adalah selesai satu pusingan. Tiba musim cuti yang ditunggu-tunggu. Saya mahu berpergian untuk sementara waktu. Diari lama saya juga akan bergantian dengan episod diari baru.

InsyaAllah, cuti dan pergi ini tidak hanya begitu sahaja. Saya bawa bersama sebuah penilaian. Saya yakin, amanah dan tanggungjawab saya yang lalu masih naif dan daif. Banyak lagi sudut-sudut penting yang perlu saya perbaiki dan perhalusi. Lebih-lebih lagi bab istiqamah dan keikhlasan saya dalam mendidik murid-murid istimewa.

Alhamdulillah. Pejam celik, pejam celik, hampir dua tahun di sini sebagai guru pendidikan khas. Entah tahun ke berapa juga saya masih sudi berkelana di rantau orang. Walaupun begitu, kehidupan saya telah banyak berubah.

Saya kira, inilah siri jaulah saya yang semakin berbeza. Terutamanya dalam membentuk kekukuhan saya bermandiri di medan juang. Dulu zaman muda remaja. Bertatih pula di tengah kota raya. Lain cara berukhuwah. Lain cara berqudwah. Lain sekali cara berwajah.

Bila digugah, hilang keyakinan.

Bila diacah, lekang istiqamah.

Kini, setelah mengharungi beberapa siri tunggang terbalik yang adakalanya tersimpul, terbelit, malah ada juga hati saya yang terluka dicarik-carik, saya belum ada rasa untuk mahu berpatah balik. Apatah lagi berkata serik...

Pada air mata saya yang pernah murah mengalir.

Pada air mata saya yang tidak mudah mengalir.

Saya tidak mahu menyesalinya walau ada rasa hina yang terzahir.

Ya. Bukan mudah untuk berjuang dalam keadaan kekal tenang. Tidak mustahil, senyap-senyap pasti akan ada yang cuba berperanan menggoncang, memangkah dan membuang.

Sungguh. Jika tidak kuat, semangat juang pasti tumbang. Tiada siapa yang tahu setiap dugaan itu akan datang mengejut tanpa diundang. Tidak kira dugaan itu daripada siapa.

Sempit. Sesak. Dan tidak selesa. Tidak kurang rasa tertipu dengan senyuman palsu yang mungkin ada juga terselit di dalam jiwa. Bila mendepani rasa-rasa begini, cepat-cepat saya memintas untuk tidak mahu ambil peduli. Saya gagah harungi juga walau sesekali terasa kelelahannya.

Bila penat saya berehat sebentar.

Bila tertekan saya beralih ke tepi untuk bertenang.

Dan semestinya, sebagai seorang pejuang di jalan Allah, bukanlah namanya pejuang jika saya tidak tahan diuji. Pengalaman sebeginilah yang banyak membantu untuk saya lebih tabah dan gigih dalam meneruskan perjuangan ini.

Jenuh ini bukanlah satu pengakhiran atau penamat. Bagi saya ia hanyalah satu permulaan. Andai lautan itu punya lapisan dan kedalaman tertentu, maka ini barulah permukaan laut yang saya renangi. Masih jauh lagi untuk menjejak ke lautan dalam yang seterusnya.

Masih misterius.

Oleh yang demikian, semua yang berlalu pergi perlu ditelan dengan redha. Sekalipun ia menjadi suatu pengalaman yang mencalar memori saya sepanjang hayat. Jadikan ia sebagai ibrah dan inzar untuk masa mendatang. Dan sabar adalah senjata terbaik untuk saya tidak cepat melatah dan beralih arah.

Bukankah manusia yang sering berenang melawan gelombang, otot tangannya akan semakin lama semakin kuat?

Sejujurnya, ada masa-masanya, ketabahan saya juga goyah terhuyung-hayang. Saya rasa seperti mahu lemas dan hanyut. Saat-saat sebegini terasa benar mahu merubah posisi. Dari lautan naik ke angkasa. Terbang menghilang. Jauh mencari tenang.

Mujur tarbiyah yang pernah sampai kepada saya ini masih pekat dan melekat di dalam jiwa. Sekurang-kurangnya dapat membantu saya bila saban kali tersungkur untuk bingkas naik semula dalam mengatur kehidupan.

Alhamdulillah, kini berharap agar segalanya stabil dalam keadaan yang bersih dan cantik. Panjang umur, murah rezeki, kalendar persekolahan 2011 akan mula diselak-selak dengan 1001 ceritera baru. Hanya mengharapkan yang indah-indah belaka bersama mereka yang tersayang.

Dan kerana mereka itulah, sementara waktu ini saya setia memilih jalan yag telah sedia dilalui. Maka, siapalah saya yang semalam, hari ini dan hari esok. Melainkan Allah jualah yang berkuasa membolak balikkan jiwa kita, hamba-Nya.

