Sunday, November 30, 2008

Eha... Oh Eha...


Anak kucing, anak-anak Eha...

Sekian lama kau dinanti, bersama harapan yang bersemi, kami berkorban harta, bergadai nyawa, agar kau lahir ke dunia...

Menggunung doa telah dihambur, agar hasrat tiada terlebur, cahaya impian yang dulu kabur, menjadi airmata syukur...

Cahaya mataku, penawar kalbu, seharusnya kau tahu, kami sayang padamu... Kau permata ayah dan bonda, engkaulah pembela, bangsa dan agama... Allah... Ya Tuhan kami, kabulkan harapan ini... Dengan kasih dan sayangMu, ampuni dan rahmati dia, selamanya... Cahaya Mata by Mohd Suhaimi Saad [Album Kala'maK]


Eha... Oh Eha...

Anak-anak Eha yang comel...

Awal pagi tadi saya dikejutkan dengan kehadiran 'hadiah istimewa' dari Eha yang dulunya dikenali sebagai 'Autisme'. Sah-sah malam tadi Eha mengangkut anak-anak comel dia ke rumah kebajikan kami. Senyap-senyap Eha memindahkan anak-anaknya ke sini. Sebelumnya, kami sekadar mendengar tangisan anak-anak Eha dari tingkat enam. Tapi saya sendiri kurang pasti dari mana datangnya arah tangisan 'si kecil' Eha. Setiap hari saya cuma perlu refill makanan dan minuman Eha di depan pintu rumah. Saya tahu Eha sekarang dalam tempoh berpantang. Jarang-jarang sekali kelibatnya kelihatan di sekitar blok rumah kami.

Rasanya baru saja si Lola hendak membesar. Belum teruna lagi. Sekarang Eha sudah meramaikan si kecil yang 'cute mute' di balkoni rumah kami. Lola pula sejak dapat adik-adik baru, memang tak nampak batang hidung. Merajuk agaknya.

Next Week kami dah nak move out dari sini. Sedikit pesanan buat Eha yang manis... "Selamat mencari tuan baru. Jangan mengada-ngada kat depan lif. Kucing jalanan seperti Eha tiada siapa yang akan ambil peduli. 'Akak' dah tak tinggal sini lagi. Eha and the gang jangan nakal-nakal. Jaga 'cahaya mata' memolek ya. Paling penting sekali, u all jangan sibuk naik turun lif... "

Untuk pengetahuan kalian, orang yang menggemari kucing digelar sebagai Ailurophiles. Saya bela kucing sebab kucing boleh menenangkan fikiran. Kucing juga boleh mengubat hati yang lara. Tidak dinafikan juga kucing boleh buat kita meradang. Tapi, ada juga manusia pelik dan kejam sehingga tergamak makan kucing. Masya Allah...

Cerita Eha, cerita kucing...

Saya ada terbaca tentang daging kucing yang dimakan di sebelah selatan China daratan dan sebelah utara Vietnam. Ia dianggap dapat memberi kehangatan tubuh pada musim dingin. Yang biasa mereka proses untuk disajikan adalah lambung dan usus kucing serta paha belakang. Kepala dan bahagian lain biasanya dibuang. Di Korea pula, daging kucing sering direbus dan diminum kuahnya sebagai ubat neuralgia dan arthritis.

Jika bercerita tentang kucing memang paling 'ngeri dan loya' bab satay. Mungkin anda juga pernah terdengar khabar angin panas mengenai kehebatan satay kucing yang dijual oleh penjaja kampung. Antara sedar atau tidak, ramai yang 'ketagihan' dek keenakkan satay itu. Sedap dan murah. Makan secucuk pasti nak lagi. Itulah penangan satay kucing. Wekk!

Malahan ada cerita tentang penangkapan kucing untuk dijadikan bahan santapan buaya-buaya ternak di Pulau Langkawi. Wallahu'alam kesahihannya. Kehilangan kucing-kucing saya pada era tahun 2003 mungkin juga angkara sindikit 'jenayah' kejam ini. Hilang akal. Panas betul hati saya bila dikenang kembali. Habis pupus kucing-kucing disekitar rumah saya.

