Sunday, October 18, 2009

Mencari & Menilai Hasil Yang Manis

Sepanjang minggu lepas saya agak sibuk dan banyak menyibukkan diri dengan beberapa program yang dirancangkan dalam bulan Syawal. Semuanya berkisarkan jamuan dan rumah terbuka sempena Hari Raya Idulfitri. Saya juga turut menyertai rombongan 'baraan' raya anjuran KESUMA sekolah. Itu pun setelah puas berkira-kira dan bertolak campur mahu juga terpaksa bagi mendapatkan keputusan positif. Difikirkan semula, bila lagi hendak melebarkan pengalaman bersama masyarakat Jawa kalau bukan sekarang.


Alhamdulillah, sebanyak lapan buah rumah cikgu-cikgu SK Seri Utama yang sempat diziarahi pada sesi kedua 'baraan'. Program bermula dari jam 3 petang dan berakhir lewat isya' malamnya. Keletihan dan kekenyangan bercampur aduk dalam kepuasan...

Kepada anda yang tidak pernah mendengar perkataan 'baraan' ini berasal daripada bahasa Jawa. Ia bermaksud kunjungan atau ziarah ahli kariah kampung secara beramai-ramai dari rumah ke umah. Sepatutnya, sebelum menjamu selera bacaan doa akan diaminkan beramai-ramai. Demi menjimatkan masa, apatah lagi pelbagai menu sangat mengujakan, semuanya kami aminkan sendiri.
Rupanya amalan 'baraan' merupakan satu budaya masyarakat Ja
wa yang masih kekal turun temurun. Saya melihat amalan ini bersesuaian dengan ajaran Islam itu sendiri. Ziarah walau sekejap, tapi cukup terkesan. Bagi kanak-kanak, apa yang paling menyeronokkan mereka ialah ketika mendapat 'ang pow' raya. Lain pula golongan dewasa. Kalau perut kenyang berisi, hati senang berlagu untuk bergerak ke rumah seterusnya. Saya hanya dapat menjamah secubit dan sesuap rasa. Selebihnya tidak terdaya mengikut rentak selera rakan guru yang lain.

Apa pun, saya amat terharu dan teruja dapat bersama rombongan 'baraan' sekolah. Mungkin ia akan menjadi pengalaman manis dalam tahun pertama saya bergelar guru di rantau orang. Terima kasih tidak terhingga kepada semua rakan guru yang berbesar hati juga tidak lokek menjamu kami dengan pelbagai juadah. Semuanya sedap-sedap belaka. InsyaAllah tahun depan jika ditakdirkan panjangkan umur pasti akan berjumpa lagi dalam siri 'baraan' 1431H...
Agar-agar 'pink panther' cikgu Rugayah sebagai pencuci mulut kepada bihun sup...

Penangan raja buah di rumah cikgu Razak...'mengakar' kami dibuatnya.

Aneka selera bubur hitam manis dan tapai di rumah cikgu Anona...

TANG MANA MANIS?

Kalau dicermati kembali siri pembabitan saya dalam program tersebut, nampaknya ia bukan sekadar perihal mengisi perut semata-mata. Apa yang saya terima dan isi sememangnya lebih daripada itu. Banyak perkara baru telah saya pelajari. Episod 'gejubus' jamuan raya Pendidikan Khas juga selesai dilaksanakan dengan baik. Bagi pihak diri sendiri, bukan semahu menghasilkan kuah durian untuk mendapat pujian. Tetapi belajar mencari dan menilai hasil yang manis daripada tangan yang memberi dan menerima.

Memberi tidak semestinya dengan jumlah yang banyak. Tidak perlu malu untuk kita memberi atau mengadakan jamuan walaupun dengan kadar bilangan yang sedikit. Walau ia sesuap makanan umpamanya. Biar zahirnya nampak sahaja kecil dan halus kuantiti, tetapi yang demikian itulah amat bernilai di sisi Allah Subhanahu wa Ta'ala sebagaimana firmanNya yang bermaksud:

“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).” [Az-Zalzalah: 7]

Dalam memberi dan menerima perlukan keikhlasan. Ikhlas merupakan kunci kejayaan untuk mendapat ganjaran daripada amalan pemberian dan penerimaan kita. Biarlah apa yang kita keluarkan dan perolehi itu dengan niat mendekatkan diri kepada Allah Ta'ala. Bukan kerana terpaksa atau dipaksa. Bukan juga untuk mendapat pujian dan menunjuk-nunjuk. Anggaplah pemberian dan penerimaan kita yang tidak selalu ini merupakan jalan penghubung dan pengerat ukhuwah sesama kita. Bukan jalan untuk kita memperlekeh dan memperkecilkan sesama sendiri.

Kualiti memberi itu menjadi ukuran dan bukannya kuantiti pemberian. Jangan kita suka mengungkit-ungkit pemberian kita dan menyakiti pula hati orang lain dengan membanding beza. Kerana itu akan menjejaskan amalan kita. Malah dalam tidak sedar, akhirnya kita menjerat dan menghumbankan diri sendiri ke dalam golongan orang yang rendah akhlak. Letih sahaja andai zahir di mulut kita terasa manis isi buah. Namun ditelan dek orang terasa duri kulit buahnya. Wallahu'alam~

Episod kuah durian sulong berjaya juga..sabar dan ikhlas pasti hasilnya manis.

Tuesday, October 06, 2009

Murah Berbaloi


Pada hari Ahad yang lalu saya singgah beraya di IKEA Damansara Utama. Nampaknya sudah lama saya tidak ke sana semenjak terlibat dengan insiden kemalangan kecil di hadapan entrance parking IKANO. Rindu pula rasanya. Kali ini saya amat berhajat untuk membuat sedikit pelaburan keperluan asas rumah.

Kenapa saya suka membeli-belah di sana?

Hebat sangatkah IKEA?

Sebenarnya tidak semua barangan jualan di IKEA menjadi pilihan hati saya. Hanya barang-barang yang menarik dan murah sahaja akan disambar dahulu. Kalau bijak memilih, insyaAllah kita akan mendapat barang yang pasti tidak mengecewakan. Malah, setiap kali ke IKEA saya akan berkira-kira budget yang sesuai supaya perbelanjaan mengikut nafsu lebih terkawal.

Nafsu membeli itu selalu ada tetapi awas dan berpada-pada supaya tidak tergoda...

Dari tingkat atas sampai ke ceruk reject corner telah saya risik. Pelbagai barang yang bersesuaian dengan harga diteliti dan diamati. Ada juga barangan yang langsung tiada hati untuk didekati. Kebiasaanya bila ada barangan yang menarik perhatian saya, proses mengangkat dan meletak semula akan berulang sehingga saya betul-betul rasa yakin samada berkehendak atau perlu. Keperluan membeli mungkin menguasai, sebaliknya tujuan keperluan itu sangat mendahului dan mempengaruhi saya. Akhirnya keputusan untuk membeli selesai terjawab di kaunter pembayaran.

Alhamdulillah saya pulang dengan senang hati kerana perbelanjaan pada hari tersebut tidak mencecah RM60.00. Dengan sejumlah wang ini, saya rasa berbaloi memiliki lima jenis barangan keperluan asas yang agak praktikal, simple dan comel made in IKEA.
Hari ini kegembiraan itu bertambah setelah saya menggunakan sebahagian daripada barangan tersebut. Biar pun murah, ternyata materialnya sangat baik dan terbukti berkualiti~
Percubaan memasak menggunakan peralatan dapur IKEA...