InsyaAllah i'll find my way. Sesungguhnya bantuan Allah itu adalah hampir. Akal manusia mungkin gagal membayangkannya. Hanya Allah yang mengetahui segalanya.

Allahu Akbar Wa Lillah Al-Hamd~

Nota:
1. Sejak semalam, wajah-wajah di sekeliling saya sudah mulai ceria bak pelangi. Tambah lagi apabila ada yang berkata, "Lega. Nasib baik dapat!". Tahniah. Semoga anda menikmati makna kelegaan itu.

2. Saya sedang mengatur destinasi. Tidak sabar untuk mencari damai dan tenteram jiwa...

Saturday, November 13, 2010

Malam Puisi Riong BH-ITNM-IB: Catatan Lewat Malam Tadi

Diriwayatkan dari Hassan bin Tsabit al-Anshari r.a, bahawa dia pernah meminta kesaksian Abu Hurairah : "Saya meminta kesaksian darimu dengan nama Allah, apakah kamu pernah mendengar Nabi s.a.w bersabda, "Hai Hassan, lantunkan puisi untuk membela Rasulullah s.a.w dalam mengalahkan puisi orang-orang kafir. Ya Allah, dukunglah Hassan dengan Ruh al-Qudus". Abu Hurairah r.a menjawab, "Ya". [Hadith riwayat al-Bukhari: 453]

Sesekali
di Laman Beringin IB
bersantaian dipayungi langit Ilahi
sambil menikmati jerayawara para pemuisi
menelusuri ilmu, menyemarakkan kreativiti
Prof. Madya Dr Lim Swee Tin dan Dr Siti Zainon
Dr Anwar Ridhwan dan Mohd Khair Ngadiron

Sesekali
canggung didengari
trend artis masa kini
antara yang lebih dihayati
juadah puitis personaliti Ahmad Fedtri
istimewa air tangan rohani Mohd. Zawawi
juga alun cendera Sohaimi Mior Hassan, Epilog Cinta Dari Bromley


Nota:
1. Kecewa. Niat untuk ke Damansara dan HKL tidak berjaya. Akhirnya cuma melepaskan lelah di Tasik Titiwangsa.

2. Leweh. saya hampir kehilangan jam tangan di surau Istana Budaya.

3. Sederhana. Bertembung dengan pemilik CBR 3395.

4. Geli hati. Ternampak kelibat Ustaz Syafiq Zulakifli...

Tuesday, November 09, 2010

Muara Itu Dan Kuala Kampungku

"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang, terdapat tanda-tanda (kebesaran) Allah bagi orang yang berakal. Iaitu orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri, duduk, atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan sesuatu dengan sia-sia; Mahasuci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka." [ali-Imran: 190-191]

Berfikir merupakan sebahagian daripada kesukaan saya. Sekalipun sebaliknya, berfikir sangat diperlukan dalam kehidupan.

Berterusan. Selagi mana kita diberi kewarasan akal fikiran.

Poses berfikir akan menambahkan ilmu baharu. Tidak tahu, akan menjadi tahu. Telah tahu, akan menjadi serba tahu. Berfikir juga boleh membantu. Terutamanya dalam menghadapi perkara-perkara keliru dan buntu. Apatah lagi yang haru-biru dan bercelaru.

Misalnya, berfikir bahawa setiap kejadian yang Allah Taala ciptakan itu pasti ada hikmah-Nya. Kita bukan sahaja dapat belajar daripada yang baik-baik. Malah, kehidupan ini menuntut kita untuk belajar daripada yang buruk-buruk juga.

Daripada yang baik, moga-moga kita dekat kepada Allah dengan syukur. Daripada yang buruk, moga-moga kita dekat kepada Allah dengan istighfar dan tawakal.

Kedua-duanya memberi pengalaman.

Pengalaman yang anugerahnya berupa hidayah atau musibah.

Ya. Hidayah atau musibah di sebaliknya pasti terselit hikmah. Bukan sahaja di muara itu. Bukan juga di kuala kampungku. Ia tidak akan ada di mana-mana, melainkan dengan kehendak Tuhan jua.

Sebelum terlambat, mari difikir-fikirkan. Pada hitam putih pemberian Tuhan~

Nota:
1. Banjir. Ada yang menganggap ia kejadian alam biasa. Mereka tidak mahu mengaitkannya dengan amaran Tuhan. Maka, sampai berlaku kiamat sekalipun, kehancuran dunia ini akan ditafsirkan sebagai 'bencana alam'.

