Thursday, December 30, 2010

Hujan Dan Rindu

"…(Allah) memberi petunjuk ke jalan agama-Nya, sesiapa yang rujuk kepada-Nya; (iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah! Dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia." [al-Ra'd: 27-28]

Rindu.

Jelmaannya maha luar biasa. Bisa menyihir sesiapa sahaja.
Tiada bermusim yang boleh dijangka, diduga. Apa lagi hendak menepis dan menyeka keghairahannya.

Saya pun pelik.

Kekadang rindu itu umpama berderai hujan tatkala langit elok bermega.

Hujan. Saya memang menyukai hujan. Ia mendamaikan. Dan dalam masa yang sama, hujan boleh mengundang kerisauan saya.

Saya yakin, kalian juga pernah menanggung rasa ini. Dengan tidak semena-mena kita dikeroyok rindu yang amat sangat. Suara hati kita yang dalam, jahar berteriak-teriakkan. Sayangnya, tidak kesampaian. Tiada siapa yang mendengarnya.

Saat itu, kita akan cuba untuk gigih menanggungnya sendirian. Bertemankan dada yang sebidang berombak-ombak lelah. Riaknya terasa seakan-akan mahu pecah bukan?

MasyaAllah, begitulah hebatnya penangan rindu.

Ibarat kita mempertaruhkan nyawa dan seluruh jiwa raga.


Entahlah. Hanya untuk mengkhabarkan bahawa kita ini sedang galau merindu memamg payah. Segala-galanya jadi tersangat sukar. Kita lebih rela mengusung tidak keruan itu dalam kepura-puraan dan pembohongan. Kita lebih sanggup tidak mengubatnya.

Maka, sudah menjadi nasibnya. Senyap-senyap kita hanya mampu menyimpan ia jauh di suatu sudut yang sunyi. Dan akhirnya terbiar.

Sungguh sejak dua menjak ini, kantung rindu saya kian meluyut-luyut. Figuranya, persis pohonan yang sedang subur. Bergugusan buahnya.

Saya sendiri pun tidak ketahuan. Kenapa hingga dini hari saya masih belum berkesempatan memetiknya.

Adakah kerana mahu dipetik, tapi tangan tak sampai.

Atau adakah kerana mahu dipetik, tapi masaknya belum ranum.

Barangkali adakah kerana mahu dipetik, tapi hati culas minta ditangguh dulu.

Aduhai rindu...

Sekalipun kita tidak tahu ke mana harus dilampiaskan rasa itu. Dan jika ia hadir dengan keluhuran dan keikhlasan, pastinya cukup membahagiakan.

Oleh yang demikian, jangan dirisau. Apa-apa pun, sekiranya kita memilih untuk melihatnya dengan positif, positiflah jadinya.

Misalnya, jika kita bijak mengurus rindu. Kurang-kurang, natijahnya bisa memberi himmah yang baik kepada kita. Kita dapat memperbaiki diri kita untuk menilai sejauh mana kemampuan yang kita ada. Dan memanifestasikan kembali peta kehidupan kita. Membangunkan semula jiwa kita.


Nah, saat menggaul dan melenyek-lenyek nasi bersama ikan tuna pun boleh dikunjungi rindu. Aduh, menjadi-menjadi pula.

Semaraknya memekar ke segenap jiwa. Sungguh, walaupun aroma tuna itu tidaklah seenak mana. Memualkan. Tetapi, dek kerana memikirkan perut mereka, saya paksakan juga.

Tidak mengapalah. Sebagaimana pesanan inspirasi Syeikh Aidh al-Qarny, sekurang-kurangnya dengan berbuat baik sekecil ini, ia akan melapangkan dada dalam menghadapi galau hati.

Ya Allah, semoga kantung rindu saya ini tidak rabak. Risau juga andai buah-buahnya tidak sempat dijamah. Habis gugur menyembam ke tanah. Pasti saya akan menjadi orang yang paling bersalah.

InsyaAllah, mudah-mudahan tidak.

Jika anda menghadapi situasi ini, mari lunakkan hati dengan membaca al-Quran dan zikrullah. Hanya itu jualah ubat peneguh rindu paling mustajab.

Justeru, biarlah hujan yang mengunjungi kita, hujan yang bermanfaat. Dan rindu yang menyelubungi kita, rindu yang bermanfaat. Ameen ya Rabbal 'Alamin~


Nota eksklusif:
1. Foto di atas adalah kucing-kucing dan arnab jiran saya. Beberapa hari sudah, sementelah tuannya pergi bercuti ke Melaka, saya diamanahkan menjadi ibu angkat mereka.

2. Tiba-tiba saya rindukan Cinta dan yang lain-lainnya. Malah, kamu, dia dan mereka juga. Oh, it is really something special to me. And i couldn't share with others. Ya Allah, ana wahisytoniawi...

