Saturday, January 29, 2011

Andaiku Tahu

"Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada siapa yang mengetahuinya melainkan Dia sahaja." [al-An'am: 59]

Sejujurnya, saya sendiri tidak ketahui. Barangkali ini entry terakhir saya. Boleh jadi tidak. Malah, kemungkinan besar akan ada perkongsian yang seterusnya. Itu pun belum tentu lagi hasil ketipan jari-jemari saya. Dan belum tentu juga catatan yang terzahir itu nanti datangnya dari keinginan hati saya.

Wallahu'alam. Semuanya tidak mustahil bukan?

Entah-entah entry yang akan datang adalah satu entry khas. Khusus untuk saya kepada kalian. Terbit di sini daripada seseorang yang mewakili diri saya. Saya yang sudah terlalu jauh. Menyampaikan khabar berita pemergian seorang Izzah Al-Maliziyyah.

Agaknya, ini bunyi keterharuannya...

"Al-Fatehah buat Almarhumah pemilik blog MyHumairaKu.

Assalamu'alaikum WBT. Untuk pengetahuan semua, pemilik blog ini, si fulanah binti si fulan telah pun kembali ke Rahmatullah pada sekian masa dan tarikh yang lalu. Saya berharap kalian semua dapat memaafkan Almarhumah atas kekhilafan beliau sepanjang kalian mengenalinya di sini atau di mana-mana.

Mohon disedekahkan Al-Fatehah untuk Almarhumah."


Aduh. Bagaimanakah nanti ya?

Membayangkan hal seumpama ini memang menakutkan. Gerun. Hati saya mula bergetar. Dan debarnya sikit-sikit jauh terasa.


Ya. Suratan takdir memang tiada siapa yang mampu untuk menjangkanya. Bila sudah tiba masanya, 'realiti' tidak mungkin ditangguh. Perpisahan akan tetap menjengah juga walau sesiapa pun cuba melarikan diri daripadanya. Meski air mata dengan murahnya menjadi saksi. Ketika itu, segala-galanya harus ditinggalkan jua.

Aha, saya juga ada tertanya-tanya sendiri. Bagaimana kalian akan menyambut berita itu nanti? Sudikah kalian mendoakan saya? Paling kurang, cukuplah jika kalian dapat memaafkan salah silap saya. Ameen.

Baiklah rafik sekalian, saya tidak berhajat untuk mengundang kerisauan sesiapa. Maafkan saya ini. Saya yang suka dan sering mengungkapkan mauduk sebegini. Senyum sejeda. Saya rasa hendak ketawa...

Alhamdulillah.

Hari ini, kalian sedia maklum bahawa saya masih di sini. Saya adalah perahu yang menongkah arus. Sebuah perahu yang perlu terus meredah segara. Mengharung mehnah dan tribulasi di permukaannya.

Hanya sesekali berehat di pengkalan singgahan. Entah bila akan selamanya berlabuh di pengkalan abadi. Tiada siapa yang mengetahuinya melainkan Dia sahaja. Pemilik anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib.


Ah, sedikit waktu lagi saya akan melewati usia awal 30-an. Bukan soal tua, kedut dan entah apa-apa lagi yang kebiasannya dirisaukan. Tetapi ada sesuatu yang lebih serius.

Memikirkannya, hidup ini seperti dicubit-cubit. Buat saya tersedar. Mengharuskan saya supaya lebih kemas dalam tindakan dan masa depan. Lanskap kehidupan saya perlu diperindahkan sebelum ia lebur berpapasan.

Entahlah.

Sejak akhir-akhir ini saya agak gerun melihat cermin. Pandangan saya sentiasa terarah dari satu sisi yang berbeza. Setiap kali itu juga, intuisi saya seakan berkata-kata mengenai ajal. Terlihat kematian sedang memanggil saya. Kian mendekat. Karib. Saya merasainya. Sungguh merasainya.

Dan cuma hati berdetik, andaiku tahu...


Ya Rabb, pinjamkan hamba-Mu ini kekuatan itu.

Allahumma ameen. Allahumma ameen. Allahumma ameen~


Nota: Saya ralat bila ada orang terlebih berseloroh bab kematian. Katanya takut tidak sempat mengecap nikmat berkahwin. Bagaimana pula dengan kesempatan bertaubat? Bukankah yang itu jauh lebih nikmat?


