Friday, July 09, 2010

Terkurang Zikir Atau Tidak Mahu Berfikir?

"Dan jika kamu menuruti kebanyakan (majoriti) orang-orang yang di muka
bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan diri kamu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanya mengikuti persangkaan belaka dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah)." [al-An'am: 116]

Anda pernah 'menciplak' berita? Berita bagaimanakah yang berjaya menarik minat anda? Berapa ramaikah orang di sekeliling anda yang turut obsesi serupa anda? Obsesi sehingga terbentuk koloni yang akan mengeksploitasi dan membugar apa sahaja bentuk berita. Lagi dibugar, lagi agam ceria.

Islam itu indah bukan? Tetapi, beginikah cara Islam itu diindahkan? Tidak mengapa. Saya yakin, anda sudah cukup 'ranum' untuk berfikiran sewajarnya.

Namun, saya tetap mahu menulis. Saya mahu mengingatkan diri saya sendiri dan juga anda agar menjauhi diri dari 'menciplak' sebarang bentuk berita. Berita yang diikhtisarkan dari mulut ke mulut itu adakalanya beradun 'perasa tiruan'. Adakalanya, sengaja dicemari 'racun perosak'. Sedikit demi sedikit, ia bersifat 'musta'mal'.

Bukankah kesucian dan kebenarannya sudah diragui?

Berita sebeginilah berisiko memudharatkan diri kita sendiri. Pemilik telinga yang mendengar dan pemilik mulut yang mengusung berita. Dengan kuasa hati, mulut kita tidak ubah seperti hikayat 'kotak pandora'. Kotak penyebar fitnah dan kecelaruan.

Jika kita ingin menyadur berita sekalipun, adalah lebih elok yakini dahulu sumber rujukan. Pastikan susur galur datangnya berita tersebut. Sekecil mana sebaran berita itu, kesahihannya sangat penting. Jika tidak, kita tergolong di kalangan pembawa berita fasik.

Ini bermakna, kita bukan sahaja ditipu dan tertipu. Malah, dengan sengaja kita sudah mengheret diri sebagai seorang pendusta. Pendusta yang telah mengambil hak orang lain. Hak orang yang dianiaya. Tentu kita sedia tahu bahawa, doa orang-orang teraniaya itu dimakbulkan Allah.

Begitulah dunia...

Kita megah melihat dunia yang semakin terbuka. Tetapi sayangnya, langit Ilahi semakin dilupa. Lupa bahawa ada kuasa yang sentiasa berjaga.
Allah itu Maha Satu, bukan dua atau tiga. Hari ini kita asyik menyambung dosa. Hari esok jangan pula kita merengus kenapa anak-anak atau anak murid kita tempias bahana. Degil dan sukar mendengar kata.

Saya tidak hairan jika ramai yang ada agama tetapi tidak beragama. Apalah sangat mulia bersongkok dan segak berkerudung kepala. Ia tidak lebih hanya sebagai hiasan mata semata. Ilmu penuh di dada, sematnya cuma propaganda. Sungguh, semuanya tidak berguna.

Ya, mungkin kerana itu ramai orang bijak berdusta. Tetapi hubaya-hubaya kalau hati semakin rosak tercela.
Sikit-sikit, lama-lama bawa binasa. Maka, berhati-hatilah jika kita gemar menjadi penerima berita yang teruja untuk menjajanya pula.

Sepatutnya s
abda Rasulullah s.a.w. yang kita perlu jaja, “Sampaikanlah daripadaku walau sepotong ayat.” Tetapi, entah dimana silapnya kita. Ayat-ayat lain pula yang kita gigih untuk sampai menyampai.

"Sesungguhnya diantara perkara yang difahami oleh manusia daripada pesanan sekalian Nabi ialah, jika kamu tiada rasa malu, buatlah apa sahaja yang engkau mahu." [Hadith al-Bukhari: 32224]

Saya senyum terfikir-fikir. Adakah saya juga sering melupai langit Ilahi? Terkurang zikirkah? Atau tidak mahu berfikirkah?
Wallahu'alam~

Nota:
1. Saya lebih gemar menyoal dengan soalan biasa-biasa bersifat 'telanjang'. Soalan sebegini selalunya telus dan jujur. InsyaAllah, ia boleh membantu saya akan kesahihannya.

2. Misalnya, bukti gelas pecah ada di depan anda.
Contoh soalan 'telanjang' saya, "Dari mana anda mengetahui si fulan telah memecahkan gelas? "Dimana dan siapa yang nampak?" "Benarkah gelas itu dipecahkan kerana angkara mengamuk?"...

3.
"Dan janganlah kamu mengikut apa yang kamu tidak ketahui, sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya akan ditanya apa yang dilakukan." [al-Isra: 36]

No comments: