Tuesday, September 28, 2010

Saya Kembali

"Dan aku menyerahkan urusanku kepada Allah." [Ghafir: 44]

Lambat-lambat saya menyapa halaman ini.

Lama juga ia ditinggalkan berirama sendirian.

Sepinya sudah dapat dihidu.

Aduh! rindu nian siapa yang tahu. Kepingin benar mahu riuh kembali. Getus mengomel dengan kalimat-kalimat nan indah. Namun, kemahuan secebis ini tidak pantas untuk digesa-gesa. Selera sepotong ini juga tidak sedap jika dipaksa-paksa.

Alhamdulillah, asalkan jemari saya mahu bernadi untuk menaip-naip di sini. Itu pun sudah cukup memadai autentiknya.

Ya, signifikan dalam banyak perkara lain juga.

Mamaksa dan dipaksa hanya akan menyulitkan lagi keadaan.

Titik. Dan titik bersambungan...

Saya melihat tarikh entry sebelumnya. Saya kira, inilah transit yang paling jauh perjalanannya sekembali saya dari daerah Ramadan. Sehingga ada yang bertanya dan menegur. Tidak kurang sekerat dua yang menyindir gurau.

Apakah akan wujud lagi kalam saya di sini?

Atau sudah jauh menyelam ke wilayah perairan Karibia?

Atau telah berjaya mendakap awan di puncak Kalimanjaro?

Atau sedang kemaruk menyulam cinta uda dan dara?

Tidak untuk cinta, Karibia dan Kalimanjaro.

Nah, ini cekatannya!

Buat yang menyangka-nyangka, saya masih berkudrat. Tekal bersujud dan berjalan di bawah langit-Nya. Hanya masa dan kehidupan saya sahaja sedikit berubah. Terpanggil untuk sebuah keperluan yang minta dibelah-belah kepada beberapa bahagian baharu.

Memang. Dengan berharap agar warna-warna suram yang dulu tidak akan terus kelabu dipalit debu. Dengan berharap tiada lagi kesibukkan untuk mengutip puing-puing kecewa yang telah berserakkan. Saya mahu melangkah dengan lebih jauh, teratur dan kemas.

InsyaAllah.

Sebelum kabur kata-kata saya, rasanya belum terlewat untuk saya mengucapkan salam Eidul-Fitri dan terima kasih kepada kalian yang masih sudi bertamu di halaman ini.

Andai ada salah silap saya, baik kecil mahupun besar, mohon semuanya disucikan dengan kemaafan daripada hati yang tulus. Maaf zahir dan batin ya~

Nota:
1. Alhamdulillah, papan aksara baru sudah menanti di depan mata. Sayang sekali susuk tubuhya belum bisa mengiurkan keghairahan saya.

2. Entah kenapa saya setia bernafsu menekan-nekan yang lama, yang lusuh seri rona dan gelita wajahnya.

3. Barangkali yang bernama Toshiba itu tidak pandai menggoda indera dan jiwa ini. Pelik juga, bagaimana saya sudi melamarnya?

3 comments:

Ibnu Ali said...

Alhamdulillah

eza2odette said...

sungguh puitis..dalam maknanya.tapi saya terhibur. :) salam perkenalan..

Izzah Al-Maliziyyah said...

To Ibnu Ali.. Alhamdulillah~

To eza2odtte.. Terima kasih. Dengan senang hati, salam ukhuwwah juga~