Saturday, February 28, 2009

No KFC!

"C... 'see'. Anyah, 'see'!", ulangan Amir kepada saya ketika kami singgah mengisi minyak di stesen Petronas Seberang Jaya. Bonda juga sedia maklum favourite cucu kesayangannya.

Kami sekadar tersenyum. Sengaja tidak mahu memberi sebarang signal.

Walaupun tidak meragam dan menangis, tentu saja hati anak kecil itu sedikit kecewa apabila saya tidak singgah KFC memenuhi kehendaknya. Memandangkan malam minggu masih awal, saya mengajak bonda pekena charketeow di Key's Seberang Jaya.
Mungkin boleh memujuk Amir yang masih lagi terpinga-pinga dengan permintaannya.

Alhamdulillah, saya dan Amir agak berselera. Mungkin juga kerana kami belum menikmati makan malam. Apa yang penting saya dapat mengalihkan ingatan Amir pada 'see'. Suapan saya belum lagi sampai semulut, Amir bersedia untuk disuap lagi. Agaknya sedap sangat kot!

Bila dah sepinggan habis 'disebat', kira berjaya juga misi psikologi dan diplomasi saya menambat hati Amir. Walaupun hanya dengan sepinggan charketeow sebagai gantian memboikot KFC.

Sesiapa yang turun ke Penang, bolehlah singgah pekena sepinggan dua. Pada saya, charketeow di Key's agak berpatutan dengan harga sepinggan biasa, RM3.00. Manakala sepinggan besar pula, RM4.00 dan special hanya RM5.00. Buat mereka yang alergi dengan udang dan kerang, disarankan untuk minta sahaja charketeow kosong.

Kalau sedap, khabar-khabarkan. Kalau tak sedap, elakkan mencemuh rezeki. Tolak pinggan ke tepi dan jangan lupa bayar di kaunter~
Jemput singgah, jemput makan... em, 'cedapnye'!

Monday, February 23, 2009

Pakwe baru...


Usai tanggungjawab dan amanah pada Jumaat lalu, dengan senang hati saya bertolak ke Penang untuk menjengah bonda sekaligus bersua muka dengan 'pakwe baru'. 'Pakwe lama' tetap tidak dilupa. Rindu rasanya hati ini bila mendengar cerita-cerita daripada bonda tentang mereka.

Hilang segala keletihan kerana Afif.

"Burika fil mauhub, wa syakartal wahib, wa bulligha asyuddahu, wa ruzikta birrahu." Semoga Allah memberi barkah di atas anak itu, dan hendaklah engkau mensyukuri Allah, semoga anak itu membesar dewasa dan kuat dan engkau mendapat ketaatannya...

Ahlan wa sahlan!

Alhamdulillah. Kakak saya telah selamat melahirkan putera keduanya pada tanggal 16 Februari 2009 bersamaan 20 Safar 1430H.
Mudah-mudahan, Afif Hazman Imtiyaz akan menjadi anak yang soleh, kental semangat dan luhur pula budinya.

Sebelum bertolak balik ke SB, pagi Ahad lepas sempat lagi saya bawa 'pakwe lama' ronda-ronda. Kami dating sambil minum milo ais sama-sama. Letih jugalah melayan 'kesongehan' si sepet Amir. Apa pun, hati kecilku bertambah bahagia dengan kehadiran 'pakwe baru'~
Kurniaan yang bakal menyerikan hidup semua... juga hidup Mak Ngah!


Sunday, February 22, 2009

Sebutan Allah sebagai ganti bacaan dalam solat

Pada hari Jumaat, 13 Februari yang lalu, SKSU telah mengadakan program Kem Bestari Solat 2009 (KBS). Ia merupakan sebahagian daripada aktiviti yang terkandung di dalam JQAF (Jawi, Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain). Program ini diusahakan oleh jawatankuasa guru-guru JQAF SKSU. Malah, ia juga turut dijayakan bersama guru-guru aliran perdana dan guru-guru Pendidikan Khas SKSU sebagai fasilitator.