Friday, January 21, 2011

Sila Ambil Kesah!

“...Oleh itu mahukah kamu berhenti daripada melakukan perkara keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil?" [al-Ma'idah: 91]

Pernahkah anda terlihat kelibat papan notis sebegini?

Sungguhpun nampak uzur bersopak, tetapi ia tidak jemu-jemu berhujan berpanas di situ. Taat terpampang memberi peringatan kepada yang 'jenuh taat'. Dan hanya yang 'tunggul' sahaja melihat ia tidak lebih dari sekeping papan tunggul semata-mata.

Tidak membawa makna apa-apa.

Bagi mereka, jika MDSB hendak menambah sepuluh papan notis lagi pun mereka tidak kesah. Taja dan pacaklah. Mereka tidak heran dan hairan. Apa yang mereka lebih kesahkan adalah habuan. Habuan 'mudah' untuk menjayakan harapan mereka yang melangit.

Justeru, 'langganan nasib' inilah sebahagian dari habuan (jika mengena) dalam memburu segala bentuk impian-impiana mereka itu. Kalian tahu? Kereta dan kediaman mereka belum cukup mewah dan besar. Pangkat mereka belum cukup gah untuk diwar-war. Harta dan pengaruh mereka belum cukup kukuh untuk membina empayar.

Pendek kata, serba-serbi belum cukup untuk mengajar mereka erti syukur.

Oleh yang demikian, ada MDSB mahu kesah dan tolong cukupkan?

Fikir saya, kalaulah papan notis ini boleh bersuara lantang, tentu nada sinikalnya berbunyi begini...

"Tidak mengapa. Aku mahu kesah. Aku pelik dengan Melayu
. Dan aku lagi jelek dengan Melayu bernama Islam. Semangatnya kuat, tetapi selalu tidak bertempat. Semakin berpangkat, berilmu, entah kenapa semakin dungu. Pandai baca Rumi Jawi, sayang sekali tak faham bahasa. Hish, memalukan agama dan kerjaya sahaja. Kau tolong tegur-tegurkan mereka. Mereka itu bukan siapa-siapa. Suku-sakat seangkatan, rakan taulan kau juga."

Astaghfirullah. Saya mengucap panjang. Sungguh sama sekali saya tidak menyangka. Terasa seperti ditibai sama.

Ya. Memang ada betulnya. Islam itu agama peduli dan ambil berat. Agama yang bersifat mengambil tahu. Tetapi perlu kena dengan caranya. Dalam mengambil kesah kita harus berpegang pada asas tahassus. Saya ulang, tahassus ya. Dan bukannya tajassus.

Lihat kembali pada dasar niat kita. Adakah soal mengambil berat ini demi kebaikan seseorang? Atau adakah sebaliknya, sekadar mahu menjatuhkan seseorang? Sejujurnya, tradisi tajassus inilah yang sering saya temui. Selalu terhidu. Pelik dan sangat jelek!

Baiklah. Tetapi mengapa perlu kepada tahassus?

Rasionalnya, bukankah Allah SWT tidak menjadikan manusia ini berdiri tunggal tidak berhajat kepada manusia lain. Siapa tahu, takdir Allah Taala selalunya tidak mustahil.

Esok lusa dibuatnya si fulan bin si fulan ini menjadi sebahagian dari keluarga saya. Barangkali bapa mertua atau sedara-mara saya. Bukankah, pada masa itu saya juga yang haru-biru. Terdiam membisu.

Tentu. Sedangkan hubungan yang sekarang ini pun saya sudah terasa malunya.

Maka, sila ambil kesah!

Berkatalah yang benar walaupun pahit. Sekalipun yang benar itu bisa merentan hati yang dikesahkan. Mohon pada-Nya, Rabbuna yusahhil~

Nota Eksklusif:
1. Sila jauhi melanggan nasib. Ia bukan sahaja suatu kesalahan. Suatu keaiban juga.

2. 'Man jadda wa jada wa Man zar'a hasoda wa Man kasal fa shala'. Boleh? (Signifikan bukan sahaja untuk orang Islam).



