Saturday, March 14, 2009

Sekeping Papan, Pembaris Besi dan Paku

Gambar sekadar hiasan

Sudah hampir sepuluh minit waktu rehat berlalu. Cikgu Zafran belum lagi melihatkan kelibatnya di dalam kelas. Masa yang diperuntukkan untuk mata pelajaran Bahasa Malayu cuma berbaki dua puluh minit. Murid-murid tahun enam yang seramai tujuh orang itu mulai dilanda perasaan resah. Dua tiga orang di kalangan mereka yang agak nakal mulai membuat bising sambil mengganggu rakan-rakan sedarjah.

Mathew, seorang murid yang mengalami kecacatan berganda (multiple handicap) tetap tidak terpengaruh oleh gelagat rakan-rakannya. Punggungnya tetap betah melekat di kerusi, memanaskan kerusi plastik yang baru digantikan oleh pihak sekolah. Sambil dia hanyut di dalam alamnya sendiri. Ketika kelas kecoh dengan perangai pelajar yang pelbagai, Mathew membuat persembahan muzik yang dipanggilnya dengan istilah one man show.

Dia melaga-lagakan buntut stylus pada sekeping papan dan sebatang rangka besi (writing slate) yang digunakan oleh orang cacat penglihatan untuk menghasilkan tulisan titik timbul. Tapi tujuan yang ini semata-mata untuk mengiringi irama melodi yang dikumandangkan melalui mulutnya. Antara irama yang sering meniti bibir Mathew termasuklah lagu bahasa ibundanya yang pernah didengarnya menerusi corong radio, juga melodi yang lahir daripada otak kreatifnya sendiri.

Sekilas pandang, mungkin tiada orang yang akan terhibur mendengar persembahan Mathew. Tiada yang menarik jika hanya memanfaatkan peralatan Braille dan anggota tubuh badan sebagai kelengkapan pancaragam. Mungkin dirinya sendiri sahaja yang pandai menghayati corak persembahan seperti itu. Malah, ramai guru yang menegurnya kerana perbuatan mengetuk-ngetuk alat tulis dianggap tidak sopan jika dilihat oleh orang luar. Maka, tingkah laku buruk itu mesti segera dihentikan. Malangnya wujud terowong di antara kedua-dua belah telinga Mathew.

Walaupun berbuih sudah mulut guru-gurunya yang berprihatin melontarkan kata-kata nasihat, namun teguran mereka ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Nasihat mereka bagai mencurah air ke daun Keladi, tiada satu pun yang tersemat di hati Mathew. Perangai persis kehendak mereka hanya berlangsung sejenak sahaja. Dia berhenti menggendang-gendang alat tulisnya sejurus larangan itu dikuatkuasakan. Namun perlakuan yang sama diulanginya lagi sejurus kemudian.

Ketika ramai guru yang meluat melihat sikap buruk Mathew itu, ada juga di kalangan mereka yang memihak kepada dia yang dianggap pelajar bermasalah. Golongan itu berpendapat Mathew tidak mempunyai tempat untuk menyalurkan bakat semulajadinya. Justeru, menumpahkan bakat itu di atas alat tulis.

Selain itu, muncul beberapa orang guru cacat penglihatan yang mengajar di sekolah itu turut tampil mempertahankan tindakan Mathew. Mereka melihat Mathew berbakat besar dalam bidang seni suara. Jika bakat itu dipupuk, Mathew bakal menjadi seorang penyanyi atau komposer terjulang. Pada masa yang sama, mereka bersetuju Mathew harus membuang tabiat jeliknya itu.

Mengimbau kembali ruang dan masa sekitar tahun 1980an, masyarakat umum ketika itu sangat menghargai potensi yang dimiliki oleh golongan kurang upaya penglihatan dalam bidang seni muzik. Lantaran itu, Yayasan Kebajikan Negara sering menganjurkan konsert demi menyediakan peluang kepada golongan tersebut mempamerkan kebolehan mereka. Untuk satu jangka waktu, nama-nama seperti Abang Halim, Adam Lee, Zurina Hassan dan ramai lagi mengambil giliran membarisi program tayangan stesen televisyen negara.

Namun sekali bah sekali pantai berubah. Trend sepanjang tahun 1980an sudah berubah kebelakangan ini. Pembabitan orang cacat penglihatan di dalam arena sukan lebih dialu-alukan kini berbanding dengan bidang muzik.

"Apa faedahnya main muzik kalau kesudahannya nanti ialah di kaki lima kedai? Lainlah kalau mereka mampu menyamai taraf Stevy Wonder dan Jose Phillisiano," kata mereka yang sempurna pancaindera.