Kumpulan 10 yang dikendalikan oleh penulis sebagai ustazah 'import'...

Sepanjang pembabitan saya dalam dunia pendidikan, berprogram dengan KBS ini adalah peluang kedua. Kali pertama dulu ketika praktikum di SKDN, Melaka. Bercakap tentang solat dan kewajipan, sudah tentu ia adalah perkara biasa pada pengetahuan semua. Namun begitu, hal ini sering diendahkan oleh anak-anak kita.

Di celah kesibukkan guru-guru melaksanakan program sebegini, bagaimana pula kewajipannya pada anak-anak OKU seperti pekak dan bisu? Saya tertanya-tanya. Rasanya tidak elok biarkan persoalan agama ini bersarang dan sarat sendiri. Sebagai muaddib, tanggungjawab menyampaikan pengajaran fardhu ain adalah satu tuntutan. Apatah lagi untuk mendalami pengetahuan tentang Islam.

Alang-alang duduk bersembang, usul ini nampak menarik untuk dipanjangkan bersama-sama guru-guru lain. Kemusykilan saya telah dirujuk kepada seorang ustaz. Kami bertukar-tukar pertanyaan dan pendapat di bilik guru Pendidikan Khas.


Sama-sama terbuka minda.

Kesungguhan dan keprihatinan guru yang mengajar membawa kepada keberlangsungan sesuatu ajaran itu masuk ke dalam jiwa orang yang menuntut ilmu...

Saya kira menarik juga untuk dikongsi bersama pembaca blog MyHumairaKu. Jawapan dan pengetahuan tentang kewajipan ini dijelaskan seperti rujukkan di bawah...

-------------------------------------------------------------------------------------------------
Golongan pekak dan bisu tidak terkecuali daripada menunaikan ibadat yang diwajibkan ke atas mereka seperti sembahyang dan puasa, selagi mereka berkemampuan melakukannya.

Cuma, cara orang pekak dan bisu menunaikan sembahyang mungkin tidak sama dengan orang normal kerana mereka tidak boleh membaca ayat al-Quran seperti al-Fatihah yang menjadi salah satu rukun sembahyang.

Kepentingan al-Fatihah ditekankan oleh Rasulullah menerusi sabda Baginda bermaksud: "Tidak sah sembahyang seseorang jika tidak membaca umul kitab (Fatihah)".

Masalahnya kini, bagaimana orang pekak dan bisu hendak membaca dan menghafal al-Fatihah jika mereka tidak boleh mendengar dan membunyikan huruf hijaiyah, apatah lagi membunyikannya, sedangkan mereka tidak boleh bercakap.

Pensyarah Jabatan al-Quran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohd Zawawi Jusoh, berkata konsep sembahyang dari segi erti, rukun serta kewajipannya boleh diajar kepada golongan pekak dan bisu menggunakan bahasa isyarat.

Katanya, al-Fatihah juga perlu dipelajari oleh golongan berkenaan kerana sebagai rukun, surah itu hendaklah dibaca dan didengar bacaannya, melainkan jika tidak boleh cukup sekadar membaca dalam hati.

Bagaimanapun, katanya, jika golongan pekak dan bisu memang tidak mampu membaca surah berkenaan, memadai mereka menyebut perkataan Allah mengikut lama bacaan surah al-Fatihah.

Kita faham bahawa mereka tidak boleh mendengar, jadi bagaimana hendak belajar membaca al-Fatihah. Jika itu keadaannya, di mana mereka memang tidak boleh baca langsung, memadai menyebut Allah atau Subhanallah.

Maknanya jika al-Fatihah dibaca dalam masa 30 saat, maka golongan pekak dan bisu perlu menyebut Allah selama 30 saat juga. Dari segi rukun lain semuanya perlu dilakukan secara tertib,? katanya.

