Friday, April 30, 2010

Greenpeace Untuk Semua

Hijau ada disebut-sebut sebagai warna penghias syurga. Rujuk surah al-Kahfi; ayat 31, al-Insan; ayat 21 dan surah ar-Rahman; ayat 76

Sejujurnya, hijau bukanlah warna yang paling saya gemari. Tiada dalam senarai utama. Seingat saya, jarang-jarang sekali saya berkerudung hijau. Entah mengapa, kekok benar untuk mengenakan warna ini. Bukan kerana hijau dilihat sebagai warna kontroversi. Cuma kurang serasi.

Namun, hijau tidak pernah terpinggir dari hidup saya. Warna hijau sejati ini masih dapat memikat hati saya tetapi tidak berlebihan sehingga taksub atau 'takdol' (mengidolakan).

Pada tahun ini, saya telah menata rias konsep meja guru sendiri. Walaupun simple, saya cukup selesa dengan tema greenpeace. Lunak ditatap dan menyegarkan. Pendek kata, bagus untuk kesihatan mata. Indahnya memberi ketenangan dan kedamaian di hati saya.

Lain orang, lain mata hatinya. Barangkali mereka mengagumi warna 'alam' ini, tetapi diam-diam, nikmatnya terpaksa dianaktirikan. Anggapan mereka, warna gerun seperti hijau boleh membejatkan majlis. Warna sinikal ini bisa membobrokkan pihak-pihak tertentu. Warna provokasi yang mudah menghantui kepala-kepala partisan.

Sikap paranoid ini secara automatisnya akan ulang memberi amaran "Jangan cari pasal dengan warna hijau!". "Kalau boleh elakkan warna hijau!"...

Telan liur juga mendengar orang yang takutkan warna. Pelik! Pelik!

Dari satu sisi, kelakar pun ada. Mujur tidak terbahak-bahak.

Itu acuan pemikiran konservatif mereka.

Bagi saya,
mengapa perlu menjadi 'korban' ikut-ikutan. Sedangkan warna ini tidak menyusahkan hidup sesiapa. Terlalu menyenangkan. Warna kurniaan Allah yang diangkat sebagai warna istimewa. Warna milik semua, penghuni alam juga penghuni syurga.

Kadangkala saya tersenyum sendiri mengenangkan golongan yang sengaja mengkarenahkan warna ini. Mereka sedar, tetapi tidak telus. Maka, adalah lebih baik abaikan sahaja. Semuanya perlu dikuis ke tepi sebelum pemikiran saya pula menjadi 'hijau berlumut'.

Maafkan saya andai artikel ini bersifat sarkastik di minda anda. Harap-harap tidak ada yang 'hijau muka' (puke) atau 'hijau muka' macam incredicble Hulk. Peace for all~


Nota:
1. Makan nasi lemak bersama kuih tepung pelita tanpa daun pisang dan daun pandan yang hijau tentu tidak harum menyentap.

2. Pandang langit biru yang cerah, tanpa bukit-bukau menghijau tentu kurang memukau.


Sunday, April 25, 2010

Hikayat Tun Dara Puteri Kayangan

Diam memekak menuli, membisu menyepi tiada bererti akan kalah mati

Arakian, tersebutlah sebuah kisah yang julung-julung diceritera, bahawasanya Tun Dara yang asal usulnya diketahui ramai, puteri kedua Tun Mansor Shah dari negeri seharum manis, Indera Kayangan, Paris.

Adapun juga ramai tiada ketahuan bahawasanya Tun Dara sedang dalam dilema untuk beberapa perkara yang dihajatinya berserta kaum keluarga, teman serapat. Betapa gundah gulana akan hati Tun Dara tiada terperi. Waktu belum habis dihitung, pantas memintas juga ia berlalu pergi...

Akhirnya, setelah sidang senat bermusyawarah, sayugia dikhabarkan buat bapak-bapak, kakek-kakek, tuan dan puan sekalian. Adapun tanpa mengira kembang kempis, gelap gebu, kecut kental, lurus rencong, jantan betina, celik buta, tuli cacat, tempang dengkot, bulan dacing dan tidak tertinggal barang seorang pun yang berlabuh ke mari.

Dengan penuh kerelaan, kebijaksanaan dan berhikmah, Tun Dara sedia menyatakan akan maksud perutusan dan hajat keberanian hati, jantung berserta limpa bagi menangguhkan keputusan yang mendesak dirinya.