Namun sama ada pandangan itu mengandungi kebenaran ataupun sebaliknya, yang nyata pandangan itu lebih didorong oleh fenomena semasa. Tidak dapat dinafikan kegiatan sukan telah mendatangkan durian runtuh kepada ramai atlet kurang upaya. Malah, bagi mereka yang dapat melihat, sekurang-kurangnya inilah peluang dan kesempatan untuk pergi makan angin jika mereka dilantik menjadi pegawai pengiring dalam temasya sukan itu.

Ini kerana pertandingan sukan bukan setakat dilangsungkan di negeri tempat asal atlet-atlet berkenaan. Namun, temasya sukan juga turut dilangsungkan di merata-rata tempat di dunia ini. Akibatnya, nasib orang seperti Mathew akan semakin terpinggir daripada arus perdana. Tiba-tiba cikgu Zafran menjelma di tengah-tengah mereka, menyentakkan murid-murid yang berkeliaran di dalam kelas, juga Mathew yang sedang galak melakukan persembahan. Mereka kembali duduk di kerusi masing-masing.

"Bangun!" arah Aidil selaku ketua darjah.

"Tak payah buat baiklah!" kata cikgu Zafran apabila mendengar ketua darjah mengarahkan semua pelajar berdiri untuk memberikan hormat. Para pelajar tidak jadi berdiri. Senyap. Sambil Mathew sedang mengagak tahap mood cikgu mereka pada pagi itu.

"Mood cikgu bagus pagi ini," bisik hati Mathew.

Cikgu Zafran berjalan merapati Mathew. Bunyi ketak-ketuk kasut kulit yang melapiki kakinya bagai sesangkak sangga yang telah menopang tubuh Mathew yang serta-merta duduk tegak di tempatnya. Cikgu Zafran berdiri di samping Mathew sambil membongkokkan sedikit badannya ke hadapan.

"Apa ini?" tanya cikgu Zafran sambil mencapai sekeping papan yang tertiarap di atas meja.

Berbekalkan pengalaman sepuluh tahun mengajar pelajar-pelajar cacat penglihatan, papan itu bukan lagi benda asing bagi cikgu Zafran. Namun kata orang, kura-kura di dalam perahu, pura-pura tak tahu. Bermula dua tahun yang lalu sejak hari pertama Mathew melaporkan diri untuk belajar di sekolah berkenaan. Soalan itu gemar bermain di bibir cikgu Zafran acap kali dia bertentang muka dengan pelajar itu.

"Ini papan tulis, cikgu!" jawab Mathew dengan tepat sungguhpun soalan itu kabur di pendengarannya. Dia sudah dapat meneka cikgu Zafran akan mengemukakan soalan itu.

"Pelik betul rupa papan tulis awak?" kata cikgu Zafran seolah-olah menyindir.

"Hah?" Mathew meminta agar ungkapan itu diulang, sambil memusingkan kepalanya ke kiri bagi mendekatkan cuping telinga sebelah kanan yang lebih jelas pendengarannya ke mulut cikgu Zafran.

"Telinga awak tak dengarkah?" cikgu Zafran menyindirkan senang. Sengaja merendahkan nada suaranya, garau. Sambil, menjentik-jentik lembut telinga Mathew.

"Hah?" sentak Mathew lagi.

"Kasihan!" kata cikgu Zafran pula. "Inilah yang dikatakan orang, dahlah buta, pekak pula."

Mathew terpinga-pinga, menggeleng-gelengkan kepalanya seperti kepala robot. Pelajar-pelajar lain pula sudah tidak sabar lagi menunggu supaya proses pengajaran dan pembelajaran segera dilaksanakan.

"Ini apa pula?" tanya cikgu Zafran lagi sambil mengambil objek logam yang seakan-akan berbentuk pembaris besi itu daripada Mathew. Tidak menghiraukan kemusykilan yang masih merusuh di dalam hati Mathew.

"Itu writing frame, cikgu!" jawab Mathew, betul juga jawapannya kali ini.

"Bukan pembaris besi?" cikgu Zafran mengusik sambil melurut-lurutkan jari telunjuknya pada dua deretan liang yang terukir di permukaan writing frame itu.

"Bukan, Cikgu!" jawab Mathew, ringkas.

Cikgu Zafran ketawa terbahak-bahak. Hatinya bagai digeletek jawapan yang telah dihamburkan Mathew. Mathew membungkam.