Mohd Zawawi berkata, Fatihah tidak boleh dibaca dalam bahasa Malaysia atau terjemahannya kerana tidak sah sembahyang jika membaca ayat selain daripada yang disyaratkan.

Katanya, begitu juga dengan bukan Islam yang memeluk Islam, mereka perlu belajar surah al-Fatihah untuk menunaikan sembahyang.

Oleh itu, katanya, golongan pekak dan bisu, perlu ada satu kaedah sesuai bagi membolehkan mereka mempelajari tulisan jawi dan bagaimana untuk membaca ayat dalam al-Quran.

Di negara Arab sudah ada teknologi mengajar golongan pekak dan bisu kerana orang Arab memang itu bahasanya. Jadi pihak berkuasa boleh mendapatkan teknologi ini untuk dimanfaatkan golongan pekak dan bisu di negara ini,? katanya.

Beliau juga meminta individu, syarikat swasta dan badan bukan kerajaan menghulurkan apa juga bentuk sumbangan bagi membantu golongan mendekati ilmu agama termasuk membaca al-Quran.

Bagi golongan pekak dan bisu, katanya, mereka tidak terkecuali daripada melaksanakan suruhan Allah mengikut sekadar kemampuan kerana Islam bukan agama yang menyusahkan.

Bagaimanapun, katanya, golongan berkenaan tidak boleh mengambil jalan mudah dan hanya berpuas hati dengan sebutan Allah ketika sembahyang, sebaliknya sentiasa berusaha mempelajari dan mempertingkat pengetahuan dalam bidang agama.

(Sumber: Berita Harian)

Tuesday, February 17, 2009

Budi Bahasa Budaya Kita

Gambar sekadar hiasan

Sudah tujuh minggu saya bersama anak-anak istimewa di SKSU SB. Ini bermakna sudah tujuh minggu juga saya 'bermain' dengan bahasa baru, bahasa isyarat (handspeak/fingerspelling). Jemari yang keras dan kaku ini semakin hari semakin lembut beraksi. Kepetahannya ibarat anak kecil yang baru belajar bercakap. Kadangkala rasa teruja hingga tersasar. Paling tidak senonoh bila sesekali termerepek entah apa-apa.

Kesian. Adakalanya saya terasa buntu dan tepu untuk menjelaskan sesuatu. Sampai berkerut dahi anak-anak murid saya cuba memahami. Ada juga yang menggaru dan mengetuk kepala sendiri seperti hilang punca. Mungkin inilah gambarannya jika ayam dan itik cuba berkomunikasi. Apa pun, saya belajar untuk tidak mengeluh dengan kekurangan mereka dan berputus asa dengan ketidakpandaian saya. Wujudnya mereka dan hadirnya saya adalah untuk kami saling melengkapi dan sama mensyukuri.

Setiap hari kami sama-sama 'berjuang'. Kamus kod tangan menjadi sasaran utama untuk mencari dan menyakinkan sesuatu isyarat. Ilmu yang ada tidak jemu-jemu dikongsi. Mana yang salah, dibetulkan. Mana yang betul, diulang-ulang. Pengalaman bersama mereka cuba memahamkan saya bahawa keikhlasan dan kesungguhan adalah sumber segalanya. Mereka amat perlukan itu dari saya.

Alhamdulillah, nampaknya hubungan kami semakin mesra dan ramah. Saya kagum dengan kemurahan mereka berbahasa. Setiap pagi, 'ucapan' salam mereka mendahului salam orang lain yang bersuara. Nilainya cukup besar dan menambahkan keceriaan rutin harian saya. Senyum bertenaga...

Gambar sekadar hiasan

PEKAK BADAK

Sungguh menarik dan memberi kesan yang besar bila berada dalam dunia orang pekak. Tidak dinafikan, memang sukar bila pertama kali saya mengajar anak-anak istimewa yang pekak dan bisu. Tapi hal ini bukanlah sesuatu yang baru dalam hidup saya. Remaja dulu, saya selalu berkomunikasi dengan jiran di kampung yang juga pekak dan bisu. Pendek kata, sayalah rakan terjemah dan member kamceng jiran kami tu.

