Wednesday, March 30, 2011

Solusi: Betapa 'Azimnya NikmatMu

"Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan lepaskan ia dari masalah hidup dan diberikannya rezeki dari sumber yang tidak diduga. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu." [ath-Thalaq: 2-3]

Dalam hidup kita, berfikir dan bermuhasabah sangat diperlukan. Kedua-dua proses ini merupakan salah satu tugas utama setiap mukmin yang berakal. Setiap mukmin yang benar-benar mahu beriman kepada Allah SWT.

Dengan berfikir dan bermuhasabah, kesejahteraan hidup kita juga mudah dicapai. Malah, ia dapat menjana minda optimistik dan membina kesan positif terhadap sesuatu perkara.

Namun, tidak semua kesannya muluk-muluk sahaja. Adakalanya, semakin jauh kita berfikir dan bermuhasabah, semakin sulitnya mencari natijah. Kita sukar menemui titik-titik jawapan. Hati kita terus-terusan diselubungi khilaf.

Ya, kita keliru.
Buntu. Dan bercelaru. Selalunya dalam membuat pilihan dan keputusan.

Itu sebabnya, kekadang timbul persoalan mengapa kunci telah tersedia di depan mata, tetapi solusinya tidak juga berkunjung tiba. Kita berkeluh-kesah tidak sudah-sudah.

Seelok-eloknya ubah cara berfikir dan bermuhasabah.

Di sinilah peri pentingnya
takwa dan tawakal. Maka, bagi yang setia beramal dan beriman dengan 'ayat 1000 dinar' di atas tentu lebih mudah untuk memahami dan merasai akan fadhilatnya.

Teruskan. Bertakwa dan bertawakallah bersungguh-sungguh kepada-Nya.

Janji Allah bukan omongan kosong. Bukan sia-sia...

Oleh yang demikian, kita kena yakin dan percaya bahawa Allah merancang dengan penuh rahsia. Dan apabila sampai masanya,
Allah akan beri nikmat-Nya juga. Nikmat yang kita tidak terjangkakan.

Barangkali saat itu, desis hati kita pasti berbunga-bunga merafakkan syukur.

"Ya Tuhanku, bagaimana harus aku percaya semua ini? Betapa 'azimnya nikmat yang Engkau berikan!"

Alhamdulillah. Akhirnya, segala persoalan kita terjawab jua bukan?

InsyaAllah, selagi kita bertakwa dan bertawakal, pasti Allah akan ketemukan kita pada kemuncak solusi yang telah ditentukan-Nya~


Nota: Selalunya saya beroleh idea dan bersemangat baru sejurus meratah buku. Tetapi terasa perlahan dan sambil lewanya saya menghadam ilmu. Entahlah. Lambat atau cermat wallahu'alam!

3 comments:

CKsr said...

"Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah,
(Cinta kpdNya dan takut murkaNya)

nescaya Allah akan lepaskan ia dari masalah hidup
(masalah hidup selesai pabila mati menjemput kita; pasal tu fokus pd 'mati'tu.. walaupun kita ditegah dari minta mati, tapi tak salahkan kalau kita angan2kan mati yang bagaimana..)

Dan diberikannya rezeki dari sumber yang tidak diduga.
(kerna itu rezki jangan dikejar, lotih je yang dapat.. fokus semula kerna apa kita buat sesuatu itu..)

Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya.
(Untuk dunia, 3 perkara sudah mencukupi; makanminum, pakaian dan tempat tinggal, untuk akhirat; ilmu, yakni pengetahuan bagi mendapat redhaNya )

Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya.
(hanya masa yang menentukan, maka itu bersabarlah )

Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu." [ath-Thalaq: 2-3]
( maka nikmat Allah yang mana lagi yang mampu kita dustakan)

Ucapkanlah syukur sebanyak2nya, nescaya akan ditambahkanNya -falain syakartum walaazidannakum-, mungkin kita terlupa untuk bersyukur pada nikmat 'kecil2an' kerna itu Dia belum sempurnakan 'nikmat' itu. Macam orang makan, tapi tak kenyang, dahla tak kenyang,kena sembelit pulak lagi... jangan lupa makan obat..

# Salam dan maaf jika apa yang saya nukilkan tak sesuai, apa pun hanya Allah yang Maha Sempurna..

IMANSHAH said...

salam izzah

lama tak mengupdate ye..saya faham, jika tida apa yg bermanfaat, izzah tak akan kongsikan.. nak tanya MULUK-MULUK tu apa?

Izzah Al-Maliziyyah said...

To CKsr...

Benar cikgu. 'Haza min fadhli Rabbi'.

Syukran jazilan. Semoga bermanfaat. Dan Allah redha apa yang kita kongsikan di sini. Ameen~



To imanshah...

'Alaikumsalam wbt cikgu. Alhamdulillah. Blog saya ini istiqomahnya tahap seminggu sekali je cikgu. Itu pun jika ada sesuatu yang hendak dikongsikan.

Memang tak mampu saing 'Hok Sengoti'. Kelih-kelih update sokmo! hehe..

Nota:
'Muluk-muluk' maksudnya yang indah-indah jika untuk perkataan dan ayat. Selebihnya membawa makna yang elok-elok/baik-baik. Wallahu'alam~