Monday, July 26, 2010

Kami Tidak Berzina!

"Janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk (yang membawa kerosakan)." [al-Isra': 32]

Nampaknya, tajuk entry kali ini mencuakkan. Seakan ada yang menuduh dan ada pula yang dituduh. Maaf, saya tidak berniat menuduh sesiapa berzina. Apa yang berlaku adalah lumrah di sekeliling kita. Perihal bersahaja yang dibiasakan. Perihal berat yang sengaja diringankan. Menghampiri zina..

Fikir saya, boleh jadi ia adalah perihal lupa. Elok juga kita cakna dan ingat-ingatkan. Tetapi bila isu ini dibuka, ramai juga yang takut untuk bersemuka. Saya faham. Tentu sukar untuk kita terima pada perkara sebegini. Lagi-lagi bila terkena di atas batang hidung sendiri. Betul bukan?

"Helo, helo... takkan nak berdiskusi, berbincang dan berbual-bual ilmiah pun tak boleh? Itu pun nak dikira zina juga ke?"

"Berdiskusi ilmiah ya? Kamu berdua sahaja?"

Ya, perbuatan anda cuma berselindung disebalik diskusi yang mulia semata-mata. Walhal, kerana matlamatlah akan menghasilkan seribu satu cara yang kreatif. Salah satunya berdiskusi sebagai jalan alternatif dalam menghalalkan perbuatan yang ditegah.

Kita tahu bukan, Allah suka majlis ilmu. Allah muliakan orang berilmu. Maka, jagalah batasan ini supaya ia boleh menjadi ibadat yang diredhai. Bukan ibadat yang merendahkan maruah kita sendiri. Apa lagi pada pandangan Ilahi.

Benar, sekalipun yang berdua-duaan itu adalah seorang ustaz dan ustazah. Seorang cikgu dengan pelajarnya. Seorang kakak dengan adik angkatnya. Seorang berstatus isteri dengan suami orang jua pun. Selagi bernyawa, manusia tetap bernafsu.

Hati-hati, siapa-siapa sahaja mudah terdedah pada lingkaran perzinaan. Jangan kita lupa, yang ketiga sering ada bersama. Yang ketiga selalu cuba menggoda. Yang ketiga sentiasa riang gembira untuk terus pedaya. Yang ketiga itulah mahu kita binasa.

"Tolonglah, kami tak lakukan sampai sesesat itu. Kami tahu batas-batas agama. Kami masih waras untuk membezakan yang mana satu zina, yang mana satu hina."

"Ehem, jangan-jangan kamu ini cemburu kot!"

"Alah, kami cuma bertanya khabar melalui SMS, YM dan email sahaja. Kalau berbual pun, cuma sesekali dalam telefon."

Alahai, baik sungguh kalian berdua ini. Anak siapa ya? Hehe, takkan kalian berdua tiada apa-apa perasaan? Kalau sungguh begitu, kalian berdua kurang sihat agaknya? Sekalipun tanpa bersua muka, mustahil perasaan kalian tidak bergelora.

Saya cuma mahu mengingatkan sahaja. Kita ini bukan malaikat, tidak bernafsu. Kita ini cucu cicit Adam dan Hawa yang pernah kecundang. Lupakah kalian akan iktibar peristiwa buah khuldi di dalam syurga?

Begitu juga halnya dengan zina.
Kita digesa supaya jangan menghampiri zina. Sudah pasti bersebab kenapa menghampiri itu besar padahnya. Tidak perlulah kalian menafikan fitrah manusia. Kita ada nafsu, ada keinginan. Itulah kita, manusia biasa.

Benarkah kalian tahu membezakan zina? Sungguh?

Baiklah, apa yang saya tahu, zina ini ada bermacam-macam jenis dan peringkatnya. Ada zina betul. Zina 'berat' yang kalian faham itu. Bila habis madu, sepah dibuang. Untung sabut timbul, untung 'terlanjur' berisi.

Ada juga zina kategori 'ringan' dan tidak perasan. Boleh pula ada zina tidak perasan? Yang ini habis apa ya? Zina ini habis waktu, nafsu tidak habis-habis bergejolak. Sehingalah kita berjaya kepada gred zina betul.