"Ini apa pula?" kini cikgu Zafran mengacah tangan Mathew dengan benda tajam. Ia seakan menyerupai sebatang penebuk itu yang terikat pada hujung writing frame.

"Itu paku, cikgu!" jawab Mathew, selamba. Membalas sindiran cikgu Zafran. Cikgu Zafran ketawa sekuat hati.

"Itu Stylus. Bukan paku, Mathew!" cikgu Zafran membetulkan jawapan Mathew, meletak balik barang-barang itu di atas meja yang tersusun di hadapan Mathew.

"Padan muka cikgu Zafran," kata Mathew di dalam hati. "Sebab itu jangan perli saya."

Cikgu Zafran menjarakkan dirinya daripada Mathew. Mundar-mandir di dalam kelas.

"OK, kelas! Hari ini kita akan belajar cara-cara membuat ringkasan karangan!" cikgu Zafran bersuara. Semua pelajar menumpukan perhatian.

"Keluarkan buku kerja kamu!" arah cikgu Zafran. Namun, buku yang dimaksudkan tidak bertapuk di setiap meja pelajarnya.

"Kami tak ada buku kerja, cikgu!" Aidil berani mencelah.

"Oh, ya! Cikgu terlupa bahawa kamu semua tak ada buku kerja!" keluh cikgu Zafran. Mereka mengangguk, termasuk Mathew yang main angguk sebarang.

"Apa yang kamu anggukkan tu, Mathew?" cikgu Zafran menguji. Ketawa kecil. Sekali lagi mendekati Mathew. Mathew tercengang-cengang.

"Kenapa kamu tak tulis pakai mesin Braille?" tanya cikgu Zafran lagi, mengulangi pertanyaan yang boleh dianggap sudah basi dipendengaran Mathew.

"Tulis pakai papan lebih bagus, cikgu!" terang Mathew.

"Awak ni sudah ketinggalan zaman, Mathew. Macam katak di bawah tempurung. Kanak-kanak buta di USA sudah tak pakai mesin Braille lagi, apatah lagi writing slate. Mereka menggunakan komputer untuk membaca dan menulis. 20 tahun lagi, mungkin tulisan Braille akan pupus di kalangan orang-orang buta di sana," penjelasan cikgu Zafra panjang lebar.

"Ada sesiapa yang pandai menggunakan komputer di sini?" tanya cikgu Zafran lagi. Niatnya sekadar ingin memperolokkan mereka. Masing-masing tercungap-cungap.

"Kamu kena belajar cara-cara menggunakan komputer. Kalau tidak, bagaimana kamu hendak bersaing dengan pelajar-pelajar celik?" nasihat cikgu Zafran sambil mengutarakan cadangan. Insaf sekolah itu tidak dilengkapi dengan kemudahan ICT.

"Ya!" Mathew mengiakan.

Cikgu Zafran tergelak.

Pelajar-pelajar lain ikut ketawa.

Suasana sunyi bertukar riuh-rendah.

"Syyy!... senyap. Tolong jangan bising sangat!" tegur cikgu Zafran, menenangkan keadaan.

Suasana kembali terkawal.

"OK, cikgu pun tak mahu menyusahkan kamu semua. Teks karangan yang akan kita gunakan telah pun cikgu tolong braillekan!" kata cikgu Zafran sambil mengagih-agihkan petikan rencana itu kepada semua pelajar.

"Artikel ini bertajuk Khasiat Buah Anggur," tambahnya lagi.

"OK, semua sudah dapat?" tanya cikgu Zafran pula. Secara spontan, para pelajar menjawab sudah.

"Seperti mana yang telah saya nyatakan tadi, hari ini kita akan belajar cara-cara membuat ringkasan karangan. Kamu dikehendaki meringkaskan karangan ini sehingga menjadi 50 patah perkataan sahaja!" kata cikgu Zafran, memulakan proses pengajaran dan pembelajaran yang telah dirancang.

"Tapi sebelum itu, kita kena kenalpasti dulu isi-isi penting karangan ini," usul cikgu Zafran.

Pelajar-pelajar istimewa mengikuti pelajaran itu dengan teliti.

"Mathew! Tolong baca!" arah cikgu Zafran tiba-tiba.

"Er, er, er" sambil jari-jemarinya meraba-raba tulisan Braille yang berbintik-bintik di atas dada kertas. Mulutnya pula tergagap-gagap kerana gagal menterjemahkan mesej yang dihantarkan ke otak oleh deria sentuhan.

"Nampaknya awak ni bukan setakat buta mata dan buta telinga. Bahkan juga buta kayu dan buta huruf!" komen cikgu Zafran agak kasar berbahasa apabila melihat Mathew yang lemah dalam akademik.