2. Takziah kepada saudara-mara saya yang mengharungi pengalaman berbanjir di sekitar Perlis.

3. Ingatan buat orang Kuala Perlis yang tidak terlibat, kalian juga harus ambil iktibar!

Tuesday, November 02, 2010

Nantikan Saat Itu

"Maka bersabarlah kamu dengan sabar yang baik." [al-Ma'arij: 5]

Sejak saya menginjak dewasa dan bertambah usia ini, soalan berkaitan jodoh adalah bentuk soalan yang paling laris. Paling laku sampai ke telinga saya. Ada yang lembut berhemah. Ada juga yang keras membelasah.

Sungguh. Serba salah hendak menjawab. Kadangkala, terasa ringan pula mulut saya ini melepaskan das jawapan. Tetapi ia tetap menjadi sebuah kelucuan yang membingungkan saya sendiri. Entah kenapa soalan ini berjangkit-jangkit seputar yang sama. Berturutan hampir saban masa yang sama juga. Tambah lagi bila si penanya itu adalah orang yang sama.

Letih.

Baru selesai satu, menerpa lagi tiga.

Masing-masing berlumba-lumba tanya.


Barangkali, jika saya himpunkan segala koleksi soalan ini, tidak mustahil boleh mencecah berguni-guni banyaknya. Macam peraduan tanya dan menang pula!

Lazimnya, soalan yang ditanya nampak mudah. Namun, yang menghairankan saya apabila kebanyakan soalan itu hampir memerlukan saya memerah kepala. Sampai satu tahap, hilang kalimah-kalimah untuk berkata. Hanya senyuman sahaja sebagai galang gantinya.

Paling terbaharu, saya dikunjungi soalan oleh seorang lelaki yang mutazawwij. Lelaki yang masih ada tiga kekosongan untuk diisi.

"Itulah memilih sangat. Tak takut jadi andartu ke? Nanti nyesal."

Ini fitrah. Ini lumrah. Persoalan seumpama ini tidak akan lenyap begitu mudah. Malah, saya pernah diasak dengan sangkaan yang lebih memarahkan daripada ini. Sampai hati dikatanya saya penghidap mati pucuk yang tidak bernafsu.

Astaghfirullah, menyayat hati sungguh!

Tidak kurang yang pantas mendahului pesoal-pesoal lain. Pertanyaan mereka lebih berprestasi dan bervisi. Saya kurang pasti samada ia bermotifkan lawak semata-mata atau memang serius terbit dari hati.

"Bila cikgu nak mengandung?"

"Bila cikgu nak bersalin?"

Oleh yang demikian, tidak boleh tidak, saya mesti berdepan juga. Situasi sebegini akan bertali arus sehingga mana terpatrinya sebuah jawapan.

Berwalimah, mengandung, bersalin dan seterusnya.

Benar. Sekadar harapan di bibir saya yang entah bila ketahuannya, amat sukar untuk menawarkan persoalan sesiapa. Begitu juga empunya diri. Hanya peristiwa yang praktikaliti menjadi kepercayaan dan kesahihan.

Hari ini, saya perlu bijak mengasah kematangan. Saya mesti serlahkan ia dalam menangani kebarangkalian mendatang. Saya tidak boleh membiarkan perasaan saya porak-peranda berperang. Memberontak dan merusuh keseorangan.

Mempositifkan diri adalah sebaik-baiknya.

Baik untuk saya. Baik untuk mereka. Baik untuk kita.

Semoga Allah beri kekuatan.

Jika ada yang mengatakan saya tidak merancang, tidak bersungguh memikirkannya, maka mereka perlu lebih tahu bahawa Allah juga merancang. Sedangkan Allah adalah sebaik-baik Perancang.

Jika ada yang mengatakan saya memilih, saya akui kebenarannya. Tiada alasan untuk menidakkan. Secerewet mana pun saya memilih, maka mereka perlu lebih tahu bahawa Allah sangat hebat memilih. Dia telah sedia memilih. Allah jualah sebaik-baik Penentu.

Dan jika ada yang mengatakan saya terlalu berahsia perihal jodoh. Bukankah takdir kita masih terhijab? Semuanya hanya pada kerahsiaan Allah SWT. Allah jualah Maha Mengetahui.

Ya. InsyaAllah.

Dengan sebuku kesabaran di hati, saya tidak pernah jemu menantikan saat-saat itu. Saya yakin segalanya telah tersedia. Sampai masa, Allah akan melorongkannya juga. Pada lorong-lorong yang betul dalam mengatur fitrah agar tidak menjadi fitnah. Amin Ya Rabbal 'Alamin~


Nota:
1. Tahniah kepada kalian yang turut berusaha. Sesungguhnya, siapalah saya yang tiada berdaya ini.

2. Ayuh, mari tingkatkan usaha hingga berjaya. Dan jangan lupa, Allah sedang berbicara kepada kamu dan saya tentang sabar itu cantik!