Seperti komunikasi melalui suara, bahasa isyarat juga mementingkan bahasa badan (body language). Bahasa isyarat dan bahasa badan melalui mimik wajah yang pelbagai sangat penting. Oleh itu, ketidakfahaman tentang satu-satu isyarat yang diberi, mudah difahami melalui mimik wajah, pandangan mata, gerakan badan dan lain-lain.

Walau bagaimanapun, bahasa isyarat berbeza dengan bahasa badan. Bahasa badan menjadi suatu subjek yang penting. Ia boleh diaplikasikan dalam semua subjek bahasa yang lain. Kerana bahasa badan itu lahir secara benar dan berlaku secara benar. Pendek kata, apa yang dituturkan selalunya tidak menggambarkan dengan tepat apa yang ingin disampaikan.

Tetapi awas! Selalunya bahasa badan setiap orang berbeza-beza. Kita perlu perihatin akan hal ini kerana ia bisa menimbulkan salah faham. Sudah tentu yang tidak faham itu akan buat tidak tahu. Orang kata buat 'dek'. Akhirnya lahirlah simpulan bahasa 'pekak badak'.

Untuk bahasa isyarat, jika kita tidak tahu menyampaikan sesuatu maklumat, gunakan sahaja kaedah mengeja dengan isyarat abjad. Memang agak lambat eja satu persatu. Melecehkan! Tetapi lebih baik dari menggunakan bahasa isyarat yang salah dan akhirnya mengundang salah faham.

Pada insan-insan yang dianugerahkan suara dan pendengaran yang baik, sebaiknya berterus terang apa yang kamu ingin sampaikan. Bukankah itu lebih senang? Jangan sengaja mengundang salah faham hanya kerana percaya bahasa badan kita ini boleh difahami oleh si dia atau mereka. Silap-silap hari bulan kita akan dipekak badakkan oleh mereka.

Pekak bisu atau sempurna pancaindera, hidup ini terlalu indah jika kita saling memahami, faham memahamkan. Semaikan budi, indahkan bahasa... hidup sentosa bertambah selesa~


Saturday, February 14, 2009

Weekend review...

Minggu lepas telah berlalu pelbagai peristiwa yang secara tidak langsung melibatkan penulis sendiri. Alhamdulillah! memandangkan nyawaku masih berhembus, dengan kudrat dan iradatNya maka weekend review dapat dipenakan di sini...

WINNER

Dua hari berturut-turut iaitu pada 11 dan 12 Februari 2009 telah berlangsung Kejohanan Ragbi Rimau MSSD Sabak Bernam 2009. Sekolah Kebangsaan Seri Utama diberi mandat sebagai tuan rumah untuk mengelola kejohanan ini. Saya dan dua orang rakan yang lain terlibat di bawah jawatankuasa pelaksana hadiah, sijil dan cenderamata. Manakala guru-guru lain pula dengan tugasan masing-masing.

Sebagaimana 'mulut-mulut angin' bercerita, memang benar pasukan sekolah ini sudah sinonim dalam sukan Ragbi Rimau. Mereka sekali lagi berjaya mengekalkan takhta juara bertahan dengan menundukkan pasukan lawan. Pasukan-pasukan yang turut menurunkan atlet-atlet 'rimau' mereka antaranya SK Kampong Banting, SK Simpang Lima, SK Parit 4, SK Binjai Jaya, SK Pasir Panjang, SK Seri Mawar dan SK Sungai Haji Dorani.

Setalah dua hari mengaum di gelanggang sendiri, akhirnya Johan Cup kembali disandang lagi. Maka genaplah 10 tahun piala pusingan kekal dirangkul oleh pasukan 'rimau' SKSU. Manakala pasukan 'rimau' SK Binjai Jaya terpaksa akur hanya dengan kemenangan Naib Johan Cup. Syabas dan tahniah pada semua pasukan yang menunjukkan semangat juang.