Ini bukan kali pertama cikgu Zafran berkata demikian. Namun sudah banyak kali. Pendek kata setiap kali dia masuk kelas dan tindak-tanduknya yang kasar itu seolah-olah sudah menjadi satu jenis gurauannya terhadap Mathew.

"Cuba awak baca pula, Aidil!" secara rawak, cikgu Zafran memilih Aidil untuk menggantikan Mathew.

"Baiklah, cikgu!" Dengan bangga, Aidil memulakan pembacaannya.

"`~^ USDA National Nutrient <> Database for Standard ^<> 2005 mendedahkan ~` hidangan 15 |* biji ^ anggur tanpa biji |^ berwarna merah ~ atau hijau,| terkandung puluhan khasiat *^~ seperti 8.1 mg (vitamin C); ~^ 10.9 mg (vitamin K) `^ dan | 50 mg |^ (vitamin A).

"Cukup, Aidil. Berhenti!" potong cikgu Zafran seakan menyergah.

"Cikgu suruh baca petikan yang cikgu beri. Tapi kamu menyimpang entah sampai ke mana-mana? Bila masanya ada buah lobak merah, betik dan jambu air?"

"Betul la apa yang saya baca ni, cikgu!", Aidil mempertahankan dirinya, tidak puas hati.

"Awak jangan nak jual temberang, Aidil? Rupa-rupanya awak pun buta huruf juga macam Mathew!" tegas cikgu Zafran.

"Betul la, cikgu. Kalau cikgu tak percaya, nah! cuba cikgu tengok ini," Aidil memperlihatkan petikan setebal dua setengah muka surat Braille atau kira-kira 300 patah perkataan itu kepada cikgu Zafran.

"Awak jangan main-main, Aidil. Kalau cikgu tengok tak ada perkataan lobak merah, betik dan jambu air, muka awak saya tempeleng!" cikgu Zafran memberi amaran, meluru ke arah Aidil.

Merampas keratan rencana itu daripada Aidil, terus meniliknya. Cikgu Zafran termangu.

"Pelajar-pelajar lain pun ada buah lobak merah, betik dan jambu airkah?" tanya cikgu Zafran, inginkan kepastian. Semua pelajar memperdengarkan jawapan positif kepada pertanyaan itu. Cikgu Zafran menghela nafas. Matanya tertancap pada helaian kertas berwarna coklat yang masih tersisip di celah-celah jarinya.

"Ini bukan tulisan saya. Ini tulisan komputer. Cikgu scan bahan ini pakai scanner. Seterusnya memindah-alihkan hasil scanning ini pakai Braille translator software", terang cikgu Zafran, menyembunyikan kesilapannya.

Cikgu Zafran keruan. Dia tidak terlebih dahulu mengedit bahan bacaan itu yang dicetak dengan alat pengimbas sebelum memindah-alihkannya kepada tulisan titik timbul dengan bantuan perisian khas penterjemahan kod Braille. Natijahnya, hadir simbol-simbol ganjil dalam teks yang diedarkan. Para pelajar semakin kehairanan, tidak faham.

"Nasib baik mereka buta ICT. Kalau tidak, hmm malunya aku," desis hati cikgu Zafran. Cikgu Zafran kembali berdiri di hadapan kelas sambil menghadap pelajar-pelajarnya.

"OK, jangan buang masa. Biar cikgu bacakan petikan ini kepada kamu semua dan kamu semua salin, boleh?" soal cikgu Zafran. Mereka menjawab boleh.

"Habis tu, nak buat apa dengan kertas ni, cikgu?" tanya Aidil.

"Ah! suka hati kamu lah. Kamu nak pakai untuk lipat lobak merah ke, atau buat kapal terbang. Itu terpulang kepada kamu. Asalkan kamu jangan sengaja sepahkan kertas itu. Tanggung sendiri kalau kena tangkap oleh Guru Besar!" pesan cikgu Zafran, bersahaja.

Reaksi spontan yang diterima daripada pelajar-pelajar, mereka mencipta aneka lipatan dengan kertas itu.

"Masukkan kertas ke dalam mesin Braille masing-masing!" arah cikgu Zafran, berjalan-jalan di dalam kelas sambil menjinjit petikan rencana yang hendak dibacanya.

Para pelajar bergegas memasangkan kertas pada mesin Braille mereka. Pelbagai bentuk rekaan kertas diketepikan seketika di penjuru meja.

"Semua sudah sedia?" tanya cikgu Zafran.