Ya, zina inilah kerap berlaku di kalangan kita. Barangkali ada yang sedar atau pura-pura tidak sedar. Atau memang benar tidak perasan. Zina ini adalah zina tangan iaitu menaip ayat-ayat merangsang cinta kepada pasangannya. Kalau di luar, boleh sampai ke tahap bersentuhan tangan.

Zina mata iaitu melihat pasangannya dengan perasaan berahi. Begitulah juga melihat auratnya adalah dikira zina mata. Zina mulut pula iaitu dengan luahan perasaan. Pujuk memujuk ke arah cumbu-cumbuan. Ada satu lagi zina iaitu zina hati. Belum sah bernikah, sudah berkhayal dengan berahi bersama pasangannya.

Alangkah jelasnya sabda Rasulullah SAW, "Kedua-dua tangan juga berzina dan zinanya adalah menyentuh. Kedua-dua belah kaki juga berzina dan zinanya adalah berjalan (menuju ke tempat pertemuan). Mulut juga berzina dan zinanya ialah bercumbuan." [HR Muslim dan Abu Daud]

Sebenarnya jalan, lorong dan pintu menuju kepada perzinaan amat banyak. Tutuplah dengan rapat mana-mana pintu atau jalan yang boleh membawa kepada perzinaan. Saya juga takut seandainya saya sendiri telah dan sedang terjerumus ke arah itu.

Nau'zubilla, masih belum terlambat untuk kita berkata tulus, "Kami tidak berzina. Ya Allah bantulah kami. Kami tidak mahu berzina. Kini kami datang ke pintu-Mu mencari redha-Mu. Terimalah taubat kami"~

Nota:
1. Gambar di atas sekadar hiasan. Kredit untuk Timah dan Goh. Mereka selalu berpeluang berdua-duan. Risau juga cikgu kamu ini!

2. InsyaAllah, entry seterusnya bakal disambung dengan 'Aku Mahu Sesuatu Itu'.


9 comments:

dmx said...

assalamualikum wkt
adat yg menggatasi syariat..huhuhuk

dmx said...
This comment has been removed by the author.
imannuha said...

Assalamualaikum izzah!
Entry kali ni jadi bahan masa masa akak mngajar tadi!thanks.....

Izzah Al-Maliziyyah said...

To dmx.. Alaikumsalam WBT.
Molek doh! Hidup dikandung adat, mati dikandung tanah.. hehe~

To imannuha.. Alaikumsalam WBT kak.
Ur welcome. Ehem, jadi bahan ke jadi bahang? Harap do'oh demo pakat-pakat insaf~

inilah jalanku.... said...

Salam ziarah,
lama dah tak masuk blog cik izzah nie,
Hai makin hangat blog nie cek rasa .
Apapun entri-entri cik izzah amat meanrik dansyok utk ditatap. Teruskan. Bila cek nak kawin nie, takut nanti menghampiri zina pilakk. Jauhkan dari keadaan sedemikian na.

Izzah Al-Maliziyyah said...

To cikgu Azam.. Alaikumsalam WBT. Terima kasih ya cikgu sebab sudi lagi singgah ke sini. Awat panehnya? Tang mana tu cikgu?

Cek tulis je mana yang cek rasa boleh ingat-ingatkan kita. Kot-kot ada yang tertampar dengan tulisan cek di sini, cek minta maaf la pada semua~

p/s: Bila seru dah sampai, insyaAllah cek jemput cikgu na.

cikgu zaki said...

assalamualaikum wkt,

Terima kasih kerana sudi memberi peringatan dan ingatan, semoga ia akan mencapai apa yang disasarkan, almaklum sajalah dikala dunia tanpa sempadan diwarwarkan, rupa2nya ia juga menjahiliyahkan kemodenan yang menjadi tuntutan, semoga kita tetap istiqamah dibawah payungan 'SYARIAH'
amin....

Izzah Al-Maliziyyah said...

To Cikgu Zaki.. Alaikumsalam WBT. Sama-sama cikgu. Ingat mengingati itu juga tanda kita memberi. InsyaAllah, selagi mampu sebelum mati.. hehe~

sumpit said...

alhamdulillah.. penulisan yang menarik dan memberi pengajaran...Berkawan Jom