Sunday, November 29, 2009

Mual Orang Bujang

"Janganlah kamu merasa hina dan janganlah kamu merasa sedih kerana sesungguhnya kedudukan kamu lebih tinggi (mulia) jika kamu beriman." [Ali-Imran : 139]

Morning sickness
atau bahasa basahnya disebut loya. Ada juga mesra menyebutnya sebagai mual. Lazimnya, simptom ini menggugah wanita yang sedang dalam trimester pertama kehamilan.

Tetapi simptom ini hanya berlaku pada sesetengah wanita hamil sahaja. Dan tidak pada semua. Namun, komplikasi ini juga wujud di kalangan orang bujang (
عزب ). Wanita bujang yang tidak dalam tempoh kehamilan.

Jika tidak hamil, mengapa sampai mual?

Adakah kerana tersalah makan?

Entahlah. Situasi ini tiada kaitan dengan mual yang disebabkan bencana makanan. Apatah lagi akibat keterlanjuran dek 'perbuatan orang'. Na'uzubillah. Mual-mual ringan ini cuma disebabkan kepeningan dengan betah orang sekeliling.

Begitulah kebiasannya.

Tambah lagi bila tibanya musim cuti sekolah. Atau musim cuti umum yang panjang. Seorang demi seorang akan mula menghulur kad jemputan walimah. Tidak ketinggalan yang sudah bertunang.

Mereka tidak jemu-jemu siap sedia mengingatkan tarikh walimah mereka untuk tahun hadapan. Semangat. Kekadang, yang menghulur kad ini pun tidak terkecuali menambah bisa mual. Meleret-meleret mempersoalkan itu dan ini.

Sejujurnya, saya sendiri sedar dan faham akan syariat serta sunnah alam perkahwinan. Islam merupakan agama fitrah yang diturunkan oleh Allah SWT bagi memenuhi fitrah manusia mengikut syariat-Nya.

Dan salah satu dari fitrah dalam melengkapi kehendak manusia ialah ikatan perkahwinan. Benar. Semua ini adalah kerana manusia semuanya diciptakan dengan mempunyai fitrah berpasang-pasangan. Perkahwinan itulah sebaik-baik anjurannya.

Saya yakin, kalian tentu tahu bukan?

Perkahwinan adalah kombinasi cinta. Tidak cukup yang itu sahaja. Ia juga perlu diperkukuhkan dengan kombinasi perasaan, keinginan dan tanggungjawab. Sangat salah jika perkahwinan digesa hanya semata-mata atas alasan kejaran masa kerana faktor usia.

Barangkali juga kerana takut dikata orang, anak dara tua. Dimomokkan sebagai 'andalusia!'. Lantas terjadilah hal memaksa diri. Tidak ikhlas dan sepenuh hati. Dan akhirnya, niat berkahwin sudah tersasar jauh dari syariat sebenar.

Oleh yang demikian, saya selalu melihat hal jodoh ini memerlukan kecermatan dengan penuh pertimbangan. Dan kecermatan serta pertimbangan itu letaknya pada si empunya badan. Bukan pada orang lain.

Ya. Orang lain mungkin boleh memberi saran. Orang lain mungkin boleh memberi pandangan dan nasihat. Tetapi diri sendirilah yang wajar membuat keputusan. Biarpun mereka kelihatan lebih laju membuat keputusan untuk diri kita.


"Kenapa masih belum berumahtangga lagi?"

"Sepatutnya umur lewat 20-an ni sudah beranak-pinak tau."

"Itulah, ramai yang hendak sengaja ditolak-tolak. Memilih sangat!"

Aduh! Telan liur saya seakan tersangkut-sangkut di rongga tekak. Mual hendak menjawab satu persatu. Resminya soalan biasa-biasa akan sikit-sikit menjadi berbisa.

