Friday, January 29, 2010

Hitam Manis, Pandang Tak Jemu

"Sesungguhnya Kami menciptakan manusia berada dalam susah payah." [al-Balad: 4]
Menghadapi hari-hari kerajinan unit-unit utama sekolah mengadakan mesyuarat dan gerakerja awal sudah menjadi kebiasaan kami. Lali benar untuk duduk berjam-jam dalam Bilik Gerakan. Pagi petang setia di sekolah. Pernah sekali, tugasan lanjut membawa ke malam.

Barangkali inilah fenomena bulan pertama. Bulan menerima dan menyusun tugas. Terima sebab tidak sampai hati menolak. Barangkali, inilah profesionalisme keguruan. Sudah siap terima, dikumpul dan disusun pula. Susun sebab belum sempat mengadap. Barangkali, mahu mendahulukan yang perlu. Semuanya barangkali!

Sabtu dan Ahad saya hadam sebaiknya. Saya kira, peluang beriadah di hujung minggu sebagai bonus besar. Paling tidak, hujung minggu memberi satu bentuk kesegaran baru. Sekurang-kurangnya, oksigen yang disedut ini dapat juga meneutralkan segala bentuk keserabutan sepanjang hari bekerja.

Orang kata, tidak sempurna hidup kalau tiada nikmat sibuk!
Pun begitu, hujung minggu berturut-turut ini saya 'bantutkan' masa bersantai di rumah. Saya mencuri kesempatan membawa keluarga keluar beriadah. Kami rehlah melewati kota dan mengamati alam yang terbentang luas. Biarkan segalanya mencicip keagungan ciptaan Allah SWT. Saya mahu mencari bahagia, berfikir dan mentadabburi ayat 191 dalam surah Ali-Imran.

Fikir saya, sepetang pun jadilah. Sudah 3 minggu mereka menjadi tetamu istimewa. Tetamu tidak elok diabaikan. Selagi termampu, tetamu punya hak dimuliakan. Mereka dan tugas harus dihadap sama adil.
Dua kali Sabtu lepas, saya cuma beridea untuk riadah di kawasan berhampiran tempat tinggal sahaja. Tidaklah hampir mana pun. Kurang lebih 45 minit juga perjalanan menuju ke Kuala Selangor. Apalah sangat masa sebanyak itu. Asal kualitinya dimanfaat bersama keluarga.
Sejujurnya, saya gemar menyinggah bukit di situ. Bukit yang mempunyai pelbagai tinggalan sejarah. Menarik! Bukit yang puncaknya dapat melepaskan sesaujana pandangan. Itulah Bukit Melawati. Cukup strategik kerana mengadap laut Selat Melaka, Sumatra, Indonesia.
Di atas sana, terdapat ratusan si hitam manis setia menanti kunjungan. Kemeriahan bukit yang pernah ditakluki Belanda itu tidak pernah surut. Barangkali inilah penangan 'si dia'. Sungguh pun hitam, tetapi manis dipandang.
Malah, penghuni tetap Bukit Melawati ini mesra pengunjung. Walau ada yang takut, hati masih terhibur.
Kaum kerabat lotong di atas Bukit Melawati memang sporting. Tetapi seb
agai pengunjung, kita perlu lebih bersikap sporting. Murahkan hati memberi makanan. Saya sudah biasa dengan gelagat mereka. Sampaikan ada dua tiga ekor yang melompat dan berpaut di bahu. Faham-faham sahajalah. Namanya pun binatang. Moga tidak ada yang serik dengan karenah dan haruman hapak si hitam manis itu.
Kalau anda melewati Kuala Selangor, jemputlah singgah berlibur. Bayaran tiket
train cuma serendah RM2 sahaja. Pada hemat saya, bayaran yang dikenakan ini sangat murah. Anda bukan sahaja dibawa bersua muka dengan si hitam manis, malah akan dibawa mengelilingi sekitar bukit juga. InsyaAllah, sekali datang akan tersemat seribu ingatan~

Geng lepak Bukit Melawati ini adalah sebahagian daripada ciptaan yang melata di muka bumi Allah SWT

Saturday, January 23, 2010

Selesai Terawat

Karya orang kita patut contohi karya sebegini. Islamik luar dalam

Alhamdulillah, akhirnya 'demam' yang ditinggalkan dalam KCB selesai 'dirawat'. Satu kelegaan apabila kesinambungan yang ditunggu-tunggu tidak menghampakan. Plot-plotnya nampak lebih menarik dan mengharukan. Minggu lepas lagi saya siap menonton KCB2. Cuma agak lewat berkongsi komen peribadi. Terima kasih pada sahabat yang sudi mengirimkan cerita ini melalui email saya.

