Friday, March 05, 2010

Enigma Antara Milo Dan Ubat

Hidup ini tidak selamanya mulus. Selesai satu musibah, menyusur lagi musibah lain menghampiri kita

Dua tiga hari ini saya terujakan sesuatu. Air minuman yang enak dan lazat. Barangkali pernah menjadi minuman kegemaran anda juga. Sejak dewasa sehingga bertambah dewasa ini, saya jarang sekali menikmatinya. Ada pilihan lain yang lebih dekat di hati. Cuma sedari kecil lagi, air ini menjadi 'minuman kegeringan' saya. Ketika itu sahaja, kepingin saya membuak-buak.


Entah mengapa, air milo yang diidam-idamkan. Barangkali milo ini sinonim dengan kanak-kanak. Semasa sakit, saya seperti keanak-anakkan. Terawang-awang di fikiran saya membayangkan milo, milo dan milo...

Secawan air milo yang dingin. Lemak bersusu dengan adunan coklat dan malt. Apatah lagi kalau dapat menyedut air milo kotak berkulit hijau itu. Aduh! Rasanya pekat menyentap. Lain benar berbanding bancuhan milo di rumah.

Semalam dan hari ini...

Keluarga sering memonitor keadaan saya di sini. Dari kejauhan, mereka seakan kaget. Prihatin dengan keuzuran yang saya hadapi. Pandai-pandai saya sembunyikan rasa sebak dan sebu di hati ini. Tetapi mereka masih sempat berseloroh dengan ucapan istimewa.

Tidak lupa juga pada
sahabat-sahabat yang mengirimkan SMS. Terima kasih kerana masih sudi seperti tahun-tahun lalu. Dalam lemah-lemah, saya menatap screen handset. Hanya mampu menguntum senyum. Kalau pun berbalas, mungkin agak lewat dan sekadarnya. Moga doa kalian itu bisa menjadi penawar kepada musibah kesihatan saya.

Hampir tiga hari saya lemah di pembaringan. Bertemankan baju panas, pagi, petang dan malam hanya dibuai sindrom tidur yang bersangatan. Saya kira, inilah siri tidur yang paling panjang selama hayat saya dikandung badan.

Sesekali terjaga, saya teringatkan anak-anak kenit di sekolah. Sesekali tersedar, ingatan saya meracau pula pada air milo dan racauan lain. Kebetulan perut saya kekosongan. Sudah beberapa hari tiada selera makan.
Dalam keuzuran ini juga saya masih mencari sesuatu yang bernama bahagia.

Bahagia itu ada. Tidak ketemunya kerana tidak mahu mencari. Bahagia itu ada. Tidak berjumpanya kerana tidak cuba merasa. Pastinya milo dan bukannya ubat! Tentu kak Basimah akan tersengeh dengan madah ini. Madah orang sakit yang baru dapat menyedut air milo. Nikmat sekejap.


Pada yang bertanya, apa menu special sempena hari istimewa? Jawapannya, milo dan ubat. Kedua-duanya meloyakan tekak. Saya enigma. Tetapi inilah rahsia ketika saya beruzlah sendirian di rumah. Wekk!~

5 comments:

imannuha said...

Assalamuaalaikum izzah!!!
kesiannnnnnn..sakit ye!hahaha..memang akak tersengih ni baca madah izzah tentang bahagia tu!!!
Semoga cepat sembuh!!!minum le milo tu banyak-banyak ye.....

Ibnu Ali said...

Assalamualaikum.

Beruntung bagi mereka yang merasai sakit. Kerana zakit ini anugerah Allah dan bermacam rukhsah pula Allah beri.

Abgbent said...

Salamelekom,wbt adikku Izzah yang dikasihi kerana DIA.

Abg doakan semoga segera sembuh dan dapat melaksanakan segala perkara dengan sebaiknya.

Antara Milo dan Ubat, kedua-duanya abg tak seberapa suka sebab abg lebih menggemari nescafe 3 dalam 1 yang berlabel "mild" pada bungkusannya. Dibalut memanjang berwarna coklat tetapi berperisa kopi. Oppssss... pehal pula abg bercerita pasal minuman nescafe 3 dalam 1 ni? :)

Lebih baik abg doakan sahaja kesihatan untuk adikku Izzah yang pandai bermadah, penyejuk mata menyegarkan minda bila menelaah karyanya yang cukup istimewa.

Moga-moga adikku kelak berwajah ceria semula, InsyaAllah.

Izzah Al-Maliziyyah said...

To imannuha..Alaikumsalam WBT. Alhamdulillah dah puas kak~

To Ibnu Ali..Alaikumsalam WBT. Salah satu rukhsahnya, saya dapat MC selama 2 hari. Nikmat~

To Abgbent..Alaikumsalam WBT. Alhamdulillah semakin ceria dengan Nescafe 3 in 1 regular berbungkus merah. Dikacau pula dengan sedikit susu Nespray.

Sekarang ini, teringin benar hendak melata ke luar. Sudah lama tidak menjengguk alam~

powerpuffpuziah said...

Salam buatmu yang ku panggil teman, mungkin ini antara jenguk dan risik khabar yang tak berapa gembira dikau menerimanya, tp demi ikhlas dan nilai persahabatan , ku titipkan doa agar kau sembuh segera dan telah dapat rehat yang telah mengubah jisim dan jati diri kepada lebih baik lagi, .. milo cicah roti sodap gak..