Tuesday, November 25, 2008

'MyHumairaKu' Bermula Di Sini...

Langkah yang satu penguat qalbu...


Bismillahirahmanirrahim...

Alhamdulillah, di keheningan pagi 25 November 2008 bersamaan 27 Dzul Qa'ida 1429H cubaan berblog sendiri berjaya akhirnya. Inilah kali pertama saya menaip di blog sendiri. Biasanya saya sekadar menjadi tetamu singgahan blog orang lain. Kini saya sudah punya medan sendiri untuk 'memberi'. Selama mana saya tahu dan mahu.

Walau sedikit, walau terkial-kial, saya punya cara sendiri untuk 'memberi'...

Segala-galanya bermula dari langkah yang satu, di sini dan hari ini. Moga dipermudahkan Allah dalam mencetus idea yang mendatangkan manfaat buat semua. Pada mulanya, saya amat pesimis dengan medan cyber ini. Segala macam tentang internet, chatting dan blogging seakan sesuatu yang sukar diterima oleh saya. Antara perkara yang merisaukan saya apabila memasuki alam cyber ini ialah addiction atau ketagihan.

Tapi, itu dulu...

Setelah punya modem sendiri, saya punya peluang mempelajari apa yang dinamakan dengan istilah blogging. Mengapa orang mempunyai blog mereka sendiri? Mengapa mereka menulis kisah mereka dan menceritakan kepada dunia hingga tiada segan silu? Mengapa mereka mengambil masa berjam-jam di rumah untuk ‘melayan’ blog? Prasangka saya hanya kerana mereka ‘tersangkut’ dengan chatting bersama teman yang kadang-kadang tidak mereka kenali. Sekadar mengisi masa kosong.

Blogging...

Saya percaya setiap insan menulis kerana objektif dan tujuan masing-masing. Ada yang menulis untuk luah isi hati seperti diari atau monolog. Ada yang memanipulasikannya sebagai medan berdakwah. Tidak kurang juga ada yang pemurah untuk berkongsi kemahiran seperti resepi dan menyampaikan ilmu tak bertepi.

Saya akui telah mengambil masa yang agak lama untuk menyertai alam blog. Terima kasih buat sahabat yang sudi menyokong dan mendorong saya untuk berada di sini. Semoga kita dikurniakan tahap kesihatan yang baik dan istiqomah dalam menulis. Mudah-mudahan setiap patah perkataan yang dikongsikan bersama ada redha-Nya.

InsyaAllah, little by little...

Terima kasih atas kesudian menziarah blog ini. Tesekkur ediyorum!

No comments: