Thursday, March 25, 2010

Sukakan Hati Bukan Sesuka Hati

Cetusan rasa hati ini bukan untuk menjentik hati sesiapa. Hadamlah dengan berlapang hati. InsyaAllah tidak akan ada yang berkecil hati

Atas izin-Nya, denyut nadi saya tegar lagi di sini. Kencang dan stabil. Alhamdulillah, tetapi entah di mana silapnya...

Kekadang jiwa saya buntu bercelaru. Kekadang jiwa saya lesu terharu. Kekadang jiwa saya kosong kelabu.
Kekadang jiwa saya rindu berlagu. Jiwa rasa ini berbolak-balik. Umbang-ambingnya bagai dikocak arus air bersama deru angin. Hanya saya sahaja yang mampu mencernakan setiap terpaan rasa itu... hehe depresi apakah ini?

Sungguh. Beginilah menjadi seorang hamba yang melankolik. Dasyat bukan? InsyaAllah, virus melankolik saya ini belum ke tahap perlu berjumpa psychologist. Masih mampu dikawal. Masih tidak membebankan sesiapa. Saya hanya lakukan apa yang saya rasa dan suka dalam hidup saya. Atas nama kebaikan barangkali.

Sekarang ini mudah sahaja. Apa sahaja perkara yang menyesakkan diri, saya akan memilih jalan untuk berlalu pergi. Better i go first! Saya lebih gemar mendampingi kemahuan saya yang agak ghairah ke arah lain. Maaf, bukan laman sosial facebook Zuckerbeg atau yang seangkatan dengannya. Saya tidak gemarkan itu semua.

Saya lebih senang meladeni alunan muzik nasyid yang phlegmatik sifatnya. Tenang dan damai. Saya lebih kemaruk mengulati siri bacaan tentang ketenangan yang akhirnya membentuk inspirasi.
Saya lebih selesa mendampingi laptop antik saya yang semakin hari semakin rongak dicerca orang. Biarkan sahaja...

Malah, saya lebih rela
membawa diri dalam dunia anak-anak bisu yang sering menghiburkan. Anak-anak mangsa 'kesibukkan'. Kesian sungguh. Saya juga lebih suka menyendiri di rumah dengan kerja-kerja harian yang tidak seberapa. Saya pasti ia bisa memutikkan bunga-bunga bahagia.

Alhamdulillah, kebetulan hari ini rezeki bergaji lagi. Saya sudah berhitung kira mahu belanja diri sendiri. Sudah pasti buku-buku pilihan di booth KLIBF 2010. Saya juga bercadang untuk mendapatkan koleksi cenderamata sebagaimana tahun sudah. Belanja bukan sebarang belanja. Barangkali sekadar meraikan saya yang sedang menuju perubahan.

Perubahan apa? Transformasi hala tuju negarakah? Alah, senyapkan sahaja. Cukuplah anda tahu bahawa saya sedang teruja membajai sesuatu. "Ya Allah, saya perlu sukakan hati saya dengan tidak sesuka hati!"

Suka hati...

Suka hati dan...

Suka hati jugalah~

Sunday, March 07, 2010

Ada Sesuatu Ingin Dikhabarkan

Terima kasih kepada pengirim kad yang tidak bersetem ini... "Tahaadu Tahaabbu"

Alhamdulillah, tanggal 4 Mac 2010 yang istimewa sudah pun berlalu. Terima kasih juga saya titipkan kepada bonda tercinta. Susah payah beliau melahirkan saya ke sini. Susah payah beliau 'menjadikan' saya hingga ke hari ini. Pejam celik, pejam celik, kian besar panjang rupanya. MasyaAllah, anak siapakah ini?

Sekali pandang, tidak ubah persis remaja belasan tahun. Dua kali pandang pula, nampak juga susuk kedewasaannya. Tambah yang ketiga kali pandang, baru soheh kedut-kedut wajahnya. Inilah aturan alam. Melaluinya harus dengan kesedaran diri. Betul ngak?

Saya tidak seperti orang lain...

