Sunday, March 01, 2009

Review All In One

Nampaknya Ahad sudah pun bertemu Ahad kembali. Safar berakhir, beralih pula kita menjengah bulan kelahiran Nabi SAW.
Malah, minggu kelapan ini telah berakhir sebagai minggu yang sangat sendat sepanjang saya di SB. Inilah entry yang paling lama terbiar di dalam draft.

Subhanallah… letih betul!

Terima kasih Allah, kerana mengurniakan diriku sebuah kehidupan sebegini dari lompong kosong yang bisa mengundang dosa...

CUTI SINGKAT

Hari terakhir persekolahan minggu ketujuh, saya mengambil keputusan untuk terus bergegas menuju ke rumah kakak di Penang. Segala perancangan dan agenda yang telah dijanjikan terpaksa ditunda. Semuanya atas alasan keluarga perlu didahulukan. Setelah ditimbang-timbang, nampaknya kekuatan hati saya lebih kepada keluarga tercinta.


Inilah keutamaan saya selagi berkudrat untuk berjumpa mereka di hujung minggu. Cuti yang singkat sebolehnya saya manfaatkan dengan menyelit segala bentuk aktiviti yang menenangkan hati sendiri. Selagi bergelar 'nak dara bujang', selagi itu saya cuba memenuhi ruang bersenang-senang dengan keluarga. Biarpun cuti ini sesingkat cuma, saya perlu mencari keberkatanNya.

InsyaAllah, keluarga senang, hati saya turut tenang!

Tidak kisahlah walaupun hanya 'sekecil' khidmat menjaga anak buah dan membawa bonda serta Amir membeli-belah keperluan asasi. Ia tetap menenangkan hati saya sekalipun terpaksa mengusung keletihan yang belum reda. Seletih mana sekalipun, mungkin ia bisa ditebus dengan pulangan lumayan yang tiada tara.

Cuti yang singkat ini saya dapati bonda, kakak serta abang ipar kelihatan sibuk dan risau menguruskan Afif yang belum sihat sepenuhnya. Jadi, mereka terpaksa berulang-alik ke hospital untuk mengambil darah. Lebih dari itu, mereka giat mencari penawar biar pun sakit si anak tidak seberapa. Begitulah hakikat bermulanya episod kerisauan dan kasih sayang ibu ayah menimang cahaya mata baru.


Saya sekadar tersenyum memikirkan itu. Maklumlah belum merasa!

Alahai, cepatnya Ahad!

TUGAS BERMULA

Dengan segala berat hatinya, saya sengaja melengah-lengahkan masa bertolak balik ke SB. Kebetulan hujan di luar tengah lebat yang amat, bonda pula mempelawa untuk makan tengahari dahulu. Alhamdulillah, hujan sedikit reda, perut juga siap terisi. Sebagaimana biasa, sepanjang perjalanan, saya hanya bertemankan halwa telinga yang dimainkan melalui MP3 player modulator. Malah, hujan yang sekejap-sekejap lebat dan renyai memerlukan kepekaan saya terhadap pemanduan agar lebih cermat dan berhati-hati.

Setibanya di sempadan Perak Selangor, saya menghubungi housemate untuk bertanyakan agenda ke Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Sabak Bernam. Nampaknya perhitungan saya untuk tiba seawal yang mungkin sedikit tersasar. Walau memecut dengan kelajuan menghampiri 110km, saya tetap kelewatan sampai di rumah. Terpaksalah saya akur untuk berhenti menunggu kawan-kawan yang lain di bahu jalan berhadapan JPJ SB. Peluang menunggu beberapa minit itu dimanfaatkan untuk melepaskan lelah setelah lebih 5 jam memandu sendirian.

Hujan masih menyimbah bumi.

Usai solat Maghrib di SBPI, kami meneruskan tugasan yang diamanahkan. Setelah menerima taklimat ringkas oleh urusetia di SBPI, sesi pendaftaran kontinjen daerah-daerah bagi Kejohanan Ragbi MSSS 2009 dibuka sekitar jam 8.30 malam. Saya mengambil tempat di kaunter daerah Klang dengan dibantu oleh dua orang puteri SBPI.

Melewati jam 9.40 malam, urusetia SKSU semua sepakat mohon kebenaran beransur pulang. Dengan alasan masing-masing sudah keletihan dan esoknya pula sekolah. Cadangan kawan-kawan yang lain untuk singgah makan malam terpaksa saya abaikan. Fokus pemanduan saya hanya mahu cepat menuju rumah.

Syukur Alhamdulillah, saya menarik nafas lega sejurus sahaja tiba dengan selamat di hadapan rumah kami. Ia satu kesenangan buat saya sebagai seorang muslimah.

21 FEBRUARI 2009

Pelancaran Program NILAM serentak di semua sekolah seluruh daerah Sabak Bernam. Sebagai salah seorang Jawatankuasa Gerakan Tabiat Membaca 2009 (Program NILAM) SKSU, saya cuba membantu mana yang patut agar program ini berjalan sehabis baik. Seterusnya tugas saya disambung pula bagi menyediakan pamphlet NILAM yang akan dipromosikan sekitar mesyuarat PIBG sekolah. Alhamdulillah, akhirnya selesai juga dengan hasil yang memuaskan hati semua pihak.


Operasi persiapan untuk majlis di SBPI telah bermula sehingga lewat petang. Kami bertiga terpaksa berkampung dan menyepahkan bilik cikgu Harun, GPK Kokurikulum. Kata cikgu Nawal, yang bersepah inilah bukti urusetia melaksanakan tugas... hehe.

