Sunday, October 18, 2009

Mencari & Menilai Hasil Yang Manis

Sepanjang minggu lepas saya agak sibuk dan banyak menyibukkan diri dengan beberapa program yang dirancangkan dalam bulan Syawal. Semuanya berkisarkan jamuan dan rumah terbuka sempena Hari Raya Idulfitri. Saya juga turut menyertai rombongan 'baraan' raya anjuran KESUMA sekolah. Itu pun setelah puas berkira-kira dan bertolak campur mahu juga terpaksa bagi mendapatkan keputusan positif. Difikirkan semula, bila lagi hendak melebarkan pengalaman bersama masyarakat Jawa kalau bukan sekarang.


Alhamdulillah, sebanyak lapan buah rumah cikgu-cikgu SK Seri Utama yang sempat diziarahi pada sesi kedua 'baraan'. Program bermula dari jam 3 petang dan berakhir lewat isya' malamnya. Keletihan dan kekenyangan bercampur aduk dalam kepuasan...

Kepada anda yang tidak pernah mendengar perkataan 'baraan' ini berasal daripada bahasa Jawa. Ia bermaksud kunjungan atau ziarah ahli kariah kampung secara beramai-ramai dari rumah ke umah. Sepatutnya, sebelum menjamu selera bacaan doa akan diaminkan beramai-ramai. Demi menjimatkan masa, apatah lagi pelbagai menu sangat mengujakan, semuanya kami aminkan sendiri.
Rupanya amalan 'baraan' merupakan satu budaya masyarakat Ja
wa yang masih kekal turun temurun. Saya melihat amalan ini bersesuaian dengan ajaran Islam itu sendiri. Ziarah walau sekejap, tapi cukup terkesan. Bagi kanak-kanak, apa yang paling menyeronokkan mereka ialah ketika mendapat 'ang pow' raya. Lain pula golongan dewasa. Kalau perut kenyang berisi, hati senang berlagu untuk bergerak ke rumah seterusnya. Saya hanya dapat menjamah secubit dan sesuap rasa. Selebihnya tidak terdaya mengikut rentak selera rakan guru yang lain.

Apa pun, saya amat terharu dan teruja dapat bersama rombongan 'baraan' sekolah. Mungkin ia akan menjadi pengalaman manis dalam tahun pertama saya bergelar guru di rantau orang. Terima kasih tidak terhingga kepada semua rakan guru yang berbesar hati juga tidak lokek menjamu kami dengan pelbagai juadah. Semuanya sedap-sedap belaka. InsyaAllah tahun depan jika ditakdirkan panjangkan umur pasti akan berjumpa lagi dalam siri 'baraan' 1431H...
Agar-agar 'pink panther' cikgu Rugayah sebagai pencuci mulut kepada bihun sup...

Penangan raja buah di rumah cikgu Razak...'mengakar' kami dibuatnya.

Aneka selera bubur hitam manis dan tapai di rumah cikgu Anona...

TANG MANA MANIS?

Kalau dicermati kembali siri pembabitan saya dalam program tersebut, nampaknya ia bukan sekadar perihal mengisi perut semata-mata. Apa yang saya terima dan isi sememangnya lebih daripada itu. Banyak perkara baru telah saya pelajari. Episod 'gejubus' jamuan raya Pendidikan Khas juga selesai dilaksanakan dengan baik. Bagi pihak diri sendiri, bukan semahu menghasilkan kuah durian untuk mendapat pujian. Tetapi belajar mencari dan menilai hasil yang manis daripada tangan yang memberi dan menerima.

Memberi tidak semestinya dengan jumlah yang banyak. Tidak perlu malu untuk kita memberi atau mengadakan jamuan walaupun dengan kadar bilangan yang sedikit. Walau ia sesuap makanan umpamanya. Biar zahirnya nampak sahaja kecil dan halus kuantiti, tetapi yang demikian itulah amat bernilai di sisi Allah Subhanahu wa Ta'ala sebagaimana firmanNya yang bermaksud:

“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).” [Az-Zalzalah: 7]

Dalam memberi dan menerima perlukan keikhlasan. Ikhlas merupakan kunci kejayaan untuk mendapat ganjaran daripada amalan pemberian dan penerimaan kita. Biarlah apa yang kita keluarkan dan perolehi itu dengan niat mendekatkan diri kepada Allah Ta'ala. Bukan kerana terpaksa atau dipaksa. Bukan juga untuk mendapat pujian dan menunjuk-nunjuk. Anggaplah pemberian dan penerimaan kita yang tidak selalu ini merupakan jalan penghubung dan pengerat ukhuwah sesama kita. Bukan jalan untuk kita memperlekeh dan memperkecilkan sesama sendiri.

Kualiti memberi itu menjadi ukuran dan bukannya kuantiti pemberian. Jangan kita suka mengungkit-ungkit pemberian kita dan menyakiti pula hati orang lain dengan membanding beza. Kerana itu akan menjejaskan amalan kita. Malah dalam tidak sedar, akhirnya kita menjerat dan menghumbankan diri sendiri ke dalam golongan orang yang rendah akhlak. Letih sahaja andai zahir di mulut kita terasa manis isi buah. Namun ditelan dek orang terasa duri kulit buahnya. Wallahu'alam~

Episod kuah durian sulong berjaya juga..sabar dan ikhlas pasti hasilnya manis.

6 comments:

yazid bin yahya said...

Nilai hidup harus diukur dengan garis yang lebih mulia, iaitu kerja dan bukannya usia.
(Richard Brinsley Sheridan)
Anda tidak boleh mencipta pengalaman. Anda mesti menghadapinya.
(Albert Camus)
Ok..Fizah,saya rasa artikel ni nampak origin...take care, you are strong..

Qassam said...

emm..teringat masa kat SKSU dulu2...kat tempat baru ni..suasananya dah lain..x seronok..:(..cz ada sesetengah cikgu2nya..Nafsi-Nafsi..dengan kata lain susah nak serasi...

ummu said...

Assalamualaikum
Wah bagusnya.Cikgu cikgi beraya setiap rumah dan "baraan" juga? Baraan tu memang perkataan Jawa.

IMANSHAH said...

Salam. Rasanya sama saja semuanya..yang penting konsep ziarah tetap diutamakan..walaupun pergi sendiri atau berkumpulan..

Aishah bolehlah jadi 'orang jawa' lepas ni..gurau je..usik2 pagi minggu

saffmukmin said...

manis byk2,kan jd mcm org kelantan la plk,hehe..

mie said...

Salam... nampak sedap je kuah durian tu...ni serawa durian ke..mmg best ni cicah ngan roti hehehe.

Sy suke dgn ayat "sabar dan ikhlas pasti hasilnye manis"...tp btul kee...ermmmmm