Thursday, July 16, 2009

Enam Jiwa Satu Hati; Ikhlaskah Aku?

Al-kisah 4 putera kacak dan 2 puteri jelita...

Hari ini, jemari saya baru terasa senang dan ringan untuk giat menulis di sini. Kalau tidak, saya sekadar menjengah dan melangkah pergi tanpa ada cetusan baru yang dapat dikongsi.

Al-kisahnya...

Beberapa hari lepas saya tersengeh dan tersenyum panjang. Bukan kerana peristiwa lucu mahu pun mabuk kepayang teringatkan seseorang. Semuanya gara-gara sebuah lukisan biasa. Dalam keadaan kecoh dan rebut-rebut mereka hendak menunjuk lukisan tersebut, saya gagahkan diri memberi pujian. Aduh, pening!

Mereka memang hebat berimaginasi!

Mana tidaknya, fizikal yang gemuk bertukar menjadi kurus dan ramping. Semuanya kelihatan sempurna bergaya, laksana empat orang putera kacak bersama dua orang puteri jelita. Impian mereka tersurat dalam lukisan yang tersirat itu.

Setelah puas ditelek, senyum saya larut dalam persoalan sendiri jauh menembusi ruang lukisan putih tersebut. Di hadapan saya, mereka masih rancak berkomunikasi dalam dunia pekak dan bisu. Hanya saya sahaja, bermonolog bisu dan kaku dengan senyuman yang tak sudah.

Semakin hari semakin sayang, atau semakin hari semakin cemuh, letih dan muak?

Saya mencari titik rasa ikhlas terhadap 'jiwa-jiwa' kecil berhati besar ini. Pada saya, ikhlas ini bukan perkara mudah. Ikhlas adalah subjektif yang sukar ditafsirkan. Adakalanya ia goyah dan luntur ditengah jalan.

Semua orang mengaku mereka ikhlas dalam segala-galanya. Ikhlas dalam menjalankan tugas, dalam kata-kata dan dalam tindak tanduk. Adakalanya perkataan ikhlas yang dilafazkan pada bibir belum tentu selari dengan kata-kata yang tersemat di hati. Tidak ada sesiapa dapat mengukur tahap keikhlasan seseorang.

Adakalanya kita sendiri kurang pasti keikhlasan yang terdapat dalam diri kita. Begitu juga apabila saya berdampingan dengan enam jiwa, satu hati ini. Adakah saya benar-benar ikhlas bersama mereka, mendidik dan memberi kasih sayang? Adakah saya bersama mereka dek kerana terlontar dalam karier bidan terjun yang mendatangkan pulangan setiap hujung bulan?

Murid-murid Pendidikan Khas berbeza dengan murid-murid aliran normal aka perdana. Ikhlas saya sering tercabar. Dalam menghadapi karenah anak-anak istimewa ini, saya akan menemui pelbagai gelagat juga tingkah laku yang menggugat usaha. Sehingga pernah terlintas dalam fikiran saya seakan mahu menyerah kalah. Saya tidak mampu menyampaikan ilmu dengan baik. Hasil pembelajaran yang ditarget sukar tercapai.

Setiap kali itu juga, saya segera berbalik kepada keikhlasan diri. Percayalah setiap keikhlasan akan mendapat ganjaran yang sewajarnya. Saya sentiasa berharap apa jua masalah sampingan tidak akan mencabar kewibawaan yang berpanjangan dalam hati ini. Biarpun ada yang mengugat atau tidak senang hati, hanya pada Allah saya bermohon semoga dilapangkan dada, diberikan petunjuk dan ilmu bagi meneruskan perjuangan ini~

4 comments:

IMANSHAH said...

Susah kami mengajar di sekolah biasa, susah lagi mengajar kanak2 istimewa. Kalau saya, memang saya tak mampu. Moga keikhlasan dan ketabahan sedari akan diberkati dan dijanjikan tempat yang selayaknya!!

Anonymous said...

salam

saya juga sempat mengajar kanak kanak khas di SMK Syed Alwi akibat tersalah posting. Sempat juga merasa pengalaman selama 6 bulan.

bagi saya, hati mereka bersih, jujur dan tidak pandai berpura-pura.

Mereka berkebun sayur.....sayur tumbuh subur

mereka menghormati saya..menolong membawa beg, memimpin tangan dan menghulurkan tangan dan memimpin saya duduk....semasa saya melawat mereka

ADAKAH PERKARA INI KITA DAPAT KALAU MENGAJAR DI SEKOLAH BIASA?

CUMA kita sahaja yang mungkin tidak ikhlas.....

ALLAH ITU MAHA MENGETAHUI DAN MAHA ADIL

dmx said...

salam,setiap insan ade istemewenyer..hanye pd Allah pasrah segalenyer....teruskan pejuanganmu....insyaalah ade manisnyer......amin

taqeyyabella said...

Ikhlas itu hanya milik Allah. Maka surah tentangNya diberi nama Al-Ikhlas. Mencari Ikhlas tak cukup selangkah.. Jangan berhenti apalagi mengalah.. Setiap usaha bernilai di sisi Allah. Semoga gagah beristiqamah..