"Sudah, cikgu!" jawab Aidil, mewakili rakan-rakannya.

"OK, dengar sini baik-baik. Cikgu akan baca sekali saja. Kalau ada siapa-siapa yang tak dapat ikut, itu bukan pasal saya. Itu pasal kamu. Jangan cuba suruh cikgu ulang-ulang banyak kali. Nanti cikgu hukum minum air lombong!" gertak cikgu Zafran, terus mengubah teks bercetak tulisan biasa itu kepada bentuk suara yang boleh diakses oleh pelajar-pelajar cacat penglihatan. Bacaannya serta-merta disambut dengan bunyi gemuruh mesin Braille yang menggamatkan bilik darjah.

"Cuba cikgu tengok apa yang kamu tulis!" cikgu Zafran menyemak tulisan mereka. Tulisan Aidil yang pertama diperiksanya. Aidil dapat menyalin dengan laju, mengagumkannya.

"Patutlah kamu laju. Aidil, siapa suruh awak tulis pakai singkatan? Bukankah sebelum ini saya sudah berpesan jangan tulis pakai singkatan?" tengking cikgu Zafran setelah membaca tulisan Aidil.

"Pakai singkatan baru dapat tulis dengan laju, cikgu!", sahut Aidil.

"Ha, menjawab!" dengan geram, cikgu Zafran menarik telinga Aidil.

"Apa? Awak nak tunjuk samsengkah?" bentaknya lagi.

Aidil diam. Namun hatinya berkata, "Saya pakai singkatan gred 2. Singkatan gred 2 ialah kod Braille standard. Pelik kerana cikgu Zafran tidak memahaminya?"

"Kalau awak pakai singkatan, siapa yang nak semak kerja awak nanti?" cikgu Zafran menyambung leterannya.

Senyap.

"Ada siapa-siapa yang tak pakai singkatan?" tanya cikgu Zafran, masih terpacak di sisi Aidil.

"Saya!" tiba-tiba Mathew bersuara.

"OK, Mathew! dipersilakan baca apa yang telah kamu salin!" pinta cikgu Zafran.

"Er, er, er", sekali lagi Mathew tergagap-gagap, menggelabah.

"Apa ni, Mathew? Bunyi macam katak menyembah busut saja!" selar cikgu Zafran, geram.

Mathew terpempan.

"Cuba awak tolong baca apa yang dia telah tulis, Aidil!" cikgu Zafran mencabut dengan kasar kertas yang dikepit dengan ketat oleh writing frame dan menyerahkannya kepada Abu.

"Dia hanya tulis huruf 'A' sampai 'Z' saja, cikgu!", Aidil memaklumkan hasil siasatannya.

"Berapa kali sudah saya cakap jangan tulis pakai writing slate. Tapi awak degil. Kepala batu!" jerit cikgu Zafran, bertindak merebut alat tulis itu daripada Mathew. Dia mengetuk sekali kepala Mathew dengan papan writing slate yang berjaya ditawannya. Sejurus itu, mencampakkan alat tulis antik itu ke dalam tong sampah.

"Awak tahu apa itu kepala batu?" tanya cikgu Zafran dengan nada suara tinggi.

Mathew mengangguk.

"Dengar sini, Mathew! Bila balik karang, tolong minta mesin Braille daripada Guru Besar. Ingat, mulai hari ini saya tak mahu tengok awak tulis pakai writing slate lagi. Nanti perkembangan minda awak terbantut. Sampai bila-bila pun awak tak pandai menulis!" meleret-leret celoteh cikgu Zafran.

Namun, suara cikgu Zafran hanya sayup-sayup kedengaran melintasi bahagian bawah daun telinga Mathew. Fikiran Mathew terganggu memikirkan musibah bakal menimpa papan tulis, frame besi dan stylus yang telah memberikan kebaikan tidak terhingga kepadanya selama ini. Sekejap lagi segala peralatan itu akan dipungut oleh tukang sapu. Peralatan itu akan diangkut oleh lori sampah, akhirnya dihanyutkan orang di sungai, atau dibakar orang di pusat pelupusan sampah.

Terbayang di benaknya betapa kabur hari muka, dan betapa murah nilai harga diri di hadapan orang yang kononnya sedang memperjuangkan slogan 'pendidikan untuk semua'~

*** Editing dari meja penulis dengan tambahan citarasa sendiri. Kredit buat cikgu Yong Chwan Fwu, penulis asal karya ini.

1 comment:

Unknown said...

Assalamualaikum...tertarik sungguh pada cerita ini.