Monday, January 17, 2011

Bila Cinta

"Bila ada seorang yang agama dan akhlaknya telah engkau sukai, datang kepadamu melamar, maka terimalah lamarannya. Bila tidak, nescaya akan terjadi kekacauan dan kerosakan besar di muka bumi." [Riwayat At-Tirmizy dan lainnya]

Bila cinta mula bersemi

Jangan terburu-buru hingga membuta-tuli

Kelak engkau mengulangi pahit nasib Laila bintu Al-Judi


Bila cinta mula bergelora

Jangan terkejar-kejar hingga hilang waspada

Kelak engkau mengulangi malang nasib Rithah Al-Hamqa

Bila cinta itu kurniaan dari Yang Maha Esa

Sambutlah ia dengan bijaksana

Sebagaimana Ummu Salamah yang dimaqbulkan doanya~

Nota: Puisi Bila cinta ini saya mahu tinggalkan ia dengan tanda istifham...


Monday, January 10, 2011

Salam Takziah

"Setiap jiwa akan merasai kematian. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan. Dan kamu akan dikembalikan hanya kepada kami." [al-Anbiya': 35]

Kematian
.

Sebenar-benar makna 'kehilangan' yang tiada berganti
.

Menerima perkhabaran itu bukanlah sesuatu yang dipinta
. Ya. Walaupun khabar sedih tersebut bukan datangnya dari kalangan keluarga terdekat kita. Namun, sedikit-sebanyak ia tetap menyuntik rasa bukan?

Dan saat saya menyudahkan baris-baris terakhir catatan singkat ini, saya sebenarnya sedang berkongsi rasa itu.
Tanpa dipaksa, berbalam-balam menyelubungi jiwa.

Semoga Allah mengurniakan kekuatan tsabat dan sabar kepada jiwa mereka yang menempuh ujian getir ini.

Ya Allah, cukuplah perkhabaran kematian menjadi peringatan buat kami yang akan menyusul pula.

Al-Fatihah~

Nota:
1. Ahad, 26 Disember 2010. Waktu panggilan 10.02 pagi dari Mesir.

2. Isnin, 10 Januari 2011. Waktu panggilan 7.32 malam dari Malaysia.


3. Salam takziah buat kedua-dua sahabat saya yang telah kehilangan bonda tercinta. "Semoga Allah membesarkan pahalamu dan membaikkan kesabaranmu dan mengampunkan bagi bondamu."


Saturday, January 08, 2011

Naskah Itu

"Orang yang diberi kepada mereka kitab, mereka sudah membaca dengan sebenar-benar bacaan, maka mereka golongan yang beriman dengannya dan bagi mereka kufur terhadapnya, maka mereka golongan yang rugi." [al-Baqarah: 121]

"Oh, beg itu daripada cikgu ke?"


"Ya, beg yang itu daripada cikgu."

Pagi semalam saya berbasa-basi dengan Suhaida. Di dalam foto di atas, kedudukannya dua dari kiri.

Alhamdulillah. Akhirnya berkesempatan juga. Itu pun kerana kebetulan. Kami bertembung dalam minit-minit terakhir waktu persekolahan.


Tujuan sebenar saya mahu berjumpa dengan Suhaida adalah untuk bertanyakan khabar mengenai musibah kebakaran yang menimpa rumah keluarganya. Dari sumber yang saya tahu, hampir keseluruhan rumahnya hangus dijilat api.

Kesian. Tentu Suhaida masih bersedih dan trauma. Maklumlah, minggu pertama persekolahan baru bermula. Serba bersemangat. Jangan kerana musibah ini, semangatnya hangus terbakar sekali sudahlah.

Sepanjang pertemuan singkat itu, saya sekadar memberi sedikit nasihat mana yang terlintas. Memandangkan tahun ini adalah tahun penting Suhaida. Beberapa bulan lagi dia akan menduduki peperiksaan UPSR.

"Jangan lupa ya. Manfaatkan pemberian cikgu yang tidak seberapa tu. Sungguhpun sudah terpakai, tapi masih elok dan cantik. Terutamanya, al-Quran terjemahan. InsyaAllah, kamu akan semakin dekat dengan Allah."

"Baik cikgu. Terima kasih... Haa, saya dah pakai nombor telefon baru. Nanti saya mesej cikgu."

"Okey. No problem... Aik, kenapa? Handset kamu pun hangus sekali ke?"

Suhaida dan kawannya tergelak kecil. Begitulah lelucon spontan saya. Kadangkala bunyinya seakan menyindir. Sebetulnya, ia menambah kemesraan kami.