Fikir saya, takut juga balasan gurauan saya seakan celupar bunyinya. Lebih baik senyum membisu. Jika menjawab, silap-silap ada pula hati lain yang tercedera. Mungkin selepas ini, ketika disoal oleh kaum keluarga dan sahabat-handai, ini sahaja jawapan yang sesuai..."Semua ini adalah rahmat Allah."

Walaupun bujang, banyak rahmat-Nya...

Ah, tidak semestinya bujang bererti menyusahkan orang. Tidak semestinya bujang bererti sunyi keseorangan. Tidak semestinya bujang bererti lapok dan gersang. Tidak semestinya bujang bererti sedang mengumpan suami orang. Tidak semestinya bujang bererti mudah melakukan perbuatan sumbang.

Selalu juga saya ingatkan diri ini, husnu dhzon kepada Allah itu lebih baik. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan keadaan hamba-Nya. Lain orang, lain maslahat dan awlawiyatnya.


Namun begitu, walau sering tergugah dalam dilema dan kerendahan diri dek pandangan serong dan sinisan orang, insyaAllah status bujang tetap mulia di sisi Islam. Waima bujang, wanita seperti saya, insyaAllah masih mampu memecut laju ke hadapan kerana keyakinan bahawa dia tidak goyah oleh tipuan dunia.

Maaf jika terdapat kekhilafan di dalam penulisan santai ini. Ia sekadar luahan hati dan pandangan seorang muslimah yang masih عزب. Harap maklum.

Dan mual yang saya lampiaskan di sini juga tidak bererti saya dirundung sedih mahu pun marah. Apatah lagi mencemburui akan kebahagian orang lain.

Wallahu a'lam bisshowab~


10 comments:

syaf said...

sangat menyokong statment tersebut
masyarakat skung ni terlalu sempat pemikiranye sampai mengaagap org bujang ni x laku, x de org nak atau pon kene bomoh....ayo

jodoh 2 ketetuan Allah...kalu die nk kasi alhamdulillah, kalu x de sabar je lah... baguih2...

Melawis said...

Salam...insya Allah akan ada yang menjelma nanti...mungkin lum masanya lagi...org2 tua ada berkata 'ikan di laut asam di darat,dalam periuk bertemu juga'...macam saya ada lagi ke peluang???

damaiinx said...

salam..
Humaira...
....sirrubarkatillah

Wahana cikgu azam said...

Salam

Sabar jelah dik oi, biasalah tu. Nanti adalah yang menjengok, Insya Allah.

Aisya Humaira Al-Malizy said...

A'laikumsalam WBT. Jazakallah khairan kathiro kepada pencetus komen dan juga silent reader.

Harapnya penulisan saya ini tidak menyebabkan mana-mana pihak 'terjentik'. InsyaAllah, saya bukan wanita yang skeptikal atau sinikal dalam perihal jodoh. Masih liberal memahami fitrah~

mie said...

Sabarla cikgu....belum sampai masanya la tu. Ia bagai menanti jambatan untuk ke seberang. Kalau panjang jambatannya
jauhlah perjalanan kita. Ada org jodohnya cepat sebab jambatannya singkat. Usia 29 tahun rasanya belumlah terlalu lewat. Dan usia 35 tahun tidakla sia2 kalau sepanjang usia itu telah digunakan untuk membina kecemerlangan.

Wanita baik untuk lelaki yang baik, sebaliknya wanita jahat untuk lelaki yang jahat. Biar lambat jodoh asalkan mendapat Mr Right dan biar
seorang diri drp menjadi mangsa lelaki yang tidak beriman kemudian nanti.

Berkahwinlah anda demi Tuhan dan Nabi-Nya, bukan berkahwin kerana perasaan dan mengikut kebiasaan. Jodoh usah terlalu dirisaukan, tiba masanya ia akan datang menjemput, namun perlu juga anda membuka lorong2nya agar jemputan itu mudah sampai dan tidak terhalang

just my 2 cents....

anayna said...