Friday, December 24, 2010

Allah Masih Izinkan Saya Bahagia

"Dan katakanlah (Muhammad), ya Tuhanku, masukkan aku ke tempat masuk
yang benar dan keluarkan (pula) aku ke tempat keluar yang benar dan berikanlah kepadaku dari sisi-Mu kekuasaan yang dapat menolongku." [al-Isra': 80]

Alhamdulillah. Cuti panjang begini memang menyeronokkan. Bukan kerana dapat mengulit mimpi yang berwarna-warni. Bukan kerana dapat bermalas-malasan di depan TV atau di layar FB. Bukan kerana dapat mencuba berbagai resipi atau makanan free jemputan kenduri. Dan semestinya bukan juga kerana dapat merayap, berjimba-jimba ke sana sini.

Oh, tidak!

Bagi saya, ada yang lebih indah nan membahagiakan.

Bahagia pada keberkatan seawal subuh hari.

Itulah pencetus neuron-neuron bahagia. Ya, harus bermula diawal pagi lagi. Bukan setelah matahari mula meninggi.

Setiap kali menjelang subuh, sememangnya rasa bertuah sekali apabila dibangkitkan lagi. Menghayati hening subuh memang syahdu. Entahlah. Sukar untuk saya ungkapkan di sini.

Sangat mendamaikan hati.

Ya. Walaupun di sebelah tenggara pondok berteduh saya tiada banjaran gunung-ganang yang menghijau. Walaupun di sebelah utara pondok berteduh saya tiada pepohon yang merimbun. Walaupun di sebelah timur pondok berteduh saya tiada lautan yang tidak bertepi. Walaupun tiada yang boleh dikagumi, tetapi masih ada hamparan lain untuk saya nikmati dan hayati.

Hamparan itu adalah hamparan rezeki dan nikmat pada jalan-jalan yang kita sendiri tidak ketahui. Atau yang telah sedia diketahui. Tetapi, jika tiada yang mahu ambil peduli, bukankah rugi?

Ini janji-janji Allah kepada hamba-Nya.


"Dan di langit terdapat (sebab-sebab) rezekimu dan terdapat (pula) apa yang dijanjikan kepadamu." [adz-Dzariyat: 22]

Pada kemunculan fajar subuh di kaki langit. Pada gumpalan putih gebu awan kumulus. Pada desiran angin lembut dan kicauan ramah beburung. Pada rintik hujan yang silih berganti menghambat mentari.

Nah. Percuma tanpa sebarang bayaran.

Bukankah semuanya cukup menambah nikmat hidup.

Nikmat yang tidak perlu diranduk dengan teganya.

Selain buku-buku pendamping, nikmat ini juga sebahagian dari sumber inspirasi hidup saya.

Dalam hati selalu berdetik, membisikkan rasa syukur nian atas nikmat pemberian-Nya. Hari ini, saya mungkin tidak kaya. Saya mungkin tidak mewah. Ada waktu-waktunya, saya mungkin diusik kesunyian yang maha dasyat. Lebih-lebih lagi apabila mendung mega berarak beriring-iring di kaki langit.

Syahdu.

Tetapi alhamdulillah. Saya sangat yakin. Yakin bahawa kekayaan, kemewahan dan keriuhan belum tentu dapat menjanjikan kebahagiaan untuk saya.

Apa yang saya mampu, saya cuba yang terbaik. Dan perkara yang paling mustahak adalah berusaha menutupi ruang-ruang kesunyian itu. Redup jiwa seorang wanita usah dituruti sangat. Kelak melihat alam yang suram pun bisa menyebak hingga ke hulu hati. Pasti lemah jadinya. Barangkali jenuh pula mahu dipujuk rayu.

Aduhai, ironi bukan?

Alhamdulillah. Sungguh pun begitu, Allah masih izinkan saya bahagia dengan cara begini...

Sederhana dan optimis dalam merasikan diri di daerah ini.
Terima kasih kepada-Mu ya Allah. Terima kasih yang tidak terhingga kerana masih mengizinkan saya mencari makna-makna kehidupan di tempat orang. Ya, sungguhpun ia tidaklah sehebat pengembaraan Ibnu Batutta...

Dan kekadang itu juga, saya sangat takut. Takut seandainya tanpa saya sedari, saya sudah melewah-lewahkan nikmat ini dengan sikap yang tidak diredhai.

Mohon hidayah-Mu ya Allah~

Nota:
1. Saya sedang berusaha untuk sebuah misi lain. Semoga doa dari surah al-Isra', ayat 80 diijabah. Rabbuna yusahhil...

Monday, December 13, 2010

Lewat Kembara Ini

"Dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata):
Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksa neraka." [Ali-Imran: 191]

Katakanlah...

Berjalanlah di muka bumi

Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan mahupun berat

Agar kamu dapat mencari ketenangan, jauh dari yang berselirat

Sambil berfikir dan mentadabburi


Semoga lewat kembara ini

Kamu menemui keredhaan-Nya dan keinsafan diri~

Nota: Ya Allah, sesungguhnya iman ini lebih cepat berbolak-balik dari kendi yang mendidih...