Cerita kucing... cerita Eha...

Dalam hadis Bukhari bilangan 3071, Ibn Umar Radiallahuanhu meriwayatkan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

Seorang wanita dimasukkan ke neraka kerana mendera seekor kucing. Ia tidak memberinya makan minum sehingga mati kelaparan. Tiada sebab mengapa kucing harus didera, jika tidak kerana hati yang keras dan tidak bertimbang rasa. Memang hati yang keras tidak pernah mengenal mangsa, sama ada kucing atau manusia.

Nasib haiwan di akhirat...

Tentang nasib haiwan di akhirat, sama ada akan dibangkit semula atau tidak. Ulama mempunyai pandangan berikut:

Semua haiwan akan dibangkit semula di akhirat. Tujuannya ialah untuk menyelesaikan masalah-masalah yang ada hubungan dengan manusia atau sesama haiwan, termasuk pengkhianatan yang dilakukan terhadapnya oleh pihak-pihak yang dikatakan tidak bertanggungjawab. Pendapat ini diperkukuhkan dengan beberapa ayat al-Quran, seperti firman Allah yang bermaksud:

"Dan ingatlah ketika binatang-binatang liar dikumpulkan." [Al-Takwir: 5]

Ayat ini menyatakan semua binatang liar dikumpul. Maksud pengumpulan ini ialah perubahan tabiat daripada hidup liar dan berlari-lari memburu mangsa dari sana-sini kepada hidup berkumpul kerana takutkan huru-hara kiamat yang sedang berlaku. Ayat-ayat pertama surah Al-Takwir ini pada hakikatnya tidak membicarakan suasana pada hari kiamat, tetapi membicarakan suasana sebelum kiamat berlaku.

Origami kucing hadiah daripada Iskandar untuk cikgunya...

Pada yang suka memelihara haiwan, ia adalah suatu amal soleh yang sangat besar pahalanya di sisi Allah. Setiap makanan yang diberi dan setiap tanaman yang dimakan olehnya pasti ada pahalanya. Kasihanlah kepada haiwan, jangan menzaliminya, jangan khianati pergerakan dan kehidupannya. Haiwan juga makhluk Allah yang ingin hidup bersama-sama manusia di bumi ini.

Sayang Eha dan 'cahaya mata' barunya... Love U All~

Saturday, November 29, 2008

Saat Kematuan Di Bilik Ini...

Selama masa di sudut bilik itu...

Bismillahirrahmanirahim. Assalamualaikum Warahmatullahi Ta'ala Wabarakatuh.

Mukaddimah sang 'kematu' bermula...

Saya ingin memanjatkan kesyukuran pada Allah Azzawajalla yang memberi peluang bernafas saat menulis cebisan kalimah qalbu ini. Semoga ia menjadi peringatan yang berpanjangan buat kita semua. Dalam tulisan serba kekurangan ini, saya mohon kemaafan andai ia tidak sehebat tulisan blogger lain.

Kesibukan sepanjang minggu terakhir di sini merencatkan kekreatifan fikiran dan keceriaan hati dalam berkarya. Adakalanya dalam menyelesaikan amanah dan tanggungjawab, saya terkandas 'syahid' di sisi laptop kesayangan. Tapi keinginan saya selalu mencetus 'mahu'.
Saat kematuan di bilik ini...

Sendiri bertanya. Siapakah saya untuk claim diri yang sibuk?


لَقَدۡ جَآءَڪُمۡ رَسُولٌ۬ مِّنۡ أَنفُسِڪُمۡ عَزِيزٌ عَلَيۡهِ مَا عَنِتُّمۡ حَرِيصٌ عَلَيۡڪُم بِٱلۡمُؤۡمِنِينَ رَءُوفٌ۬ رَّحِيمٌ۬
"Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w) yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat inginkan kebaikan bagi kamu dan dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman." [Al-Maidah:128]
Rasulullah lagi sibuk weh!!