Rimau mati meninggalkan belang, rimau ragbi meninggalkan padang... jumpa lagi di MSSS!

Ala-ala histeria di sudut padang... inilah sukarelawan team pom-pom girls SKSU

Muka kecewa, hati membara... namun pasukan 'rimau' Binjai Jaya tetap bertenaga di gelanggang lawan

Wira-wira SKSU yang macho-macho... macam pendekar mustar daa!

Menang jangan sombong, kalah jangan sedih beb!

Nantikan Kejohanan Ragbi Rimau MSSS Tahun 2009 pada 22 hingga 28 Februari 2009. Dengan tuan rumah bersama SBPI Parit Baharu dan SK Seri Utama. Seperti biasa, penulis kekal mendukung tugasan 'ala-ala sopan' di bawah jawatankuasa pelaksana hadiah, sijil dan cenderamata. Lepas ni kalau nak nampak lebih macho dan berstamina kena la gantikan tugasan cikgu Saharudin, 'bapa rimau' SKSU... gagah setia di padang sekolah~

LOSER

Pada 11 Februari 2009 saya kehilangan handset Sony Ericsson Cybershot. Rasanya lebih molek lagi saya membuat pengakuan di sini ia adalah atas kecuaian sendiri. Pada malam kejadiannya, saya 'syok sendiri' beranggapan handset tersebut tertinggal di dalam kereta. Dengan senang hati saya mengambil keputusan untuk mencari keesokkan paginya.

Apabila pencarian pagi 12 Februari tidak berhasil, saya menunda untuk mencari semula selepas balik dari sekolah. Namun perasaan risau dan sedih tetap ada biarpun saya seperti tidak mengendahkan hal ini. Maklum la guru baru posting macam saya, perihal gaji masih dalam proses. Kos sara hidup seharian cukup-cukup untuk mendahului keperluan. Gamaknya kalau nak berganti handset baru perlu difikirkan berkali-kali.

Alhamdulillah...


Tengaharinya sebelum balik dari sekolah, sahabat saya menerima panggilan dari pihak Tabung Haji SB. Dengan pesanan yang mengembirakan hati, saya diminta datang ke kaunter untuk menuntut handset. Ini bermakna handset saya sudah 'digodek' untuk carian contact list. Malah saudara TH tu sendiri memberitahu bahawa dia telah membuat beberapa panggilan berdasarkan contact list dan membuka folder gambar saya. Walaupun sedikit malu, saya bersyukur kerana semua gambar dikategorikan menutup aurat.

Bila direview balik peristiwa ni, saya teringat kembali kata-kata pensyarah saya. Kalau kita berbuat baik pada orang lain walau seinci, Allah akan gandakan kebaikkan orang lain pada kita pula tak terhingga berdepa-depa. Nak dijadikan cerita, pada 11 Februari saya ke Tabung Haji SB untuk keluarkan duit. Sejak bermukim di SB rasanya sudah tiga kali saya ke sana.

Kebetulan hari tersebut saya dapat berurusan dengan saudara TH yang dikatakan hensem oleh 'mulut-mulut angin'. Kata 'mulut-mulut angin' la. Mata saya pula melihat itu satu kebiasaan saja. Entah apa silapnya, saudara TH tu tersilap memberi saya amaun RM300 melebihi dari pengeluaran sebenar sebagaimana di buku dan resit. Setelah mengira, saya segera memulangkan semula amaun berlebihan tersebut.

Disebalik kecuaian masing-masing sudah tentu ada hikmahNya. Saya melihat kesungguhan pihak beliau terhadap pelanggan mereka. Terima kasih kepada pak cik guard TH yang budiman dan saudara kaunter TH yang bersungguh hati. Usaha memulangkan handset kepada saya berjaya biarpun dengan sedikit masalah PUK cord.


