Wednesday, March 30, 2011

Solusi: Betapa 'Azimnya NikmatMu

"Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan lepaskan ia dari masalah hidup dan diberikannya rezeki dari sumber yang tidak diduga. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu." [ath-Thalaq: 2-3]

Dalam hidup kita, berfikir dan bermuhasabah sangat diperlukan. Kedua-dua proses ini merupakan salah satu tugas utama setiap mukmin yang berakal. Setiap mukmin yang benar-benar mahu beriman kepada Allah SWT.

Dengan berfikir dan bermuhasabah, kesejahteraan hidup kita juga mudah dicapai. Malah, ia dapat menjana minda optimistik dan membina kesan positif terhadap sesuatu perkara.

Namun, tidak semua kesannya muluk-muluk sahaja. Adakalanya, semakin jauh kita berfikir dan bermuhasabah, semakin sulitnya mencari natijah. Kita sukar menemui titik-titik jawapan. Hati kita terus-terusan diselubungi khilaf.

Ya, kita keliru.
Buntu. Dan bercelaru. Selalunya dalam membuat pilihan dan keputusan.

Itu sebabnya, kekadang timbul persoalan mengapa kunci telah tersedia di depan mata, tetapi solusinya tidak juga berkunjung tiba. Kita berkeluh-kesah tidak sudah-sudah.

Seelok-eloknya ubah cara berfikir dan bermuhasabah.

Di sinilah peri pentingnya
takwa dan tawakal. Maka, bagi yang setia beramal dan beriman dengan 'ayat 1000 dinar' di atas tentu lebih mudah untuk memahami dan merasai akan fadhilatnya.

Teruskan. Bertakwa dan bertawakallah bersungguh-sungguh kepada-Nya.

Janji Allah bukan omongan kosong. Bukan sia-sia...

Oleh yang demikian, kita kena yakin dan percaya bahawa Allah merancang dengan penuh rahsia. Dan apabila sampai masanya,
Allah akan beri nikmat-Nya juga. Nikmat yang kita tidak terjangkakan.

Barangkali saat itu, desis hati kita pasti berbunga-bunga merafakkan syukur.

"Ya Tuhanku, bagaimana harus aku percaya semua ini? Betapa 'azimnya nikmat yang Engkau berikan!"

Alhamdulillah. Akhirnya, segala persoalan kita terjawab jua bukan?

InsyaAllah, selagi kita bertakwa dan bertawakal, pasti Allah akan ketemukan kita pada kemuncak solusi yang telah ditentukan-Nya~


Nota: Selalunya saya beroleh idea dan bersemangat baru sejurus meratah buku. Tetapi terasa perlahan dan sambil lewanya saya menghadam ilmu. Entahlah. Lambat atau cermat wallahu'alam!

Tuesday, March 22, 2011

Adik-Adikku, InsyaAllah Boleh!

"Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang bertujuan menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan." [al-Luqman: 6]

Setelah berpetang-petang siarannya, malam tadi, tamam sudah acara kemuncak rancangan Adik-Adikku Musim Ke-2. Senyap-senyap ada yang setia mengikuti perjalanan rancangan ini sedari awal kemunculannya lagi. Tidak kurang, ada juga yang langsung tidak sedar serta 'memandang sebelah mata' akan kehadiran adik-adik petah di saluran 1.

Tidak mengapa.

Mereka ada pilihan hati mereka sendiri.

Kalian ada pilihan hati kalian sendiri.

Dan saya juga ada pilihan hati saya sendiri.

Bagi saya, rancangan ini boleh diklasifikasikan sebagai warna-warni hiburan yang mampu mendidik jiwa. Sebuah rancangan TV yang mendorong pengisian minda. Dan semestinya sebuah program realiti yang menyediakan tapak akademi kepada penda'ie-penda'ie muda.


Tahniah!

Terutamanya kepada pihak JAKIM dan RTM yang sudi menjadi penerbit bersama. Tidak dilupa, penaja-penaja hadiah berfaedah yang bermurah hati menaja. Lebih-lebih lagi, mabruk'alaikum kepada para murabbi yang beridea dalam mengetengahkan bakat-bakat cilik kita.


