Saturday, January 01, 2011

Masa Itu Usia Kita

"Maka apakah kamu mengira bahawa Kami menciptakan kamu secara main-main (tanpa ada maksud) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?" [al-Mu'minun: 115]

Alhamdulillah. Hari ini terbit angka baru. 2011. Bezanya cuma pada angka 0 kepada angka 1 bukan? Tidak ada yang luar biasa dan menarik mana pun.

Saya lihat, matahari tetap bersuluh cahaya. Hamparan langit juga masih indah bermega. Haa, burung-burung di sekitar rumah saya pun riang-ria seperti biasa. Seronok berkicauan sepanjang masa.

Sebaliknya, tidak pula saya terfikir bahawa mereka sedang berpesta. Bergembira dengan kedatangan Tahun Baru.
Semua itu sememangnya menjalankan fungsi sediakala. Mengikut aturan fitrah semesta.

Sayangnya, kita sahaja yang tersasar dari landasan fitrah. Anjur majlis sosial sana. Taja majlis sosial sini. Maka, lebih ramailah yang akan gigih 'berhuha-huha' tidak tentu hala hingga ke lewat pagi.

Kononnya, tiada aktiviti, tiada pelbagai persembahan hiburan, tiada limpah cahaya bunga api, tidak bermakna sambutan Tahun Baru.

Tidak gempak bumi 1Malaysia.

Inilah tradisi kita. Majlis bertafakur dan 'berhibernasi' hanya akan berlangsung bila sesuatu bencana menimpa negara. Itu pun jika kebetulan bencana tersebut berlaku menghampiri tarikh sambutan. Oleh yang demikian, rakyat jelata diajak sama-sama menginsafi.

Bermuhasabah sekejap.

Cuba kita soroti mengenai tarikh hari ini pula. Mungkin bagi sesetengah orang, mereka menganggap nice. Hari ini stimewa adalah kerana gandingan angka satu. Rata-rata suka mencatatnya dengan 1.1.11. Dan barangkali, kebetulan pula tarikh ini jatuh pada hari ulang tahun kelahiran atau tarikh-tarikh penting dalam hidup mereka. Maka, sambutannya akan jadi lebih bermakna.

Tidak mengapa. Itu rukyah (pandangan) masing-masing. Tiada yang salah. Adakalanya, tarikh tertentu juga adalah hak kita untuk meraikannya. Cuma perlu dengan hemah dan kesesuaiannya.


Saya yakin, sana sini kebanyakkannya masih lagi sibuk memperkatakan tentang Tahun Baru. Ucapan dan cerita tetang azam baru pun nampaknya tidak jemu-jemu. Bertalu-talu. Dari SMS, email, laman blog hingga ke muka buku.

Fikir saya, gamaknya azam pun tidak ubah seperti nasib lampu-lampu. Ini bukan lampu biasa. Tetapi lampu lip lap atau led lamp. Lazimnya, lampu-lampu ini hanya akan ghairah dipasang apabila tibanya bulan puasa dan musim-musim perayaan.

Kesian. Manfaatnya cuma untuk menerangi sekian-sekian waktu sahaja. Habis musim, cahayanya akan malap semula. Begitu juga dengan 'suluhan' azam baru kita.

Entahlah. Bagi saya setiap tahun sama sahaja. Lagi pula tahun baru yang ini cuma tradisi kalendar Masihi dan bukannya Taqwim Hijrah. Tidak memberi sebarang makna. Disambut tanpa doa akhir dan awal tahun. Nothing special.

Aha, malam tadi pun saya tetap tidur awal. Bukan kerana terlelap. Memang saya berniat mahu tidur. Tidak berteleku menghayati butir-butir ucapan Pak Menteri. Tidak mengintai sebarang rancangan TV. Apatah lagi untuk menanti count down bagi kemunculan percikkan bunga api yang berwarna-warni.

Dan hari ini saya menjalani kewajipan dan rutin seperti biasa. Tanpa sebarang azam yang agak impiana belaka. Cumanya, saya berharap dapat menjadi yang lebih baik dari semalam. Kerana itu bukanlah azam tahunan saya. Tetapi azam kecil-kecilan yang akan diperbaiki setiap hari.

Sungguh pun kecil, impaknya sangat berharga.

Seolah-olah ia menguak 'jendela' baru dalam hidup saya.

Berharga pada saya tidak semestinya berubah atau ditukar baru. Betul kan?

Sebenarnya, seawal pagi tadi saya ke pekan semata-mata untuk menukar bateri jam tangan saya.
Jam yang rupa parasnya sering sahaja tersembunyi di sebalik sarung lengan hitam.

Seingat saya, kali terakhir saya menukar bateri jam tersebut sekitar penghujung tahun 2008. Menukarnya di Giant Peringgit, Melaka.
Hayat jam tangan itu dengan saya pun sudah melebihi empat tahun.

Masih berseri. Masih berfungsi dengan baik.

Alhamdulillah. Kemesraan kami utuh sebagaimana diawal-awal akad dulu.
Tanpa jam tangan itu, hidup saya serasa tidak lengkap. Satu-satunya jam tangan yang sudi menemani saya ke mana-mana. Tiada dua atau sebarang penggantinya. Melainkan jika suatu masa nanti ditakdirkan pendek jodoh.

Oh ya, kata beberapa orang, saya ini jenis yang setia. Wallahu'alam. Saya sendiri tidak pasti sejauh mana kebenarannya.

InsyaAllah, saya mahu memanfaatkan jam itu seperti mana saya menghargai masa. Bukan untuk bergaya atau sia-sia. Ada harga. Ada nilainya.

Semoga saya dapat menghormati masa saya. Menjauhi yang lagho. Mendekati yang redho. Harapnya tidak culas-culas lagi. Kerana masa itulah sebenarnya usia saya. Umur saya. Umur kalian juga.

Tempoh masa yang telah dan akan menyambung segala catatan amalan kita. Yang mana sedikit waktu lagi, semuanya akan dihisab di sana kelak.

Syukurilah nikmat masa.

Sebelum ajal memanggil kita~

Nota: Semalam saya ada membuat sedikit coretan di muka buku. Meninggalkan catatan itu dengan persoalan di sebalik 2011, 'Adakah yang hidup akan segera 'pergi'?'. Maka, jangan main-main ya!

2 comments:

IMANSHAH said...

betul dan benar sekali, tiada apa2 yang berubah, hanya angka sahaja yang bertambah. Dan saya juga walau pun meniti hari istimewa saya, tidak akan meraikan apa2..cuma sekadar mencoretkan sesuatu buat tatapan sahabat dan rakan taulan. Rutinnya seperti biasa, tiada kek buat santapan, tiada teman untuk keluar makan..yg penting baru siap mengecat koperasi, menjadi buruh untuk hari ini, esok dan bila2...

Izzah Al-Maliziyyah said...

To Cikgu Imanshah.

Tiada kek tidak mengapa cikgu. Ada santapan lain. Kalau tidak nasi, mee maggi pun kira santapan jugak kan? Tang 'buruh' tu alahai..

Semoga hari ulang tahun cikgu menjadi lebih bermakna. Em, besar pahala menjadi seorang 'buruh'. Tambah lagi di hari istimewa..hehe~