Thursday, April 28, 2011

Siapa Saya?

"Kamu sentiasa menjadi alim selagi kamu menjadi pelajar;
maka apabila kamu merasa cukup (perasaan kaya ilmu) kamu telah menjadi jahil."

[Riwayat Al-Imam Ibn Abd Barri dan Abdul Ghassan; Riwayat Muslim]

Ada tika dan saatnya. Dari seberang meja, mata saya mengecil sambil tersenyum mengubat rasa sendiri. Senggang masa P&P, sengaja dibiarkan untuk duduk melepaskan lelah di kerusi. Kalau tidak pun, pasti akan bertenggek di mana-mana. Leka diisi dengan membaca dan menghayati kerja-kerja sendiri.

Entahlah. Akhir-akhir ini saya lebih banyak bersahaja di hadapan mereka. Berpsikologi dan membisu dingin. Tanda protes dan marah jika ada anak-anak yang lebih-lebih bertingkah-laku. Alhamdulillah, mereka semakin mudah memahami bahasa begini. Praktikal dan terkesan.

Bukankah yang bernama guru itu wibawanya persis seorang ibu?

Dan kini, sedar tidak sedar, hari berganti seperti berlari. Ya, saya masih lagi di sini. Menjadi seorang ibu guru yang kadang-kala bukan masuk dan hanya terpacak mengajar itu dan ini. Tetapi masuk dengan tidak mengajar.

Sungguh. Saya tidak mengajar. Sekadar mengambil sedikit waktu untuk duduk menyandar sebentar. Diam terpaku. Saya menatap wajah anak-anak yang kian membesar itu satu persatu.

Kami saling berpandangan.

Mereka tersengih dengan gelombang istifham sesama sendiri.

Saya suka kembalikan ingatan pada salah sebuah 'kitab wajib' saya. Sudah masuk tahun ketiga diusung dari kelas ke kelas. Bertukar tangan antara saya dan mereka. Diselak-selak ia hingga kusam dan robek.

Kulit luarnya sengaja saya selitkan sepotong peringatan. "...Remember that you are not just a teacher, but you play your role as khalifah of Allah." Sungguh mereka tidak fahami. Tetapi saya? Patutkah itu dijadikan hiasan buku semata?

Inilah antara sebabnya mengapa saya perlu duduk untuk bertafakur seketika. Di hadapan mereka, saya mahu melihat sejujur rasa. Dan kembali menyoal sedalam-dalam hati.

Apa sebenarnya tujuan seorang anak seperti mereka datang ke sekolah. Dan apa sebenarnya tujuan seorang pendidik di mana-mana?

Siapa saya dan apa tujuan saya?

"Ya Allah, aku memohon keampunan-Mu atas segala kefakiran ilmuku kepada mereka dengan hanya mengharapkan keredhaan-Mu."

Percayalah kalian. Bukan sahaja doa namanya yang ditadah. Dirafak bersusun jari sepuluh. Terkadang Tuhan juga memakbulkan lintasan angan-angan hamba-Nya. Itu juga sebahagian dari doa-doa kita.

Setiap hari saya cuba mengumpul dan memaknakan rasa bahagia. Bahagia seorang pendidik yang biasa-biasa saja. Ya. Biarpun sekecil perubahan akhlak mereka. Biarpun sekecil perubahan sikap mereka. Dan biarpun sekecil kefahaman mereka dalam membezakan antara yang baik juga yang jelek.

Alhamdulillah. Sesuatu yang positif dapat dilihat apabila mereka beria-ria saling ingat mengingati. Betul membetulkan waima bagaimana mengisyaratkan bismillah, adab mengetuk pintu, memberi salam dan meminta izin. Apatah lagi membudayakan berterima kasih dan meminta maaf.

Malah, saya akan tersenyum puas meskipun tatkala dijemput mereka untuk masuk ke kelas. Pasti terkocoh-kocoh segala macam barang-barang saya habis dikutip dan dikemas. Bag buku dan botol air saya juga berebut-rebut mahu digalas.


Barangkali lebih dari itu yang tak mampu saya coretkan di sini.

Syukur atas kebahagian ini ya Allah. Semoga saya diberi keizzahan untuk terus istiqomah dalam bertimbang rasa. Dan semakin ikhlas mendidik jiwa mereka sebaik cara~

Nota: Selamat Hari Pekerja. Tengah berkira-kira kesempatan cuti umum dan cuti rehat khas. Urusan melabur di KLIBF 2011 pun sudah selesai. Minggu ini serasa mahu bergegas pulang ke kampung...

3 comments:

Ibnu Ali said...

Ada hikam yang perlu dicari. Sebelum kita tidak perasan, atau terlepas pandang. Kesedaran seperti ini menunjukkan kita masih dalam kerangka "faham".

Lain jika mereka dalam keadaan ikhlas tanpa memahami, jihad tanpa memahami, dan sebagainya tanpa memahami.

Semoga Allah terus meletakkan hudaNya di sisi kita.

IMANSHAH said...

Alhamdulillah semoga terus istiqamah menjadi penghubung antara anak-anak dan ALlah..Ajarilah mereka dengan ilmu yg baik2..

CKsr said...

Salam ya muallim,

....... terharu...
catatan yang ringkas,ttp cukup memberi gambaran hati dan jiwa para muaddib.. sirru ala barakatillah..

fasabbih bi hamdi rabbika was taghfir.. innahu kanatawwaba..

tak tau nak ckp apa dah.... :) salam.