Salam..

Mmg btl sis..kdg2 pening pk komen2 org pd glgn bujang ni.Walhal kte msh yg bujg ni kdg2 lbh terkedepan dr kwn2 yg dh berumahtagga tu..tp status diri gak yg dipndg!Sabar jela..

Abgbent said...

Salamelekom wbt, duhai adikku Humaira yang dikasihi kerana DIA. Izinkanlah abg melakarkan sesuatu di dalam blog nan ayu, IHumaira

Usahlah mengubati hati nan lara dengan berkata-kata nan indah belaka. Hakikatnya manusia, diciptakan dengan pasangan-pasangannya. Itulah lumrah dunia. Andai adik menafikannya, ianya memberikan gambaran seolah-olahnya adik terbawa-bawa perasaan kesedihan. Kalau tidak masakan adanya ukiran seperti diatas, Kan...

Tetapi, abg tahu bahawa adik sebenarnya dan sememangnya tidak begitu. Luahan hati yang terpancar dari ukiran di atas adalah cerminan keimanan yang adik sembunyikan. Memang itulah selayaknya hati seorang muslimah. Syabas! Dan Tahniah! abg ucapkan.

Dan abg doakan semoga adik akan beroleh lelaki yang tampan, bijaksana mengendalikan segala perkara dan pastilah yang amat bertakwa kepada NYA. InsyaAllah. Amin.

Dari kesemuanya itu, abg tetap ingin menzahirkan nasihat ini...

Jadikanlah sebagai satu matlamat hidup yang penting untuk memperolehi jodoh kerana dari matlamat itulah akan memunculkan pelbagai usaha.

Usah terlalu berserah, kerana untuk mendapatkan jodoh, ianya memerlukan pelbagai usaha. Ketahuilah bahawa jodoh tidak akan muncul secara tiba-tiba. Kecualilah Allah SWT memberikannya sedemikian rupa. Hakikatnya, untuk itu berlaku, amatlah jarang keadaanya kerana kita dikehendaki berusaha di sepanjang perjalanan duniawi ini. Dan usaha yang paling berharga ialah dengan berDOA kepada NYA. Memang DOA kepada NYA adalah senjata yang amat tajam di dalam menikam segala macam cabaran kehidupan.

Selain dari doa, tidaklah pula bermaksud pelbagai usaha yang abg sebutkan sehingga menyebabkan adik mengabaikan kesopanan dan kesusilaan seorang muslimah. Memang bukan itu maksud yang abg paparkan di sini.

Jadikanlah Pedoman sirah Isteri Rasulullah SAW yang bernama Khadijah. Barangkali ada yang bermanafaat untuk ditelaah mengenainya. Bagaimana Rasulullah SAW dipelawa untuk dijadikan suami. Kalaupun tidak seratus-peratus dapat dipraktikan, moga-moga nanti adalah tercurah ilham dari pembacaan itu nanti. InsyaAllah.

Dan seseorang yang bergelar bujang tidaklah pula hina keadaannya kerana martabat seorang yang bujang telah terukir dengan indah di dalam lembaran firman Allah SWT, pastilah di dalam surah Mariam namanya. Andai ada kesempatan, marilah kita singkap bersama-sama. Moga-moga akan tercurahlah cahaya NYA di dalam meneruskan perjalanan dunia.

proleadconsult said...

Ada yang kita NAK kadang-kadang X dapat. Dan kadang-kadang yang kita X NAK tu pulak yang dapat.

Ini menunjukkan yang ada suatu kuasa yang lebih hebat dan bijak yang mengawal kita iaitu Allah.

Kejayaan kita ialah bila taat perintah Allah bukannya kahwin atau tak.

Just my 2 cents.

Mohd Nasir said...

salam,
semuga humaira mendapat jodoh jejaka yang beriman dan sentiasa membimbing menuju redha Illahi dan damai menuju laman nurani..
alqaswa.