Friday, December 10, 2010

Harus Bersiap Sedia

“Katakanlah, siapakah yang dapat melindungi kamu dari (ketentuan) Allah
jika Dia mengkehendaki bencana atasmu atau mengkehendaki rahmat
untuk dirimu? Mereka itu tidak akan mendapatkan pelindung
dan penolong selain Allah.” [al-Ahzab: 17]

Ada waktu-waktunya, kadangkala kita perlu ditegur dengan peristiwa. Musibah kecil atau besar. Baru kita akan tersedar dari terus terlena.

Perlu ditegur yang saya maksudkan ini tidak bermakna kita sengaja mahu menjemput peristiwa tersebut. Atau dengan senang hati mempelawa ia untuk terencana ke atas diri kita.

Saya percaya, tiada siapa yang mahu menyusahkan dirinya dengan musibah. Apatah lagi, menyusahkan orang lain. Terutama, keluarganya sendiri bukan?

Namun, musibah itu adalah pemberian daripada Pemiliknya. Allah jualah yang selayak menegur. Dan kita sebagai hamba-Nya harus bersiap sedia untuk menerima dengan berlapang dada.

Redha dengan ketentuan-Nya.


Setiap antara kita pasti ditegur dengan cara yang berlainan. Allah itu Maha Adil dan Maha Mengetahui mana yang sesuai untuk setiap hamba-Nya. Dan bezanya cuma pada kita.

Bagaimana untuk berhadapan dengan teguran-Nya.

Bagaimana untuk mengambil pelajaran daripada teguran-Nya.

Ya. Cara penerimaan kita pada situasi ujian tersebut. Mungkin kita akan berkata, kita mampu menghadapinya dengan tenang dan sabar. Positif. Tetapi, hal ini belum tentu ada pada orang lain.

Terutamanya, orang di sekeliling kita.

Keluarga, saudara-mara atau kawan-kawan yang mengetahui keadaan kita. Lebih lagi mereka yang turut sama terlibat menerima tempias musibah kita.

Tidak mustahil, mereka, secara tidak sengaja akan menekan kita pada situasi tersebut. Barangkali dengan reaksi gelabah atau sindiran marah. Nasihat yang didengari sudah tidak relevan. Kita rasakan ia seperti bebelan melampau. Tambah memburukkan, apabila kita dipersalahkan
berkarung-karung.

S
ehinggakan, musibah kecil seakan-akan terlihat besar.

Jika hal ini berlaku, memang melemahkan jiwa.

Pada ketika itu, kita yang sepatutnya dibantu, sebaliknya pula. Hal ini, sedikit sebanyak akan mula mengkusutkan keadaan. Fikiran positif akan bertukar kepada negatif. Emosi, buntu dan sebagainya.


Apabila hal sebegini berlaku, pemikiran kita akan terganggu. Ujian yang pada awalnya kecil, sikit-sikit mula bertambah menjadi berlapis-lapis. Yang tinggal cuma, bagaimana cara kita untuk mendepani seterusnya.

Mahu tidak mahu, musibah yang berlaku perlu diselesaikan. Ia menjadi tanggungjawab kita. Selebihnya, hanya bertawakal setelah berusaha membaikpulih keadaan.

Bagaimana jika masih menerima tekanan sampingan?

Jika kita tidak mahu terus ditekan, salah satunya adalah mengawal suasana. Sedaya mungkin kita perlu bijak mempositif orang-orang di sekeliling kita. Dan jika tidak mampu juga, kita bantu diri kita. Ikhtiar untuk diri sendiri dahulu.
Kita perlu tangkas menepis segala emosi dan kebuntuan kita ke tepi.

Itu signifikannya.

Ya. Jika kita mahu terus kekal solid mempositifkan diri kita.

Atau jika kita jenis telinga 'tauhu sumbat', hati 'biskut kering' lagi mudah. Biarkan sahaja mereka terus menekan tanpa sebarang rangsangan. Membebel atau memberi nasihat ulangan hingga ke pagi pun tidak mengapa.

Masih boleh bercanda dan tersenyum.

Benar. Bersikap tidak ambil pusing juga sangat tidak elok. Tetapi kita masih boleh menghargainya sebagai nasihat supaya kita lebih beringat. Bebelan dan teguran juga tanda kasih sayang mereka dan Dia kepada kita.

Hari semalam cuma teguran kecil. Kita harus bersiap sedia untuk kemungkinan mendatang. Sesuatu yang kita tidak inginkan terjadi, maka sebaliknya yang sebenarnya terjadi.

Oleh sebab itu jangan pernah kita mengatakan, "Andai saya melakukan ini, pasti hasilnya akan seperti ini. Dan andaikan saya melakukan ini, pasti hasil yang akan saya dapatkan seperti ini."

