Saturday, February 27, 2010

Rahsia Itu Hanya Dia Yang Tahu

Di sini pandangan saya sering berlabuh. Di sini juga tempat saya tumpang berteduh... bila yang tertulis untukku adalah yang terbaik untukku

Sesekali bersantai, minda saya sering terlepas melayang pada simpang siur hidup yang lalu. Pendek kata, pantang ada kesempatan. Walau tanpa regu yang mendengar, saya lebih senang berkisar sendiri. Dibuai bersama perasaan dramatis, tragis, romantis dan 'is-is' yang lain. Saya pasti, kalian juga sering begitu, bukan?

InsyaAllah, selagi daya ingatan ini masih waras, barangkali payah untuk saya dapat melupakannya. Lebih-lebih lagi, pada episod sejarah silam. Sejarah yang sarat dengan kenangan manis dan pahit. Cuma agak
sukar merelakan hati saya berkongsi cerita dengan lebih rinci di sini.

Biarkan sahaja ia tersembunyi sebagai sesuatu yang peribadi.
..

Entahlah. Jauh-jauh terbang melayang, saya izinkan memori itu hinggap pada kota lampau. Barangkali sesuai juga dinilai sebagai kota 'terlampau' atau kota 'melampau.' Kota yang serba kosmopolitan. Hampir tiga tahun saya tidak bermukim di sana. Kota yang banyak mengajar saya erti sesuap rezeki. Sayangnya terlalu serabut dipenuhi dengan remeh-temeh kesulitan. Bingit tidak mengira siang dan malam.

Segalanya sesak dan mengelirukan. Kadangkala pada fikiran saya, ia boleh menjatuhkan semangat. Tambah lagi bagi insan-insan yang berkelana nun jauh dari ceruk desa.
Saya pernah menasihati sahabat-sahabat seangkatan. Hidup merantau ini perlukan ketabahan. Andai rebah atau terjelepuk sekali pun, harus kuat untuk bangun ke hadapan semula. Bukan bangun dan berpatah balik.

Ranjau kota ini besar saingan hidupnya. Masing-masing bergelut ke sana ke mari. Tipu daya ada di mana-mana. Dosa dan noda tidak mengira masa. Berbelanja dan bergaul juga harus waspada. Hakikatnya, inilah soal kemewahan dan kebebasan hidup. Kalau silap perhitungan, salah aturan, alamatnya tersungkurlah sendiri.

Hari-hari saya lalui. Jalan menuju Allah semakin sunyi dan hambar...


Mujur ada sang malam yang setia menjengah. Tertunggu-tunggu untuk mengadu pada bulan dan bintang. Tertunggu-tunggu untuk bercumbuan memujuk diri yang sedang berkocak jiwa. Bukan sahaja letih jiwa dan fizikal. Bukan sahaja letih mental. Tetapi lebih kepada gangguan emosional dan spiritual.

Dalam hening itu, terlalu privacy apabila dapat duduk bersantai di anjung bilik. S
ambil menghayati adiwarna terang langit Bangsar. Tepat pula mengadap ceracak-ceracak bangunan sekitar Menara TM. Adakalanya saya memikirkan siapakah yang senang lenang dapat beradu di kamar Cititel Midvalley itu. Satu-satunya bangunan yang paling jelas cahaya nionnya.

Jengkel pula tanpa peneman setia. Aduh! Sungguh romantis dengan secawan air panas yang sudi membasahi tekak. Walau air bancuhan sendiri tidaklah semahal white coffee, hirupan demi hirupan sengaja dilengahkan. Bagaikan sayang dan kedekut untuk menghabiskannya. Saya terus mengintai alam....

Ruang angkasa hanya tepu bertemankan sinar merah dari langit. Sinar yang bakal menyala hingga ke lewat subuh.
Kelihatan balkoni-balkoni mewah berpautan megah disapa angin malam. Kerlap-kerlip nionnya dari kejauhan. Entah mengapa, keindahan metropolis itu cuma ada pada yang asyik menghayatinya. Tetapi tidak terlalu ada pada jiwa saya.