Faham sahajalah murid zaman sekarang. Semuanya advance. Sejak dari dulu lagi, rajin benar dia menghantar SMS kepada saya. Bertanyakan khabar dan memberi ucapan.

Biasalah, ragam budak perempuan tengah membesar. Agak gedik berceloteh. Jelas lagi sikap keanak-anakannya. Dan sebenarnya, saya kurang mengenali latar belakang Suhaida.

Saya akui, Suhaida adalah salah seorang murid aliran perdana yang masih ramah dan sopan menghormati saya serta guru-guru lain. Ya. Walaupun saya hanya mengajar dia dan kawan-kawannya untuk kelas Skim Bantuan Tuisyen tahun 2009. Malah, pernah dua kali dia bersama kumpulan saya semasa Kem Bestari Solat.

Selesai sudah sesi berpesan-pesan.

Saya dapat lihat, memang Suhaida lebih banyak mengangguk bersulam sengeh. Ada bening di kelopak matanya. Pada telahan saya, barangkali dia terharu. Ah, tentu sekali. Hati mana yang tidak sebegitu.

Saya berlalu dengan senyuman puas. Cewah, ala-ala seorang motivator.

Sejurus itu, saya bergegas mengambil barang-barang untuk pulang. Sepanjang jalan, menerawang sekejap fikiran ini. Saya teringatkan seseorang. Calon UPSR 2010 yang telah berjaya mendapat 5A. Ukhuwah antara kami bertambah baik juga kerana senaskah al-Quran terjemahan.

Walau di mana dia berada sekarang, semoga dia tidak akan melupakan naskah itu. Panduan dan pedoman hidup untuk terus mencipta kejayaan dunia dan akhirat.

Harap begitulah juga kalian di sana. Dan saya di sini semestinya~

Nota:
1. Sejak dari dulu lagi saya gemar memilih al-Quran untuk dijadikan hadiah. Selalunya sebagai kenang-kenangan tanda persahabatan. Memberi dan diberi. Kita perlu hargai...

2. Ramai di antara kita akan resah gelisah jika tidak menghadap TV. Tidak membaca surat khabar. Tidak mengulati buku-buku seumpama novel. Tidak menjengah laman web, muka buku dan sebagainya. Tetapi tidak pula mereka berasa gelisah dan bersalah bila al-Quran sendiri 'dianaktirikan'. Terbiar berdebu tidak dijamah isinya. Pelik...

Saturday, January 01, 2011

Masa Itu Usia Kita

"Maka apakah kamu mengira bahawa Kami menciptakan kamu secara main-main (tanpa ada maksud) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?" [al-Mu'minun: 115]

Alhamdulillah. Hari ini terbit angka baru. 2011. Bezanya cuma pada angka 0 kepada angka 1 bukan? Tidak ada yang luar biasa dan menarik mana pun.

Saya lihat, matahari tetap bersuluh cahaya. Hamparan langit juga masih indah bermega. Haa, burung-burung di sekitar rumah saya pun riang-ria seperti biasa. Seronok berkicauan sepanjang masa.

Sebaliknya, tidak pula saya terfikir bahawa mereka sedang berpesta. Bergembira dengan kedatangan Tahun Baru.
Semua itu sememangnya menjalankan fungsi sediakala. Mengikut aturan fitrah semesta.

Sayangnya, kita sahaja yang tersasar dari landasan fitrah. Anjur majlis sosial sana. Taja majlis sosial sini. Maka, lebih ramailah yang akan gigih 'berhuha-huha' tidak tentu hala hingga ke lewat pagi.

Kononnya, tiada aktiviti, tiada pelbagai persembahan hiburan, tiada limpah cahaya bunga api, tidak bermakna sambutan Tahun Baru.

Tidak gempak bumi 1Malaysia.

Inilah tradisi kita. Majlis bertafakur dan 'berhibernasi' hanya akan berlangsung bila sesuatu bencana menimpa negara. Itu pun jika kebetulan bencana tersebut berlaku menghampiri tarikh sambutan. Oleh yang demikian, rakyat jelata diajak sama-sama menginsafi.

Bermuhasabah sekejap.

Cuba kita soroti mengenai tarikh hari ini pula. Mungkin bagi sesetengah orang, mereka menganggap nice. Hari ini stimewa adalah kerana gandingan angka satu. Rata-rata suka mencatatnya dengan 1.1.11. Dan barangkali, kebetulan pula tarikh ini jatuh pada hari ulang tahun kelahiran atau tarikh-tarikh penting dalam hidup mereka. Maka, sambutannya akan jadi lebih bermakna.