Jangan.

Apatah lagi celupar mereka-reka kondisi, "Mujurlah...Nasib baik..."

Akan tetapi insaflah dengan bersyukur atas realiti yang telah berlaku. Pasakkan dalam diri kita bahawa semua itu adalah keputusan dan cara Allah menegur kita. Tegurannya Maha Indah.

Sungguhpun namanya musibah, namun di sebaliknya tetap terselit kemanisan dan keindahan.
Keindahan menerima qada' dan qadar. Keindahan bersabar. Yakinlah, nilai hikmah-Nya pasti mengatasi nilai keburukan musibah itu.

Itupun jika kita redha akan ketentuan-Nya~

Nota:
1. Dulu saya pernah membantu kawan yang kekeringan minyak kereta di pertengahan jalan. Pada situasi tersebut, saya dan kawan-kawan yang lain cuba mambantu dengan tenang. Bukan membebel. Alhamdulillah, kerja jadi lebih mudah.

2. Malam tadi, saya pula dibantu untuk hal yang sama. Usaha menghantar dan memasukkan minyak ke dalam tangki kereta saya mengambil masa berjam lamanya. Kesulitan semakin ketara apabila mendapati lubang tangki minyak kereta saya agak kecil.

3.
Inilah pengalaman baru. Tayar kereta saya juga pernah pancit. Sekurang-kurangnya, musibah kecil ini dapat meningkatkan kemandirian diri saya sendiri.

Monday, December 06, 2010

Salam Maal Hijrah 1432H

Dari Amirul Mu'minin Umar bin al-Khotthob rodiallahu'anhu berkata,
"Aku mendengar Rasulullah Shalallahu 'alaihi wassalam bersabda, Sesungguhnya amalan-amalan itu berdasarkan niatnya dan sesungguhya bagi setiap orang apa yang ia niatkan, maka barangsiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya adalah kepada Allah dan Rasul-Nya, dan barangsiapa yang hijrahnya kerana untuk menggapai dunia atau wanita yang hendak dinikahinya maka hijrahnya kepada apa yang dihijrahi." [Hadith Riwayat al-Bukhari]

Tuesday, November 30, 2010

Tolong Ingatkan Padaku

"Dan yang ingat-mengingati dengan kesabaran." [al-'Asr: 3]

Tolong ingatkan padaku
agar leka jangan terus bertamu
berayunan di bawah cemara rindu
sementara sisa ini masih berwaktu

Tolong ingatkan padaku
sedang di depan jalannya berliku-liku

entahkan esok masih di sini atau sudah di situ

sebelum takdir-Nya memihak padaku

Ya Allah,
tolong ingatkan padaku untuk bertabah
kerana sepasang kaki ini mahu terus mengatih zikrullah
dan sekeping hati ini minta diasak-asak sebuah hidayah~

Saturday, November 27, 2010

Semoga Bermakna Dan Allah Redha

Rasulullah SAW bersabda, "Amalan yang paling dicintai
oleh Allah adalah amalan yang paling berkesinambungan walaupun sedikit."

[Hadith riwayat Muttafaq Alaih daripada Aisyah radhiyallahu 'anha]

"Haa, nampak warak kan?"

"Em, rugilah siapa menolak. Payah nak cari!"

"Bagus apa. Selalu je nampak ke masjid. Kenapa tak suka ke?"

Ya. Warak.

Siapa yang tidak suka. Saya suka. Semua orang juga suka.

Warak adalah salah satu ciri orang yang memiliki agama. Orang yang mengamalkan agama. Orang yang menyampaikan agama (dakwah). Walau tidak secara langsung, ia tetap akan membiaskan qudwah.

Benar. Rajin ke masjid untuk berjemaah sangat bagus. Tetapi, lain orang, lain cara mereka menilai warak. Barangkali ramai di antara kita tersalah tanggap dalam memahaminya.

Warak itu bukan teori agama. Sistemnya tidak boleh direka-reka. Dan bukan hias rupa semata-mata.

Begitu juga dengan saya.

Semasa saya kecil dahulu, warak itu skopnya sangat asas. Boleh dilihat dengan mata kasar. Saya mengecam golongan warak ini hanya pada mereka yang menganggotai mana-mana badan dakwah. Ahli al-Arqam dan tabligh. Selebihnya para ustaz ustazah di sekolah.

Mudah hendak mengecam mereka. Asal nampak sahaja berserban lilit, berkopiah putih, berjubah litup, berniqab muka, bercelak mata, sahlah itu golongan warak. Fikir saya, tentu mereka banyak baca kitab dan fasih speaking Arab. Bagi yang lelaki pula, mereka menyimpan janggut panjang dan berjambang.

Apatah lagi yang membawa kalung tasbih. Saya mula menganggap iman mereka jauh lebih baik daripada yang berpenampilan biasa.


Semakin lama, semakin saya berkata tidak hanya untuk itu.

