Friday, May 20, 2011

Sesungguhnya Kami Sangat Memerlukan

Maka dia (Musa) memberi minuman (ternak) kedua perempuan itu,
kemudian dia kembali ke tempat yang teduh lalu berdoa, "Ya Tuhanku, sesungguhnya aku sangat memerlukan sesuatu kebaikan (makanan) yang Engkau turunkan kepadaku." [al-Qasas: 24]


Tatkala kita yakin akan sesuatu yang baik bagi kita, ia belum tentu molek dipengetahuan-Nya.
Begitu juga halnya akan sesuatu yang buruk bagi kita, ia belum tentu jelek dalam ilmu-Nya. Dan sesuatu yang kita rasa terlalu susah di bahu kita, ia tersangatlah mudah bagi kekuasaan-Nya.

"Ya Allah, andai itu ketentuan untuk kami, redhakanlah hati-hati kami. Andai itu suratan untuk kami, permudahkanlah urusan-urusan kami. Sesungguhnya kami juga sangat memerlukan sesuatu kebaikan menurut pandangan-Mu, sebagaimana termakbulnya kebaikan ke atas doa Nabi Musa a.s."

InsyaAllah, moga ada kebaikan berterusan sepanjang jalan kita menuju ke sana. Baik sedari awal, pertengahan dan penghujungnya dengan sentiasa mendahului-Nya.

Ameen Ya Rabbal A'lameen~

Sunday, May 15, 2011

Berbaloikah Semua Ini?

"Agar kamu tidak bersedih hati terhadap apa yang luput dari kamu,
dan tidak pula terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu.
Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong dan membanggakan diri." [al-Hadid: 23]

Berdiri di penjuru kelas yang kadang-kala tertanya-tanya juga di dalam hati kecil.

"Ya Allah, berbaloikah semua ini?"

Masih saya ingat sewaktu saya belum menjadi guru.


Biarlah saya memberitahu dengan jujurnya.

Ya, saya kurang berminat untuk menjadi guru. Semenjak dari kecil lagi, menjadi guru bukanlah kerjaya yang diidam-idamkan. Saya sering merendah diri dengan mencipta 1001 alasan. Saya sering mengarahkan diri untuk lebih berusaha bagi mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian jurusan.

Sebenarnya, di awal graduasi dulu, saya pernah merasai nikmat seketika sebagai Guru Sandaran Tidak Terlatih di tiga buah sekolah sekitar Perlis. Pada masa itu, sebolehnya saya berniat dan berharap supaya saya tidak terjebak lama sebagai guru sekolah. Apatah lagi menambahkan bilangan guru Pendidikan Khas di dalam ahli keluarga saya.


Entahlah. Saya masih ingat semua itu. Betapa nakalnya saya apabila cuba meloloskan diri untuk tidak kesampaian menjadi guru tetap dan berpencen seperti sekarang. Ditambah pula dengan kesungguhan dan keikhlasan saya ketika itu masih di tahap berkira-kira. Dan akhirnya...

Alhamdulillah. Hari ini, tentu sekali saya sudah tidak jenuh lagi untuk membayangkan rona rasa keterujaan menjelangnya hari esok. Meraikan sambutan istimewa saban tahun. Sambutan yang diadakan dipelbagai peringkat demi menghargai para guru di Malaysia.

Kesekian kalinya bakal menerima ucapan-ucapan lunak beriringan doa. Kesekian kalinya bakal menerima hadiah dengan tema yang silih berganti. Kesekian kalinya akan bersemangat mengalunkan lagu Guru Malaysia dan kesekian kalinya akan diceriakan dengan pelbagai aturcara lain.

Sungguh. Sedikit demi sedikit saya semakin redha dan bersyukur. Inilah yang dikatakan 'campur tangan' daripada Allah. Dia yang membolak-balikkan perasaan hamba-Nya. Dia yang Maha Mengatur betapa tiada siapa pun boleh menolak takdir.


Saat ini saya sedar saya sudah menjadi seorang guru. Bukan lagi kakitangan di sana dan di situ. Bergaul dengan para doktor, resercher, pegawai dan esekutif agama. Tiada lagi istilah meja dan bilik kerja berhawa dingin. Tiada lagi istilah pergi awal pagi dan balik lewat petang.

Hari ini, 7.30 pagi hingga 1.20 tengahari, dunia saya lebihnya di persekitaran sekolah. Bersama murid-murid Pendidikan Khas Bermasalah Pendengaran. Semestinya, mereka adalah sebahagian dari juzuk-juzuk kebahagian saya.

Dan saya selalu bermohon agar tiada sebarang penyesalan terbit dari mulut dan hati saya ini kenapa kerjaya guru Pendidikan Khas yang Kau takdirkan untukku.

Namun begitu, duduk di penjuru kelas, lintasan persoalan yang sama akan muncul kembali. Berulang-kali mengenangkan pilihan dan takdir Ilahi ini.

"Masih berbaloikah lagi?"

Jawapannya sudah pasti.

Hanya Dia yang membolak-balikkan perasaan hamba-Nya. Dia yang Maha Mengatur betapa tiada siapa pun boleh menolak takdir. InsyaAllah masih berbaloi. Dan terus berbaloi hingga entah bila
ditakdirkan-Nya.

Buat semua yang mengajar dan mendidik insan, baik di sekolah atau di mana-mana... Selamat Hari Guru~

Nota: Ramai yang mudah meneka-neka saya seorang guru. Dan ramai juga menyangka-nyangka bahawa saya ini seorang pelajar yang masih di bangku sekolah.

Sunday, May 08, 2011

Buat Yang Menulis

Terima kasih buat Pak Latip untuk titipan naskah Sultan Muhammad Al-Fateh; Penakluk Konstantinopel...

Dan jazakallahu khairan juga buat Mas A. Fuandi yang sudi meninta di halaman Negeri 5 Menara saya. InsyaAllah, akan turut mendapatkan Ranah 3 Warna serta pelengkap Trilogi seterusnya. Barangkali '1' apa ya?

Nota:
1. Tiba-tiba mengapung indera ketika sesi duduk dan dengar yang lalu. Teringat slot bicara bersama novelis Ahmad Fuandi.

2. Sedang menanti naskah TDK 1000 Menara. Terima kasih kepada juri dan penulis kerana sudi terpikat dengan skrip pandangan saya.
Alhamdulillah. Haza min Fadhli Rabbi.

3. Mahu bersabar agar 'ndak mandek' di tengah jalan untuk bergerak bersama penulisan-penulisan yang sarat muatan Islami itu.