Tidak mengapa. Itu rukyah (pandangan) masing-masing. Tiada yang salah. Adakalanya, tarikh tertentu juga adalah hak kita untuk meraikannya. Cuma perlu dengan hemah dan kesesuaiannya.


Saya yakin, sana sini kebanyakkannya masih lagi sibuk memperkatakan tentang Tahun Baru. Ucapan dan cerita tetang azam baru pun nampaknya tidak jemu-jemu. Bertalu-talu. Dari SMS, email, laman blog hingga ke muka buku.

Fikir saya, gamaknya azam pun tidak ubah seperti nasib lampu-lampu. Ini bukan lampu biasa. Tetapi lampu lip lap atau led lamp. Lazimnya, lampu-lampu ini hanya akan ghairah dipasang apabila tibanya bulan puasa dan musim-musim perayaan.

Kesian. Manfaatnya cuma untuk menerangi sekian-sekian waktu sahaja. Habis musim, cahayanya akan malap semula. Begitu juga dengan 'suluhan' azam baru kita.

Entahlah. Bagi saya setiap tahun sama sahaja. Lagi pula tahun baru yang ini cuma tradisi kalendar Masihi dan bukannya Taqwim Hijrah. Tidak memberi sebarang makna. Disambut tanpa doa akhir dan awal tahun. Nothing special.

Aha, malam tadi pun saya tetap tidur awal. Bukan kerana terlelap. Memang saya berniat mahu tidur. Tidak berteleku menghayati butir-butir ucapan Pak Menteri. Tidak mengintai sebarang rancangan TV. Apatah lagi untuk menanti count down bagi kemunculan percikkan bunga api yang berwarna-warni.

Dan hari ini saya menjalani kewajipan dan rutin seperti biasa. Tanpa sebarang azam yang agak impiana belaka. Cumanya, saya berharap dapat menjadi yang lebih baik dari semalam. Kerana itu bukanlah azam tahunan saya. Tetapi azam kecil-kecilan yang akan diperbaiki setiap hari.

Sungguh pun kecil, impaknya sangat berharga.

Seolah-olah ia menguak 'jendela' baru dalam hidup saya.

Berharga pada saya tidak semestinya berubah atau ditukar baru. Betul kan?

Sebenarnya, seawal pagi tadi saya ke pekan semata-mata untuk menukar bateri jam tangan saya.
Jam yang rupa parasnya sering sahaja tersembunyi di sebalik sarung lengan hitam.

Seingat saya, kali terakhir saya menukar bateri jam tersebut sekitar penghujung tahun 2008. Menukarnya di Giant Peringgit, Melaka.
Hayat jam tangan itu dengan saya pun sudah melebihi empat tahun.

Masih berseri. Masih berfungsi dengan baik.

Alhamdulillah. Kemesraan kami utuh sebagaimana diawal-awal akad dulu.
Tanpa jam tangan itu, hidup saya serasa tidak lengkap. Satu-satunya jam tangan yang sudi menemani saya ke mana-mana. Tiada dua atau sebarang penggantinya. Melainkan jika suatu masa nanti ditakdirkan pendek jodoh.

Oh ya, kata beberapa orang, saya ini jenis yang setia. Wallahu'alam. Saya sendiri tidak pasti sejauh mana kebenarannya.

InsyaAllah, saya mahu memanfaatkan jam itu seperti mana saya menghargai masa. Bukan untuk bergaya atau sia-sia. Ada harga. Ada nilainya.

Semoga saya dapat menghormati masa saya. Menjauhi yang lagho. Mendekati yang redho. Harapnya tidak culas-culas lagi. Kerana masa itulah sebenarnya usia saya. Umur saya. Umur kalian juga.

Tempoh masa yang telah dan akan menyambung segala catatan amalan kita. Yang mana sedikit waktu lagi, semuanya akan dihisab di sana kelak.

Syukurilah nikmat masa.

Sebelum ajal memanggil kita~

Nota: Semalam saya ada membuat sedikit coretan di muka buku. Meninggalkan catatan itu dengan persoalan di sebalik 2011, 'Adakah yang hidup akan segera 'pergi'?'. Maka, jangan main-main ya!