Showing posts with label meja guru. Show all posts
Showing posts with label meja guru. Show all posts

Sunday, May 15, 2011

Berbaloikah Semua Ini?

"Agar kamu tidak bersedih hati terhadap apa yang luput dari kamu,
dan tidak pula terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu.
Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong dan membanggakan diri." [al-Hadid: 23]

Berdiri di penjuru kelas yang kadang-kala tertanya-tanya juga di dalam hati kecil.

"Ya Allah, berbaloikah semua ini?"

Masih saya ingat sewaktu saya belum menjadi guru.


Biarlah saya memberitahu dengan jujurnya.

Ya, saya kurang berminat untuk menjadi guru. Semenjak dari kecil lagi, menjadi guru bukanlah kerjaya yang diidam-idamkan. Saya sering merendah diri dengan mencipta 1001 alasan. Saya sering mengarahkan diri untuk lebih berusaha bagi mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian jurusan.

Sebenarnya, di awal graduasi dulu, saya pernah merasai nikmat seketika sebagai Guru Sandaran Tidak Terlatih di tiga buah sekolah sekitar Perlis. Pada masa itu, sebolehnya saya berniat dan berharap supaya saya tidak terjebak lama sebagai guru sekolah. Apatah lagi menambahkan bilangan guru Pendidikan Khas di dalam ahli keluarga saya.


Entahlah. Saya masih ingat semua itu. Betapa nakalnya saya apabila cuba meloloskan diri untuk tidak kesampaian menjadi guru tetap dan berpencen seperti sekarang. Ditambah pula dengan kesungguhan dan keikhlasan saya ketika itu masih di tahap berkira-kira. Dan akhirnya...

Alhamdulillah. Hari ini, tentu sekali saya sudah tidak jenuh lagi untuk membayangkan rona rasa keterujaan menjelangnya hari esok. Meraikan sambutan istimewa saban tahun. Sambutan yang diadakan dipelbagai peringkat demi menghargai para guru di Malaysia.

Kesekian kalinya bakal menerima ucapan-ucapan lunak beriringan doa. Kesekian kalinya bakal menerima hadiah dengan tema yang silih berganti. Kesekian kalinya akan bersemangat mengalunkan lagu Guru Malaysia dan kesekian kalinya akan diceriakan dengan pelbagai aturcara lain.

Sungguh. Sedikit demi sedikit saya semakin redha dan bersyukur. Inilah yang dikatakan 'campur tangan' daripada Allah. Dia yang membolak-balikkan perasaan hamba-Nya. Dia yang Maha Mengatur betapa tiada siapa pun boleh menolak takdir.


Saat ini saya sedar saya sudah menjadi seorang guru. Bukan lagi kakitangan di sana dan di situ. Bergaul dengan para doktor, resercher, pegawai dan esekutif agama. Tiada lagi istilah meja dan bilik kerja berhawa dingin. Tiada lagi istilah pergi awal pagi dan balik lewat petang.

Hari ini, 7.30 pagi hingga 1.20 tengahari, dunia saya lebihnya di persekitaran sekolah. Bersama murid-murid Pendidikan Khas Bermasalah Pendengaran. Semestinya, mereka adalah sebahagian dari juzuk-juzuk kebahagian saya.

Dan saya selalu bermohon agar tiada sebarang penyesalan terbit dari mulut dan hati saya ini kenapa kerjaya guru Pendidikan Khas yang Kau takdirkan untukku.

Namun begitu, duduk di penjuru kelas, lintasan persoalan yang sama akan muncul kembali. Berulang-kali mengenangkan pilihan dan takdir Ilahi ini.

"Masih berbaloikah lagi?"

Jawapannya sudah pasti.

Hanya Dia yang membolak-balikkan perasaan hamba-Nya. Dia yang Maha Mengatur betapa tiada siapa pun boleh menolak takdir. InsyaAllah masih berbaloi. Dan terus berbaloi hingga entah bila
ditakdirkan-Nya.

Buat semua yang mengajar dan mendidik insan, baik di sekolah atau di mana-mana... Selamat Hari Guru~

Nota: Ramai yang mudah meneka-neka saya seorang guru. Dan ramai juga menyangka-nyangka bahawa saya ini seorang pelajar yang masih di bangku sekolah.