Ya, setelah setuju sepakat, sebulat sesuara tanpa hasutan serasuah, nafsu serakah, dendam sekesumat, adanya akan sebab musabab kecil semata-mata. Begini sebabnya diyakini Tun Dara. Rupa-rupanya, terus-terusan lintasan wajah-wajah polos di atas sedikit sebanyak membuatkan batang tubuh Tun Dara tiada tergamak melangkah pergi.

Sunguh-sungguh Tun Dara pekenan mengalah. Lalu, Tun Dara lolos untuk segera merencanakan apa yang sulit dan rencam. Perutusan sejujur ini tiada ketinggalan menjadi pucuk pengetahuan akan restu redha bondanya di Kayangan sana.


Kuasa cinta apakah yang mereka pertaruhkan buat Tun Dara?

Hebat sekali. Bagaikan sakti! Hehehe...

Adapun juga kedapatan, Tun Dara tiada sempurna atau sebaik seperti yang orang lain ramalkan. Kelemahan ketara dalam diri Tun Dara ialah Tun Dara seorang yang mudah perasa. Sensitif. Sejujurnya, Tun Dara sedia mengakui tentang itu.

Waima, ia sekadar tindakkan atau kata-kata yang menyakitkan hati. Kata-kata yang berinspirasi atau apa sahaja yang mencuit geletek hatinya. InsyaAllah selagi diizinkan, ia akan sangat jelas dalam ingatan Tun Dara untuk dijadikan sebagai teladan dan sempadan.


Barangkali, dengan rasa sensitif ini, Tun Dara harap Tun Dara lebih mampu memahami jiwa wajah-wajah polos sebegitu. Dengan rasa sensitif ini, Tun Dara berharap juga akan lebih memahami tuntutan besar sebagai seorang muaddib. Bukan siapa-siapa untuk perkara yang tiada signifikannya.

Sekian, adanya dengan limpah rahmat, Tun Dara masih ampuh melara rasa~

Nota: Sementelah, Tun Dara getik akan wajah-wajah 'polos' seperti Tun Pura-Pura Menggula dan Tun Pura-pura Menyibuk yang hakikinya cukup hipokrit bermuka-muka. Harus waspada!

Thursday, April 22, 2010

Saya Bukan Peserta Rancangan 'Realiti'

Gambar sekadar hiasan

Barangkali entry saya ini agak 'bervoltan tinggi' mencecah 33 KV dan tidak memenuhi citarasa sesetengah pihak. Anda sudah bersedia untuk membaca?

Tetapi, awas dan berhati-hati jika tidak mampu menebat. Ditakuti dapat
memudharatkan diri anda sendiri. Siapa tahu, ia boleh mematikan kecerdasan pemikiran dan pemahaman anda terhadap dunia ilmu. Hehe...

Nasihat saya, lebih baik anda 'menjamah' siri pembacaan lain.
Adalah di luar kerangka pemikiran seseorang apabila membaca, melihat dan mendengar, mereka benar-benar 'soheh' dengan sangkaan masing-masing.

Begitu juga dengan penulisan di blog 'sendirian berhad' saya ini. Segala apa yang diperkatakan adalah luahan hati peribadi. Tidak dipengaruhi hasad dengki. Saya menulis bukan untuk memangkah sesiapa. Saya menulis bukan untuk mencantas sesiapa. Saya menulis kerana berpeluang mempedulikan soal benar, adil, bebas dan berperaturan.

Apa pun isunya, jika ia dikatakan secara kebetulan, tidak ada siapa boleh meyakinkan atau menidakkan. Terlalu subjektif. Saya ulang sekali lagi bahawa isu sejuk, isu suam mahupun isu panas di sini adalah terlalu subjektif. Subjektif!

Ya, subjektifnya kerana ia berbeza mengikut tafsiran penganalisanya. Bukan sahaja subjektif pada pemikiran dan perasaan saya. Anda juga!

Kalau anda fikir saya sengaja mahu mencari publisiti, saya sengaja mahu mencari sensasi, saya sengaja mahu menanam 'cili',
saya sengaja mahu meraih undi, hemat saya, anda silap sama sekali. Saya ini bukan selebriti. Saya bukan peserta rancangan 'realiti'. Saya bukan pak tani. Apatah lagi yang ternama seperti pak menteri.

Saya adalah insan biasa yang ada perasaan untuk dikongsi.
Saya cuma memanfaatkan ruang berkreativiti ini untuk menzahirkan suara 'realiti'. Saya mahu mencari redha Ilahi...

Ingatlah bahawa syaitan cukup bijak dalam menjalankan tugasnya memecah belahkan umat manusia. Kalau bukan kelicikan syaitan, pasti Rasulullah SAW tidak akan dikejar sehingga ke gua Thur. Kalau bukan kerana kelicikan syaitan, pasti tiada sejarah Qabil membunuh adiknya sendiri, Habil.