Rumit dan sukarnya di sana amat tidak mampu untuk insan selemah saya. Segagah mana diri ini, gejolak jiwa sering meronta mahu mencari suasana baru. Mendambakan persekitaran yang lebih tenang dan mendamaikan. Keinginan itu tidak hadir sekelip mata. Bertahun menanti dan terus berdoa. Sesekali datang kekecewaan. Patah semangat atas setiap perjuangan.

Kini, perjalanan hidup saya tidak berlanjutan di sana. Barangkali tidak diperkenankan oleh Yang Maha Esa.
Tiba masanya, rezeki datang tanpa mendiskriminasi. Alhamdulillah, dapat juga menyisihkan diri. Impian untuk berdiri di balkoni mewah sudah lenyap sedikit demi sedikit. Malah semuanya tidak lagi terlintas di hati ini.

Begitulah maha tingginya harapan dan impian saya. Tetapi yang mengubahnya bukanlah saya, bukan? Kalian pasti tahu kita hanya hambaNya sahaja. Justeru, percayalah, bahwa rahmat dan kasih sayang Allah itu sentiasa ada. Tidak pernah kurang walau sedikit pun.

Keindahan yang dahulu diganti pula dengan elok indah yang baharu. Indah yang mampu saya membisikkan bahagia di hati. Dinihari fajar menyinsing cantiknya hidup saya. Dikelilingi keperluan yang serba sederhana. Saya bahagia dan bersyukur.
Nikmat sekali apabila terpinggir jauh dari keripuhan kota itu.

Semakin hari, ia menjadi semakin asing. Seakan terlupa jalan-jalan menuju ke sana. Malah, terlalu banyak alasan dan perkiraan yang sengaja dibuat. Ini bukan soal sombong. Barangkali juga bukan soal lupa diri. Apatah lagi membenci. Bukan dan bukan.

Andai terpaksa merempuh ke sana lagi, hanya desis hati saya berbisik lesu,
rahsia itu hanya Dia yang tahu. Maafkan aku Kuala Lumpur dan penghuni alamnya jua~

Wednesday, February 24, 2010

Jom Hebah KMN 1431H

Dato'/ Datin/ Tuan/ Puan dijemput hadir beramai-ramai

Dari mana hendak ke mana, tinggi rumput dari padi, cuti Maulud ini merancang ke mana? Luang-luanglah datang ke mari. Sedikit hebahan kepada audiens pembaca blog MyHumairaKu.

Sempena sambutan hari keputeraan baginda junjungan besar Nabi Muhammad SAW, jomlah pakat-pakat turun ke Karnival Maulud Nabi 1431H. Penuhi kesenggangan waktu anda di sini...


Tempat : Masjid Jamek Makmuriah, 45300 Sungai Besar, Selangor.
Tarikh : 25-27 Februari 2010/ 11-13 Rabiulawal 1431H (Khamis-Sabtu)
Anjuran Bersama : Masjid Jamek Makmuriah, Pejabat Agama Daerah, Pejabat Daerah Sabak Bernam Dan PKM DUN Sg Panjang.

Sepanjang tiga hari tiga malam nanti, terdapat pelbagai hidangan program yang boleh dimanfaatkan bersama. Sukacita diingatkan, segrand mana atucara sekali pun, paling mustahak adalah penghayatan dan pengamalan kita terhadap syariat Rasulullah. Salam Kecintaan Ya Habiballah 1431H~

Saturday, February 20, 2010

Saya Belum Boleh Berkahwin

Anak kecil ingin segera dewasa, orang tua ingin kembali muda... alahai

Al-kisahnya kenapa saya belum boleh berkawin. Barangkali entry trivia kali ini dapat membantu anda. Terutamanya untuk makluman 'wartawan-wartawan' yang sering mengajukan soalan cepu emas versi lama. Soalan kenapa saya belum berkahwin? Soalan bila saya hendak berkahwin? Dan soalan siapa lagi yang saya tunggu-tunggu?

Wah, ini tanda prihatin!

Cuma untuk dilain kalinya, kalau hendak menerjah soal, apa kata ubahsuailah sikit method pertanyaan kalian. Barulah bersemangat hendak menjawab.

