Sunday, February 22, 2009

Sebutan Allah sebagai ganti bacaan dalam solat

Pada hari Jumaat, 13 Februari yang lalu, SKSU telah mengadakan program Kem Bestari Solat 2009 (KBS). Ia merupakan sebahagian daripada aktiviti yang terkandung di dalam JQAF (Jawi, Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain). Program ini diusahakan oleh jawatankuasa guru-guru JQAF SKSU. Malah, ia juga turut dijayakan bersama guru-guru aliran perdana dan guru-guru Pendidikan Khas SKSU sebagai fasilitator.

Kumpulan 10 yang dikendalikan oleh penulis sebagai ustazah 'import'...

Sepanjang pembabitan saya dalam dunia pendidikan, berprogram dengan KBS ini adalah peluang kedua. Kali pertama dulu ketika praktikum di SKDN, Melaka. Bercakap tentang solat dan kewajipan, sudah tentu ia adalah perkara biasa pada pengetahuan semua. Namun begitu, hal ini sering diendahkan oleh anak-anak kita.

Di celah kesibukkan guru-guru melaksanakan program sebegini, bagaimana pula kewajipannya pada anak-anak OKU seperti pekak dan bisu? Saya tertanya-tanya. Rasanya tidak elok biarkan persoalan agama ini bersarang dan sarat sendiri. Sebagai muaddib, tanggungjawab menyampaikan pengajaran fardhu ain adalah satu tuntutan. Apatah lagi untuk mendalami pengetahuan tentang Islam.

Alang-alang duduk bersembang, usul ini nampak menarik untuk dipanjangkan bersama-sama guru-guru lain. Kemusykilan saya telah dirujuk kepada seorang ustaz. Kami bertukar-tukar pertanyaan dan pendapat di bilik guru Pendidikan Khas.


Sama-sama terbuka minda.

Kesungguhan dan keprihatinan guru yang mengajar membawa kepada keberlangsungan sesuatu ajaran itu masuk ke dalam jiwa orang yang menuntut ilmu...

Saya kira menarik juga untuk dikongsi bersama pembaca blog MyHumairaKu. Jawapan dan pengetahuan tentang kewajipan ini dijelaskan seperti rujukkan di bawah...

-------------------------------------------------------------------------------------------------
Golongan pekak dan bisu tidak terkecuali daripada menunaikan ibadat yang diwajibkan ke atas mereka seperti sembahyang dan puasa, selagi mereka berkemampuan melakukannya.

Cuma, cara orang pekak dan bisu menunaikan sembahyang mungkin tidak sama dengan orang normal kerana mereka tidak boleh membaca ayat al-Quran seperti al-Fatihah yang menjadi salah satu rukun sembahyang.

Kepentingan al-Fatihah ditekankan oleh Rasulullah menerusi sabda Baginda bermaksud: "Tidak sah sembahyang seseorang jika tidak membaca umul kitab (Fatihah)".

Masalahnya kini, bagaimana orang pekak dan bisu hendak membaca dan menghafal al-Fatihah jika mereka tidak boleh mendengar dan membunyikan huruf hijaiyah, apatah lagi membunyikannya, sedangkan mereka tidak boleh bercakap.

Pensyarah Jabatan al-Quran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohd Zawawi Jusoh, berkata konsep sembahyang dari segi erti, rukun serta kewajipannya boleh diajar kepada golongan pekak dan bisu menggunakan bahasa isyarat.

Katanya, al-Fatihah juga perlu dipelajari oleh golongan berkenaan kerana sebagai rukun, surah itu hendaklah dibaca dan didengar bacaannya, melainkan jika tidak boleh cukup sekadar membaca dalam hati.

Bagaimanapun, katanya, jika golongan pekak dan bisu memang tidak mampu membaca surah berkenaan, memadai mereka menyebut perkataan Allah mengikut lama bacaan surah al-Fatihah.

Kita faham bahawa mereka tidak boleh mendengar, jadi bagaimana hendak belajar membaca al-Fatihah. Jika itu keadaannya, di mana mereka memang tidak boleh baca langsung, memadai menyebut Allah atau Subhanallah.

Maknanya jika al-Fatihah dibaca dalam masa 30 saat, maka golongan pekak dan bisu perlu menyebut Allah selama 30 saat juga. Dari segi rukun lain semuanya perlu dilakukan secara tertib,? katanya.

Mohd Zawawi berkata, Fatihah tidak boleh dibaca dalam bahasa Malaysia atau terjemahannya kerana tidak sah sembahyang jika membaca ayat selain daripada yang disyaratkan.

Katanya, begitu juga dengan bukan Islam yang memeluk Islam, mereka perlu belajar surah al-Fatihah untuk menunaikan sembahyang.

Oleh itu, katanya, golongan pekak dan bisu, perlu ada satu kaedah sesuai bagi membolehkan mereka mempelajari tulisan jawi dan bagaimana untuk membaca ayat dalam al-Quran.

Di negara Arab sudah ada teknologi mengajar golongan pekak dan bisu kerana orang Arab memang itu bahasanya. Jadi pihak berkuasa boleh mendapatkan teknologi ini untuk dimanfaatkan golongan pekak dan bisu di negara ini,? katanya.

Beliau juga meminta individu, syarikat swasta dan badan bukan kerajaan menghulurkan apa juga bentuk sumbangan bagi membantu golongan mendekati ilmu agama termasuk membaca al-Quran.

Bagi golongan pekak dan bisu, katanya, mereka tidak terkecuali daripada melaksanakan suruhan Allah mengikut sekadar kemampuan kerana Islam bukan agama yang menyusahkan.

Bagaimanapun, katanya, golongan berkenaan tidak boleh mengambil jalan mudah dan hanya berpuas hati dengan sebutan Allah ketika sembahyang, sebaliknya sentiasa berusaha mempelajari dan mempertingkat pengetahuan dalam bidang agama.

(Sumber: Berita Harian)

2 comments:

Anonymous said...

Saya sedang berusaha men'download' bacaan Al Quran dalam Sign Language dari Muslim Torrent yang kini sudah pun 21% siap. Kalau dah siap kita sama-sama kongsi.

Izzah Al-Maliziyyah said...

To 'sifu'... jazakallahu khairan. Usaha yang sangat baik.

"Buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan, saya mengajar sambil belajar, kalau salah tolong tegurkan"~