Terkadang saya malu. Pantaskah saya menggelar diri yang sibuk tatkala sahabat-sahabat bertanyakan kondisi. Saya malu sangat. Tersangat malu. 'Sibuk'. Tapi itu la alasan yang ringkas dan tepat untuk menggambarkan diri ini. Saya pernah melihat dan mendengar ada insan yang masa tidurnya bukan atas tilam yang enak. Tapi pada lantai, pada kerusi, pada meja. Sudah tentu indahnya waktu jika dihargai masa yang pantas ini dengan menyempatkan diri menyelit rehat hanya pada ibadah.

Tapi saya yang dalam kematuan ini...
Terkenangkan semingu dua ini yang sungguh meletihkan. Saya berkejar ke sana sini pada setiap kali hujung minggu yang singkat. Terpaksa berulang alik ke Kuala Lumpur dan Perlis untuk beberapa urusan keluarga. Hanya kerana badan merasa penat, minda yang tenat, lelahan saya cuma terbuang di kerusi bas hingga sampai ke destinasi.
Akan tetapi banyak pengajaran baru untuk saya ambil iktibar sepanjang minggu-minggu 'road runner' ini. Ada peristiwa menarik. Insiden kemalangan pada 26 November lepas menjadi trauma sehingga terngiang-ngiang sepanjang di dewan kursus. Alhamdulillah, tiada kemalangan jiwa melainkan helaian-helaian bulu ayam bertebaran di lantai jalan. Selebihnya sukar untuk diungkapkan di sini. Saya cuma manusia biasa.
Kekangan masa telah memaksa saya pulang ke Melaka pada malam kejadian. Sehinggakan saya tidak dapat menyelesaikan segala perkaitan kemalangan terbabit. Apa yang mampu, sekadar menjernihkan keadaan agar semua pihak sedia berlapang dada menerima kejadian yang tidak disengajakan. Benar, tiada yang sia-sia melainkan ada hikmah-Nya.
Setelah habis kursus semalam, dari Melaka, saya bergegas ke Kuala Lumpur untuk melangsaikan sedikit hajat hati. Akhirnya terpaksa akur untuk pulang dengan hanya tertunai 2/3 hajat yang kesampaian. Lewat pukul 12.30 tengah malam saya sampai di Melaka. Keletihan semalam terbawa hingga saat ini. Namun ada kepuasan saat hajat-hajat telah sempurna tertunai.

Kepuasan dan keletihan bukan asbab untuk saya tidak mengambil kira faktor prioriti dan urgensi. Di antara kesibukan menyiapkan tugasan kursus, mengemas pernak pernik barang-barang yang akan dihantar pulang ke kampung halaman dan menguruskan persediaan untuk penempatan 'baru' nanti, persinggahan saya di ruangan maya ini mendapat tempat paling bawah. Akhirnya diketepikan begitu sahaja under construction.

Saat kematuan di bilik ini...

Saya teruja untuk mengukirkan perasaan pada bait-bait kata bagi diabadikan pada teratak baru 'MyHumairaKu' ini.

Namun tiap kali saya membuka halaman ini, kekakuan pasti bermukim. Ini la dilema blogger yang baru berjinak-jinak macam saya. Di sebalik minda yang sedikit kematuan ini, terlalu banyak amanah-amanah Allah perlu saya lakukan. Bukan sahaja melibatkan minda, namun perasaan dan perhatian saya pada tugasan-tugasan lain.

Akhirnya tertinggal segala ilham yang tersimpan dan pengalaman-pengalaman tersembunyi yang mahu saya abadikan buat setiap persinggahan di sini.
Doakan agar urusan saya dimudahkan. Terlalu banyak amanah perlu dilangsaikan. Paling sukarnya, bagaimana dapat melaksanakan kesemua itu sesempurna mungkin.

Setelah sepanjang tahun akademik di sini, penghadaman dan pengalaman akan dibawa pergi tidak lama lagi. Masih jauh perlu menapak demi menggalas amanah ini. Mampukah saya nanti?

