Saturday, January 08, 2011

Naskah Itu

"Orang yang diberi kepada mereka kitab, mereka sudah membaca dengan sebenar-benar bacaan, maka mereka golongan yang beriman dengannya dan bagi mereka kufur terhadapnya, maka mereka golongan yang rugi." [al-Baqarah: 121]

"Oh, beg itu daripada cikgu ke?"


"Ya, beg yang itu daripada cikgu."

Pagi semalam saya berbasa-basi dengan Suhaida. Di dalam foto di atas, kedudukannya dua dari kiri.

Alhamdulillah. Akhirnya berkesempatan juga. Itu pun kerana kebetulan. Kami bertembung dalam minit-minit terakhir waktu persekolahan.


Tujuan sebenar saya mahu berjumpa dengan Suhaida adalah untuk bertanyakan khabar mengenai musibah kebakaran yang menimpa rumah keluarganya. Dari sumber yang saya tahu, hampir keseluruhan rumahnya hangus dijilat api.

Kesian. Tentu Suhaida masih bersedih dan trauma. Maklumlah, minggu pertama persekolahan baru bermula. Serba bersemangat. Jangan kerana musibah ini, semangatnya hangus terbakar sekali sudahlah.

Sepanjang pertemuan singkat itu, saya sekadar memberi sedikit nasihat mana yang terlintas. Memandangkan tahun ini adalah tahun penting Suhaida. Beberapa bulan lagi dia akan menduduki peperiksaan UPSR.

"Jangan lupa ya. Manfaatkan pemberian cikgu yang tidak seberapa tu. Sungguhpun sudah terpakai, tapi masih elok dan cantik. Terutamanya, al-Quran terjemahan. InsyaAllah, kamu akan semakin dekat dengan Allah."

"Baik cikgu. Terima kasih... Haa, saya dah pakai nombor telefon baru. Nanti saya mesej cikgu."

"Okey. No problem... Aik, kenapa? Handset kamu pun hangus sekali ke?"

Suhaida dan kawannya tergelak kecil. Begitulah lelucon spontan saya. Kadangkala bunyinya seakan menyindir. Sebetulnya, ia menambah kemesraan kami.

Faham sahajalah murid zaman sekarang. Semuanya advance. Sejak dari dulu lagi, rajin benar dia menghantar SMS kepada saya. Bertanyakan khabar dan memberi ucapan.

Biasalah, ragam budak perempuan tengah membesar. Agak gedik berceloteh. Jelas lagi sikap keanak-anakannya. Dan sebenarnya, saya kurang mengenali latar belakang Suhaida.

Saya akui, Suhaida adalah salah seorang murid aliran perdana yang masih ramah dan sopan menghormati saya serta guru-guru lain. Ya. Walaupun saya hanya mengajar dia dan kawan-kawannya untuk kelas Skim Bantuan Tuisyen tahun 2009. Malah, pernah dua kali dia bersama kumpulan saya semasa Kem Bestari Solat.

Selesai sudah sesi berpesan-pesan.

Saya dapat lihat, memang Suhaida lebih banyak mengangguk bersulam sengeh. Ada bening di kelopak matanya. Pada telahan saya, barangkali dia terharu. Ah, tentu sekali. Hati mana yang tidak sebegitu.

Saya berlalu dengan senyuman puas. Cewah, ala-ala seorang motivator.

Sejurus itu, saya bergegas mengambil barang-barang untuk pulang. Sepanjang jalan, menerawang sekejap fikiran ini. Saya teringatkan seseorang. Calon UPSR 2010 yang telah berjaya mendapat 5A. Ukhuwah antara kami bertambah baik juga kerana senaskah al-Quran terjemahan.

Walau di mana dia berada sekarang, semoga dia tidak akan melupakan naskah itu. Panduan dan pedoman hidup untuk terus mencipta kejayaan dunia dan akhirat.

Harap begitulah juga kalian di sana. Dan saya di sini semestinya~

Nota:
1. Sejak dari dulu lagi saya gemar memilih al-Quran untuk dijadikan hadiah. Selalunya sebagai kenang-kenangan tanda persahabatan. Memberi dan diberi. Kita perlu hargai...

2. Ramai di antara kita akan resah gelisah jika tidak menghadap TV. Tidak membaca surat khabar. Tidak mengulati buku-buku seumpama novel. Tidak menjengah laman web, muka buku dan sebagainya. Tetapi tidak pula mereka berasa gelisah dan bersalah bila al-Quran sendiri 'dianaktirikan'. Terbiar berdebu tidak dijamah isinya. Pelik...

5 comments:

IMANSHAH said...

Salam Izzah

Saya juga baru menerima senaskah Tafsir Alquran bertajuk MIRACLE..sedang selalui membelek-beleknya..Banyak kelebihannya. Dan inilah saya suka kepada transformasi. Selain dapat belajar membaca Al-quran, dapat juga saya tahun maknnaya, tajwidnya serta asbabun nuzul..wallua'lam

Izzah Al-Maliziyyah said...

To Cikgu Imanshah.

Alaikumsalam WBT...

Alhamdulillah. Tahniah dapat hadiah yang sangat bernilai itu. Semoga 'The Miracle' akan menjadi teman setia cikgu. Kini dan selamanya~

Tambahan:
1. Mengetahui asbabun nuzul besar manfaatnya.

2. Bukan sahaja dapat menambahkan perbendaharaan baru, meluaskan pandangan dan pengetahuan.

3. Malah dapat meningkatkan perspektif serta menemukan sesuatu perkara baru.

Rezza Khanafiah said...

Murabbi saya selalu berpesan. Dia berpesan berkali-kali:

"Tiada guna kamu mempunyai pangkat hingga PhD sekalipun, jika rumah kalian tidak pernah bermandi cahaya Kalam Ilahi"

Mungkin perlu membasah bibir walaupun sekadar sebaris (satu ayat) cuma dalam sehari.

fatanah said...

salam kak izzah

salam takziah jugak untuk adik suhaida...saya pernah melalui saat getir seprti itu,semua habis dimakan api...sungguh dia nampak ok, tetapi trauma penangan kejadian itu hanya dia yg rasai..oang len tidak akan merasai seteruk yg dia rasa...moga adik suhaida tabah dan kuat dengan 'nuskhah' itu..itu adalah sumber motivasi yang terbaik untuk saya ketika melalui saat seperti itu dahulu.

Izzah Al-Maliziyyah said...

To Rezza Khanafiah.

Setuju sangat. Biar sedikit tapi konsisten. Nampak istiqomahnya.

Sayang sekali, kebanyakkan di antara kita lebih gemar mengejar ilmu dunia setinggi-tingginya. Ilmu agama tidak pula diambil pusing.

Natijahnya, ramai orang pandai yang tidak cerdik. Ini kerana mereka berilmu tetapi tidak beramal. Wallahu'alam~



To Fatanah.

Alaikumsalam WBT...

Benar. Al-Quran adalah 'nuskhah' (catatan) motivasi dan terapi paling mustajab. Teruskan semangat kamu sebagai seorang 'hafidzah' yang solehah. Akak doakan kamu dari kejauhan~