Thursday, April 28, 2011

Siapa Saya?

"Kamu sentiasa menjadi alim selagi kamu menjadi pelajar;
maka apabila kamu merasa cukup (perasaan kaya ilmu) kamu telah menjadi jahil."

[Riwayat Al-Imam Ibn Abd Barri dan Abdul Ghassan; Riwayat Muslim]

Ada tika dan saatnya. Dari seberang meja, mata saya mengecil sambil tersenyum mengubat rasa sendiri. Senggang masa P&P, sengaja dibiarkan untuk duduk melepaskan lelah di kerusi. Kalau tidak pun, pasti akan bertenggek di mana-mana. Leka diisi dengan membaca dan menghayati kerja-kerja sendiri.

Entahlah. Akhir-akhir ini saya lebih banyak bersahaja di hadapan mereka. Berpsikologi dan membisu dingin. Tanda protes dan marah jika ada anak-anak yang lebih-lebih bertingkah-laku. Alhamdulillah, mereka semakin mudah memahami bahasa begini. Praktikal dan terkesan.

Bukankah yang bernama guru itu wibawanya persis seorang ibu?

Dan kini, sedar tidak sedar, hari berganti seperti berlari. Ya, saya masih lagi di sini. Menjadi seorang ibu guru yang kadang-kala bukan masuk dan hanya terpacak mengajar itu dan ini. Tetapi masuk dengan tidak mengajar.

Sungguh. Saya tidak mengajar. Sekadar mengambil sedikit waktu untuk duduk menyandar sebentar. Diam terpaku. Saya menatap wajah anak-anak yang kian membesar itu satu persatu.

Kami saling berpandangan.

Mereka tersengih dengan gelombang istifham sesama sendiri.

Saya suka kembalikan ingatan pada salah sebuah 'kitab wajib' saya. Sudah masuk tahun ketiga diusung dari kelas ke kelas. Bertukar tangan antara saya dan mereka. Diselak-selak ia hingga kusam dan robek.

Kulit luarnya sengaja saya selitkan sepotong peringatan. "...Remember that you are not just a teacher, but you play your role as khalifah of Allah." Sungguh mereka tidak fahami. Tetapi saya? Patutkah itu dijadikan hiasan buku semata?

Inilah antara sebabnya mengapa saya perlu duduk untuk bertafakur seketika. Di hadapan mereka, saya mahu melihat sejujur rasa. Dan kembali menyoal sedalam-dalam hati.

Apa sebenarnya tujuan seorang anak seperti mereka datang ke sekolah. Dan apa sebenarnya tujuan seorang pendidik di mana-mana?

Siapa saya dan apa tujuan saya?

"Ya Allah, aku memohon keampunan-Mu atas segala kefakiran ilmuku kepada mereka dengan hanya mengharapkan keredhaan-Mu."

Percayalah kalian. Bukan sahaja doa namanya yang ditadah. Dirafak bersusun jari sepuluh. Terkadang Tuhan juga memakbulkan lintasan angan-angan hamba-Nya. Itu juga sebahagian dari doa-doa kita.

Setiap hari saya cuba mengumpul dan memaknakan rasa bahagia. Bahagia seorang pendidik yang biasa-biasa saja. Ya. Biarpun sekecil perubahan akhlak mereka. Biarpun sekecil perubahan sikap mereka. Dan biarpun sekecil kefahaman mereka dalam membezakan antara yang baik juga yang jelek.

Alhamdulillah. Sesuatu yang positif dapat dilihat apabila mereka beria-ria saling ingat mengingati. Betul membetulkan waima bagaimana mengisyaratkan bismillah, adab mengetuk pintu, memberi salam dan meminta izin. Apatah lagi membudayakan berterima kasih dan meminta maaf.

Malah, saya akan tersenyum puas meskipun tatkala dijemput mereka untuk masuk ke kelas. Pasti terkocoh-kocoh segala macam barang-barang saya habis dikutip dan dikemas. Bag buku dan botol air saya juga berebut-rebut mahu digalas.


Barangkali lebih dari itu yang tak mampu saya coretkan di sini.