Inilah yang dikatakan kalau dah jodoh tak ke mana. Apa sekali bentuk kehilangan pasti akan bersama kita kembali jika itu takdirNya [nyawa tidak tersenarai kerana ia pergi pasti tidak kembali lagi]~

Thursday, February 12, 2009

Manis di luar, perit di dalam...


Februari tahun lepas mengingatkan saya tentang sakit dan wad. Baru lagi bulan kedua di IPPM, demam saya menjadi-jadi dan berlarutan hampir seminggu. Akhirnya, dipaksa ke hospital. Setelah mendapatkan rawatan, saya ditahan di wad kecemasan Hospital Besar Melaka.

Alhamdulillah, Februari kembali...


Sudah seminggu lebih ulcus bermaharajalela. Ini bermakna sudah seminggu lebih juga saya menanggung sengsara di sekitar bibir dan bahagian dalam rongga mulut. Inilah azab ulcus.
Nampak di luar manis tersenyum, tapi hakikat di dalam perit terseksa.

Beradoi je...

Untuk pengetahuan pembaca, ulcus ni berasal daripada perkataan Latin yang selalu disebut sebagai ulser mulut. Biasanya
ia wujud seakan-akan kawah dengan bukaan berwarna putih atau kuning. Dikelilingi oleh persekitaran yang agak merah dan mempunyai saiz sekitar 2-5mm.

Kali ini
, ulcus di dalam mulut saya wujud lebih daripada satu 'kawah' di kawasan yang berbeza. Malah ia mengakibatkan dinding mulut dan gusi saya sedikit membengkak dan cedera. Penyakit ini memang menyeksakan yang empunya badan. Biarpun ia kerap terjadi di musim panas, tetapi ulcus bukanlah dikategorikan sebagai penyakit berjangkit.

Sakitnya banyak membataskan saya untuk bercakap seindah biasa. Paling tidak tahan apabila hendak menggosok gigi dan makan. Namun, makan tetap makan walaupun sedikit dan berpantang menu. Saya berusaha mengunyah sedaya yang mungkin. Tak sangka juga, sejak kehadiran ulcus nampaknya saya mudah pula untuk mendapatkan ais-krim. Dua hari berturut-turut dapat pekena ais-krim. Nikmatnya!


Selagi ulcus bermukim, selagi itu saya perlu menahan sabar dan banyakkan minum air masak. InsyaAllah ia akan beransur pergi dalam masa tiga minggu. Mudah-mudahan sepanjang menanggung perit ni, senyum saya semakin murah~


Monday, February 09, 2009

Jom Pekena!


Sempena cuti-cuti singkat ni, sempat juga saya singgah 'jom pekena' di dua tempat yang telah dipromosi oleh kawan-kawan. Sebagai memenuhi selera tengahari, saya singgah ke destinasi pertama di restoran Raja Sup yang terletak di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI).
Sebut sahaja mahu bahagian mana, daging, perut, paru, tulang rusuk, lutut, urat, ekor, lidah atau usus, semuanya ada. Itulah keunikan restoran ini yang menyajikan hidangan pelbagai jenis sup istimewa bercampur herba. Menu-menu lain juga nampak menarik untuk dicuba.

Tapi dari segi susun aturnya memang tidak menyelesakan pelanggan. Saya sendiri rasa kurang kondusif dengan ruang restorannya yang agak sempit. Ditambah pula hiasan kepala lembu bertanduk tergantung di dinding kedai yang bercat kuning, meja beralas merah plain tanpa air cond. Panas semacam pulak~

Alhamdulillah... sedap!