Rupa-rupanya warak ini diserlahkan lagi dengan karekteristik dan gaya hidup. Jalannya tunduk. Pandangan selalu dijaga. Cakap pun bersopan. Tidak bising-bising. Malah, membataskan pergaulan. Baik dengan lelaki mahupun perempuan.

Bila menginjak dewasa, saya melebarkan kefahaman dan penilaian sendiri.

Cukupkah warak tanpa ilmu?

Bukankah warak itu sepatutnya alim?

Tetapi bukan 'alim-alim kucing'.

Alim yang sepatutnya ini ialah mempunyai ilmu hukum Allah. Mengetahui sesuatu yang jelas haram serta menjauhinya. Tidak kira arak, zina, mencuri dan menipu. Waima menghisap rokok sekalipun.

Saya bertambah faham.

Bukan semata-mata itu semua dan bukan.

Ia lebih halus dari apa yang kita sangkakan. Warak itu bukan sekadar penampilan dan pengamalan. Warak memerlukan penghayatan yang akan mencantikkan lagi sifat warak itu sendiri.

Setiap yang haram sangat memberi impak kepada peribadi dan tingkah laku seseorang. Mereka tidak akan terlibat dengan segala perkara yang dilarang oleh Allah Taala. Bahkan perkara-perkara yang syubahah juga terus ditinggalkan.

Semakin lama, semakin saya membenarkan warak tidak yang itu sahaja.

Warak bukan hanya menjauhi yang haram. Meninggalkan yang syubahah. Hatta, sesuatu yang dibimbangi dapat memberikan kesan dan mendorong kepada yang haram pun harus jadi alergi.

Tapisannya semakin halus. Mulus.

Sehingga ke peringkat yang kecil dan dianggap remeh.

Nah, teladannya ada. Sebagaimana Umar mengasah kewarakkannya. Khalifah Umar bin Abdul Abdul Aziz sangat menjaga dirinya daripada hal-hal kecil yang dianggap syubahah. Di mana Umar pernah memadamkan pelita di pejabatnya yang minyak pelita itu adalah milik kerajaan ketika beliau berurusan peribadi dengan anaknya.

Barangkali kalian yang rajin ke masjid pernah terserempak dengan orang-orang yang kelihatan warak bukan? Masih adakah lagi?

Jika dalam dingin hujan masih ada yang sengaja memasang penghawa dingin, adakah itu warak?

Kipas juga begitu.

Jika cuma dua saf yang memenuhi ruang hadapan surau atau masjid, maka baris kipas di belakang masih terbiar dipasang, adakah itu warak?

Hakikatnya, sukar untuk kita temui orang yang meletakkan nilai warak seperti itu kerana malu kepada Allah.

Persoalannya, siapakah yang berusaha mempraktisnya?

Tidak perlu tunggu 'orang agama' atau 'orang belajar agama'.

Jika mahu, kita yang biasa-biasa ini juga boleh ke arah itu.


Maafkan saya jika penulisan ini seakan mahu mengajar atau memperlekehkan sesiapa. Apa yang saya sarankan ini adalah sedikit usaha kecil untuk kita sama-sama tergerak ke arah kebaikan.

Ya. Hidayah itu milik Allah. Barangkali kita cuma asbab penyebar hidayahNya.

Semoga bermakna dan Allah redha~


Nota:
1. Saya pernah terserempak dengan si fulan yang ala-ala warak, tiba-tiba selamba sahaja membuang sampah dan meludah 'ikut dan' di tempat awam.
Malah tidak segan silu menghisap rokok seperti menghisap gula-gula yang kemudiaannya puntung rokok dicampak sesuka hati.

2. Saya pernah terkejut melihat si fulan yang dilabel warak boleh terkinja-kinja dan bersorak macam orang gila bila menonton perlawanan bola sepak. Itu belum lagi bab merendah-rendahkan orang lain.

3. Sedangkan, saya baru sahaja hendak mencontohinya.
Berkira-kira juga kalau boleh dibuat calon memimpin saya. Terus jadi terbantut...

Wednesday, November 17, 2010

InsyaAllah I'll Find My Way

"Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.
Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu." [at-Talaq: 2-3]


Kullu a'min wa antum bikhair.

Dengan izin dan rezeki daripada Allah SWT, hari ini ramai di antara kita sedang bercuti sempena menyambut Eidil Adha. Barangkali rezeki melakukan ibadah korban juga. Jika tidak, cukuplah dengan berkongsi syafaat rezeki daripada bahagian-bahagian daging korban.

Sebagaimana
yang dinyatakan dalam surah as-Shafaat, ayat 102-107. Mudah-mudahan kita sampai kepada roh pengorbanan yang sebenar-benarnya.

Terlanjur bercerita bab cuti, ya, bagi sesetengah sekolah, bahang 'alam ria cuti sekolah' sudah pun mula terasa.

Syukur.