Marilah kita sama-sama menanam benih keikhlasan dalam semaian hati dan membajainya dengan perasaan kasih-sayang kepada manusia kerana Allah SWT. Moga-moga nanti segala ulat dan serangga perasaan hasad dengki akan menjauhkan diri daripada merosakkan benih tersebut.
Wallahu'alam bisshowab~

Nota:
1. Melangkah ke hadapan adalah jiwa pejuang tetapi kalau kita menyusun langkah dengan cara memangkah ia adalah jiwa petualang.

2.
Artikel di blog ini adalah hak cipta terpelihara. Sebarang ulang cetak perlu mendapat keizinan penulis.

Monday, April 19, 2010

Ice Lemon Sedap Untuk Cik Izzah

"Allah kelak akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan." [ath-Thalaq: 7]

Pernah atau tidak anda terfikir, kenapa dalam hidup ini ada sesuatu yang bernama musibah? Fikir saya, musibah mana yang tidak sulit sifatnya. Sekali pun ia sekadar dugaan mendesah. Sedikit sebanyak, pasti akan membuatkan kolong hati kita dirundung sedih.

Barangkali, sedang anda leka menyedut air sejuk ke tekak, tiba-tiba terasa ada sesuatu mengalir keluar. Panas. Rupa-rupanya, itu adalah air bening yang membasahi pipi. Lain yang disedut, lain pula yang keluar. Ini bermakna, benarlah anda teramat sedih. Bukan lagi sedih 'wayang' yang sengaja dibuat-buat.

Benar.
Terlalu ambil pusing, kepala mana yang tidak pening. Malah, akan menjadi lebih kritikal hingga ke tahap 'sasau'. Sampai terfikir mahu menyusun tangga untuk berlari ke langgit tinggi. Atau membuat terowong untuk hilang ke dasar bumi. MasyaAllah, jauh sungguh hendak membawa diri.

Percaya atau tidak, hari ini saya 'passion' mengandaikan minuman di hadapan saya...

Jika saya diberi perahan lemon (limau) yang masam menjeruk, saya cuma perlu lakukan sesuatu. Sama ada memilih untuk merungut dan tolak ke tepi atau hanya bertindak mengambil dan menyedapkannya sahaja.

Kalau ambil, cukuplah tambahkan sedikit gula ke dalam perahan tadi. Kacau berhati-hati dan minum dengan lafaz bismillah. Setelah itu, jangan lupa ucapkan alhamdulillah. Tanda berterima kasih diberi nikmat. InsyaAllah, jika kita bijak, kita mampu mengubah sesuatu itu sebagai satu rahmat. Bukan sebuah penamat~


Nota:
1. Rasulullah SAW terusir dari Mekah, tapi baginda kemudian dapat mendirikan sebuah negara di Madinah.

2. Ibnu Taimiyah dipenjara dan akhirnya menjadi seorang yang alim.

3. Cik Izzah baru meladeni enak rasa air ice lemon dengan senyuman seribu erti. Manis!

Saturday, April 17, 2010

Batu Membatu Atau Batu Membantu


"...Dan barang siapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Dia jadikan baginya satu jalan keluar. Dan dikurniakan dia dari jalan yang ia tidak sangka-sangka." [al-Thalaq: 2-3]

Singapura dilanggar todak, jatuh maruah raja disebabkan akal budak. Sejarah Melayu telah menceritakan bahawa Hang Nadim ialah budak yang menegur Raja Temasik (Singapura). Raja ini menerima nasihat dan kemudiannya memerintahkan rakyatnya berkubukan batang pisang bagi menahan serangan ikan todak.

Ternyata sungguh idea tersebut lebih praktikal dan berkesan. Malangnya, Hang Nadim telah dijatuhi hukuman buang ke laut disebabkan hasutan menteri yang dengki. Kecerdikannya itu dikatakan bakal menggugat takhta raja.


Kejam pula bila melihat Hang Nadim dibunuh kerana kecederdikkannya. Lebih sadis lagi tatkala melihat ada manusia yang terbunuh kerana kekhilafannya. Sukar menerima teguran...

Rasulullah SAW yang dibimbing oleh wahyu dan bersifat maksum pun tetap suka mendengar pandangan daripada para sahabat. Cuba kita soroti seketika kisah Saiyidina Umar Al-Khattab, apabila beliau diangkat menjadi khalifah. Beliau sedia menerima teguran seorang sahabat yang ingin 'meluruskannya' dengan pedang jika beliau melakukan kesilapan.