Sungguh tidak dinafikan, kesemua finalis rancangan ini telah berjaya 'menyihir' penonton dengan pelbagai teknik persembahan yang sangat berbakat. Bahkan, aksi mereka dilihat konsisten serta memikat. Isi penyampaian juga diadun dengan baik supaya bijak menasihat walaupun adakalanya sedikit menyengat.

Pasti sekali, ramai yang memuji-muji program kerohanian ini. Ya, terbaik. Hebat dan wajar diteruskan lagi.


Setuju!

Saya sendiri memang terasa puas dengan sajian ampuh sebegini. Berbanding lambakan program realiti lain yang entah apa-apa mengarutnya. Sudahlah 'tidak sihat', membazir dan melalaikan masyarakat.

Berbalik kepada pentas akhir realiti 'Adik-Adikku', cuma pada malam tadi saya agak kepelikkan. Ralat dan masih lagi tertanya-tanya kerelevanan lagu nyanyian Siti.

Macam 'lari tajuk' pulak!

Entah kenapa pada musim ini, pihak penganjur menampilkan 'mereka' dalam rancangan sebegini.

Perlu sangatkah?

Aha, tapi kenapa ya?

Adakah kerana yang seorang itu tersohor nombor satu Malaysia. Dan yang seorang lagi itu ikon jelitawan Permata Negara? Bukankah 'mereka' selayaknya angun bergaya segelamor biasa? Dan tidak hipokrisi sebagaimana 'mereka' berpenampilan di pentas anugerah popular lain?

Sungguh. Jujur saya katakan, 'mereka' terbabit telah menjadikan pentas akhir rancangan bercorak Islami ini agak jengkel dan 'kurang kena' kesesuaiannya. Sedikit sebanyak kehadiran 'mereka' yang tidak diperlukan ini boleh mengecewakan mood peminat 'Adik-Adikku'.

Bukan apa. Persepsi orang yang melihat kita banyak bergantung kepada cara kita berpakaian. Bukankah ia menjadi aib jika kita mempersendakan bab tudung kepala sendiri? Bahkan, ia boleh menimbulkan fitnah kepada Islam.

Sudahnya, buat mata-mata yang menonton sedap mengata sahaja.

Diharapkan untuk musim mendatang, pihak penganjur dapat menapis dan menyesuaikan para jemputan yang lebih terpilih akhlak teladannya. Biar aura dan seri rancangan ini tidak 'selekeh' dek yang bernama 'Dato dan Seri'.

Tambahan pula ini rancangan berjenama Islamik. Dikhaskan untuk anak-anak yang masih rebung. Risau juga kalau-kalau pemikiran mereka bercampur-baur dan keliru. Maklum sahaja, ini bukan pentas akademi sebagaimana pentas 'rebung' Idola Kecil atau Tom-Tom Bak beraksi.

Apa pun, tahniah sekali lagi untuk rancangan sebagus ini.

Sama-samalah kita mengislahkan diri.

Adik-Adikku, insyaAllah boleh!


Nota: Nantikan pula rancangan abang-abang dan kakakku di pentas final AQ Musim Ke-5!

Friday, March 04, 2011

Sempena 4 Mac Ini

"Dan orang-orang yang mendapat petunjuk (hidayah), Allah akan menambah petunjuk kepada mereka dan menganugerahi ketakwaan mereka." [Muhammad: 17]

Sempena 4 Mac Ini

Saat
diri merasa cukup dengan segala nikmat pemberian

Saat diri melafaz syukur atas segala penganugerahan

Sungguh dalam diam, tiada malu mengharapkan

Sinar hidayah yang bernilai syurga

Selagi mana berbaki usia dan berhembus nyawa

Sebagai hamba-Nya...

Izzahnm @ Izzah al-Maliziyyah
29 Rabiul Awal 1432H
~Big River, Darul Ehsan~


Nota: Jazakumullah khairan kathira atas ucapan doa dan iringan hadiah kalian bersempena 'hari kedewasaan' ini.