Cuti juga adalah nikmat dari Allah Taala.

Ini bermakna lengkap sudah diari persekolahan saya bagi tahun 2010. Lengkap yang saya maksudkan ini tidak meliputi status kesempurnaan. Apatah lagi sesuatu yang boleh dibangga-banggakan. Cukuplah saya katakan, saya hanya berkemampuan 'memberi' sesuatu kepada anak-anak didik saya. Tidak lebih dari itu.

Dan lengkap bagi saya adalah selesai satu pusingan. Tiba musim cuti yang ditunggu-tunggu. Saya mahu berpergian untuk sementara waktu. Diari lama saya juga akan bergantian dengan episod diari baru.

InsyaAllah, cuti dan pergi ini tidak hanya begitu sahaja. Saya bawa bersama sebuah penilaian. Saya yakin, amanah dan tanggungjawab saya yang lalu masih naif dan daif. Banyak lagi sudut-sudut penting yang perlu saya perbaiki dan perhalusi. Lebih-lebih lagi bab istiqamah dan keikhlasan saya dalam mendidik murid-murid istimewa.

Alhamdulillah. Pejam celik, pejam celik, hampir dua tahun di sini sebagai guru pendidikan khas. Entah tahun ke berapa juga saya masih sudi berkelana di rantau orang. Walaupun begitu, kehidupan saya telah banyak berubah.

Saya kira, inilah siri jaulah saya yang semakin berbeza. Terutamanya dalam membentuk kekukuhan saya bermandiri di medan juang. Dulu zaman muda remaja. Bertatih pula di tengah kota raya. Lain cara berukhuwah. Lain cara berqudwah. Lain sekali cara berwajah.

Bila digugah, hilang keyakinan.

Bila diacah, lekang istiqamah.

Kini, setelah mengharungi beberapa siri tunggang terbalik yang adakalanya tersimpul, terbelit, malah ada juga hati saya yang terluka dicarik-carik, saya belum ada rasa untuk mahu berpatah balik. Apatah lagi berkata serik...

Pada air mata saya yang pernah murah mengalir.

Pada air mata saya yang tidak mudah mengalir.

Saya tidak mahu menyesalinya walau ada rasa hina yang terzahir.

Ya. Bukan mudah untuk berjuang dalam keadaan kekal tenang. Tidak mustahil, senyap-senyap pasti akan ada yang cuba berperanan menggoncang, memangkah dan membuang.

Sungguh. Jika tidak kuat, semangat juang pasti tumbang. Tiada siapa yang tahu setiap dugaan itu akan datang mengejut tanpa diundang. Tidak kira dugaan itu daripada siapa.

Sempit. Sesak. Dan tidak selesa. Tidak kurang rasa tertipu dengan senyuman palsu yang mungkin ada juga terselit di dalam jiwa. Bila mendepani rasa-rasa begini, cepat-cepat saya memintas untuk tidak mahu ambil peduli. Saya gagah harungi juga walau sesekali terasa kelelahannya.

Bila penat saya berehat sebentar.

Bila tertekan saya beralih ke tepi untuk bertenang.

Dan semestinya, sebagai seorang pejuang di jalan Allah, bukanlah namanya pejuang jika saya tidak tahan diuji. Pengalaman sebeginilah yang banyak membantu untuk saya lebih tabah dan gigih dalam meneruskan perjuangan ini.

Jenuh ini bukanlah satu pengakhiran atau penamat. Bagi saya ia hanyalah satu permulaan. Andai lautan itu punya lapisan dan kedalaman tertentu, maka ini barulah permukaan laut yang saya renangi. Masih jauh lagi untuk menjejak ke lautan dalam yang seterusnya.

Masih misterius.

Oleh yang demikian, semua yang berlalu pergi perlu ditelan dengan redha. Sekalipun ia menjadi suatu pengalaman yang mencalar memori saya sepanjang hayat. Jadikan ia sebagai ibrah dan inzar untuk masa mendatang. Dan sabar adalah senjata terbaik untuk saya tidak cepat melatah dan beralih arah.

Bukankah manusia yang sering berenang melawan gelombang, otot tangannya akan semakin lama semakin kuat?

Sejujurnya, ada masa-masanya, ketabahan saya juga goyah terhuyung-hayang. Saya rasa seperti mahu lemas dan hanyut. Saat-saat sebegini terasa benar mahu merubah posisi. Dari lautan naik ke angkasa. Terbang menghilang. Jauh mencari tenang.

Mujur tarbiyah yang pernah sampai kepada saya ini masih pekat dan melekat di dalam jiwa. Sekurang-kurangnya dapat membantu saya bila saban kali tersungkur untuk bingkas naik semula dalam mengatur kehidupan.

Alhamdulillah, kini berharap agar segalanya stabil dalam keadaan yang bersih dan cantik. Panjang umur, murah rezeki, kalendar persekolahan 2011 akan mula diselak-selak dengan 1001 ceritera baru. Hanya mengharapkan yang indah-indah belaka bersama mereka yang tersayang.