Sungguhpun nampak typical, tetapi tidak mengapa. Saya kira anda masih beretika dan tidak agresif menyoal yang bukan-bukan. Semuanya boleh diterima akal. Makanya, saya sedia berkongsi rahsia ini. Komentar peribadi daripada seorang teman aka tuan penasihat yang sangat jujur budaknya.


Acap kali datang mengaji, Harith gemar berlama-lama di rumah saya sehingga melewati waktu Isya'. Ada-ada sahaja yang hendak dibuatnya. Hendak mengajak saya berboraklah. Melukis dan menulislah. Segala macam barang saya teringin digodamnya. Kebetulan saya pula 'kaki layan'. Tercuit juga dengan gelagatnya yang bersahaja.

Gaya budak bandar yang baru balik bersekolah di kampung. Semangat mengajinya jenuh dipujuk. Di depan muqaddam selalu beralasan mengantuk, lapar, bosan dan sebagainya.


Pernah sekali bonda saya menasihatkan dia supaya dia tidak berlama-lama setelah selesai mengaji. Maklum sahaja, ustazah Harith ini berstatus anak dara. Kalau hari sekolah, banyak kerja yang hendak dihadap. Tambah lagi, ustazah mahu tidur awal. Sengaja bonda saya memujuk Harith dengan mencipta alasan-alasan sebegitu.

Harith mengangkat kening kepada saya. Tanda well!

Agaknya Harith sudah terlupa apa yang neneknya (bonda saya) sebutkan. Di hari yang lain, dia kembali menyoal. Istifham budak sekecil Harith pun boleh tahan jugak. Lagak dan petah budak berumur 6 tahun ini sama seperti kawan saya yang seusia sebelia.

"Ustazah, kite nak tanya la." Pandangannya lebih tertumpu kepada mainan di tangan. Bibir mugil itu pantas mengomel.

"Hah, tanyalah." Saya membenarkan. Sambil tangan saya terus menyapu sampah. Jeling-jeling, mata saya mencuri pandang.

"Hish, kita tak faham la...ustazah ni kan dah kahwin ke belum ya? Kat tingkat atas tu ada suami ustazah ek?" Harith terus menjama'kan soalan cepu emasnya.

"Haa, kenapa tanya?" Hati saya sudah menggeli. Jawapan disimpan dan melipat dengan soalan balas.

"Hmm...takde pape la. Kite tanye je" Harith menjawab ringkas. Mata kami berpandangan. Malu-malu dia hendak meneruskan perbualan.

"Ustazah belum kahwin la. Hah, ada soalan lagi ke da habis ni?" Saya masih menahan ketawa tetapi berlagak selamba.

"Takde la. Kita rase kan...takyah la ustazah kahwin lagi (dulu)." Bukan main bersungguh dia menasihatkan saya.

"Yealah. Tapi kenapa belum boleh kahwin?" Saya sengaja mengorek maksud isi hatinya.

"Yealah. Ustazah kan kecik lagi. Kite rase, tunggulah besar dulu. Haa, baru boleh kahwin!" Tanpa berselindung, Harith melontarkan nasihat.

"Oh! Betul jugak yek." Saya membenarkan jawapannya tetapi bukan mengangguk. Sebaliknya menggelengkan kepala.

Aduh, beginikah penilaian seorang budak kecil. Sesuka hati sahaja menasihatkan orang dewasa. Mentang-mentanglah fizikal saya ini agak 'remaja' di pandangannya. Apa pun, saya tetap menghargai usul 'Hang Nadim' itu.

Tersenyum berbunga-bunga. Dalam hati berdesis, wah, berdampingan dengan anak-anak murid barangkali 'memudakan' saya!


Tanpa menahan lagi, saya terus tergelak besar. Look, kids always say the darndest things! How cute ini budak! Sangat geliga! Sesuai sekali kalau dilantik menjadi 'PR' saya~

Nota:
1. Saya belum boleh berkahwin dan bukan bererti saya tidak ingin bernikah. Adakalanya, situasi semasa menyebabkan kemahuan dan kemampuan agak terbatas.