Syukur atas kebahagian ini ya Allah. Semoga saya diberi keizzahan untuk terus istiqomah dalam bertimbang rasa. Dan semakin ikhlas mendidik jiwa mereka sebaik cara~

Nota: Selamat Hari Pekerja. Tengah berkira-kira kesempatan cuti umum dan cuti rehat khas. Urusan melabur di KLIBF 2011 pun sudah selesai. Minggu ini serasa mahu bergegas pulang ke kampung...

Friday, February 04, 2011

Hindarilah Kami Dari Fitnah

"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, "Kami telah beriman", dan mereka tidak diuji?" [al-Ankabut: 2]

Waktu rehat murid Pendidikan Khas masih berbaki kurang sepuluh minit. Kelihatan murid-murid sedang bersantaian di hadapan kelas masing-masing. Tidak kurang riuh rendah bergema dek kerana usik mengusik dan senda gurau sesama mereka.

Ada juga beberapa orang murid yang sedang menyudahkan suapan di kantin sambil ditemani Pembantu Pengurusan Murid. Tatkala murid-murid Kelas Khas Masalah Pendengaran pula lebih tangkas mendahului rakan-rakan mereka yang lain. Lazimnya, mereka bergelut untuk lekas makan. Usai menikmati kudapan, mereka akan bercempera dengan pelbagai aktiviti.

Tenang. Namun, pagi Rabu itu semakin terik disimbah mentari.

Siap mengalas perut di kantin,
Fatimah dan Nazim bergegas masuk ke kelas lebih awal. Kebetulan pula ada sedikit lagi kerja-kerja menghias kelas yang tertangguh. Peralatan memasang langsir kelihatan berselerak di penjuru kelas. Semuanya mesti dikemas sebelum subjek Komunikasi bermula selepas rehat nanti.

Kebiasaannya, awal-awal tahun begini, yang paling sibuk adalah menceriakan bilik kelas. Setiap kelas tidak ketinggalan berlumba-lumba. Menata rias wajah kelas dibuat beransur-ansur. Mengikut kesempatan dan kemampuan gurunya. Dan mengikut mood kerajinan juga. Manakala murid-muridnya pula lebih teruja dan bersiap sedia menerima arahan untuk membantu.

"Nazim, awak pernah tahu tak, apa
pesan Allah SWT pada hamba-Nya?"

"Alahai Timah, banyak pesan-Nya. Maksud awak yang mana satu?"

"Pesanan dalam surah an-Nur, ayat 30, "Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat."


"Ha, cuba awak fikir, pada siapakah terlebih dahulu Allah SWT sampaikan pesanan-Nya?"

Khali.

Nazim masih menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Songkoknya dibetulkan berkali-kali. Dahinya sedikit berkerut memikir tanpa ada sebarang reaksi jawapan. Tidak mahu berlengah, Timah terus memintas.

"Aduh, lambatlah awak ni. Bukankah jelas, ini pesanan pada hamba-Nya yang bergelar Ar-Rijal? Awaklah tu!"

"Ini Kerana, andai lelaki seperti awak ni Nazim, pandai menjaga pandangannya, maka tidak akan terlihatlah akan wanita yang menjadi fitnah pada diri awak," Timah menambah lagi.

"Alamatnya, mesti lelaki lebih ramai terlanggar tiang kan? Yelah, nak jaga pandangan mata. Maka, kena la selalu tunduk tawaduk. So, statement 'make eye contact with the person you're talking to' pun kira dah tak relevanlah ya?"


"Awak ni Nazim. Rasional la sikit, guna 9/10 dari akal awak tu. Tak pandang saya, macam mana awak nak faham sign saya ni!"

Nazim memecah suasana. Dia tergelak besar dengan suara baru yang semakin garau.

Timah menggeleng. Dia kembali melanjutkan mauduk mereka.

"Oh ya, dan lagi, Allah SWT juga tidak abaikan pesanan buat wanita agar memelihara aurat mereka. Kerana di situlah kehormatannya. Awak boleh rujuk surah tadi. Ayat 31 selepas pesanan untuk ar-Rijal."

Sambil mengangguk, Nazim membalas pandangan Timah.

