Friday, December 24, 2010

Allah Masih Izinkan Saya Bahagia

"Dan katakanlah (Muhammad), ya Tuhanku, masukkan aku ke tempat masuk
yang benar dan keluarkan (pula) aku ke tempat keluar yang benar dan berikanlah kepadaku dari sisi-Mu kekuasaan yang dapat menolongku." [al-Isra': 80]

Alhamdulillah. Cuti panjang begini memang menyeronokkan. Bukan kerana dapat mengulit mimpi yang berwarna-warni. Bukan kerana dapat bermalas-malasan di depan TV atau di layar FB. Bukan kerana dapat mencuba berbagai resipi atau makanan free jemputan kenduri. Dan semestinya bukan juga kerana dapat merayap, berjimba-jimba ke sana sini.

Oh, tidak!

Bagi saya, ada yang lebih indah nan membahagiakan.

Bahagia pada keberkatan seawal subuh hari.

Itulah pencetus neuron-neuron bahagia. Ya, harus bermula diawal pagi lagi. Bukan setelah matahari mula meninggi.

Setiap kali menjelang subuh, sememangnya rasa bertuah sekali apabila dibangkitkan lagi. Menghayati hening subuh memang syahdu. Entahlah. Sukar untuk saya ungkapkan di sini.

Sangat mendamaikan hati.

Ya. Walaupun di sebelah tenggara pondok berteduh saya tiada banjaran gunung-ganang yang menghijau. Walaupun di sebelah utara pondok berteduh saya tiada pepohon yang merimbun. Walaupun di sebelah timur pondok berteduh saya tiada lautan yang tidak bertepi. Walaupun tiada yang boleh dikagumi, tetapi masih ada hamparan lain untuk saya nikmati dan hayati.

Hamparan itu adalah hamparan rezeki dan nikmat pada jalan-jalan yang kita sendiri tidak ketahui. Atau yang telah sedia diketahui. Tetapi, jika tiada yang mahu ambil peduli, bukankah rugi?

Ini janji-janji Allah kepada hamba-Nya.


"Dan di langit terdapat (sebab-sebab) rezekimu dan terdapat (pula) apa yang dijanjikan kepadamu." [adz-Dzariyat: 22]

Pada kemunculan fajar subuh di kaki langit. Pada gumpalan putih gebu awan kumulus. Pada desiran angin lembut dan kicauan ramah beburung. Pada rintik hujan yang silih berganti menghambat mentari.

Nah. Percuma tanpa sebarang bayaran.

Bukankah semuanya cukup menambah nikmat hidup.

Nikmat yang tidak perlu diranduk dengan teganya.

Selain buku-buku pendamping, nikmat ini juga sebahagian dari sumber inspirasi hidup saya.

Dalam hati selalu berdetik, membisikkan rasa syukur nian atas nikmat pemberian-Nya. Hari ini, saya mungkin tidak kaya. Saya mungkin tidak mewah. Ada waktu-waktunya, saya mungkin diusik kesunyian yang maha dasyat. Lebih-lebih lagi apabila mendung mega berarak beriring-iring di kaki langit.

Syahdu.

Tetapi alhamdulillah. Saya sangat yakin. Yakin bahawa kekayaan, kemewahan dan keriuhan belum tentu dapat menjanjikan kebahagiaan untuk saya.

Apa yang saya mampu, saya cuba yang terbaik. Dan perkara yang paling mustahak adalah berusaha menutupi ruang-ruang kesunyian itu. Redup jiwa seorang wanita usah dituruti sangat. Kelak melihat alam yang suram pun bisa menyebak hingga ke hulu hati. Pasti lemah jadinya. Barangkali jenuh pula mahu dipujuk rayu.

Aduhai, ironi bukan?

Alhamdulillah. Sungguh pun begitu, Allah masih izinkan saya bahagia dengan cara begini...

Sederhana dan optimis dalam merasikan diri di daerah ini.
Terima kasih kepada-Mu ya Allah. Terima kasih yang tidak terhingga kerana masih mengizinkan saya mencari makna-makna kehidupan di tempat orang. Ya, sungguhpun ia tidaklah sehebat pengembaraan Ibnu Batutta...

Dan kekadang itu juga, saya sangat takut. Takut seandainya tanpa saya sedari, saya sudah melewah-lewahkan nikmat ini dengan sikap yang tidak diredhai.

Mohon hidayah-Mu ya Allah~

Nota:
1. Saya sedang berusaha untuk sebuah misi lain. Semoga doa dari surah al-Isra', ayat 80 diijabah. Rabbuna yusahhil...

3 comments:

IMANSHAH said...

salam Izzah

Saya juga bahagia dengan cara saya.kita sendiri yang menentukan kita bahagia atau tidak..kalau nak ikutkan hati dan perasaan, memanglah kadang2 menyedihkan, sunyi..namun berkat didikan yang dibbrikan oleh kedua ibu bapa, guru-guru serta sekolah pengalaman, maka kita belajar menerima ketentuan Allah..manisnya, manusia mentadbir, Allah jua yang mentaqdir

IMANSHAH said...

salam saya minta izin pinjam kata2 izzah tentang guru..

Jika kita bercita-cita menjadi seorang jutawan di dunia, guru bukanlah jalannya kerana 74% jutawan di dunia ini adalah ahli perniagaan. Jika kita bercita-cita menjadi seorang yang berkuasa, guru bukan medannya. Jika kita bercita-cita menjadi jutawan akhirat, jalannya terbentang luas. Kita telah berada di landasan yang betul."~ Special Teacher for Deaf & Disabled Students

Izzah Al-Maliziyyah said...

To Cikgu Imanshah..

Alaikumsalam wbt,
Dengan senang hati, tafaddhal~