Tuesday, September 22, 2009

Ziarah Khusus Bermusim

Pengalaman baru..."Kita bukan nak ke Tesco ya Amir"

Setelah masuk hari ketiga Syawal, pagi ini keluarga kami berkesempatan menziarahi kubur arwah Tok Ah dan Tok Hussein. Anak menantu juga cucu cicitnya yang tidak dapat turut serta hanya mampu mengirimkan salam doa buat arwah berdua. Siap berwudhu' dan berpakaian menutup aurat, dengan berbekalkan dua cerek air, surah-surah Yassin dan helaian suratkhabar, kami pun berkereta menuju ke tanah perkuburan.

Nampaknya parkir di hadapan pintu masuk Tanah Perkuburan Islam Kampung Wai sangat lengang. Kelihatan di suatu sudut, beberapa orang kampung sedang menggali liang kubur untuk kematian baru. Dengan rasa debaran dan insaf, saya melangkah dengan iringan doa berserta salam ziarah buat penghuni di sini...
"Sejahtera atas kamu penghuni tempat kaum Mukminin. Kamu telah mendahului dan kami akan menyusul kamu. Semoga Allah mengampuni kami."

KEMESTIAN ZIARAH KHUSUS
Amir menghadiahkan bacaan surah kepada arwah moyangnya... [berlakon je tu]

Tidak ada sebarang dalil yang terang tentang menziarahi kubur pada pagi Hari Raya. Ini hanya merupakan amalan kebiasaan orang-orang Islam kita di sini. Mungkin mereka berpendapat bahawa kerana pada hari raya kita menziarahi kaum kerabat dan sahabat handai kita yang hidup. Maka eloklah kita menziarahi juga yang sudah meninggal dunia. Selagi tidak ke kubur, mesti ditanya dan disebut-sebut.

Sebenarnya, menziarahi kubur pada asasnya digalakkan oleh Rasulullah s.a.w. kerana menziarahi kubur itu mengingatkan kita kepada kematian.
Menziarahi kubur itu boleh menimbulkan sifat zuhud terhadap dunia dan ingat kepada akhirat. Jika menziarahi kubur hanya dikhususkan pada hari raya sahaja, nampaknya itu tidak betul. Sebetulnya ziarahi kubur boleh dilakukan pada bila-bila masa. Tidak perlu sampai menjadikan ia sebagai ziarah khusus.

Akan tetapi di Malaysia, saya pelik melihat amalan menziarahi kubur seolah-olahnya sudah menjadi suatu adat pada hari raya. Ziarah kubur bukan adat, ia adalah agama. Maka lakukanlah kerana agama, bukan kerana raya. Mungkin secara kebetulan setahun tidak pernah pulang ke kampung dan pulang ke kampung hanya pada hari raya. Pada hari itulah ada kesempatan, tidak mengapa. Berziarahlah ke kubur kerana itu suruhan agama tetapi bukan khusus di hari raya. Wallahu'alam~

Friday, September 18, 2009

Selamat Semua...

Kesiannya si yatim piatu yang ditugaskan untuk menjaga rumah saya di SB...

InsyaAllah, pagi ini saya akan bertolak pulang ke kampung halaman. Dalam keghairahan membuat persiapan, suka untuk saya sama mengingatkan pada diri sendiri dan anda di luar sana agar selalu untuk berhemah dan berhati-hati di perjalanan.

Pandu dengan cermat ya.

Biar tiba ke destinasi lewat sedikit. Asalkan selamat tiba kepangkuan orang yang tersayang. Itu lebih baik daripada menyesal dihantar ke tempat-tempat yang tidak kita ingini. Malah lagi meyesal meratapi nasib diri yang 'terkurang sifat' tidak bertangan atau berkaki. Na'uzubillah...


Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat pulang ke kampung halaman pada yang berpeluang. Pada mereka yang jauh nun di perantauan, jangan bersedih hati. InsyaAllah kegembiraan itu ada di mana-mana andai kita menjadi insan yang sabar dan bersyukur. Semoga Allah SWT sentiasa bersama-sama kita semua.

Selamat Hari Raya Eidulfitri... maaf zahir & batin dari saya~
Kurang lebih 10 minit lagi akan tiba di pekan Kuala Perlis... 5, 4, 3, 2, 1... Assalamu'alaikum!

Tuesday, September 15, 2009

Yang sukar dimudahkan, yang lalai diingatkan

Alhamdulillah, saya sudah... anda bila lagi? Mudahkan ia sebagai kewajipan kita atas keperluan orang lain...