"Saya setuju dengan Ustazah Fatimah. Tiadalah fitnah semata-mata ya jikalau ar-Rijal dan an-Nisa' mematuhi pesanan Ilahi itu. Sama-sama menjaga."

"Eh Timah, sedar-sedar kita ni dah besar panjang kan. Tahun ni umur kita dah 13 tahun. Patut pun Cikgu Izzah pisahkan meja kita berjarak. Lagi pula, kita berdua saja di kelas ni. Ikhtilat kena jaga juga. Tak manis kan kalau rapat-rapat. Ha, biar renggang-renggang tau. Nanti difitnah pulak! Awak pun tahu kan. Geng KKBD2 tu boleh tahan jugak akalnya. Kang sia-sia saja saya rajin pakai songkok, awak pakai tudung."

Timah mencebik. Pantas menyusun kata.

"Yelah sahibus samahah al-Fadhil Ustaz Nazim, saya tahu. Sesungguhnya wanita beriman yang solehah itu lebih baik dari ribuan lelaki yang soleh. Tak gitu Abang Songkok?"

Nazim mengangkat kening. Kembali memprovok Timah.

"Em, tapi kan Timah, kenapa pula wanita tu suka sangat menjadi peragaan? Hias sana sini. Tidakkah mereka merasa malu?"

"Entahlah Nazim. Err, sepatutnya malu! Apa yang saya tahu dari Cikgu Izzah, al-Haya' (malu) tu ada dalam diri setiap insan. Wujudnya seiring dengan nafas insani. Dan al-Haya' itulah pakaian iman seseorang."

"Haha... macam lagu Ana Raffali feat Sohaimi dan Altimet tu ya... biar malu-malu, biar segan-segan, kerna malu itu perisai orang beriman..."

Timah mengangkat thumbs up.

"Tapi kan Timah, takkan pakaian iman tu hanya ada pada diri wanita saja? Habis tu lelaki pakai apa pulak?"

"Eh awak ni, lelaki pakai baju la. Hehe... Em, indah al-Haya' tu ada pada setiap insan. Allah SWT tu kan Maha Adil dan Bijaksana. Cuma nisbah untuk wanita lebih banyak, 9/10. Berbanding lelaki cuma 1/10. Sebab tulah wanita sangat lembut sifatnya."

"Dan lagi, Dia anugerahkan rasa malu ini sebagai pembenteng untuk diri kita. Rasulullah SAW kan pernah bersabda, Rasa malu adalah kebaikan seluruhnya.
Atau rasa malu seluruhnya adalah kebaikan. Namun..."

"Hmm, apa namunnya tu makcik Timah?"

"Hish, tak boleh sabar! Namunnya tu, bila mana al-Haya' itu lebur, imannya runtuh la."

"Tapi kan Timah, bukankah wanita ini sebaik-baik hiasan? Maksud saya, kira dah cukup cantik Allah SWT jadikan. Tapi kan, kenapa mereka masih merelakan diri jadi peragaan?"

Belum sempat Timah menjawab. Nazim menokok lagi.

"Entahlah. Saya pun pelik dengan wanita. Sejauh mana pemahaman mereka tentang aurat? Tengoklah. Mereka bertudung tapi fesyennya berlebih-lebihan. Siap sengaja menenggekkan bonggol unta lagi di atas kepala. Mereka berbaju tapi bersendat marat. Paling tak tahan bab bersolek bagai. Wanginya jangan cakaplah. Semacam je."

"Ehem, awak mengata siapa ni?"

"Tak ada sesiapa pun. Awak kena tahu, bila kita terkurang sesuatu, tentulah kita terlebih sesuatu. Allah SWT beri kita pengamatan yang baik walaupun kita tidak mampu mendengar dengan baik. Betul tak?"

Timah hanya merekahkan senyuman.

"Okay, berbalik kepada soalan awak tadi tu, wallahu'alam. Agaknya disebabkan wanita ni mudah paranoid kot. Merasakan dirinya belum cukup menarik. Itu yang kekadang perbuatan ni nampak seakan murahan. Maaf, bukan murahan. Salah urus diri."

