Tuesday, April 07, 2009

Pengisian baru

Rasanya lebih daripada dua minggu saya tidak menulis di sini. Padat sangatkah rutin harian seorang guru? Cukuplah saya mengakui bahawa sibuk seorang guru tidak pernah berkurang. Alhamdulillah, bulan ini saya tidaklah sampai berdepan dengan kehidupan yang terlalu sibuk dan menekan. Sekadar ke hulu ke hilir, keluar masuk bilik berjumpa 'bos-bos'. Saya harap 'kerja-kerja sambilan' ini bukanlah tugasan hingga dirasakan bebanan yang membawa benci.

Keluar masuk kelas P&P bagaimana pula?

Subhanallah, semakin jauh upaya saya untuk 'memberi'.
Sedih benar rasanya melihat 'anak-anak' yang tertanya-tanya gurunya yang tidak muncul tiba. Bagaimana saya mahu menjustifikasikan perbuatan saya ini. Memang niat asal saya tidak mahu berlarutan begitu. Benar sekali memikirkan perbuatan ini sangat tidak patut kerana mengabaikan sesuatu yang hak.

Saya sendiri cuba mencari kepastian di mana silapnya. Yang pasti banyak perkara saya terlupa dan belum tertunai. Banyak juga perkara yang menyebabkan saya jadi lalai dek urusan-urusan 'kerja sambilan'.
Setiap kali termenung di sejadah, saya berbisik sendiri. Mohon pertolongan agar dipermudahkan segala urusan, baik dalam kerjaya, peribadi dan lebih lagi untuk mendekatkan diri padaNya.

Petikan nasihat Ibnu Qayyim saya amati. Benarlah katanya, di dalam hati manusia ada kekusutan dan tidak akan terungkai kecuali menerima kehendak Allah SWT. Di dalam hati manusia ada keganasan dan tidak akan hilang kecuali berjinak dengan Allah SWT. Di dalam hati manusia ada kesedihan dan tidak akan hilang kecuali merasai nikmat Allah SWT. Di dalam hati manusia ada kegelisahan dan akan tenang damai bila berlindung, berteman dan berjumpa dengan Allah SWT. Di dalam hati manusia ada penyesalan dan akan padam bila redha dengan suruhan dan larangan, qada qadar Allah senantiasa bersabar sehingga menemui yang azali. Di dalam hati manusia ada hajat dan tidak akan terbendung kecuali kecintaan pada Allah dan bermohon padaNya. Senantiasalah berzikir kepadaNya.


Keperluan untuk berfikir.

Saya termenung jauh. Dalam larut itu, fikiran saya hanyut berkisarkan tentang diri sendiri dan juga langsung terlintas memikirkan tentang orang lain. Rasa jauh, kurang dan lemah beradun menghimpit jiwa. Saya harus mempertingkatkan diri. Orang yang tidak cuba mencari ilmu baru dalam hidupnya dan berpuas hati dengan apa yang ada tidak akan cemerlang kerana beliau tidak berusaha mempertingkatkan dirinya. Seandainya kita cuba mencari kelainan dalam hidup, hari-hari yang kita lalui adalah hari yang berbeza dan lebih menyeronokkan. Tidak kosong dan hambar ditelan masa begitu sahaja.

Hidup ini perlukan pengisian baru. Mungkin itu akan menyempurnakan sudut kehidupan saya.

Saya teringat akan perihal sebuah tin kosong. Jangan kita berhenti menuntut ilmu kerana tin yang kosong jika terbiar berpanas dan berhujan di luar akan berkarat juga akhirnya. Saya sedar, kita tidak boleh leka dan cukup di situ atau begitu sahaja. Hidup ini perlukan titik mobiliti. Perlukan suatu perubahan.

Mungkin ada yang menganggap dengan memiliki ijazah setinggi gunung, ini sudah cukup untuk membina diri sebagai guru yang terbaik. Ijazah adalah aset yang dapat membantu kita mempertingkatkan diri. Segalanya bergantung pada kesungguhan dan komitmen seseorang. Saya belum menjadi guru yang baik.

Melihat kalendar di sisi meja, kini helaian Mac sudah pun bertukar April. Sungguh pantas masa berlalu dan moga Allah selalu memberkati dan merahmati kita selaku umat Islam yang mukmin. Umat Islam akhir zaman yang cukup banyak mehnah. Melanda sama ada dari sudut dalaman dan juga luaran.

Bulan ini tiada cuti yang dinanti. Sebaliknya saya teringatkan tentang pesta buku KLBF 2009 yang akan berlangsung dari
17 hingga 26 April 2009. Masa operasinya adalah Isnin hingga Khamis pada pukul 10.00 pagi hingga 7.00 petang. Manakala Jumaat hingga Ahad serta public holidays pula dibuka sekitar pukul 10.00 pagi hingga 9.00 malam. Jom pakat-pakat berkunjung ke Putra World Trade Centre (PWTC), Kuala Lumpur, Malaysia. Semoga bertambah ilmu kita untuk pengisian baru~

5 comments:

Anonymous said...

test

GAP KEMBALI said...

salam humaira
posting kebanyakannya cukup segar, harus menulis lebih aktif berkenaan hadis. ramai sudah melayu yang terpesong.

Anonymous said...

" Di dalam hati manusia ada kekusutan dan tidak akan terungkai kecuali menerima kehendak Allah SWT. Di dalam hati manusia ada keganasan dan tidak akan hilang kecuali berjinak dengan Allah SWT. Di dalam hati manusia ada kesedihan dan tidak akan hilang kecuali merasai nikmat Allah SWT. Di dalam hati manusia ada kegelisahan dan akan tenang damai bila berlindung, berteman dan berjumpa dengan Allah SWT. Di dalam hati manusia ada penyesalan dan akan padam bila redha dengan suruhan dan larangan, qada qadar Allah senantiasa bersabar sehingga menemui yang azali. Di dalam hati manusia ada hajat dan tidak akan terbendung kecuali kecintaan pada Allah dan bermohon padaNya" THANX .. :) yubarik fik

Anonymous said...

Itulah dunia guru.Situasi ini pastinya akan berlarutan selagi ada manusia yang ingin mengejar 'glamour' dengan kekuatan yg tak seberapa. Andainya anda rasa bersalah apakah yang 'mengarah' itu tidak rasa bersalah. Cadangan See Foo, andai ada ketika-ketika anda ada masa 'free' kada'lah masa-masa yang tercuri itu.
He he he

Izzah Al-Maliziyyah said...

To See Foo... thanks all of your suggestion. Hope i will... Frankly speaking, i'm really feel the different nature since i got that 'temporary job'~