Sunday, May 15, 2011

Berbaloikah Semua Ini?

"Agar kamu tidak bersedih hati terhadap apa yang luput dari kamu,
dan tidak pula terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu.
Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong dan membanggakan diri." [al-Hadid: 23]

Berdiri di penjuru kelas yang kadang-kala tertanya-tanya juga di dalam hati kecil.

"Ya Allah, berbaloikah semua ini?"

Masih saya ingat sewaktu saya belum menjadi guru.


Biarlah saya memberitahu dengan jujurnya.

Ya, saya kurang berminat untuk menjadi guru. Semenjak dari kecil lagi, menjadi guru bukanlah kerjaya yang diidam-idamkan. Saya sering merendah diri dengan mencipta 1001 alasan. Saya sering mengarahkan diri untuk lebih berusaha bagi mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian jurusan.

Sebenarnya, di awal graduasi dulu, saya pernah merasai nikmat seketika sebagai Guru Sandaran Tidak Terlatih di tiga buah sekolah sekitar Perlis. Pada masa itu, sebolehnya saya berniat dan berharap supaya saya tidak terjebak lama sebagai guru sekolah. Apatah lagi menambahkan bilangan guru Pendidikan Khas di dalam ahli keluarga saya.


Entahlah. Saya masih ingat semua itu. Betapa nakalnya saya apabila cuba meloloskan diri untuk tidak kesampaian menjadi guru tetap dan berpencen seperti sekarang. Ditambah pula dengan kesungguhan dan keikhlasan saya ketika itu masih di tahap berkira-kira. Dan akhirnya...

Alhamdulillah. Hari ini, tentu sekali saya sudah tidak jenuh lagi untuk membayangkan rona rasa keterujaan menjelangnya hari esok. Meraikan sambutan istimewa saban tahun. Sambutan yang diadakan dipelbagai peringkat demi menghargai para guru di Malaysia.

Kesekian kalinya bakal menerima ucapan-ucapan lunak beriringan doa. Kesekian kalinya bakal menerima hadiah dengan tema yang silih berganti. Kesekian kalinya akan bersemangat mengalunkan lagu Guru Malaysia dan kesekian kalinya akan diceriakan dengan pelbagai aturcara lain.

Sungguh. Sedikit demi sedikit saya semakin redha dan bersyukur. Inilah yang dikatakan 'campur tangan' daripada Allah. Dia yang membolak-balikkan perasaan hamba-Nya. Dia yang Maha Mengatur betapa tiada siapa pun boleh menolak takdir.


Saat ini saya sedar saya sudah menjadi seorang guru. Bukan lagi kakitangan di sana dan di situ. Bergaul dengan para doktor, resercher, pegawai dan esekutif agama. Tiada lagi istilah meja dan bilik kerja berhawa dingin. Tiada lagi istilah pergi awal pagi dan balik lewat petang.

Hari ini, 7.30 pagi hingga 1.20 tengahari, dunia saya lebihnya di persekitaran sekolah. Bersama murid-murid Pendidikan Khas Bermasalah Pendengaran. Semestinya, mereka adalah sebahagian dari juzuk-juzuk kebahagian saya.

Dan saya selalu bermohon agar tiada sebarang penyesalan terbit dari mulut dan hati saya ini kenapa kerjaya guru Pendidikan Khas yang Kau takdirkan untukku.

Namun begitu, duduk di penjuru kelas, lintasan persoalan yang sama akan muncul kembali. Berulang-kali mengenangkan pilihan dan takdir Ilahi ini.

"Masih berbaloikah lagi?"

Jawapannya sudah pasti.

Hanya Dia yang membolak-balikkan perasaan hamba-Nya. Dia yang Maha Mengatur betapa tiada siapa pun boleh menolak takdir. InsyaAllah masih berbaloi. Dan terus berbaloi hingga entah bila
ditakdirkan-Nya.

Buat semua yang mengajar dan mendidik insan, baik di sekolah atau di mana-mana... Selamat Hari Guru~

Nota: Ramai yang mudah meneka-neka saya seorang guru. Dan ramai juga menyangka-nyangka bahawa saya ini seorang pelajar yang masih di bangku sekolah.

4 comments:

IMANSHAH said...

salam

selamat menyambut hari murabbi..semoga trus berjuang menyambung risalah kenabian

CS said...

Assalamualaikum k.fiza,
SELAMAT HARI GURU...kalau ditanya pd sy berbaloikah menjadi guru?mcm iklan celcom,jawapannya "berbaloi-baloi"...xsgka dh dkat 3tahun kita jd cikgu kan..dulu kita cuma peringgit girls...hihihihi =)

CKsr said...

Selamat Hari Guru..

Bagi saya la kan... mcm cs cakap, 'berbaloi2' sebab jadi guru ini adalah pekerjaan utama para rasul dan nabi2 seterusnya ulama2 pewaris nabi... mmg ada fitnah dan mehnahnya tp apa pun dan dimanapun ttp ada juga, sabarlah... sabar tu kan cantik, nak jadi benda cantik dan betul2 cantik mmg lama...

Selamat Hari Guru, sekali menjadi guru maka selamanyalah dikau tetap menjadi guru.......

Ibnu Ali said...

قال حكيم هذه الأمة الصحابي الجليل أبو الدرداء رضي الله عنه: كن عالماً أو متعلماً أو مستمعاً أو محباً ولا تكن الخامس فتهلك