22 FEBRUARI 2009

Setelah tamat waktu sekolah, saya dan rakan urusetia Kejohanan Ragbi bergegas ke padang SBPI bagi persiapan majlis penutup dan penyampaian hadiah Kejohanan Ragbi Rimau Bawah 12 Tahun dan Ragbi Bawah 15 Tahun. Walaupun cuaca agak terik, kami redha kepanasan di bawah khemah urusetia. Hanya berharap agar majlis ini dapat dikendalikan dengan lancar dan baik.

Perasmian penutup dan penyampaian hadiah oleh wakil Puan Hajah Siti Fatimah Binti Mat Tamin, Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan JPN Selangor...

Bagi kategori Ragbi Rimau Bawah 12 Tahun dan Ragbi Bawah 15 Tahun, kedua-dua pasukan daerah Gombak mengungguli tempat pertama dengan meraih kemenangan Johan Cup. Manakala Naib Johan Cup disandang oleh pasukan lawan dari daerah Hulu Langat dan SM Sains Hulu Selangor. Pasukan-pasukan dari daerah lain juga tetap mendapat tempat dengan kemenangan kategori Plate dan Bowl.

Tahniah juga kepada pasukan Ragbi Rimau Bawah 12 Tahun daerah Sabak Bernam yang telah memenangi tempat Keempat Cup!

Selesai majlis, saya dan rakan urusetia bergegas pulang ke SB. Ini kerana saya diamanahkan untuk menjalankan Skim Bantuan Tuisyen (SBT) pada pukul 8.00 malam tersebut bagi menggantikan mesyuarat PIBG yang bakal diadakan pada hari Sabtu. Dalam keadaan yang agak keletihan dan kekal berpakaian sukan, saya terpaksa juga gegas ke sekolah demi menunaikan tanggungjawab.

Tiba di sekolah, saya berpeluh-peluh. Lewat 10 minit dan giat mengumpul murid-murid kumpulan saya yang masih ramai belum tiba...

Nampaknya SBT yang julung-julung kali diadadakan pada sebelah malam itu kurang berkesan.
Kehadiran yang tergesa, memperlihatkan hasil P&P yang kurang baik.
Dua jam yang terisi bagai tidak berbaloi. Murid-murid sibuk dengan pelbagai alasan masing-masing. Ditambah pula keadaan cikgunya yang tidak bersedia dan bertenaga. Apa pun saya telah cuba menyampaikan ilmu sehabis daya.

Harapnya lepas ni, tiada lagi SBT 'sesat' di waktu malam. Memang sangat melecehkan!
Ragbi bermula kerana William Webb Ellis yang tidak 'reti' bermain bola sepak... suka hati dia je mengambil bola dengan tangan dan membawa lari.


Walaupun sudah bertukar rona kulit, team Sabak Bernam tetap menyerlah dengan jersi biru kuning (macam team Perlis dan IPPM je!)
Siapakah 'lelaki itu'? Hehe... itu la GB kami yang penuh bervisi dan bermisi!
Pink kan? Kami cuba mengembalikan kelembutan di tengah padang...
Selesai sudah slot pertama. Mengharapkan kepuasan dari pujian...

28 FEBRUARI 2009

Seawal subuh lagi saya memulakan gerak kerja sendiri di rumah. Baki persiapan untuk mesyuarat PIBG pagi berkenaan juga turut diselitkan. Sekitar jam 8.30 pagi, kami singgah di sekolah untuk menyerahkan amanah kepada urusetia PIBG sekaligus mengambil barang-barang hadiah dan cenderamata untuk dibawa ke podium SBPI.

Cuaca terik membakar. Semua di situ bagaikan tersalai kulit. Mana tidaknya, yang Cina sudah nampak Melayu, yang Melayunya pula nampak India, yang India wallahu'alam... yang penting sukan sebagai satu wadah dalam menjana integrasi kaum.

Dalam kesibukkan kami berurusan di meja urusetia, padang SBPI semakin ceria dengan perlawanan akhir yang sedang berlangsung. Menarik juga melihat aksi pemain-pemain berentap. Rempuhan demi rempuhan pasukan lawan agak sengit! Keputusan akhir...

Majlis prasmian penutup dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh wakil YB Puan Noriah Binti Kasnon SMS, PJK, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat yang tidak dapat hadir.


Pasukan daerah Gombak telah tewas di tangan pasukan Hulu Selangor dengan jarak mata yang agak jauh berbeza. Apa pun, pasukan Gombak tetap pulang membawa piala pusingan sebagai juara keseluruhan Kejohanan Ragbi MSSS 2009. Tahniah kepada semua pasukan!

Syabas juga kepada barisan Jawatankuasa Pengelola atas usaha gigih kalian menjayakan Kejohanan Ragbi MSSS pada tahun ini. Segala kekurangan yang dikendalikan oleh pihak urusetia hadiah dan cenderamata, barisan kami dari SKSU mohon berjuta kemaafan.

Kalau ada sumur di ladang, boleh kita menumpang mandi, kalau ada umur yang panjang, boleh kita berjumpa lagi~
Barisan wira-wira daerah Hulu Selangor sebelum turun berjuang di medan tempur.
Pasukan daerah lain turut setia di padang memberi sokongan tidak berbelah-bahagi dan menjaga disiplin semasa menonton perlawanan akhir.
Persembahan akhir pasukan Gombak berjersi biru putih dan Hulu Selangor pula berjersi merah begitu mengujakan saya.
Siapa tahu... mereka ini bakal pelapis skuad ragbi negara kita suatu hari nanti.
Kemenangan atas hasil kesederhanaan dan kesungguhan... itulah yang penulis nampak sekitar tiga perlawanan akhir setiap kategori pasukan 'biru putih'.

2 comments:

warkahraudhah said...

Meriah sekali suasananya.Pasti kenangan manis buat semua.

Dah besar panjang,jarang sekali akan ada kembali pertandingan2 seperti ini.

imanshah said...

jom main ragbi