2. Semestinya bernikah itu satu keperluan. Sebahagian tuntutan sunnah. Tetapi ada yang lain lebih berhak untuk didahulukan. Bukan sunnah, sebaliknya kewajiban saya yang maha utama.


Tuesday, February 16, 2010

Resepsi Di Sri Cheeding

"Telah pasti datangnya ketetapan Allah, maka janganlah kamu meminta agar disegerakan (datang)nya." [an-Nahl: 1]

Ayat di atas terlalu mudah untuk difahami. Menjelaskan agar kita tidak mendahului apa yang akan terjadi. Apakah anda ingin memetik buah sebelum matang? Terburu-buru bertindak pada sesuatu perkara yang belum sesuai masanya? Saya yakin, anda pasti tidak sampai hati melakukannya bukan? Ini cuma analogi saya sahaja.

Memikirkan perihal masa depan memang penuh dengan andaian dan angan-angan. Berangan duduk di tempat Sue. Ada sahabat-sahabat mengapit di kiri dan kanan. Berganti-ganti memetik kamera untuk merakam riak riang hari bahagia. Pada ketika itu, tentunya letih memberi pelbagai jenis senyuman. Namun, kekal ceria setelah tersempurnanya separuh daripada agama.

Berbalik kepada susun ayat di atas. Apa pun, masa depan merupakan sesuatu yang masih samar. Belum pasti lagi 'wajah'nya. Tiada siapa yang boleh meneka dengan tepat. Waima masa depan itu sebuah kebahagiaan, keindahan, ketenteraman, musibah dan sebagainya. Semuanya masih di alam ghaib.

Begitu juga perihal jodoh. Tidak ada sesiapa yang mengetahui sesuatu yang ghaib. Ia hanya ada pada kantung pengetahuan Allah SWT. Sabarlah untuk menunggu masa depan yang dijanjikan. Sabar itu harus seiring bersama usaha. InsyaAllah ia pasti datang. Dalam kata lain, kita perlu ada rasa keyakinan terhadap sesuatu yang masih dalam kerahsiaan Allah SWT.

Mabruq kepada Siti Suhadah Mohd Sarif (ex-ahli bait saya semasa di Peringgit) dan pasangannya Ustaz Mohd Harun Kadri. 14 Februari 2010/ 30 Safar 1431H saya bertolak dari Sg. Besar-Bukit Tinggi-Kg Sri Cheeding, Banting-Sg. Besar semula. Sri cheeding telah menemukan kembali jodoh saya dengan ahli bait 2008. Kami yang hanya berenam sempat berseloroh mengakrabi pertemuan singkat ini.

Insiden Ila, Mak Jah dan kertas tisu buat saya dan Ainul gelak mengekeh. Usikkan kami menjadi-jadi dari duduk di kerusi khemah sampai bersimpuh di lantai rumah. Tidak kering gusi terkenangkan betapa misterinya Mak Jah menerjah kami ketika leka menjamu selera. Melihatkan sikap 'jurus' Ila juga buat saya dan Ainul terkebil-kebil kepelikkan. InsyaAllah, perkembangan terkini Ila dengan agenda 'cari menantu' Mak Jah akan saya risik kemudian.

Kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan barakallah kepada mek Ma (sahabat sekelas semaktab) yang telah diijab qabul pada 15 Februari 2010/ 1 Rabiulawal 1431H. Perjalanan pulang ke SB, saya dikejutkan dengan berita sensasi mek Ma. Dihujung talian, suaranya kepoh memberitahu saya. Jangan tidak tahu, esok giliran dia pula akan dinikahkan.

Sambil memandu, kami gelak menyindir sesama sendiri. Ada seloroh nakal dalam tone kelantan al-Naim mek Ma. Masih segar percutian singkat saya di kampungnya dua tahun sudah. Masakan saya boleh melupai enak rasa keaslian nasi kerabu Pasir Mas. Kangen sekali!

