Monday, March 16, 2009

Sama berkongsi untuk sama memberi...

'Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan'. Pepatah indah yang mudah diungkapkan dan sering kedengaran. Ia bukan sekadar ungkapan kosong, tetapi menjadi pendorong kepada sesiapa sahaja untuk meneruskan usaha. InsyaAllah sebarang permasalahan juga akan dapat diatasi dengan mudah.

Alhamdulillah, berakhir sudah Bengkel Penghasilan Bahan P&P (Masalah Penglihatan) di Grand Hotel Internasional Asia Pacific (Central KL). Bengkel yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia ini telah bermula pada 9hb Mac dan berakhir pada 12hb Mac 2009 dengan pelbagai slot aktiviti yang menarik dan santai.

Kejayaan bengkel ini hasil kerjasama gabungan 'special teacher' dari tiga kategori guru yang celik, rab
un dan buta. Tahniah saya ucapkan buat semua yang ceria berbengkel sepanjang 4 hari 3 malam berkampung di sana.
Celik manusia tidak semestinya di bawah skop cahaya...

Peluang yang dinanti telah selesai terisi.

Subhanallah, besar sungguh nikmat penglihatan yang Allah berikan.

Berbengkel seperti ini, semakin menambahkan keinsafan di hati saya.

Bila rasa tersentuh, bibir senang pula menenangkan hati dengan sebuah senyuman. Saya banyak melihat dan berfikir tentang sahabat-sahabat baru, cikgu Suhaimi juga cikgu Zabariah. Soroton mata sepet saya sering tertangkap pada setiap gerak geri mereka. Lama-kelamaan, saya cuba membiasakan situasi ini. Amat senang dan kagum melihat mereka sambil berfikir akan macam-macam. Semua persoalan berbaur di sarang minda.

Ya Allah, Engkau sempurnakanlah penglihatan ini agar ia mudah untuk 'celik'.

Bila berpeluang di dalam program mahu pun di luar program, saya cuba mesra berborak untuk bertanya itu dan ini kepada mereka. Cuma sesekali saya sengaja membiarkan diri sendiri tenggelam dalam situasi gelap pekat. Bagaimana perasaan aku sekiranya aku tidak punya penglihatan? Tidak dapat mengenal warna dan tidak dapat menatap wajah sendiri? Tidak dapat melihat bulan purnama di malam hari dan di siangnya pula tidak dapat melihat cahaya terang sang mentari? Segala-galanya jika tidak dapat dilihat...

Persoalan itu semua padam lumat sendiri.


Jiwa lemah ini kalah dalam rasa takut untuk mencari jawapan.

'Pejam' mereka mungkin 'celik', tetapi celik kita belum tentu 'celik'...

HIDUP PERLU MENCARI DAN MEMBERI
Cikgu Suhaimi banyak membuka minda kami dengan pemikiran 'celik'nya...

Selagi ada kehidupan, selagi itu peluang terbuka.

Hidup ini umpama sebuah pencarian.

Apabila
menganalisis sejarah perkembangan Pendidikan Khas di Malaysia, menyebabkan saya terfikir sejenak. Peluang dan hak sama rata untuk mendapatkan ilmu tidak mengira golongan 'normal' mahu pun cacat. Minat dan keperihatinan pelbagai pihak terhadap Pendidikan Khas di Malaysia bermula era 20-an lagi. Apa yang penting, semua orang mempunyai kemampuan dalam menyumbang kesungguhan dan ikhtiar. Tidak kira sama ada mereka mahu duduk dalam golongan yang sedia memberi ilmu, mahu pun mereka dipihak yang ingin mencari ilmu.

Sepanjang bengkel ini, saya bersyukur dapat menimba pelbagai ilmu baru berkaitan cacat penglihatan daripada 23 orang guru dari sekolah yang berbeza di sekitar negeri Semenanjung Malaysia. Malah, kami juga berkongsi idea dan ilmu bersama dua orang guru yang bertindak sebagai fasilitator sepanjang perbengkelan ini. Dengan kata lain, mereka berdua juga lebih sesuai dianggap 'sifu' Jonckh dan 'sifu' Rajah yang sangat berpengalaman dalam bidang cacat penglihatan.

Bagi saya, menghadiri bengkel berhari-hari bukan jalan enteng untuk lari dari kesibukan rutin harian di sekolah. Berbengkel adalah medium untuk memberi peluang keterbukaan minda seseorang. Sepanjang bengkel, kami diberi pendedahan bagi menghasilkan sesuatu yang dapat mempermudahkan pelaksanaan P&P. Kekreatifan penghasilan bahan bantu mengajar yang sesuai untuk pelajar buta dan rabun sangat penting.

Beberapa teknik kreatif dan pengubahsuaian diperkenalkan kepada kami untuk menghasilkan gambar rajah timbul. Hal ini penting kerana dengan penggunaan gambar rajah timbul, sesuatu pengajaran akan menjadi lebih berkesan. Malah, hanya kaedah ini sahajalah yang dapat membantu pelajar bermasalah penglihatan dalam merealisasikan penggunaan apa-apa gambar rajah dan peta.
Hasil gambar rajah timbul penulis di sisi kanan

HASIL PEMBENGKELAN

Kami semua berjaya menyempurnakan beberapa tugasan sepanjang bengkel. Hari terakhir memperlihatkan pelbagai penyampaian hasil pembengkelan kumpulan masing-masing. Kekreatifan idea dan pengetahuan sama-sama dicambah untuk dibawa pulang.

Selepas penat mendaki dan membuat recce ke Bukit Tabur, kami berkongsi idea penulisan rancangan pelajaran ringkas untuk Lawatan Sambil Belajar (LSB) ke Bukit Tabur dan kertas tugasan untuk pelajar bagi pelajaran LSB tersebut. Selain itu, senarai penggunaan relia dalam pelajaran dan skrip juga rakaman audio kumpulan dapat dihasilkan dengan baik. Tidak ketinggalan, pembentangan bersama laporan refleksi membuat gambar rajah timbul dan model 3-D kumpulan di SMPK Cacat Penglihatan Setapak, KL.
Azri (pelajar buta) sedang berusaha menyiapkan model 3-D penulis

Akhirnya saya senang dan tenang untuk pulang. Rasa syukur itu akan saya cuba kongsikan. Bak kata orang bukan mudah untuk melukis pelangi yang indah di langit yang tinggi tanpa hadir gerimis dan sinar mentari. Semoga Allah limpahkan kemudahan gerimis juga sinar mentari itu untuk saya kongsikan bersama mereka yang memerlukan.

Dalam lembayung Rahmat Ilahi, kuatkanlah diri ini untuk ikhlas berkongsi dan murah memberi~

2 comments:

Anonymous said...

Teringat lirik lagu..bukan kipinta lahir ke dunia, bukan kupinta cacat begini...semoga terus bersemangat mendidik mereka.

ummu said...

artikel yang menarik