Thursday, July 29, 2010

Terima Kasih Saudara Halim

Wajah keikhlasan seorang 'Saladin Malaysia'. Berkata Salahuddin Al-Ayubi, "Sesiapa yang menguasai Palestin, dia menguasai dunia"...

Cepat benar masa berlalu. Saya tidak berhajat mencatat panjang. Ini sekadar tulisan santai untuk saya berkongsi satu dua perkara penting...

Diam-diam, lebih seminggu yang lalu kami telah diuliti dengan ceramah khas oleh saudara Abdul Halim Mohamed Ridzuan.
Pertama kali melihatnya, tidak ubah persis seorang ustaz.

Barangkali, anda telah sedia maklum siapa beliau. Seorang aktivis sukarelawan yang mewakili Muslim Care Malaysia. Juga salah seorang pejuang yang pernah digasak dan ditawan oleh tentera Israel semasa konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza baru-baru ini.

Bersempena sambutan Isra' dan Mikraj, pihak panitia Agama Islam SKSU tidak melepaskan peluang mengundang beliau menyampaikan ceramah di sekolah kami. Kebetulan pula, saudara Halim ini adalah orang Sungai Besar. Elok sangatlah turun 'bersuara' di kampung halaman sendiri.

Alhamdulillah, ceramah singkat pada hari tersebut cukup memberi kepuasan dan keinsafan untuk diri saya. Dari hujung dewan saya amati, warga sekolah yang lain juga turut 'melekat' sepanjang sesi ceramah. Masing-masing tidak lepas menghayati butir ceritanya yang diselangi seloroh bersahaja.

"Saya ditembak dengan peluru mati (getah). Tapi kalaulah peluru tu yang hidup, sudah tentu saya dah mati. Apa saja tak mustahil kan. Ni semua kuasa Allah SWT...", seloroh beliau menceriakan kami.

Mudah-mudahan isi ceramah beliau bersama sisipan tayangan video eksklusifnya dapat memberi pengajaran kepada kami semua. Saya amat berharap sekali, agar ia tidak hanya terkesan seminit dua. Sehari dua. Biarlah selamanya...

Bak kata nasihatnya, dunia dan akhirat tidak akan dapat disatukan. Benar sekali. Andai akhirat dipilih maka dunia juga akan diperolehi. Ibarat kita menanam padi dan rumput. Andai padi yang kita tanam, maka sekaligus padi dan rumputlah akan diperolehi. Tetapi andai rumput yang ditanam, hanya rumput sahaja yang diperolehi.

Ya, begitulah signifikannya dunia dan akhirat.
Terima kasih kepada saudara Halim kerana sudi memenuhi undangan kami~

Nota:
1.
'Suaranya' jelas memafahamkan kami keadaan sebenar dana Palestin yang telah sedia terkumpul. Teluskan sumbangan anda melalui saluran yang betul. Dikhuatiri kita hanya memenuhi kepentingan 'poket' orang tertentu. Walhal, orang ini dan proksi-proksinya saling terus tersengeh. Sedangkan rakyat Gaza siang malam terus menangis.

2. Kalau anda tidak percaya, boleh terus bertanya dengan orang kuat Permata Negara. Beliau memang gemar menyimpan duit orang lain berlama-lama. Ehem, tak gitu kak Rosmah? (Ops, kak Rosmah bukan kakak angkat saya. Kami cuma berbinti yang sama, anak Mansor)

3.
Khabarnya, misi kemanusiaan dijangka akan bergerak semula ke Gaza pada September nanti. Semoga hajat untuk membina hospital kanser di sana akan berjaya. Ayuh, teruskan menghulur sumbangan!

4. Doakan kesihatan saudara Halim bebas dari keracunan arsenik Israel. Tahniah juga kerana beliau dianugerahkan gelaran 'Wira Perpaduan' Negeri Selangor.


Monday, July 26, 2010

Kami Tidak Berzina!

"Janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk (yang membawa kerosakan)." [al-Isra': 32]

Nampaknya, tajuk entry kali ini mencuakkan. Seakan ada yang menuduh dan ada pula yang dituduh. Maaf, saya tidak berniat menuduh sesiapa berzina. Apa yang berlaku adalah lumrah di sekeliling kita. Perihal bersahaja yang dibiasakan. Perihal berat yang sengaja diringankan. Menghampiri zina..