InsyaAllah andai tiada halangan, saya akan ke majlis resepsinya di Pasir Mas pada cuti bulan Mac nanti.
Siapa tahu, lepas ini langkah saya bakal menyusur peta walimah ke Kulai/ Segambut atau ke Kajang dahulu. Barangkali anda juga tertanya-tanya, bila pula tarikh resepsi seseorang di Kuala Perlis? Wallahu'alam. Segalanya masih ghaib tidak berwajah~

Saturday, February 13, 2010

Tidak Seindah Idealis Dan Romantis

"Sedang kamu masih dapat mengharapkan daripada Allah apa yang tidak dapat mereka harapkan. Allah Maha Mengetahui, Maha Bijaksana." [an-Nisa': 104]

Ramai orang bersungut dengan persepsi yang agak stereotaip. Menjadi guru itu mudah. Apatah lagi guru Pendidikan Khas. Kerjanya enteng. Hanya mengajar tiga empat orang murid di dalam satu kelas. Tidak perlu menyemak buku yang menimbun. Tidak perlu menanda lembaran kerja berhelai-helai. Dapat pembantu murid, siap merangkap pembantu peribadi lagi. Murid pulang seawal tengahari, guru pun mula bergoyang kaki.

Perihal cuti pula. Lihat sahaja takwim guru. Cuti semester sudahlah berderet. Apatah lagi bila dicampur cuti-cuti sampingan. Ah, bukan main berlambak. Hari ini cuti lagi, sempena Perayaan Tahun Baru Cina. Malahan, ada sekolah yang mengambil cuti tambahan. Bermakna esok lusa, cuti mereka bakal sambung menyambung. Boleh jadi lanjut sampai seminggu lamanya.

Indah bukan? Siapa yang tidak cemburu bila melihat si guru dapat mengulit cuti. Murid bercuti, guru beria tumpang sekaki. Balik-balik, kerjanya cuti sahaja. Ia lazim dan biasa. Ini telahan berzaman semenjak saya belum bergelar guru. Betul! Tiada salah orang yang bersungut itu.

Secara rambangnya, komentar yang menjengkelkan dan pandangan prejudis anda tetap betul. Cuma harus memperhalusi lagi tanggapan itu. Biar betul hakikatnya. Bukan andaiannya. InsyaAllah, saya pasti anda tidak akan berat sebelah tentang dunia perguruan yang kami hayati ini.

Kenapa kerjaya ini habuannya cuti sahaja? Andai diberi pilihan sama ada cuti dan ganjaran lain, saya yakin jawapan dominannya. Tentu ramai guru di luar sana senang dengan hanya memilih cuti. Ini sahaja penawar yang paling aula. Ia ibarat air. Hanya air yang mampu memberi kelegaan setelah penat berlari. Namun, cuti yang banyak itu bukan semuanya milik guru.

PUDARNYA SERI IDEALIS DAN ROMANTIS

Dunia perguruan dan pendidikan tidaklah seidealistik dan seromantis yang anda fikirkan. Tuntasnya, ia tidaklah seindah yang disangka. Menjadi seorang guru bukanlah semudah A B C. Masalah dan tugasan sentiasa bertambah. Malah, menjadi semakin dalam dan mendalam. Silap-silap, anda mungkin akan menjerit sekuat hati. Barangkali seperti berada di dalam gaung. There is no turning point beb!

Menjadi pendidik ini, banyak lapisan rintangan yang perlu ditempuhi. Kalau silap dan culas sedikit menggalas amanah, tidak mustahil banyak dosa berbanding pahala. Setahun dua ini saya sedang menghayati permainan 'politik pejabat' kerjaya ini. Pelbagai watak telah saya temui. Baik mereka yang kukuh berjawatan dan tidak kurang yang 'sedang-sedang' sahaja.

Masing-masing hebat mengadun fakta dan auta. Barangkali mahu merebut APC tahunan. Paling tidak, cukup sekadar pujian 'orang dalam'. Moga saya bijak memilih yang dihormati untuk diteladani. Bukan yang ditakuti tetapi pura-pura disegani. Hehe... izinkan saya menekup mulut sekejap buat pengubat geli di hati. Siapa yang hendak gelak senada dengan saya, sila angkat jari anda tanda two thumbs up.