Sempena perubahan digit baru ini, tiada terselit sebarang impian dan harapan yang tinggi. Tidak juga terlalu spesifik.
Cukuplah sekadar diluaskan rezeki yang halal. Dikurniakan kesihatan yang baik supaya saya tidak malas dan lemah dalam segala hal kebaikan. Dan dipermudahkan untuk meneruskan hidup yang serba sederhana ini.

Barangkali saya sedikit keterlaluan di sini. Dengan tidak segan silunya, saya mahu menyatakan sesuatu, "Ya Allah, saya masih nampak muda!". Sungguh. Maafkan saja di atas kejujuran saya ini.

Namun, ada sesuatu yang lebih besar ingin saya khabarkan. Bukan mahu membuka rahsia sesiapa. Juga bukan mahu memuji, jauh sekali hendak memuja. Madah berhelah pun bukan. Cuma saya mohon jasa baik kalian mendoakan saya agar sentiasa dekat dengan Allah. Doakan selalu ya. Makasih!

Ameen Ya Rabb~

Friday, March 05, 2010

Enigma Antara Milo Dan Ubat

Hidup ini tidak selamanya mulus. Selesai satu musibah, menyusur lagi musibah lain menghampiri kita

Dua tiga hari ini saya terujakan sesuatu. Air minuman yang enak dan lazat. Barangkali pernah menjadi minuman kegemaran anda juga. Sejak dewasa sehingga bertambah dewasa ini, saya jarang sekali menikmatinya. Ada pilihan lain yang lebih dekat di hati. Cuma sedari kecil lagi, air ini menjadi 'minuman kegeringan' saya. Ketika itu sahaja, kepingin saya membuak-buak.


Entah mengapa, air milo yang diidam-idamkan. Barangkali milo ini sinonim dengan kanak-kanak. Semasa sakit, saya seperti keanak-anakkan. Terawang-awang di fikiran saya membayangkan milo, milo dan milo...

Secawan air milo yang dingin. Lemak bersusu dengan adunan coklat dan malt. Apatah lagi kalau dapat menyedut air milo kotak berkulit hijau itu. Aduh! Rasanya pekat menyentap. Lain benar berbanding bancuhan milo di rumah.

Semalam dan hari ini...

Keluarga sering memonitor keadaan saya di sini. Dari kejauhan, mereka seakan kaget. Prihatin dengan keuzuran yang saya hadapi. Pandai-pandai saya sembunyikan rasa sebak dan sebu di hati ini. Tetapi mereka masih sempat berseloroh dengan ucapan istimewa.

Tidak lupa juga pada
sahabat-sahabat yang mengirimkan SMS. Terima kasih kerana masih sudi seperti tahun-tahun lalu. Dalam lemah-lemah, saya menatap screen handset. Hanya mampu menguntum senyum. Kalau pun berbalas, mungkin agak lewat dan sekadarnya. Moga doa kalian itu bisa menjadi penawar kepada musibah kesihatan saya.

Hampir tiga hari saya lemah di pembaringan. Bertemankan baju panas, pagi, petang dan malam hanya dibuai sindrom tidur yang bersangatan. Saya kira, inilah siri tidur yang paling panjang selama hayat saya dikandung badan.

Sesekali terjaga, saya teringatkan anak-anak kenit di sekolah. Sesekali tersedar, ingatan saya meracau pula pada air milo dan racauan lain. Kebetulan perut saya kekosongan. Sudah beberapa hari tiada selera makan.
Dalam keuzuran ini juga saya masih mencari sesuatu yang bernama bahagia.

Bahagia itu ada. Tidak ketemunya kerana tidak mahu mencari. Bahagia itu ada. Tidak berjumpanya kerana tidak cuba merasa. Pastinya milo dan bukannya ubat! Tentu kak Basimah akan tersengeh dengan madah ini. Madah orang sakit yang baru dapat menyedut air milo. Nikmat sekejap.


Pada yang bertanya, apa menu special sempena hari istimewa? Jawapannya, milo dan ubat. Kedua-duanya meloyakan tekak. Saya enigma. Tetapi inilah rahsia ketika saya beruzlah sendirian di rumah. Wekk!~