Jujurnya,
saya bukanlah 'kaki filem'. Apatah lagi filem-filem barat. Saya cuma mengharapkan lebih banyak karya sebegini. Karya yang punya magnet dalam mendidik jiwa. Bergenre islamik yang selayaknya diangkat sebagai contoh. Contoh islamik yang bukan ala kadar. Tidak hanya tangkap muat sahaja. Buat penonton berburuk sangka. Kritikan ini yang sering didengari. Kalau hendak karya itu betul-betul islamik, biarlah 'cukup perisa' islamik yang dibenarkan. Hendak khatam berkali-kali pun, pasti tidak rugi.

Saya kira, untuk menjadi pengkritik filem, saya bukanlah orang yang selayaknya. Tiada bakat untuk menganalisis secara terperinci. Apa yang dapat saya lihat, filem KCB sangat menjaga sentuhan fizikal antara lelaki dan perempuan. Cerita ini mempunyai standard cinta Islam. Cinta sejati yang harus dicari dan dimiliki. Jodoh pertemuan semuanya ketentuan Dia. InsyaAllah, sesulit mana pun, ia pasti berlaku atas nama jodoh yang sudah tertulis.


OST untuk KCB2 juga tidak kurang sedap dan sesuai sebagai halwa telinga. Sama membantu dalam memberi nafas kepada KCB2. Saya benar-benar suka dengan lirik dan iramanya.


Tahniah kepada KCB. Jika saya diberi peluang, teringin juga hendak bersama team produksi ini. Jadi tukang bancuh air kopi pun jadilah. Asalkan dapat bertemu watak Abdullah Khairul Azzam. Hehe... penasaran saya ini sekadar gurauan sahaja. Mana yang baik ambil sebagai teladan. Mana yang buruk tinggalkan sebagai sempadan. Sesiapa yang masih demam KCB, rawatlah segera~

Tuesday, January 19, 2010

Cerita Lama Dimurnikan Kembali

"Dan boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu." [al-Baqarah: 216]

Al-kisah cerita lama dimurnikan kembali. Inilah sejarah pertama kanvas MyHumairaKu menukar tiga 'hidangan' posting berlainan di atas 'meja' entry yang sama. Pada pengunjung yang menyedarinya, abaikan sahaja persoalan anda. Saya mohon maaf atas kesulitan yang tidak disengajakan.


Sepanjang dua minggu persekolahan 2010 berlalu, saya kira ada sesuatu yang baru dalam perjalanan hidup ini. Kunjungan kerja yang semakin bersusun sukar ditolak. Apatah lagi kehadiran peristiwa yang silih berganti. Semacam mimpi sahaja. Hakikatnya bukan kebetulan. Tetapi ketentuan untuk mewarnai ambang 2010 saya. Sudah pasti, tiada yang sia-sia, melainkan ada hikmah-Nya kan? Saya fikir, terima sahaja dengan senyuman, beri juga dengan senyuman. Mudah-mudahan yang digalas itu terasa ringan tidak terbeban. InsyaAllah...

Tahun ini...

Saya melihat rata-rata rakan blogger rajin betul menukar templete di blog masing-masing. Makanya, berkat sedikit cemburu, kanvas saya juga berjaya membuahkan perubahan. Keinginan ini telah lama tersemat. Akhirnya kerja-kerja menukar 'wajah' mampu dilakukan sedikit demi sedikit. Seronok juga belajar 'mengodek' blog. Biarpun peluang mengadap cuma di celah-celah kesibukkan. Nampaknya, banyak lagi 'term-term xml' yang teringin saya tahu dan tanya pada kawan-kawan. Diharap, tolong bersedia untuk sudi berkongsi ilmu. Hehe...

Bulan ini...

Ramai sungguh sahabat saya yang menyambut ulangtahun kelahiran. Meriah betul. 'Sannah Helwah' buat semua sahabat yang dirindui. Hendak mengucap satu persatu, takut pula langsung terlupa. Moga kalian sentiasa dalam keredhaan Allah SWT. Tidak ketinggalan, sekalung takziah bersama butiran doa buat sahabat yang telah 'jauh pergi' menemui Ilahi... Ustaz Hidayatus Saufi. Terakhir kelibatnya pergi bersama status 'kita bertemu di penghujung rindu'. Al-Fatihah~