Kini, fasa hidup saya sebagai guru novis (baru) sudah berlalu. Tetapi saya masih merasai nikmat novis itu. Masih serba mentah. Sedang belajar menilai itu dan ini. Dalam teraba-raba sendiri, semangat dan inspirasi saya seakan 'biskut' kering yang dicelup air. Sekejap menjelma, sekejap menghilang. Tenggelam timbul ditelan rutin harian yang membosankan.

Saya sendiri tidak tahu, sampai bila saya mampu mempertahankan keghairahan atau passion kerjaya ini. Jauh di sudut hati, itu yang sering saya bimbangkan. Lebih dirisaukan, saya tidak pasti bilakah saya akan menjadi seorang guru 'murabbi'. Boleh mendekatkan diri anak muridnya dengan tuhan pencipta. Bukan menjadi seorang guru yang biasa-biasa sahaja. Wallahu'alam~

*** 1. Mohon kemaafan andai tulisan ini wujud kekhilafan yang melampau. Mungkin tulisan saya agak kurang sopan. Anda membaca, anda merasa!

*** 2. Orang yang pandai boleh berpura-pura bodoh. Awas pada orang yang bodoh. Jangan sekali-kali berpura-pura pandai.

*** 3. Saya suka CUTI. Barangkali CUTI juga menyukai saya.

Thursday, February 11, 2010

Saya 'Cikgu Ustazah'

"Assalamu'alaikum ustazah!". Harith ini rajin datang belajar mengaji. Celotehnya memeriahkan rumah saya

Dengan rasa penuh rendah diri, serba fakir dan dha'if, saya ini bukan ustazah. Apatah lagi 'protazah'. Saya terjun ke dunia perguruan bukan di dalam bidang agama. Kalau hendak dicermati ilmu agama saya, memang banyak yang 'mentah'. Baik dalam Pendidikan Islam, Bahasa Arab dan ilmu yang seumpamanya.

Isunya sekarang, gelaran ustazah sudah sebati dengan diri saya. Walaupun saya tahu, dari segi bahasa, guru perempuan di dalam Bahasa Arab dipanggil ustazah. Namun, dari segi istilahnya di Malaysia, ia lebih khusus dituju kepada golongan tertentu berkelayakkan sahaja.

Gelaran ini bukan asing lagi sejak saya di alam persekolahan dan pekerjaan. Rata-rata mengandaikan saya ini adalah seorang ustazah. Adakalanya saya sendiri konfius dan lucu memikirkannya. Waima, tersipu malu juga bila mana siang dan malam disapa salam dengan gelaran itu. Senyuman saya meleret dilanjuti ketawa kecil. Mujur tidak sampai berdekah.

Kenapa dan mengapa?

Wallahu'alam dari sudut mana penilaian mereka. Saya kira, hanya yang arif menyapa itu ada jawapannya. Barangkali, ini gelaran usikan atau sindiran untuk saya. Boleh jadi juga, ini gelaran mulia yang menginsafkan saya. Paling tidak, ia dapat mendidik saya menjadi insan yang lebih baik.


Ustazah?

Jauh di sudut hati, tiada sekelumit rasa bagus dan 'poyo'. Saya belum 'kelabu mata' dan tenggelam dengan gelaran ini.
Apa jua gelaran itu dinilai orang, saya tidak berniat untuk mendapat gelaran itu. Tetapi pandangan sesiapa sahaja bila melihat suka sekali melabel.

Saya sekadar guru biasa. Dikhaskan mengajar anak-anak istimewa. Sejujurnya, saya belum ke tahap multy skill. Kalau hendak berdebat, berforum dalam hal agama, saya bukanlah ahli yang sesuai di dalamnya. Kalau hendak mencuba bakat, takut terpamer aib bodohnya saya.

Sungguh!


Pernah juga terlintas di hati kecil ini untuk memperkemaskan segala bentuk ilmu di dada. Seimbang syariatullah dan sunnatullah. Barulah terasa duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan ilmu dan gelaran. Itulah yang sepatutnya sebagai seorang da'ie. Setiap muslim adalah seorang da'ie. Seorang pendakwah. Perlu ada perasaan risau dan takut kerana tidak cukup.

