Friday, January 29, 2010

Hitam Manis, Pandang Tak Jemu

"Sesungguhnya Kami menciptakan manusia berada dalam susah payah." [al-Balad: 4]
Menghadapi hari-hari kerajinan unit-unit utama sekolah mengadakan mesyuarat dan gerakerja awal sudah menjadi kebiasaan kami. Lali benar untuk duduk berjam-jam dalam Bilik Gerakan. Pagi petang setia di sekolah. Pernah sekali, tugasan lanjut membawa ke malam.

Barangkali inilah fenomena bulan pertama. Bulan menerima dan menyusun tugas. Terima sebab tidak sampai hati menolak. Barangkali, inilah profesionalisme keguruan. Sudah siap terima, dikumpul dan disusun pula. Susun sebab belum sempat mengadap. Barangkali, mahu mendahulukan yang perlu. Semuanya barangkali!

Sabtu dan Ahad saya hadam sebaiknya. Saya kira, peluang beriadah di hujung minggu sebagai bonus besar. Paling tidak, hujung minggu memberi satu bentuk kesegaran baru. Sekurang-kurangnya, oksigen yang disedut ini dapat juga meneutralkan segala bentuk keserabutan sepanjang hari bekerja.

Orang kata, tidak sempurna hidup kalau tiada nikmat sibuk!
Pun begitu, hujung minggu berturut-turut ini saya 'bantutkan' masa bersantai di rumah. Saya mencuri kesempatan membawa keluarga keluar beriadah. Kami rehlah melewati kota dan mengamati alam yang terbentang luas. Biarkan segalanya mencicip keagungan ciptaan Allah SWT. Saya mahu mencari bahagia, berfikir dan mentadabburi ayat 191 dalam surah Ali-Imran.

Fikir saya, sepetang pun jadilah. Sudah 3 minggu mereka menjadi tetamu istimewa. Tetamu tidak elok diabaikan. Selagi termampu, tetamu punya hak dimuliakan. Mereka dan tugas harus dihadap sama adil.
Dua kali Sabtu lepas, saya cuma beridea untuk riadah di kawasan berhampiran tempat tinggal sahaja. Tidaklah hampir mana pun. Kurang lebih 45 minit juga perjalanan menuju ke Kuala Selangor. Apalah sangat masa sebanyak itu. Asal kualitinya dimanfaat bersama keluarga.
Sejujurnya, saya gemar menyinggah bukit di situ. Bukit yang mempunyai pelbagai tinggalan sejarah. Menarik! Bukit yang puncaknya dapat melepaskan sesaujana pandangan. Itulah Bukit Melawati. Cukup strategik kerana mengadap laut Selat Melaka, Sumatra, Indonesia.
Di atas sana, terdapat ratusan si hitam manis setia menanti kunjungan. Kemeriahan bukit yang pernah ditakluki Belanda itu tidak pernah surut. Barangkali inilah penangan 'si dia'. Sungguh pun hitam, tetapi manis dipandang.
Malah, penghuni tetap Bukit Melawati ini mesra pengunjung. Walau ada yang takut, hati masih terhibur.
Kaum kerabat lotong di atas Bukit Melawati memang sporting. Tetapi seb
agai pengunjung, kita perlu lebih bersikap sporting. Murahkan hati memberi makanan. Saya sudah biasa dengan gelagat mereka. Sampaikan ada dua tiga ekor yang melompat dan berpaut di bahu. Faham-faham sahajalah. Namanya pun binatang. Moga tidak ada yang serik dengan karenah dan haruman hapak si hitam manis itu.
Kalau anda melewati Kuala Selangor, jemputlah singgah berlibur. Bayaran tiket
train cuma serendah RM2 sahaja. Pada hemat saya, bayaran yang dikenakan ini sangat murah. Anda bukan sahaja dibawa bersua muka dengan si hitam manis, malah akan dibawa mengelilingi sekitar bukit juga. InsyaAllah, sekali datang akan tersemat seribu ingatan~

Geng lepak Bukit Melawati ini adalah sebahagian daripada ciptaan yang melata di muka bumi Allah SWT

4 comments:

imanshah said...

Salam, wah dah tukar skin ya..apapun masih tidak berkesempatan untuk saya ke Kuala selangor

dmx said...

salam...
insyallah...
nnak singgah gak...
ngok....sihitam manis tu...
wahahaha....

mizaranun said...

Salam....

Ehmm itu ker si hitam manis ingat ke org..hihi

sy banyak kali lalu Bukit Malawati tp xpernah singgah..mmm insyaAllah akan singgah sekali bila de peluang ke sana.. :)

Izzah Al-Maliziyyah said...

To imanshah... Alaikumsalam WBT. Sekali setahun. Teringin juga hendak berbaju baru. InsyaAllah panjang umur, murah rezeki akan sampai ke Kuala Selangor, Kuala Lipis, Kuala Perlis dan kuala-kuala yang sewaktu dengannya.. hehe~

To dmx... Alaikumsalam WBT. Pasang niat awal-awal. Hitam manis BM setia menanti dmx. Kalau dia lompat menerkam, jangan sampai melatah pulak.. hehe~

To mizaranum... Alaikumsalam WBT. Orang pun boleh jugak. Asalkan hitam dan pastikan manis. Sebaliknya, tidak dikira walaupun ia manusia atau binatang.. hehe. InsyaAllah, esok lusa, panjangkan langkah berkali-kali~