Destinasi kedua pula di D' Muara Marine Park. Singgah 'jom pekena' di Restoran Terapung yang boleh memuatkan antara 200 hingga 300 orang. Menu di sini juga tidak kurang hebatnya. Selain makanan laut, ABCnya nampak menarik. Terliur je tengok waitress dia perform kat meja-meja lain. Siapa suruh tak order!
D' Muara Marine Park ini terletak 5km dari Pekan SB dan 90km dari Bandaraya Shah Alam. Chalet-chalet di sini berdekatan persisiran pantai Sungai Haji Dorani yang mengadap kebiruan Selat Melaka. Sesuai untuk beristirehat sambil menikmati ketenangan melihat panorama aktiviti nelayan Pantai di situ. View dan menu restoran ini pula cukup selesa dan tenang~

Sesiapa yang gemar memancing ikan, bolehlah ke sini...



Thursday, February 05, 2009

Semanis Gula


Malam ini terasa dingin yang amat. Itu pun tanpa kipas terpasang. Kehebatan menunjukkan skill menyangkul petang tadi membuatkan saya 'syahid' di sejadah sejak dari maghrib lagi. Sedar-sedar jam di dinding menunjukkan pukul 9.00 malam. Ingatan saya cuba dipulihkan.
Kepeningan, letih, sejuk...
Usai membersihkan diri terasa ada sesuatu yang kurang. Saya segera memanaskan air untuk minum malam. Tekak teringin dibasahkan. Air milo panas kurang manis siap 'dibancuh'. Saya tinggalkan seketika di sudut meja. Perhatian saya terfokus pada helaian-helaian edaran mesyuarat tengahari tadi. Kemudiannya beralih pula menyiapkan lesson plan harian.
Baru sejerit dua air dihirup, milo yang panas tadi kembali sejuk. Kalau sesejuk ini mana mungkin terasa nikmat. Tidak boleh jadi, tekak pun high demand. Jadinya saya akur untuk bancuhan kali kedua. Air dipanaskan semula. Nescafee 3 in 1 menjadi pilihan.
MANIS LAGI SENYUMAN
Tiada beza... tidak rugi berbuat baik kerana rahmat Allah sangat dekat

Sambil meneruskan penulisan rancangan pengajaran harian, saya terpandang gula-gula di dalam bag. Senyum sendiri membilang gula-gula berbaki. Itulah buah tangan yang saya bawa ke kelas. Nampaknya, esok perlu topup lagi. Bukan bertujuan memberi rasuah, tapi untuk menghargai anak-anak didik saya walau hanya dengan sebiji gula-gula.

Setiap kali sebelum memulakan P&P, kami sama-sama merasai manisnya gula. Namun senyuman yang terpancar di raut wajah mereka lebih manis dari itu. Ya Allah... sihatkanlah tubuh badan kami untuk sama-sama berkongsi rasa ini.

SOUND TROUBLE AND THE GENG

Untuk makluman pembaca, anak-anak istimewa saya ini adalah murid yang sensitif. Mereka sedar, diri mereka tidak sama seperti orang lain. Mereka tidak dapat mendengar dan bercakap seperti kita. Tidak dapat menganalisis dengan baik dan mereka mengetahui kelemahan mereka.

Saya sering terserempak dengan murid-murid aliran perdana yang tidak jemu mempersendakan anak-anak ini. Mereka yang nakal bukan saja datang menjengah dan mengintai di kelas KKBD, malah mengejek-mengejek pula. Apa lagi, lari mencicit la bila 'disinga' oleh sound trouble and the geng. Boleh tahan juga garangnya.
Hero-hero BD1 saya yang kacak... Nazrul, Nazim, Goh dan Hafizan

Sepanjang sebulan 'memadu kasih' di KKBD, saya dapati perasaan inferioriti mereka agak tinggi. Sebagai pendidik, saya berusaha untuk meniupkan semangat menghargai diri dalam diri mereka. Moga saya dan rakan sejawat yang lain akan sabar membantu mereka mencari kekuatan dalam diri supaya mengatasi kekurangan.

Di KKBD dan KKBP, P&P anak-anak istimewa tidak seskema murid perdana. Kadangkala akademik diketepikan. Tumpuan perhatian pada pembentukan sahsiahnya. Saya juga memberi ruang untuk berkomunikasi dan berikan mereka peluang 'bersuara'.

