Saturday, April 23, 2011

Cabaran TDK 1000 Menara

"Dialah yang menjadikan bumi untuk kamu yang mudah dijelajahi, maka jelajahilah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezeki-Nya. Dan hanya kepada-Nyalah kamu (kembali setelah) dibangkitkan." [al-Mulk: 15]

Hari ini saya terpanggil untuk mempromosikan sesuatu dikala musim buku sedang rancak berpesta. Semoga ia menimbulkan minat dan nyala rasa pencinta ilmu sekalian. InsyaAllah, sekaligus bermanfaat dan ada khairnya.

Ekoran melintasi status-status FB dan menyinggahi catatan baharu di blog 'Transisi Fikrah' Faridrashidi.Com, saya membuat keputusan. Dek kerana kesan keterujaan, lekas-lekas saya menyanggupinya.

Barangkali kerana istimewanya buku di mata saya. Lantas, saya nekad mencuba tawaran di entry ini. Siapa tahu, rezeki saya dapat buku free. Dengan senang hati, ia juga sebagai tanda sokongan saya sempena kelahiran Travelog air tangan Ustaz Farid Rashidi.

Setakat ini, saya belum berpeluang menghadap buku beliau. Apatah lagi menjamah hidangan tulisan sulungnya. Yang pasti, saya telah menghidu aroma sinopsis yang tersedia di weblognya.

Sejujurnya, sedikit sebanyak beberapa kerat itu sudah mula membangkitan selera rasa saya untuk turut menumpangi siri travelog beliau. Barangkali juga terkesan selepas membelek-belek sosok reka letak kulit TDK 1000 Menara tersebut. Natural dan sederhana. Kematangan grafiknya juga seiring dengan tajuk pilihan.

Ya. Mana-mana penulis tentu sama sahaja. Saya yakin, mereka mahu melihat kulit karya mereka memberi citra atau persepsi pertama terhadap kandungan penulisannya.

Tahniah Ustaz Farid dan tim produksi TDK 1000 Menara. Perit jerih berhalangan yang lalu akhirnya membuahkan hasil di depan mata. Memang ia jenuh dan kadangkala menyeksakan bukan? Namun, saya yakin di sebaliknya tetap terselit keseronokan, kemanisan dan keindahannya.

Saya mendoakan semoga karya sulung ini mendapat sambutan baik dengan corak jualan yang memberangsangkan. InsyaAllah, siapa tahu ia akan mencatatkan bestseller hingga ke tahap diulang cetak.

Teruskan menulis. Teruskan mewarnai bakat anda!

Buat teman-teman ziarah budiman, kalian dijemput untuk sama-sama memiliki dan membaca travelog ini.

Tajuk Buku: Travelog: Debu-Debu Kota 1000 Menara
Penulis: Farid Rashidi

Penerbit: http://www.faridrashidi.com
Tahun Terbitan: 2011

Harga: RM25.00
Ketebalan: 271 muka surat

Sinopsis & Tempahan: Maklumat lanjut di sini


2.

Sejauh manakah pengetahuan anda mengenai buku berbentuk Travelog?

Saya adalah salah seorang penggemar tulisan berbentuk travelog. Travelog adalah siri perjalanan atau pengembaraan. Ia dinaratifkan tidak hanya terikat kepada merentas sempadan negara semata.

Ya. Travelog itu luas maknanya. Asalkan ia dapat mencipta kenangan sendiri. Itupun sudah boleh diilhamkan ia menjadi episod catatan kembaraan hidup. Sungguhpun setakat ini tidak banyak yang saya hadami, tidak banyak yang saya miliki, namun intipati asas sesebuah penulisan travelog sudah saya maklumi.

Kebiasaannya, mana-mana tulisan travelog pasti tidak lepas lari dari lingkungan biografi atau catatan peribadi. Sebagaimana travelog senioroti yang diungguli Kisah Pelayaran Ibnu Batutah dan Hikayat Pengembaraan Munsyi Abdullah.


Namun selagi mana siri travelog itu tidak diakrabi, adalah mustahil untuk menyatakan kefahaman sebenar saya tentang isi-isi yang hendak dikongsi. Ini kerana catatan kembara yang ditulis oleh setiap penulis adalah tidak sama. Mereka mengalami pengalaman yang berbeza.

Lain padang, lain belalangnya.

Lain penulis, lain sudut pandangannya.

Lain travelog, lain kepuasan kembaraannya.

Apatah lagi penulisan berbentuk travelog. Seboleh mungkin setiap penulis akan cuba menawarkan suatu kelainan yang ingin dikongsi dengan khalayak. Apabila sebut ingin dikongsi, ini bermakna khalayak dibenarkan untuk memasuki hidup penulis secara tidak langsung.

Dan kebanyakkan dari penulisan kotemporari tempatan dibukukan untuk membawa khalayak berkongsi pengalaman sebenar. Bukan pengalaman rekaan sebagaimana alam khayalan penulisan novel.

Apa yang saya tahu, travelog diadun meliputi pelbagai posisi kehidupan. Baik dari segi latar bumi, budaya masyarakat tempatan, konflik, tragedi, isu atau permasalahan yang timbul sekitar pengembaraan.

Tulisan berbentuk travelog juga akan menjadi semenggah apabila penulis menyulami sub tajuk dengan menyelitkan informasi bersama fakta-fakta sejarah yang sarat maklumat. Bahkan, isi travelog yang baik tidak pernah sunyi untuk mengajak pembaca mentadabbur alam. Tentu lebih alami dan mengesan signifikan sesebuah travelog.

Dari sisi lain pula, penulisan travelog lazimnya diungkap dengan santai menggunakan bahasa yang longgar. Apa yang ingin dikongsi menjadi lebih mesra dan mudah sampai. Hinggakan pembaca secara automatiknya seperti sedang mengulangi kembaraan tersebut.

Setidak-tidaknya pun, pembaca merasai penulis itu seorang yang ramah mengakrabi mereka. Sehingga menerbitkan rasa akrab pembaca terhadap warna yang dibancuh pengarang. Dan dalam masa yang sama, seolah-olah si penulis sedang berlisan dengan khalayak secara langsung.


Kadangkala di akhir lembaran tulisan, penulis dengan murah hatinya akan menyediakan hidangan 'pencuci mulut'. Di mana diperuntukkan beberapa helaian dengan lampiran gambar-gambar kenangan travelog sebagai tatapan pembaca.

Itu juga dikira bonus. Nilai tambah yang mampu memperkukuh dan menambahkan lagi seri keistimewaan sesebuah travelog.


Wallahu'alam.

3.

Untuk menjadikan Travelog menarik, perlu bersedia untuk... sebuah penulisan jujur bersahaja. Hemah mengungkapkan emosi dan kronologi. Bijak memperincikan diskripsi dan bermain dengan diksi. InsyaAllah, pasti memikat hati.

Nota: Tahniah juga kepada sahabat-sahabat penulis yang lain. Ada yang bertanya, Travelog saya bila lagi? Seloroh saya, "Entahlah bila nak on track. Agaknya kena tunggu 'cukup haul dan nisabnya' dulu kot..."

2 comments:

CKsr said...

Salam,
Alhamdulillah, tentu seronok rasanya bila kita berada ditempat seperti Pesta Buku ni, boleh ralit dan tak terfikirkan hal2 lain.. em..best..
Insyallah,semua yang baca blog ni akan sampai dsana.. moga bermanfaat..

IMANSHAH said...

belum sempat ke sana..ralatnya