Wednesday, November 17, 2010

InsyaAllah I'll Find My Way

"Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.
Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu." [at-Talaq: 2-3]


Kullu a'min wa antum bikhair.

Dengan izin dan rezeki daripada Allah SWT, hari ini ramai di antara kita sedang bercuti sempena menyambut Eidil Adha. Barangkali rezeki melakukan ibadah korban juga. Jika tidak, cukuplah dengan berkongsi syafaat rezeki daripada bahagian-bahagian daging korban.

Sebagaimana
yang dinyatakan dalam surah as-Shafaat, ayat 102-107. Mudah-mudahan kita sampai kepada roh pengorbanan yang sebenar-benarnya.

Terlanjur bercerita bab cuti, ya, bagi sesetengah sekolah, bahang 'alam ria cuti sekolah' sudah pun mula terasa.

Syukur.

Cuti juga adalah nikmat dari Allah Taala.

Ini bermakna lengkap sudah diari persekolahan saya bagi tahun 2010. Lengkap yang saya maksudkan ini tidak meliputi status kesempurnaan. Apatah lagi sesuatu yang boleh dibangga-banggakan. Cukuplah saya katakan, saya hanya berkemampuan 'memberi' sesuatu kepada anak-anak didik saya. Tidak lebih dari itu.

Dan lengkap bagi saya adalah selesai satu pusingan. Tiba musim cuti yang ditunggu-tunggu. Saya mahu berpergian untuk sementara waktu. Diari lama saya juga akan bergantian dengan episod diari baru.

InsyaAllah, cuti dan pergi ini tidak hanya begitu sahaja. Saya bawa bersama sebuah penilaian. Saya yakin, amanah dan tanggungjawab saya yang lalu masih naif dan daif. Banyak lagi sudut-sudut penting yang perlu saya perbaiki dan perhalusi. Lebih-lebih lagi bab istiqamah dan keikhlasan saya dalam mendidik murid-murid istimewa.

Alhamdulillah. Pejam celik, pejam celik, hampir dua tahun di sini sebagai guru pendidikan khas. Entah tahun ke berapa juga saya masih sudi berkelana di rantau orang. Walaupun begitu, kehidupan saya telah banyak berubah.

Saya kira, inilah siri jaulah saya yang semakin berbeza. Terutamanya dalam membentuk kekukuhan saya bermandiri di medan juang. Dulu zaman muda remaja. Bertatih pula di tengah kota raya. Lain cara berukhuwah. Lain cara berqudwah. Lain sekali cara berwajah.

Bila digugah, hilang keyakinan.

Bila diacah, lekang istiqamah.

Kini, setelah mengharungi beberapa siri tunggang terbalik yang adakalanya tersimpul, terbelit, malah ada juga hati saya yang terluka dicarik-carik, saya belum ada rasa untuk mahu berpatah balik. Apatah lagi berkata serik...

Pada air mata saya yang pernah murah mengalir.

Pada air mata saya yang tidak mudah mengalir.

Saya tidak mahu menyesalinya walau ada rasa hina yang terzahir.

Ya. Bukan mudah untuk berjuang dalam keadaan kekal tenang. Tidak mustahil, senyap-senyap pasti akan ada yang cuba berperanan menggoncang, memangkah dan membuang.

Sungguh. Jika tidak kuat, semangat juang pasti tumbang. Tiada siapa yang tahu setiap dugaan itu akan datang mengejut tanpa diundang. Tidak kira dugaan itu daripada siapa.

Sempit. Sesak. Dan tidak selesa. Tidak kurang rasa tertipu dengan senyuman palsu yang mungkin ada juga terselit di dalam jiwa. Bila mendepani rasa-rasa begini, cepat-cepat saya memintas untuk tidak mahu ambil peduli. Saya gagah harungi juga walau sesekali terasa kelelahannya.

Bila penat saya berehat sebentar.

Bila tertekan saya beralih ke tepi untuk bertenang.

Dan semestinya, sebagai seorang pejuang di jalan Allah, bukanlah namanya pejuang jika saya tidak tahan diuji. Pengalaman sebeginilah yang banyak membantu untuk saya lebih tabah dan gigih dalam meneruskan perjuangan ini.