"Amboi Timah. Awak ni kan, buat saya geli hati saja. Pengurusan Diri tu kan subjek bidang pengurusan kehidupan untuk kawan-kawan kita di Kelas Khas Bermasalah Pembelajaran."

Timah tergelak halus.

"Eh, apa awak cakap tadi Timah? Paranoid? Haha... paranoid tu kurang lebih macam awak ya?"

"Woi, dah melampau ni! Nak kena sekeh."

"Ops Timah. Jaga-jaga sikit tangan mulus awak tu. Mana al-Haya' awak? Dah lebur ke?"

Timah tersentak. Ya Allah, malunya! Dia menekup muka. Dalam hatinya sempat menggerutu. Ah, lelaki semuanya sama. Hanya tahu berkata-kata. Sengaja berlagak bagus di hadapan wanita lemah... lembut!

Nazim hanya tergelak.

Tiba-tiba tampang Cikgu Izzah muncul di hadapan kelas. Berdehem-dehem konon-konon tersedak. Barangkali ada yang menyebut-nyebut namanya.

Masing-masing terkesiap. Saling berpandangan. Timah dan Nazim memang tidak dapat mendengarnya. Tetapi mereka memahami dalam intuisi dunia mereka.

Sejurus kemudian, ar-Rijal dan an-Nisa' berdua itu sama-sama berdoa dari dalam hati...

Ya Allah, hindarkanlah kami dan Cikgu Izzah dari fitnah!

Ameen ya Rabbal 'Alameen~

Nota:
1. Cerpen pendek ini menampilkan watak sebenar, murid dan guru Kelas Khas Bermasalah Pendengaran. Cuma dialihsuara menggunakan teknik monolog khayalan Cikgu Izzah.

2. Kredit kepada Timah dan Nazim. Acapkali P&P KKBD1 tergendala kerana mereka sering berkonflik.

3. Moral dan nilai murni: Jangan merasakan diri kita sudah cukup bagus. Baguskan diri kita dengan hemah dalam menegur kesilapan. Bukan memboikot dan membiarkan orang lain terus hanyut. '
wa zakkir, fainna zikra tanfa'ul mukminin'.


Saturday, January 08, 2011

Naskah Itu

"Orang yang diberi kepada mereka kitab, mereka sudah membaca dengan sebenar-benar bacaan, maka mereka golongan yang beriman dengannya dan bagi mereka kufur terhadapnya, maka mereka golongan yang rugi." [al-Baqarah: 121]

"Oh, beg itu daripada cikgu ke?"


"Ya, beg yang itu daripada cikgu."

Pagi semalam saya berbasa-basi dengan Suhaida. Di dalam foto di atas, kedudukannya dua dari kiri.

Alhamdulillah. Akhirnya berkesempatan juga. Itu pun kerana kebetulan. Kami bertembung dalam minit-minit terakhir waktu persekolahan.


Tujuan sebenar saya mahu berjumpa dengan Suhaida adalah untuk bertanyakan khabar mengenai musibah kebakaran yang menimpa rumah keluarganya. Dari sumber yang saya tahu, hampir keseluruhan rumahnya hangus dijilat api.

Kesian. Tentu Suhaida masih bersedih dan trauma. Maklumlah, minggu pertama persekolahan baru bermula. Serba bersemangat. Jangan kerana musibah ini, semangatnya hangus terbakar sekali sudahlah.

Sepanjang pertemuan singkat itu, saya sekadar memberi sedikit nasihat mana yang terlintas. Memandangkan tahun ini adalah tahun penting Suhaida. Beberapa bulan lagi dia akan menduduki peperiksaan UPSR.

"Jangan lupa ya. Manfaatkan pemberian cikgu yang tidak seberapa tu. Sungguhpun sudah terpakai, tapi masih elok dan cantik. Terutamanya, al-Quran terjemahan. InsyaAllah, kamu akan semakin dekat dengan Allah."

"Baik cikgu. Terima kasih... Haa, saya dah pakai nombor telefon baru. Nanti saya mesej cikgu."

"Okey. No problem... Aik, kenapa? Handset kamu pun hangus sekali ke?"

