Thursday, August 13, 2009

'Walk Lady'

Semenjak penghijrahan bonda ke rumah saya, nampaknya beliau telah banyak menyuntik semangat untuk saya bergerak keluar ke sana sini. Bukannya keluar berpoya-poya tidak menentu arah. Tetapi keluar mencari bahagia dan menambah mesra dengan beriadah di luar. Inilah peluang untuk kami bersama setelah sekian lama bonda 'kesepian' di kampung.


Tentu sahaja kehadiran Sabtu dan Ahad sangat bermakna untuk saya berdating dengan bonda.
Walaupun adakalanya saya terpaksa mengutamakan agenda dan tugasan lain dahulu di sekolah. Sama ada tiba giliran saya mengajar kelas SBT atau kewujudan LADAP mahu pun sekolah ganti di celah-celah hari cuti. Itu semua bukan halangan dan alasan untuk saya menghabiskan masa bermalasan di rumah.

Alah bisa, tegal biasa.


Saya sudah betah berulang-alik sejauh ke Perlis dan Penang.

Setiap kali pulang dari sekolah, sengaja pula saya membiarkan keletihan sambung menyambung. Semangat diri dan sisa-sisa tenaga masih berbaki untuk menyarung 'walk lady'. Separuh hari pun 'menjadi' untuk saya keluar membawa bonda berjalan-jalan dan makan di luar...


Boleh dikatakan misi-misi saya selalunya diputuskan secara mengejut, terjah dan redah. Saya sendiri kurang pasti ke manakah tempat terbaik untuk dituju. Setakat pusat-pusat membeli-belah seperti Sogo, Midvalley, IKEA dan gedung-gedung kaki lima di jalan TAR sudah biasa saya membawanya. Banyak juga tempat menarik yang terlintas difikiran ini. Cuma menanti masa yang sesuai untuk ke sana. Malah setiap dua minggu, bonda jugalah partner yang paling setia menemani saya mengambil stok tempahan Al-Quran Terjemahan di KL.

Memikirkan penularan wabak H1N1 yang semakin menjadi-jadi, saya sengaja mengabaikan risiko di luar. Tiba-tiba ada-ada sahaja idea saya. Dengan moto 'biar jauh di mata, asal dekat di hati', perjalanan sejauh mana pun, dengan izin-Nya, misi tetap diteruskan. Perkataan 'dekat' sudah melekat di bibir. Seakan doa keramat dalam membantu memudahkan setiap misi saya. Tentang itu, bonda saya sudah sedia maklum. Sesat marat bukan perkara biasa lagi pada anak daranya ini.

Sesat dan lambat bukan apa-apa sangat. Memadai kami selamat sampai dengan jayanya ke destinasi yang dituju.
Semoga sepasang 'walk lady' yang sering digunakan untuk memandu itu diberkati oleh Allah SWT. Biarlah ia lusuh sepanjang berjasa di kaki saya.

Nampaknya sepanjang minggu ini, saya tiada perancangan apa-apa. Kalau ada pun, elok bekukan sahaja. Biar 'walk lady' berehat seketika. Mana tidaknya, regu dating saya telah pulang ke kampung pada Isnin yang lalu. Alamatnya saya terpaksa menjadi weekend housewife sementara menunggu ketibaan cuti sekolah awal Ramadhan nanti.

Dua tiga hari ini, saya merasai matahari seakan mogok menyinar. Dipandang ke langit tinggi, bulan pula seperti merajuk untuk menyuluh. Udara juga semakin hambar diselubungi jerebu yang bermaharajalela. Hari dan masa saya terasa berat
dan lambat menghambat. Kini saya keseorangan di rumah. Betul-betul kesunyian membekam. Ya Allah, tiada sabar rasanya menunggu minggu depan. Pulang ke kampung dengan besar harapan agar sekali lagi 'walk lady' dapat membawa bonda ke sini... amin~
Hari Keluarga SKSU di Swiss Garden, Lumut, 25 - 26 Julai 2009...
Percutian singkat di pantai Teluk Batik, 26 Julai 2009...
Memandang lautan rahmat, 'walk lady' mencari tujuan yang jelas sepanjang di jalan yang sulit...
Bonda yang setia menemani 'walk lady'...
Singgah solat di masjid Putrajaya sebelum ke tapak pesta...
Pesta Flora Putrajaya, 2 Ogos 2009...
Sepetang pun jadilah...
Karnival Ulang Tahun IKIM.fm Ke-8, 8 Ogos 2009...
Persembahan nasyid kumpulan As-Saufie di Dewan Besar IKIM...


2 comments:

IMANSHAH said...

Islam menyanjung tinggi kedudukan ibu sehingga memberi penghargaan istimewa terhadap pengorbanan ibu kepada anak. Ibu insan paling banyak menanggung penderitaan demi kelangsungan hidup anak.
Pengorbanan wanita bergelar ibu tidak boleh dinilai dengan wang ringgit atau harta benda. Segala kesusahan ketika hamil dan kesakitan melahirkan sukar digambarkan, tetapi tiba-tiba boleh menjadi kegembiraan apabila mendengar tangisan pertama anak

dmx said...

salam,Aisya Humaira..
surga diwajah ibu,namun walk lady trus bjalan dgn penuh harapan dan cabaran.
hehehe...nape warne,selipar tu sebelah lain..yerk trend ker @ simbol pasagan yg bbeda.. ? hihihik