Dan kerana mereka itulah, sementara waktu ini saya setia memilih jalan yag telah sedia dilalui. Maka, siapalah saya yang semalam, hari ini dan hari esok. Melainkan Allah jualah yang berkuasa membolak balikkan jiwa kita, hamba-Nya.

InsyaAllah i'll find my way. Sesungguhnya bantuan Allah itu adalah hampir. Akal manusia mungkin gagal membayangkannya. Hanya Allah yang mengetahui segalanya.

Allahu Akbar Wa Lillah Al-Hamd~

Nota:
1. Sejak semalam, wajah-wajah di sekeliling saya sudah mulai ceria bak pelangi. Tambah lagi apabila ada yang berkata, "Lega. Nasib baik dapat!". Tahniah. Semoga anda menikmati makna kelegaan itu.

2. Saya sedang mengatur destinasi. Tidak sabar untuk mencari damai dan tenteram jiwa...

Saturday, November 13, 2010

Malam Puisi Riong BH-ITNM-IB: Catatan Lewat Malam Tadi

Diriwayatkan dari Hassan bin Tsabit al-Anshari r.a, bahawa dia pernah meminta kesaksian Abu Hurairah : "Saya meminta kesaksian darimu dengan nama Allah, apakah kamu pernah mendengar Nabi s.a.w bersabda, "Hai Hassan, lantunkan puisi untuk membela Rasulullah s.a.w dalam mengalahkan puisi orang-orang kafir. Ya Allah, dukunglah Hassan dengan Ruh al-Qudus". Abu Hurairah r.a menjawab, "Ya". [Hadith riwayat al-Bukhari: 453]

Sesekali
di Laman Beringin IB
bersantaian dipayungi langit Ilahi
sambil menikmati jerayawara para pemuisi
menelusuri ilmu, menyemarakkan kreativiti
Prof. Madya Dr Lim Swee Tin dan Dr Siti Zainon
Dr Anwar Ridhwan dan Mohd Khair Ngadiron

Sesekali
canggung didengari
trend artis masa kini
antara yang lebih dihayati
juadah puitis personaliti Ahmad Fedtri
istimewa air tangan rohani Mohd. Zawawi
juga alun cendera Sohaimi Mior Hassan, Epilog Cinta Dari Bromley


Nota:
1. Kecewa. Niat untuk ke Damansara dan HKL tidak berjaya. Akhirnya cuma melepaskan lelah di Tasik Titiwangsa.

2. Leweh. saya hampir kehilangan jam tangan di surau Istana Budaya.

3. Sederhana. Bertembung dengan pemilik CBR 3395.

4. Geli hati. Ternampak kelibat Ustaz Syafiq Zulakifli...

Tuesday, November 09, 2010

Muara Itu Dan Kuala Kampungku

"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang, terdapat tanda-tanda (kebesaran) Allah bagi orang yang berakal. Iaitu orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri, duduk, atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan sesuatu dengan sia-sia; Mahasuci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka." [ali-Imran: 190-191]

Berfikir merupakan sebahagian daripada kesukaan saya. Sekalipun sebaliknya, berfikir sangat diperlukan dalam kehidupan.

Berterusan. Selagi mana kita diberi kewarasan akal fikiran.

Poses berfikir akan menambahkan ilmu baharu. Tidak tahu, akan menjadi tahu. Telah tahu, akan menjadi serba tahu. Berfikir juga boleh membantu. Terutamanya dalam menghadapi perkara-perkara keliru dan buntu. Apatah lagi yang haru-biru dan bercelaru.

Misalnya, berfikir bahawa setiap kejadian yang Allah Taala ciptakan itu pasti ada hikmah-Nya. Kita bukan sahaja dapat belajar daripada yang baik-baik. Malah, kehidupan ini menuntut kita untuk belajar daripada yang buruk-buruk juga.

Daripada yang baik, moga-moga kita dekat kepada Allah dengan syukur. Daripada yang buruk, moga-moga kita dekat kepada Allah dengan istighfar dan tawakal.

Kedua-duanya memberi pengalaman.

Pengalaman yang anugerahnya berupa hidayah atau musibah.

Ya. Hidayah atau musibah di sebaliknya pasti terselit hikmah. Bukan sahaja di muara itu. Bukan juga di kuala kampungku. Ia tidak akan ada di mana-mana, melainkan dengan kehendak Tuhan jua.

Sebelum terlambat, mari difikir-fikirkan. Pada hitam putih pemberian Tuhan~

Nota:
1. Banjir. Ada yang menganggap ia kejadian alam biasa. Mereka tidak mahu mengaitkannya dengan amaran Tuhan. Maka, sampai berlaku kiamat sekalipun, kehancuran dunia ini akan ditafsirkan sebagai 'bencana alam'.