Fikir saya, boleh jadi ia adalah perihal lupa. Elok juga kita cakna dan ingat-ingatkan. Tetapi bila isu ini dibuka, ramai juga yang takut untuk bersemuka. Saya faham. Tentu sukar untuk kita terima pada perkara sebegini. Lagi-lagi bila terkena di atas batang hidung sendiri. Betul bukan?

"Helo, helo... takkan nak berdiskusi, berbincang dan berbual-bual ilmiah pun tak boleh? Itu pun nak dikira zina juga ke?"

"Berdiskusi ilmiah ya? Kamu berdua sahaja?"

Ya, perbuatan anda cuma berselindung disebalik diskusi yang mulia semata-mata. Walhal, kerana matlamatlah akan menghasilkan seribu satu cara yang kreatif. Salah satunya berdiskusi sebagai jalan alternatif dalam menghalalkan perbuatan yang ditegah.

Kita tahu bukan, Allah suka majlis ilmu. Allah muliakan orang berilmu. Maka, jagalah batasan ini supaya ia boleh menjadi ibadat yang diredhai. Bukan ibadat yang merendahkan maruah kita sendiri. Apa lagi pada pandangan Ilahi.

Benar, sekalipun yang berdua-duaan itu adalah seorang ustaz dan ustazah. Seorang cikgu dengan pelajarnya. Seorang kakak dengan adik angkatnya. Seorang berstatus isteri dengan suami orang jua pun. Selagi bernyawa, manusia tetap bernafsu.

Hati-hati, siapa-siapa sahaja mudah terdedah pada lingkaran perzinaan. Jangan kita lupa, yang ketiga sering ada bersama. Yang ketiga selalu cuba menggoda. Yang ketiga sentiasa riang gembira untuk terus pedaya. Yang ketiga itulah mahu kita binasa.

"Tolonglah, kami tak lakukan sampai sesesat itu. Kami tahu batas-batas agama. Kami masih waras untuk membezakan yang mana satu zina, yang mana satu hina."

"Ehem, jangan-jangan kamu ini cemburu kot!"

"Alah, kami cuma bertanya khabar melalui SMS, YM dan email sahaja. Kalau berbual pun, cuma sesekali dalam telefon."

Alahai, baik sungguh kalian berdua ini. Anak siapa ya? Hehe, takkan kalian berdua tiada apa-apa perasaan? Kalau sungguh begitu, kalian berdua kurang sihat agaknya? Sekalipun tanpa bersua muka, mustahil perasaan kalian tidak bergelora.

Saya cuma mahu mengingatkan sahaja. Kita ini bukan malaikat, tidak bernafsu. Kita ini cucu cicit Adam dan Hawa yang pernah kecundang. Lupakah kalian akan iktibar peristiwa buah khuldi di dalam syurga?

Begitu juga halnya dengan zina.
Kita digesa supaya jangan menghampiri zina. Sudah pasti bersebab kenapa menghampiri itu besar padahnya. Tidak perlulah kalian menafikan fitrah manusia. Kita ada nafsu, ada keinginan. Itulah kita, manusia biasa.

Benarkah kalian tahu membezakan zina? Sungguh?

Baiklah, apa yang saya tahu, zina ini ada bermacam-macam jenis dan peringkatnya. Ada zina betul. Zina 'berat' yang kalian faham itu. Bila habis madu, sepah dibuang. Untung sabut timbul, untung 'terlanjur' berisi.

Ada juga zina kategori 'ringan' dan tidak perasan. Boleh pula ada zina tidak perasan? Yang ini habis apa ya? Zina ini habis waktu, nafsu tidak habis-habis bergejolak. Sehingalah kita berjaya kepada gred zina betul.

Ya, zina inilah kerap berlaku di kalangan kita. Barangkali ada yang sedar atau pura-pura tidak sedar. Atau memang benar tidak perasan. Zina ini adalah zina tangan iaitu menaip ayat-ayat merangsang cinta kepada pasangannya. Kalau di luar, boleh sampai ke tahap bersentuhan tangan.