Jenuh ini bukanlah satu pengakhiran atau penamat. Bagi saya ia hanyalah satu permulaan. Andai lautan itu punya lapisan dan kedalaman tertentu, maka ini barulah permukaan laut yang saya renangi. Masih jauh lagi untuk menjejak ke lautan dalam yang seterusnya.

Masih misterius.

Oleh yang demikian, semua yang berlalu pergi perlu ditelan dengan redha. Sekalipun ia menjadi suatu pengalaman yang mencalar memori saya sepanjang hayat. Jadikan ia sebagai ibrah dan inzar untuk masa mendatang. Dan sabar adalah senjata terbaik untuk saya tidak cepat melatah dan beralih arah.

Bukankah manusia yang sering berenang melawan gelombang, otot tangannya akan semakin lama semakin kuat?

Sejujurnya, ada masa-masanya, ketabahan saya juga goyah terhuyung-hayang. Saya rasa seperti mahu lemas dan hanyut. Saat-saat sebegini terasa benar mahu merubah posisi. Dari lautan naik ke angkasa. Terbang menghilang. Jauh mencari tenang.

Mujur tarbiyah yang pernah sampai kepada saya ini masih pekat dan melekat di dalam jiwa. Sekurang-kurangnya dapat membantu saya bila saban kali tersungkur untuk bingkas naik semula dalam mengatur kehidupan.

Alhamdulillah, kini berharap agar segalanya stabil dalam keadaan yang bersih dan cantik. Panjang umur, murah rezeki, kalendar persekolahan 2011 akan mula diselak-selak dengan 1001 ceritera baru. Hanya mengharapkan yang indah-indah belaka bersama mereka yang tersayang.

Dan kerana mereka itulah, sementara waktu ini saya setia memilih jalan yag telah sedia dilalui. Maka, siapalah saya yang semalam, hari ini dan hari esok. Melainkan Allah jualah yang berkuasa membolak balikkan jiwa kita, hamba-Nya.

InsyaAllah i'll find my way. Sesungguhnya bantuan Allah itu adalah hampir. Akal manusia mungkin gagal membayangkannya. Hanya Allah yang mengetahui segalanya.

Allahu Akbar Wa Lillah Al-Hamd~

Nota:
1. Sejak semalam, wajah-wajah di sekeliling saya sudah mulai ceria bak pelangi. Tambah lagi apabila ada yang berkata, "Lega. Nasib baik dapat!". Tahniah. Semoga anda menikmati makna kelegaan itu.

2. Saya sedang mengatur destinasi. Tidak sabar untuk mencari damai dan tenteram jiwa...

4 comments:

imanshah said...

salam izzah

semoga tabah mengharungi ujian allah..saya di sekolah saya sekarang dah rasa sangat tidak selesa. Dalam meeting terang-terangan saya selalu jadi mangsa. Kalau puak2 sana tak hadir meeting, tak masuk kelas dibiarkan.tapi jika saya terlewat sikit disebut2.Mujor rakan2 memahami.lagipun di sini pentadbiran di kuasai oleh bekas2 pelajar. bukan tak mahu berjuang, namun jika keseorangan, rasanya biarlah saya berundur,berundur bukan beerti gagal. Hanya saya yang bersuara lantang di sini. yang lain tak mahu bersuara. Yang peliknya, saya tak diluluskan bertukar, padahal saya ni bukan yang disukai oleh mereka. Alhamdulillah peljar2 yang hebat ini bersama saya. Saya berada di sini kerana anak2 saya. Wallahua'lam

murabbi said...

teruskan brkongsi..
ttg dunia pndidikan..
ttg islam..ttg sgalanya..
oh...
especially dunia pndidikn sbb sy juga bkal mnjadi pndidik...
sgt trharu pd stiap post yg brkaitan dgn pndidik..
trharu+takut+mcm2 prasaan..

Izzah Al-Maliziyyah said...

To imanshah.. Alaikumsalam WBT cikgu. Fasobrun jameel. InsyaAllah, akan sampai kadaran dan ketetapan masanya untuk sesuatu.

Tambahan: Saya tidak mohon tukar, tapi siap bermimpi dapat tukar.

To murabbi.. InsyaAllah adik. Em, jangan takut. Ini semua realiti kehidupan. Mehnah dan tribulasi yang akan ada di mana-mana.

Tambahan: Jom kita bersabar dan seberani puteri Rasulullah SAW, Sayyidatina Fatimah Azahrah as.

Ibnu Ali said...

Alhamdulillah...