Pengajarannya, tegur menegur itu amalan mulia. Amalan yang baik tetapi yang tidak baiknya, jika yang telah ditegur itu tegar dan yang menegur itu pula kasar melempar. Boleh menjadikan semuanya bergegar dan sukar digambar.

Orang berjiwa biasa menganggap teguran sebagai batu penghalang. Batu yang membatu. Dibaling semberono menghujum ke muka. Sakit dan melukakan. Diketuk pula hanya menambah bengkok.

Sedangkan orang yang berjiwa luar biasa menganggap teguran sebagai batu loncatan.
Batu pengasah yang membantu menajamkan mata pedang. Kalau pun ia mengetuk hingga membengkok, tetapi tujuannya untuk membentuk.

Terpulang...

Cari-cari memilih batu, jangan sampai jadi keliru, hati-hati di jalan berliku, jangan sampai sesat sebatu.
Wallahu'alam bisshowab~

Nota:
1. Barangkali entry ini boleh menjadi 'pertalian darah' dengan mana-mana entry di blog saya atau di blog rasmi dan personal orang lain.

2.
Jauhi sikap terlepas pandang. Kalau hanya keliru seinci, sesat sudah sebatu, bukankah rugi namanya?

Wednesday, April 14, 2010

Mencari Rahmat Tuhan Dengan Bahasa

Al-Quran memandu kita menjadi manusia yang bergaya

Tidakkah kita sedia tahu, Islam itu indah. Mengajar dan mengasuh kita dari segenap sudut. Segala-galanya untuk menjadikan kita dipandang mulia walau hanya sekecil-kecil soal bahasa.

Lihat sahaja kitab al-Quran yang terlalu istimewa kandungannya. Diturunkan dalam ejaan dan tajwid yang sempurna. Ditambah pula gaya bahasa yang tersusun rapi dengan bunga-bunga bahasa yang halus dan puitis.


Nabi Muhammad SAW pun, apabila berkata-kata, baginda menggunakan bahasa lisan yang jelas sebutannya. Malah, tersusun elok tatabahasanya dan indah gaya bahasanya. Subhanallah...

Menulis dan bercakap menggunaka 'bahasa tinggi' adalah sunnah al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW.
Perbuatan menulis menggunakan ejaan yang tidak sempurna, tatabahasa yang salah, apatah lagi dicemarkan dengan bahasa campur-aduk atau 'bahasa rendah' adalah perbuatan memperlekehkan Islam.

Maka, tidak terlalu melampau jika ia diistilahkan sebagai 'mencela' gaya bahasa al-Quran dan gaya bahasa Nabi Muhammad SAW. Adakah anda tergolong dalam kategori ini?


Fikir-fikirlah sebelum meremehkan bahasa...

Bahasa adalah ciptaan Tuhan. Memelihara bahasa adalah memelihara ciptaan Tuhan. Merosakkan bahasa adalah memunahkan ciptaan Tuhan.
Memunahkan ciptaan Tuhan adalah menghilangkan rahmat Tuhan. Maka Tuhan jualah yang lebih mengetahui~


Nota :
1. Saya bukan 'orang' Dewan Bahasa dan Pustaka. Saya juga bukan sasterawan negara.

2. Saya akan menjadi sinis dan hambar dengan 'tangan-tangan atau mulut-mulut' yang suka meremehkan bahasa. Barangkali untuk SMS yang menghadkan space boleh dimaafkan lagi.

3. Bagaimana pula kebiasaan yang sering berlaku dalam penulisan blog? Tidakkah ini perbuatan yang disengajakan?


Wednesday, April 07, 2010

Aduka Taruna Pandai Berbahasa

Rasulullah s.a.w bersabda: "Waspadalah kamu dari kata-kata kotor, kerana sesungguhnya Allah Ta'ala tiada suka kepada kata-kata kotor dan perilaku yang cabul."

Seminggu dua ini, cuping telinga saya tidak lekang dari mendengar dentam-dentum isu terkini dan sensasi. Sana sini, ada sahaja sosek-sosek dari mulut ke mulut. Entah-entah, kecoh ini berpanjangan hingga ke rumahtangga masing-masing.

Kecoh yang saya maksudkan tiada kaitan ceritera artis ternama. Tiada kaitan juga liputan politik semasa. Sebaliknya, hanya kisah tangan bermain kata. Mulut membalas sungguh tak disangka. Hilang timbang rasa, celupar bahasa. Telinga dengar, tak sanggup terima. Akhirnya, lidah terus istighfar pada pencipta.
.. Astaghfirullahal azim!

Sejauh mana ia panas dan kritikal, wallahu'alam.
Isu dalaman yang tidak manis untuk saya ulas dengan lebih lanjut di sini. Bukan takut!. Ini soal rumahtangga sekolah saya. Melibatkan etika perguruan. Guru ada etikanya.