Zina mata iaitu melihat pasangannya dengan perasaan berahi. Begitulah juga melihat auratnya adalah dikira zina mata. Zina mulut pula iaitu dengan luahan perasaan. Pujuk memujuk ke arah cumbu-cumbuan. Ada satu lagi zina iaitu zina hati. Belum sah bernikah, sudah berkhayal dengan berahi bersama pasangannya.

Alangkah jelasnya sabda Rasulullah SAW, "Kedua-dua tangan juga berzina dan zinanya adalah menyentuh. Kedua-dua belah kaki juga berzina dan zinanya adalah berjalan (menuju ke tempat pertemuan). Mulut juga berzina dan zinanya ialah bercumbuan." [HR Muslim dan Abu Daud]

Sebenarnya jalan, lorong dan pintu menuju kepada perzinaan amat banyak. Tutuplah dengan rapat mana-mana pintu atau jalan yang boleh membawa kepada perzinaan. Saya juga takut seandainya saya sendiri telah dan sedang terjerumus ke arah itu.

Nau'zubilla, masih belum terlambat untuk kita berkata tulus, "Kami tidak berzina. Ya Allah bantulah kami. Kami tidak mahu berzina. Kini kami datang ke pintu-Mu mencari redha-Mu. Terimalah taubat kami"~

Nota:
1. Gambar di atas sekadar hiasan. Kredit untuk Timah dan Goh. Mereka selalu berpeluang berdua-duan. Risau juga cikgu kamu ini!

2. InsyaAllah, entry seterusnya bakal disambung dengan 'Aku Mahu Sesuatu Itu'.


Friday, July 09, 2010

Terkurang Zikir Atau Tidak Mahu Berfikir?

"Dan jika kamu menuruti kebanyakan (majoriti) orang-orang yang di muka
bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan diri kamu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanya mengikuti persangkaan belaka dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah)." [al-An'am: 116]

Anda pernah 'menciplak' berita? Berita bagaimanakah yang berjaya menarik minat anda? Berapa ramaikah orang di sekeliling anda yang turut obsesi serupa anda? Obsesi sehingga terbentuk koloni yang akan mengeksploitasi dan membugar apa sahaja bentuk berita. Lagi dibugar, lagi agam ceria.

Islam itu indah bukan? Tetapi, beginikah cara Islam itu diindahkan? Tidak mengapa. Saya yakin, anda sudah cukup 'ranum' untuk berfikiran sewajarnya.

Namun, saya tetap mahu menulis. Saya mahu mengingatkan diri saya sendiri dan juga anda agar menjauhi diri dari 'menciplak' sebarang bentuk berita. Berita yang diikhtisarkan dari mulut ke mulut itu adakalanya beradun 'perasa tiruan'. Adakalanya, sengaja dicemari 'racun perosak'. Sedikit demi sedikit, ia bersifat 'musta'mal'.

Bukankah kesucian dan kebenarannya sudah diragui?

Berita sebeginilah berisiko memudharatkan diri kita sendiri. Pemilik telinga yang mendengar dan pemilik mulut yang mengusung berita. Dengan kuasa hati, mulut kita tidak ubah seperti hikayat 'kotak pandora'. Kotak penyebar fitnah dan kecelaruan.

Jika kita ingin menyadur berita sekalipun, adalah lebih elok yakini dahulu sumber rujukan. Pastikan susur galur datangnya berita tersebut. Sekecil mana sebaran berita itu, kesahihannya sangat penting. Jika tidak, kita tergolong di kalangan pembawa berita fasik.

Ini bermakna, kita bukan sahaja ditipu dan tertipu. Malah, dengan sengaja kita sudah mengheret diri sebagai seorang pendusta. Pendusta yang telah mengambil hak orang lain. Hak orang yang dianiaya. Tentu kita sedia tahu bahawa, doa orang-orang teraniaya itu dimakbulkan Allah.

Begitulah dunia...

Kita megah melihat dunia yang semakin terbuka. Tetapi sayangnya, langit Ilahi semakin dilupa. Lupa bahawa ada kuasa yang sentiasa berjaga.
Allah itu Maha Satu, bukan dua atau tiga. Hari ini kita asyik menyambung dosa. Hari esok jangan pula kita merengus kenapa anak-anak atau anak murid kita tempias bahana. Degil dan sukar mendengar kata.