Walaupun mereka ini tidak mampu bersuara. Bak kata ustaz Azmi ketika bergurau dengan kami semua di bilik guru KKBP/KKBD, "Budak-budak kelas aku tu da diajar bertahun, tak juga boleh bercakap"... hehe. Maksud saya bukanlah memaksa mereka bercakap. Sebenarnya mereka ini memerlukan guru untuk membimbing mereka supaya berani bergaul dengan masyarakat... senyum semanis gula walau pun harga runcit gula bakal naik~

*** P&P [Pengajaran dan Pembelajaran], KKBP [Kelas Khas Bermasalah Pembelajaran] dan KKBD [Kelas Khas Bermasalah Pendengaran]



Monday, February 02, 2009

Lidahku, lidahmu jua...

Bercakaplah apabila perlu supaya tidak disulami dosa...
Biasanya kita dengar ungkapan 'tak sayang mulut', 'mulut takder insuran' dan 'mulut longkang'. Malah pepatah Melayu ada menyebut, 'kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa'. Apalah dosa si mulut dek kerana lidah yang berlaku 'curang'.

Kecurangannya lebih tajam daripada mata pedang!

Tanpa lidah, tentu sukar untuk berkata-kata, tentu hilang deria merasa, tentu hilang seri seluruh anggota. Tetapi jika ada, fungsinya bertambah-tambah pula. Biasanya lidahku, lidahmu sentiasa bertali arus. Fungsinya tidak cukup sekadar di rumah. Bersambung-sambung bawa ke office, bawa ke sekolah. Singgah di kedai bertokok tambah. Malah ada yang rakus mengusung sampai ke ceruk tandas. Lebih dasyat lagi jika di tempat baik seperti masjid pun hilang kawalan... Astaghfirullah!

Perbuatan ini tidak perlu tunggu geng bersemuka dengan member selidah, ia lebih mudah dan canggih dihujung jari. Teknologi sekarang banyak membantu melalui SMS, e-mel, chat dan blog. Hanya di atas papan kekunci PC dan telefon bimbit lidah bersambung. Bermodalkan satu sen pun sudah mencukupi untuk mengumpat, bergosip dan memfitnah. Murah bukan? Tapi dosanya 'mahal' beb!

Di dalam al-Quran, Allah SWT berfirman:

"Hai orang-orang beriman, jauhilah kebanyakan daripada prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengunting/mengintai sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah Maha Menerima taubat lagi Maha Penyayang."
[al-Hujuraat: 12]

Ayat ini secara jelas menunjukkan betapa Islam amat memandang serius mengenai amalan gheebah (mengumpat), nameemah (gosip) dan buhtah (fitnah). Inilah yang saya maksudkan. Tiga dosa lisan ini memang sering dilakukan. Bagaimana lidah kita boleh gelincir ke dalam perangkap gheebah, nameemah dan buhtah? Sudah tentulah ia bermula dengan berprasangka.

Sama ada secara sedar atau pun tidak, mungkin kita menganggap ia sekadar gelak ketawa, bahan jenaka untuk bersenda. Mungkin juga kita rasa seolah-olah ia rutin perbualan biasa. Lidah kita dinilai positif dan tidak pula terasa ia berdosa. Hari-hari kita buat, sikit-sikit jadi banyak. Akhirnya jadi amalan dan kebiasaan.

Letih...

TAUBAT

Di dalam al-Quran Allah SWT berfirman:

"Katakanlah: Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." [Az-Zumar: 53]

Ayuh lidahku, lidahmu... jom kita neutralkan keasidan dan kealkaliannya. Pakat sama-sama bertaubat. Rajin-rajinlah membasahkan lidah bagi mendoakan kesejahteraan mereka yang dahulunya dianiaya oleh lidah 'karat' kita~