Gambar sekadar hiasan

"Ya Allah, semoga aku dapat menjalankan setiap amanah sehabis baik. Mahu mengalir bersama deru dakwah. Biarlah orang menilai aku dengan qudwah sendiri. Itu 'aku' saat kematuan di bilik ini..."

Wednesday, November 26, 2008

Putus Bangsa Kerana Leka

Gambar sekadar hiasan


Bismillahirahmanirrahim. Assalamu'alaikum WBT.
Dengan rasa kasih sayang saya hadiahkan Al-Fatihah buat diri sendiri, keluarga tercinta dan juga pejuang-pejuang nilai diri (agama) sama ada yang masih hidup mahu pun yang telah 'pergi'.

Setelah beberapa hari saya berkursus, dalam terpaksa dan memaksa, dalam jemu lagi keliru, antara sedar dan tidak, masa berlalu begitu cepat sekali. Biar pun badan terasa penat bersama hati yang hiba. Namun, pemikiran saya tentang pejuangan semakin terbuka. Walau pun tidak banyak diperolehi, saya tetap pulang bersama pengisian yang jernih lagi nyata.

Saat penulisan asal saya ini dipindahkan dan diedit dari ruangan halaman 'humairaku' di http://ihumaira.hi5.com/ ke sini, perasaan itu kembali berbaur. Kini Kursus Induksi saya pula sedang berlangsung. Persepsi dan pemikiran kami semakin hari semakin terbuka. Provokasi-provokasi lantang yang disuarakan kepada kami semakin panas di telinga hingga sinis jauh ke hati. Sesekali ia bernada badut. Pada saya, ini bukan kerenah golongan pendidik untuk melemahkan kami. Pertuduhan-pertuduhan mereka, dan isu-isu yang ditimbulkan banyak yang masuk akal jika sudi mahu berfikir.

Syukur kerana saya ditakdirkan lahir sebagai bangsa Melayu di bumi bertuah, Malaysia. Banyak rahsia serta keistimewaan bangsa sendiri mula disedari tatkala saya belajar mengenal dan memahami sejarah negara. Sayang sekali masih ramai bangsa sendiri yang tidak berminat untuk mengenali jati diri bangsa Melayu.

Alangkah ruginya jika kita tidak mahu memahami sejarah negara sendiri. Sehingga sanggup berpecah membawa haluan ideologi politik masing-masing. Semuanya demi memperjuangkan matlamat yang kabur ibarat fatamorgana. Adakah keadaan ini disebabkan kerana bangsa kita terbuai leka di bawah minda yang masih belum terbuka? Atau mungkinkah juga kerana kita ini bangsa yang degil. Sengaja mempertahankan hati kecil yang tidak mahu menerima bisikan sejati.

Teringat saya bait-bait sajak nukilan Usman Awang.
"Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah tergadai..."

Alahai Melayuku, kita ini bukan bangsa yang ditakdirkan untuk sentiasa terleka dan ditipu. Tidak sedarkah kita yang bangsa asing sedang mengintai peluang. Kondisi bangsa kita semakin hari semakin terbuai lena. Secara perlahan-lahan bangsa asing cuba melalaikan bangsa kita yang culas dalam perjuangan sendiri. Cercaan 'Melayu bodoh' sudah menjadi doa mereka. Segala macam onar bangsa asing cuba mencabar 'keistimewaan' kita di sini. Dimana jati diri bangsa kita? Tidak ada iktibarkah keruntuhan orang-orang Arab ditangan ketenteraan Israel? Kemenangan Israel dalam sengketanya melawan negara-negara Arab adalah dek kerana kesukaan bangsa Arab ini yang leka hanya kerana 'tidur'. Fikirlah siapa kita yang sudah menjadi Melayu lupa diri. Pilihan ada di tangan kita. Sama ada mahu menjadi petualang atau pejuang bangsa?


