Saturday, January 29, 2011

Andaiku Tahu

"Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada siapa yang mengetahuinya melainkan Dia sahaja." [al-An'am: 59]

Sejujurnya, saya sendiri tidak ketahui. Barangkali ini entry terakhir saya. Boleh jadi tidak. Malah, kemungkinan besar akan ada perkongsian yang seterusnya. Itu pun belum tentu lagi hasil ketipan jari-jemari saya. Dan belum tentu juga catatan yang terzahir itu nanti datangnya dari keinginan hati saya.

Wallahu'alam. Semuanya tidak mustahil bukan?

Entah-entah entry yang akan datang adalah satu entry khas. Khusus untuk saya kepada kalian. Terbit di sini daripada seseorang yang mewakili diri saya. Saya yang sudah terlalu jauh. Menyampaikan khabar berita pemergian seorang Izzah Al-Maliziyyah.

Agaknya, ini bunyi keterharuannya...

"Al-Fatehah buat Almarhumah pemilik blog MyHumairaKu.

Assalamu'alaikum WBT. Untuk pengetahuan semua, pemilik blog ini, si fulanah binti si fulan telah pun kembali ke Rahmatullah pada sekian masa dan tarikh yang lalu. Saya berharap kalian semua dapat memaafkan Almarhumah atas kekhilafan beliau sepanjang kalian mengenalinya di sini atau di mana-mana.

Mohon disedekahkan Al-Fatehah untuk Almarhumah."


Aduh. Bagaimanakah nanti ya?

Membayangkan hal seumpama ini memang menakutkan. Gerun. Hati saya mula bergetar. Dan debarnya sikit-sikit jauh terasa.


Ya. Suratan takdir memang tiada siapa yang mampu untuk menjangkanya. Bila sudah tiba masanya, 'realiti' tidak mungkin ditangguh. Perpisahan akan tetap menjengah juga walau sesiapa pun cuba melarikan diri daripadanya. Meski air mata dengan murahnya menjadi saksi. Ketika itu, segala-galanya harus ditinggalkan jua.

Aha, saya juga ada tertanya-tanya sendiri. Bagaimana kalian akan menyambut berita itu nanti? Sudikah kalian mendoakan saya? Paling kurang, cukuplah jika kalian dapat memaafkan salah silap saya. Ameen.

Baiklah rafik sekalian, saya tidak berhajat untuk mengundang kerisauan sesiapa. Maafkan saya ini. Saya yang suka dan sering mengungkapkan mauduk sebegini. Senyum sejeda. Saya rasa hendak ketawa...

Alhamdulillah.

Hari ini, kalian sedia maklum bahawa saya masih di sini. Saya adalah perahu yang menongkah arus. Sebuah perahu yang perlu terus meredah segara. Mengharung mehnah dan tribulasi di permukaannya.

Hanya sesekali berehat di pengkalan singgahan. Entah bila akan selamanya berlabuh di pengkalan abadi. Tiada siapa yang mengetahuinya melainkan Dia sahaja. Pemilik anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib.


Ah, sedikit waktu lagi saya akan melewati usia awal 30-an. Bukan soal tua, kedut dan entah apa-apa lagi yang kebiasannya dirisaukan. Tetapi ada sesuatu yang lebih serius.

Memikirkannya, hidup ini seperti dicubit-cubit. Buat saya tersedar. Mengharuskan saya supaya lebih kemas dalam tindakan dan masa depan. Lanskap kehidupan saya perlu diperindahkan sebelum ia lebur berpapasan.

Entahlah.

Sejak akhir-akhir ini saya agak gerun melihat cermin. Pandangan saya sentiasa terarah dari satu sisi yang berbeza. Setiap kali itu juga, intuisi saya seakan berkata-kata mengenai ajal. Terlihat kematian sedang memanggil saya. Kian mendekat. Karib. Saya merasainya. Sungguh merasainya.

Dan cuma hati berdetik, andaiku tahu...


Ya Rabb, pinjamkan hamba-Mu ini kekuatan itu.

Allahumma ameen. Allahumma ameen. Allahumma ameen~


Nota: Saya ralat bila ada orang terlebih berseloroh bab kematian. Katanya takut tidak sempat mengecap nikmat berkahwin. Bagaimana pula dengan kesempatan bertaubat? Bukankah yang itu jauh lebih nikmat?


4 comments:

IMANSHAH said...

salam, terkejut juga masa serach google MYHUMAIRAKU..terkeluar pemilik blog dah meninggal..hurm, terlintas sapa yang datang komen ke blog saya??huhu

Semoga diberi kekuatan dan nikmat kehidupan untuk menjadi hamba yang bertaqwa

Izzah Al-Maliziyyah said...

To Imanshah...

Alaikumsalam wbt cikgu. Jika tulisan ini mengejutkan sebentar, mohon dimaafi ya. Saya tidak berniat untuk mengacah atau mempersendakan hal kematian.

Allahumma ameen~

Tambahan:
1. Semoga penulisan ikhlas ini tidak disamakan dengan kisah si pengembala kambing yang suka mengenakan orang kampung.

2. Menipu berdosa. Selalu menipu jatuh munafik.

Ibnu Ali said...

Di bandar Jurusalem
dekat sungguh kalau waja diredahi
syahid memanggil-manggil

Sungguh enak berbicara tentang mati
kerana banyak yang ditinggalkan
dari yang menyayangi dan disayangi
namun diri lebih mengerti

Jangankan taubat
rahmat Allah pun belum dipunyai
Syurga itu ada mahal tolnya
Bukan semurah tol ke neraka

Bicara tentang mati itu senak
kerana mengisi kepala dek kerja
kerja yang payah dilakukan
malah bukan kerja yang disukai

tersusun jadual mati itu
juga rezekinya
jodohnya

Apa yang belum terjadual?
Kerja kita
peranan kita
sebagai khairu ummah
mahukah Muhammad mengaku kita ummatnya?

Bicara mati ini di mana-mana
Ada di disko bicaranya
Ada di pasar hingarnya
ada di masjid kadangnya

Mukmin, munafiq, kafir
semua bicara mati
kerana semuanya tahu mati
tapi tidak bagaimana cara mati

Terarah bicara mati bagi Mukmin
tersasar bicara mati bagi munafiq
tersesat bicara mati bagi kafir

Untung mukmin ini ada disediakan syurga dan neraka
Rugi munafiq dan kafir
tiada pilihan

Ingatkan mati sejenak
bagi menyusun kerja berjejak

Ibnu Ali
Kaherah
Bumi Kinanah.

Izzah Al-Maliziyyah said...

To Ibnu Ali...

Acapkali mereka mengira tempoh umur bersara
Acapkali itu juga ada yang menghitung langkah ke pusara~

Jazakallahu khairan jaza'~

Izzahnm
Big River
Bumi 1Malaysia