Zakat badan aka zakat kepala atau lebih famous dikenali sebagai zakat fitrah. Hukumnya fardhu ain ke atas setiap umat Islam yang telah cukup syarat dalam bulan Ramadhan. Dengan berzakat, keberkatan dan kemanisan ibadah di hujung Ramadhan kita akan semakin bertambah. Akan semakin indah berseri menjelang Syawal nanti.

Pada sahabat-sahabat saya yang sudah mencukupi syarat seringan itu, segerakanlah tanggungjawab anda. Jangan tidak tahu, zakat lebih aula daripada sedekah & infaq sunat. Seafdhalnya, lunaskan kewajipan ini di mana harta atau pendapatan kita diperolehi. Di mana hasil titik peluh kita dibayar. Tidak perlu bertangguh untuk membayarnya di kampung. Jangan pula melepaskan tanggungjawab kita ini di bahu ibu ayah.

Kadar bayaran zakat fitrah bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor pada tahun ini telah ditetapkan dengan kadar RM7.00 bersamaan 2.70kg beras. Kenaikan kadarnya adalah disebabkan oleh kenaikan harga beras di pasaran semasa dan peningkatan pendapatan tahun ini.

Dalam kekalutan dan keghairahan kita menambahkan persiapan yang semakin hari semakin tidak mencukupi, zakat jangan dilupa. Kemudahan membayar zakat sudah maju seiring teknologi moden. Kaunter-kaunter zakat bercambah dibuka hingga ke celah-celah pusat membeli-belah. Bayaran menggunakan perbankan internet, e-Fitrah juga sudah ada. Bayaran melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) juga diputuskan mufti dan pakar agama bahawa ia kaedah yang tidak menyalahi hukum syarak.

Segala kemudahan telah disediakan.

Yang terlalai juga diingatkan. Apa lagi ditunggu...

Namun orang yang terlupa membayar zakat fitrah, tidak berdosa. Walau bagaimanapun, diwajibkan ke atasnya untuk mengqadha' hutangnya. Dengan kata lain, kewajiban zakat fitrah itu tidak gugur darinya dan tetap wajib dibayarkan walaupun sudah melewati batas waktu akhir (nihayatu waqtin) yang ditentukan.


Ringankan tangan, besarkan hati.

Jom cepat berzakat.

InsyaAllah, anda bayar, anda tidak rugi. Sudah pasti ia bakal menenangkan jiwa kita berbanding kebahagian pelaburan yang lain. Seandainya masih ada yang sengaja tidak mengendah dan mengabaikan kewajipan ini, jadilah kita ibarat si pencuri yang sombong. Jumlah serendah RM7.00 itu bukan milik kita. Bukan hak kita m
elainkan milik fakir miskin dan ketujuh asnaf yang berhak menerima zakat. Wallahu'alam~
Sebahagian cenderamata yang masih disimpan ketika pernah berkhidmat dengan LZS

Thursday, September 03, 2009

Karabu Salatatun


Bila berpuasa biasanya akan berlaku peningkatan tahap keasidan gastrik yang menyebabkan kepedihan, kesesakan dalam perut. Malah, kebiasaannya mulut kita akan terasa masam. Ini boleh diatasi dengan memakan ulaman yang kaya dengan serat. Ulaman yang segar sangat bagus kerana ia mengandungi banyak fitonutrien dan vitamin.

Seingat saya, menu yang sering menjadi pujaan hati saya pada Ramadhan tahun lalu adalah kerabu daun salom dan kacang kelisa. Setiap kali turun ke bazar Ramadhan Peringgit, Melaka, yang terlintas di kepala ini cuma kerabu makcik dan pakcik itu. Kerabu, kerabu, kerabu... itulah selera saya. Murah, sedap dan berkhasiat.

Hari ini saya benar-benar teringin hendak berbuka puasa dengan kerabu ulaman. Sudah tentu mudah untuk mendapatnya di gerai-gerai bazar Ramadhan. Tunjuk sahaja, "Kak kerabu seringgit". Namun, saya nekad ingin merasa keaslian air tangan sendiri. Sedap belakang kira. Janji cuba jaya. Alhamdulillah, menu ini terhasil juga dengan resepi yang sedia ringkas, cepat dan qanaah~

p/s: Jauhi sikap membazir. Takut pula kita tergolong dalam kalangan saudara mara syaitan. Allah telah sedia mengingatkan kita tentang hal ini. "Sesunguhnya orang-orang yang pemboros itu adalah saudara setan dan setan itu sangat ingkar kepada Tuhannya" [Al-Isra; 27]
Resepi ini tidak dipaparkan seperti pemblog yang lain. Jika berminat boleh hubungi saya...