2. Takziah kepada saudara-mara saya yang mengharungi pengalaman berbanjir di sekitar Perlis.

3. Ingatan buat orang Kuala Perlis yang tidak terlibat, kalian juga harus ambil iktibar!

Tuesday, November 02, 2010

Nantikan Saat Itu

"Maka bersabarlah kamu dengan sabar yang baik." [al-Ma'arij: 5]

Sejak saya menginjak dewasa dan bertambah usia ini, soalan berkaitan jodoh adalah bentuk soalan yang paling laris. Paling laku sampai ke telinga saya. Ada yang lembut berhemah. Ada juga yang keras membelasah.

Sungguh. Serba salah hendak menjawab. Kadangkala, terasa ringan pula mulut saya ini melepaskan das jawapan. Tetapi ia tetap menjadi sebuah kelucuan yang membingungkan saya sendiri. Entah kenapa soalan ini berjangkit-jangkit seputar yang sama. Berturutan hampir saban masa yang sama juga. Tambah lagi bila si penanya itu adalah orang yang sama.

Letih.

Baru selesai satu, menerpa lagi tiga.

Masing-masing berlumba-lumba tanya.


Barangkali, jika saya himpunkan segala koleksi soalan ini, tidak mustahil boleh mencecah berguni-guni banyaknya. Macam peraduan tanya dan menang pula!

Lazimnya, soalan yang ditanya nampak mudah. Namun, yang menghairankan saya apabila kebanyakan soalan itu hampir memerlukan saya memerah kepala. Sampai satu tahap, hilang kalimah-kalimah untuk berkata. Hanya senyuman sahaja sebagai galang gantinya.

Paling terbaharu, saya dikunjungi soalan oleh seorang lelaki yang mutazawwij. Lelaki yang masih ada tiga kekosongan untuk diisi.

"Itulah memilih sangat. Tak takut jadi andartu ke? Nanti nyesal."

Ini fitrah. Ini lumrah. Persoalan seumpama ini tidak akan lenyap begitu mudah. Malah, saya pernah diasak dengan sangkaan yang lebih memarahkan daripada ini. Sampai hati dikatanya saya penghidap mati pucuk yang tidak bernafsu.

Astaghfirullah, menyayat hati sungguh!

Tidak kurang yang pantas mendahului pesoal-pesoal lain. Pertanyaan mereka lebih berprestasi dan bervisi. Saya kurang pasti samada ia bermotifkan lawak semata-mata atau memang serius terbit dari hati.

"Bila cikgu nak mengandung?"

"Bila cikgu nak bersalin?"

Oleh yang demikian, tidak boleh tidak, saya mesti berdepan juga. Situasi sebegini akan bertali arus sehingga mana terpatrinya sebuah jawapan.

Berwalimah, mengandung, bersalin dan seterusnya.

Benar. Sekadar harapan di bibir saya yang entah bila ketahuannya, amat sukar untuk menawarkan persoalan sesiapa. Begitu juga empunya diri. Hanya peristiwa yang praktikaliti menjadi kepercayaan dan kesahihan.

Hari ini, saya perlu bijak mengasah kematangan. Saya mesti serlahkan ia dalam menangani kebarangkalian mendatang. Saya tidak boleh membiarkan perasaan saya porak-peranda berperang. Memberontak dan merusuh keseorangan.

Mempositifkan diri adalah sebaik-baiknya.

Baik untuk saya. Baik untuk mereka. Baik untuk kita.

Semoga Allah beri kekuatan.

Jika ada yang mengatakan saya tidak merancang, tidak bersungguh memikirkannya, maka mereka perlu lebih tahu bahawa Allah juga merancang. Sedangkan Allah adalah sebaik-baik Perancang.

Jika ada yang mengatakan saya memilih, saya akui kebenarannya. Tiada alasan untuk menidakkan. Secerewet mana pun saya memilih, maka mereka perlu lebih tahu bahawa Allah sangat hebat memilih. Dia telah sedia memilih. Allah jualah sebaik-baik Penentu.

Dan jika ada yang mengatakan saya terlalu berahsia perihal jodoh. Bukankah takdir kita masih terhijab? Semuanya hanya pada kerahsiaan Allah SWT. Allah jualah Maha Mengetahui.

Ya. InsyaAllah.

Dengan sebuku kesabaran di hati, saya tidak pernah jemu menantikan saat-saat itu. Saya yakin segalanya telah tersedia. Sampai masa, Allah akan melorongkannya juga. Pada lorong-lorong yang betul dalam mengatur fitrah agar tidak menjadi fitnah. Amin Ya Rabbal 'Alamin~


Nota:
1. Tahniah kepada kalian yang turut berusaha. Sesungguhnya, siapalah saya yang tiada berdaya ini.

2. Ayuh, mari tingkatkan usaha hingga berjaya. Dan jangan lupa, Allah sedang berbicara kepada kamu dan saya tentang sabar itu cantik!