Lewat hari ini, cikgu atau ustazah, kedua-duanya mengusik fikiran ini. Saya tidak mahu hilang peranan saya sebagai guru yang da'ie. Saya adalah agen yang paling dekat dalam membangunkan modal insan. Saya belum cukup gagah hanya sebagai 'cikgu ustazah'.

Sudah pasti, kefakiran ini boleh mencetuskan apa sahaja. Fakir yang punya ilmu tetapi tidak mahu menambah. Fakir yang punya ilmu tetapi tidak sudi mencurah. Fakir yang punya ilmu tetapi tidak bijak mengarah. Penghujungnya, semakin gelap dan membakar diri.

Parah... parah~


Saturday, February 06, 2010

Sampai Sini Jodoh Kami

Saya mahu berfikiran positif. Saya mahu berbaik sangka. Lumrah hidup ini bukan untuk menyerah begitu sahaja. Namun, siapalah kita untuk menolak takdir. Yang datang akan tetap kembali. Yang dipinjamkan juga berhak diambil semula. Tidak kira sama ada kita sudah bersedia mahupun sebaliknya.

Begitulah selalunya terjadi. Sejarah mungkin berulang kembali.
Betul juga, apa yang terdetik di hati saya sejak dua hari ini. Ada sedikit persediaan awal andai sesuatu kemungkinan benar-benar berlaku.

Saat ini, saya cuba gagahkan jemari. Tentunya menulis di dalam keadaan bercampur baur sebak hati, rasa seperti tidak selesa. Mudah-mudahan, jiwa saya bertambah reda. Perjuangan hidup ini perlu berlangsung mengikut rutin sediakala.


Selepas menerima perkhabaran musibah kehilangan,
serasa tangkai hati saya mula membengkak sebak. Mana tidaknya, jodoh kami sudah berakhir. Puas sudah saya berusaha ke hulu ke hilir. Tidak jemu mencari penawar untuk memanjangkan jodoh kami. Akhirnya, usaha dan harapan saya tidak menjadi. Kedua-duanya menemui ajal pada tanggal 21 Safar 1431H.

Saya terpaksa akur dan redha di atas kehilangan dua 'teman' yang sangat saya sayangi ini. Siang malam saya mendampingi mereka. Lebih-lebih lagi, si dia. Seminggu ini, komitmen saya untuknya melebihi segala keutamaan saya.

Teringat lagi kata-kata dua orang kawan saya berseloroh.

"Nanti akak bagi kucing akak. Cantik. Anak kucing kau pungut tu dah memang tak sihat."

"Alah, beli saje yang baru. Handset tu dah kong."

Saya sekadar tersenyum ampuh demi membesarkan keyakinan diri. Saya tidak pedulikan seloroh dan pujukkan mereka. Dengar dan abaikan di situ. Nah! segalanya sudah termaktub. Usaha terakhir menjadi penamat atas ketentuan Ilahi.

Jika ada rezeki saya lagi, insyaAllah akan tiba masanya nanti diberi pengganti. Saya belum pasti bila. Buat masa ini, tiada ruang memikirkannya. Saya percaya, setiap pengganti yang baharu belum tentu akan sama seperti yang lama.

Selamat tinggal 'teman'! Telefon bimbit berjenama Sony Ericsson K800i masih di kedai telekomunikasi. Esok sahaja saya akan keluar mengambil. Anak kucing hitam putih bernama Shiro juga akan saya kuburkan seawal pagi esok.
Mungkin di belakang rumah sahaja.

Sesungguhnya, setiap sesuatu itu amat memberikan makna. Yang satu menyumbang jasa bakti. Yang satu lagi berkongsi rasa hati. Kedua-duanya ada nilai kasih sayang. Terima kasih kerana pernah mendampingi diri ini. Walaupun jodoh kita bertahan sekejap cuma, antara kita ada rahsia suka dan duka~

Shiro; mangsa buli murid-murid sekolah. Kakinya pecah. Perutnya pula membengkak dengan pelbagai masalah kesihatan lain

*** Minta maaf atas kesulitan. Saya belum dapat dihubungi melalui nombor yang sama. 90% gambar-gambar di dalam blog ini hasil ketajaman cybershot K800i. Kini 'bersara' awal setelah 4 tahun setia berbakti.