Biar kami sahaja yang mendendam rasa!

Serba ringkas, saya sekadar hendak berkongsi ibrah (pengajaran) daripada kejadian ini. Pengajaran terhadap paparan 'sila jaga tutur kata anda'. Saya suka pada lidah-lidah yang pandai bertutur dengan kalam-kalam yang terpelihara. Walaupun si empunya lidah itu sedang marah berapi, basah lidahnya masih boleh mengeluarkan
qaulan ma’ruufan (perkataan yang baik).

Kalau tidak, diamkan sahaja daripada tewas di hujung lidah sendiri!

Secara peribadi, jika si 'Aduka Taruna' ada di hadapan saya, teringin benar hendak berespon terhadap hujah-hujah beliau. Persoalannya, kenapa dan mengapa beliau bertindak seperti 'hangin satu badan'? Tentu ada sebab musababnya beliau terpaksa durhaka kepada 'sultan'. Hanya si 'Aduka Taruna' sahaja ada jawapannya.

Kepada 'Aduka Taruna', kalau ada kesenggangan masa, tolonglah sudi berjumpa dengan saya. InsyaAllah, dengan berlapang dada, saya akan duduk sebagai seseorang yang bukan koordinator blog sekolah. Juga bukan sebagai peminat anda untuk meminta autograf. Malah tiada hasrat untuk menjadi pengikut anda. Apatah lagi mahu berpencak atau bermain keris dengan anda...

Alah, cuma hendak beramah mesra sambil menimba ilmu berbahasa.
Kalau ada ilmu nahu dan sorf, kongsilah bersama ya!~

Nota:
1. Ini blog peribadi saya. Penulisan di sini tidak terikat dengan terma mana-mana pihak. Puji dan keji, anda yang beri. Saya terima dengan lapang hati.

2. Atas pertimbangan akal, doakan tangan saya mudah menulis untuk berkongsi hasanah. Demi kesejahteraan, husnuzonlah selalu.

3. Andai saya tersilap kata, tegur-tegurlah untuk kebaikan bersama. Barangkali, pada masa hadapan, saya ini akan menjadi saudara-mara anda... hehe.

Saturday, April 03, 2010

Melampiaskan Hajat

Tahun ini langsung tidak mendapat tandatangan mana-mana penulis. Sempat berselisih bahu dan bertentang mata dengan Dr. MAZA sahaja

Hampir seminggu PBAKL 2010 berlalu. Ini bermakna, seminggu jugalah ruang legar PWTC lengang dari acara jual beli produk PBAKL 2010. Lengang dari 'sesak badak' keluar masuk pengunjung yang terliur dengan buku. Apatah lagi yang ternanti-nanti untuk bersua muka di hadapan 'kerusi penulis'.

Alhamdulillah, menjelang hari-hari terakhir pesta berpencak, saya berkesempatan menjejakkan kaki ke sana. Berlegar-legar mencari parkir kereta sahaja sudah berjam lamanya. Sana-sini, langsung tidak memberi ruang.
Mati kutu juga dibuatnya...

Hendak bergerak di dalamnya pula bagaikan hilang selera. Kalau setakat kelancarannya macam siput tidak mengapa sangat. Lebih melampau kalau sampai ada aksi berlaga punggung. Belum lagi yang sengaja ‘tersenggol’ dada. Ya Allah, dalam hati hanya tuhan yang tahu. Rasanya, pasar malam jalan TAR pun tidak seganas itu!

Memandangkan kelam mata dan serabut kepala melayan situasi, tergocoh-gocoh saya menjalankan misi pencarian. Tidak ada istilah senggol-senggolan di mana-mana booth. Terutamanya yang ketat manusia. Ditambah pula apabila melintasi booth yang kecoh laungan berbalas-balas dengan pembesar suara. Sukar untuk saya hayati itu adalah pesta buku.

Pada booth yang tenang, aman dan damai, saya suka menyinggah dan berlengai di situ. Sekadar mencari ruang 'nafas' dan mengumpul tenaga. Sesambil 'ghalit' mengintai keghairahan warga pengunjung yang beraneka ragam, dapat juga berbasa-basi barang seminit dua.

Lega. Hajat sudah tertunai di tangan. Kali ini sekadar berpuas hati hanya dengan tiga buah buku juga sedikit cenderamata. Kalau turutkan hati, sememangnya belum puas melampiaskan hajat. Mahu sahaja merisik dan melamar lagi untuk dibawa pulang. Maklum sahajalah, hajat setahun sekali~