"Allah, Janganlah Engkau hukum kami semua atas perlakuan orang-orang bodoh dari bangsa kami"

Semoga hati-hati bangsa kita akan menyatu bersama nafas pejuang. Sudi-sudikanlah diri kita menjadi Melayu Islam sejati yang akan mengambil dan meneruskan peranan kita dalam memperjuangan maruah agama dan bangsa Melayu. Hak keamanan dan kesejahteraan yang ada pada hari ini perlu dipertahankan agar tidak tergugah dan tergadai. Kalau bukan kita, siapa lagi? Kalau bukan sekarang, bila lagi? Tiada persoalan bangsa yang ingin saya provokasikan di sini. Sekadar membuka minda kita bangsa-bangsa Melayu ISLAM. Janganlah hanya kerana leka, putus bangsa, punah survival AGAMA kita!

HATI by Siti Nurhaliza [1957-Hati Malaya OST]

Janji hati suara cinta sakti
Cinta agung dari jiwa ternyala
Janji tanah lahir aku cintai
Aku rela sama membela

[chorus]
Pengorbanan jangan diluka
Khianat janji hilang jasa
Ku mencari hati mulia
Aku sanjung pecinta bangsa

Usah rajuk jauh hati rindu
Nafas lain haluan seketika
Aku rayu wira hati sayangku
Kini bukan mainan cinta

[chorus]
Pengorbanan jangan diluka
Khianat janji hilang jasa
Ku mencari hati mulia
Aku sanjung pecinta bangsa
Janji janji cinta...

[chorus]
Pengorbanan jangan diluka
Khianat janji hilang jasa
Ku mencari hati mulia
Aku sanjung pecinta bangsa

Bila janji terlukis indah
Usah lagi kau buru cinta
Aku serahkan hadir asmara ku
Kini bebas hati bersatu
Oh hati...

Tuesday, November 25, 2008

'MyHumairaKu' Bermula Di Sini...

Langkah yang satu penguat qalbu...


Bismillahirahmanirrahim...

Alhamdulillah, di keheningan pagi 25 November 2008 bersamaan 27 Dzul Qa'ida 1429H cubaan berblog sendiri berjaya akhirnya. Inilah kali pertama saya menaip di blog sendiri. Biasanya saya sekadar menjadi tetamu singgahan blog orang lain. Kini saya sudah punya medan sendiri untuk 'memberi'. Selama mana saya tahu dan mahu.

Walau sedikit, walau terkial-kial, saya punya cara sendiri untuk 'memberi'...

Segala-galanya bermula dari langkah yang satu, di sini dan hari ini. Moga dipermudahkan Allah dalam mencetus idea yang mendatangkan manfaat buat semua. Pada mulanya, saya amat pesimis dengan medan cyber ini. Segala macam tentang internet, chatting dan blogging seakan sesuatu yang sukar diterima oleh saya. Antara perkara yang merisaukan saya apabila memasuki alam cyber ini ialah addiction atau ketagihan.

Tapi, itu dulu...

Setelah punya modem sendiri, saya punya peluang mempelajari apa yang dinamakan dengan istilah blogging. Mengapa orang mempunyai blog mereka sendiri? Mengapa mereka menulis kisah mereka dan menceritakan kepada dunia hingga tiada segan silu? Mengapa mereka mengambil masa berjam-jam di rumah untuk ‘melayan’ blog? Prasangka saya hanya kerana mereka ‘tersangkut’ dengan chatting bersama teman yang kadang-kadang tidak mereka kenali. Sekadar mengisi masa kosong.

Blogging...

Saya percaya setiap insan menulis kerana objektif dan tujuan masing-masing. Ada yang menulis untuk luah isi hati seperti diari atau monolog. Ada yang memanipulasikannya sebagai medan berdakwah. Tidak kurang juga ada yang pemurah untuk berkongsi kemahiran seperti resepi dan menyampaikan ilmu tak bertepi.

Saya akui telah mengambil masa yang agak lama untuk menyertai alam blog. Terima kasih buat sahabat yang sudi menyokong dan mendorong saya untuk berada di sini. Semoga kita dikurniakan tahap kesihatan yang baik dan istiqomah dalam menulis. Mudah-mudahan setiap patah perkataan yang dikongsikan bersama ada redha-Nya.

InsyaAllah, little by little...

Terima kasih atas kesudian menziarah blog ini. Tesekkur ediyorum!