Saya tidak hairan jika ramai yang ada agama tetapi tidak beragama. Apalah sangat mulia bersongkok dan segak berkerudung kepala. Ia tidak lebih hanya sebagai hiasan mata semata. Ilmu penuh di dada, sematnya cuma propaganda. Sungguh, semuanya tidak berguna.

Ya, mungkin kerana itu ramai orang bijak berdusta. Tetapi hubaya-hubaya kalau hati semakin rosak tercela.
Sikit-sikit, lama-lama bawa binasa. Maka, berhati-hatilah jika kita gemar menjadi penerima berita yang teruja untuk menjajanya pula.

Sepatutnya s
abda Rasulullah s.a.w. yang kita perlu jaja, “Sampaikanlah daripadaku walau sepotong ayat.” Tetapi, entah dimana silapnya kita. Ayat-ayat lain pula yang kita gigih untuk sampai menyampai.

"Sesungguhnya diantara perkara yang difahami oleh manusia daripada pesanan sekalian Nabi ialah, jika kamu tiada rasa malu, buatlah apa sahaja yang engkau mahu." [Hadith al-Bukhari: 32224]

Saya senyum terfikir-fikir. Adakah saya juga sering melupai langit Ilahi? Terkurang zikirkah? Atau tidak mahu berfikirkah?
Wallahu'alam~

Nota:
1. Saya lebih gemar menyoal dengan soalan biasa-biasa bersifat 'telanjang'. Soalan sebegini selalunya telus dan jujur. InsyaAllah, ia boleh membantu saya akan kesahihannya.

2. Misalnya, bukti gelas pecah ada di depan anda.
Contoh soalan 'telanjang' saya, "Dari mana anda mengetahui si fulan telah memecahkan gelas? "Dimana dan siapa yang nampak?" "Benarkah gelas itu dipecahkan kerana angkara mengamuk?"...

3.
"Dan janganlah kamu mengikut apa yang kamu tidak ketahui, sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya akan ditanya apa yang dilakukan." [al-Isra: 36]

Thursday, July 01, 2010

Habuan Cinta

Kerana cinta kita, dahiku rela bertanda...

Kesian. Pemuda mulus ini telah menerima padah angkara berang makwe 'syok sendiri' nya. Pernah beberapa kali, saya terserempak dengan cerita-cerita Amir mengenai teman nurserynya ini. Nina, Nina dan Nina...

Menurut sumber, Amir dikatakan masih dalam keadaan trauma setelah ditolak oleh Nina semasa pertelingkahan mereka. Pertelingkahan kecil yang menyumbang 'habuan cinta' sebanyak lima jahitan di sebelah kanan dahinya.


Barangkali, Amir belum memahami bahawa cinta seorang wanita adalah sejenis emosi.
Bagaimanapun, masih terlalu awal baginya merancang masa depan kerana Amir dan Nina dalam proses untuk mengenali hati budi masing-masing.

Alahai Amir, Angah tumpang simpati! Hehe, tetapi sebenarnya, terasa geli hati...

Betul. Tidak mudah memahami jiwa anak-anak sekarang. Anak-anak yang belum mumayyiz dan akil baligh. Anak-anak yang masih selembut rebung. Pada tahap ini, jiwa mereka mudah dilentur dan senang dipengaruhi.

Ibubapa juga seharusnya memberi respond yang tepat kepada salah laku dan cara fikir anak-anak. Tengkingan dan leteran hanya akan meletihkan pada yang memberi dan yang mendengar.


Mudah-mudahan, anak-anak seperti Amir akan membesar sebagai manusia yang harmonis dan seimbang. Baik pada ibadah, akhlak dan pekerti
. Ameen Ya Rabbal'alamin~

Nota: Amir pernah menggelarkan dirinya Aidil, watak pemuda alim dalam drama bersiri Nur Kasih. Tetapi sayangnya, Amir lebih tertarik dengan rancangan realiti Akademi Fantasia berbanding Imam Muda.
Aduh!