Friday, May 28, 2010

Ambil Iktibar

"Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh." [al-A'raf: 99]

Kerjaya guru sering dinilai sebagai kerja yang indah dan murni. Kerjaya 'laku keras' di zaman yang serba sukar mendapatkan pekerjaan tetap. Kerjaya rebutan bagi mereka yang sedang merisik calon isteri dan menantu. Sebut sahaja kerja guru, "Wah, jadi cikgu. Mulianya!"...

Sepanjang terjebak dengan dunia ini, saya pernah menerjah soalan santai kepada anak-anak bermasalah pembelajaran. Soalan tentang kerjaya pilihan yang ingin mereka ceburi ketika dewasa nanti. Sungguh pun mereka begitu, rata-rata berkeyakinan menyatakan hasrat hati.

"Saya nak jadi cikgu macam cikgu" cepat kilat menjawab. Tapi ada silu-silu tersengeh malu.

"Saya nak jadi cikdu. Nak pepandai" pelat dan selamba pula air mukanya.

Wahai anak-anak comel yang luhur hati, dunia perguruan ini indah dan mulianya cuma di mata. Tapi sangat jenuh. Hanya seorang guru yang mengerti dunia wayang seorang guru. Hanya seorang guru yang merasai gelombang sebenar seorang guru.

Apa yang cikgu tahu, hidup kami tidak ubah seperti sebatang lilin. Asyik membakar diri sehingga tidak sedar sedang memalapkan dirinya sendiri. Jangan kamu terpedaya akan kehebatan guru yang tidak lebih dari rutin hariannya.

Terlalu mulia untuk kamu ketahui bahawa...

Guru suka marah dan menengking. Guru suka melepak, mengomel dan menceloteh tentang itu dan ini. Guru suka menjadi penjuak terhormat. Guru suka mengkritik dan mengeji tentang keburukkan orang lain. Guru suka bersenda gurau hingga terbuka aib sendiri.

Menjengkelkan bukan? Malah, guru suka menyibuk dan meletihkan diri dengan political corectness. Yang syoknya, guru tidak pernah sunyi kedepang-kedepong cepoh bersyarah tentang bla-bla-bla...

Ia lazim dan biasa.

Entahlah, barangkali ini tanggapan naif saya yang masih 'hingusan' sebagai guru. Tapi, i'm not proud and snob melihat guru itu sendiri yang merendahkan kemuliaan dunianya. Lebih dari itu, saya menilai tidak merasa ada apa-apa nikmat yang boleh dibanggakan. Sungguh malang dan kasihan. Demikian jahatnya hati saya berbisik.

Namun, tidak semua guru begitu.

Di celah-celah golongan sebegini, masih ada yang bagus-bagus untuk diteladani.

Semua orang tahu, menyampaikan ilmu adalah tugas hakiki pendidik. Sepanjang tugas itu, guru juga harus belajar mendidik diri. Guru juga patut belajar mengasuh diri. Mulia seorang guru bukan sekadar mencurahkan ilmu. Tapi menguasai dan mengamalkan ilmu untuk sinergi diri sendiri. Kerana dosa dan pahala begitu sinonim dengan kehidupan seorang guru.

Inilah peluang kita.
Anak-anak bermasalah pendengaran (pekak/bisu) ini penuh ekspresif dan agresif mengiringi perjuangan kecil saya

Syukur sekali. Ada mereka yang selalu menjadi batu asah kepada kesabaran saya. Ada mereka yang memberi inspirasi untuk cikgu sebiasa ini. Ada mereka yang menyemai rasa kasih dan sayang saya pada kerjaya ini. Ada mereka yang punya kelebihan mengingatkan kelalaian saya.

Terima kasih kerana dengan 'halus' kalian menyedarkan cikgu akan erti hidup yang perlu dijalani dengan bersungguh-sungguh dan benar. Cikgu tahu, jika tidak melakukannya dengan betul, pasti suatu hari nanti cikgu kamu ini akan menyesalinya.

Barangkali, tulisan 'halal' yang sesekali berjeda di blog saya ini akan dianggap sinikal lagi. Saya bukan minta kalian mengangguk atau menggeleng kepala. Soalnya, kita telah terbiasa dan sebati dengan hal ini sedemikian lama. Kata orang, sudah jadi 'perangai'.

Ambil iktibar ya wahai cikgu-cikgu dan bakal cikgu. Anda hanyut dalam resam sendiri tetapi anda tidak perasan. Saya juga. Apakah kita tidak mahu sama-sama membetulkannya?~

Nota: Selamat Penganti Baru kepada cikgu Azwani dan cikgu Adila yang sedang menanti 'saat lafaz sakinah' dalam tempoh terdekat ini. Bertambah tinggilah kemuliaan kalian selepas status guru dan diangkat pula sebagai isteri. Tahniah!

6 comments:

ummu said...

salam sis,
menjadi cikgu mengajar kita banyak erti kehidupan, erti kesabaran dan erti kasih sayang.kadang kala mereka menegur kita secara tak langsung ia menjadi iktibar untuk kita...

dmx said...

assalamualikum wkt...
izzah...
moga kite trmasuk...." umat yg terbaek,mjadi contoh kpd umat2 akan yg akan dtg..." :)

shameel Iskandar said...

yg paling berbahaya ialah guru yang species guru yg menjadi pengampu maha laknat dan penjilat maha keji. Dari pukul 7.30 pagi sampai 1.40 minit, dia mencari kesalahn mana-mana cikgu yg tak sehaluan dgnnya lalu dilaporkan kpd pentadbir. Di sesetngah sekolah ada pengetua bertaraf penyutua. ada PK yg tak pandai berfikir, lalu ditelan bulat2 apa yg dikatakan oleh si ampu a.k.a si penjilkat ini.

Izzah Al-Maliziyyah said...

To ummu.. Alaikumsalam WBT. Betul sangat kak. Cikgu mana yang tiada kesalahan? Cikgu bukannya manusia sempurna.

Mereka juga tidak terlepas berbuat salah dan silap. Adakalanya, cikgu kena belajar daripada pelajar~


To dmx.. Alaikumsalam WBT. InsyaAllah. Ameen Ya Rabb~


To shameel Iskandar.. Semoga kita tidak termasuk dalam golongan petualang terhormat seperti itu. Jangan risau, kerana kita semua tidak terlepas dari 'perhatian' Allah.

Doakan sahaja golongan seperti ini dikurniakan hidayah dari anugerah keduniaan semata-mata. Takut cepat lupa diri. Itu yang menjadi-jadi penyakit hati. Wallahu'alam

Tetapkan iman kami ya Allah~

Muhammad said...

Subhanallah, teruskan perjuangan. Sebagai murabbi (pendidik) disamping muallim (pengajar). Pendidik sejati ibarat batu asah.. Di sebalik setiap pedang yang tajam dikagumi dunia ada batu asah yang tak terkenal pun.. Hanya ganjaran ukhrawi layak bagi insan yang mengorbankan hayat sebagai guru.

Mencadangkan artikel, http://astrangemuslim.blogspot.com/2010/05/murabbi.html
Sekadar bertukar pandangan, wallahu a'lam.

Cikgu Zailani said...

Guru adalah guru
ada kalanya tergaru-garu
kerana kehidupan yang cukup2 je...