Suhaida dan kawannya tergelak kecil. Begitulah lelucon spontan saya. Kadangkala bunyinya seakan menyindir. Sebetulnya, ia menambah kemesraan kami.

Faham sahajalah murid zaman sekarang. Semuanya advance. Sejak dari dulu lagi, rajin benar dia menghantar SMS kepada saya. Bertanyakan khabar dan memberi ucapan.

Biasalah, ragam budak perempuan tengah membesar. Agak gedik berceloteh. Jelas lagi sikap keanak-anakannya. Dan sebenarnya, saya kurang mengenali latar belakang Suhaida.

Saya akui, Suhaida adalah salah seorang murid aliran perdana yang masih ramah dan sopan menghormati saya serta guru-guru lain. Ya. Walaupun saya hanya mengajar dia dan kawan-kawannya untuk kelas Skim Bantuan Tuisyen tahun 2009. Malah, pernah dua kali dia bersama kumpulan saya semasa Kem Bestari Solat.

Selesai sudah sesi berpesan-pesan.

Saya dapat lihat, memang Suhaida lebih banyak mengangguk bersulam sengeh. Ada bening di kelopak matanya. Pada telahan saya, barangkali dia terharu. Ah, tentu sekali. Hati mana yang tidak sebegitu.

Saya berlalu dengan senyuman puas. Cewah, ala-ala seorang motivator.

Sejurus itu, saya bergegas mengambil barang-barang untuk pulang. Sepanjang jalan, menerawang sekejap fikiran ini. Saya teringatkan seseorang. Calon UPSR 2010 yang telah berjaya mendapat 5A. Ukhuwah antara kami bertambah baik juga kerana senaskah al-Quran terjemahan.

Walau di mana dia berada sekarang, semoga dia tidak akan melupakan naskah itu. Panduan dan pedoman hidup untuk terus mencipta kejayaan dunia dan akhirat.

Harap begitulah juga kalian di sana. Dan saya di sini semestinya~

Nota:
1. Sejak dari dulu lagi saya gemar memilih al-Quran untuk dijadikan hadiah. Selalunya sebagai kenang-kenangan tanda persahabatan. Memberi dan diberi. Kita perlu hargai...

2. Ramai di antara kita akan resah gelisah jika tidak menghadap TV. Tidak membaca surat khabar. Tidak mengulati buku-buku seumpama novel. Tidak menjengah laman web, muka buku dan sebagainya. Tetapi tidak pula mereka berasa gelisah dan bersalah bila al-Quran sendiri 'dianaktirikan'. Terbiar berdebu tidak dijamah isinya. Pelik...

Wednesday, November 17, 2010

InsyaAllah I'll Find My Way

"Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.
Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu." [at-Talaq: 2-3]


Kullu a'min wa antum bikhair.

Dengan izin dan rezeki daripada Allah SWT, hari ini ramai di antara kita sedang bercuti sempena menyambut Eidil Adha. Barangkali rezeki melakukan ibadah korban juga. Jika tidak, cukuplah dengan berkongsi syafaat rezeki daripada bahagian-bahagian daging korban.

Sebagaimana
yang dinyatakan dalam surah as-Shafaat, ayat 102-107. Mudah-mudahan kita sampai kepada roh pengorbanan yang sebenar-benarnya.

Terlanjur bercerita bab cuti, ya, bagi sesetengah sekolah, bahang 'alam ria cuti sekolah' sudah pun mula terasa.

Syukur.

Cuti juga adalah nikmat dari Allah Taala.

Ini bermakna lengkap sudah diari persekolahan saya bagi tahun 2010. Lengkap yang saya maksudkan ini tidak meliputi status kesempurnaan. Apatah lagi sesuatu yang boleh dibangga-banggakan. Cukuplah saya katakan, saya hanya berkemampuan 'memberi' sesuatu kepada anak-anak didik saya. Tidak lebih dari itu.

Dan lengkap bagi saya adalah selesai satu pusingan. Tiba musim cuti yang ditunggu-tunggu. Saya mahu berpergian untuk sementara waktu. Diari lama saya juga akan bergantian dengan episod diari baru.

InsyaAllah, cuti dan pergi ini tidak hanya begitu sahaja. Saya bawa bersama sebuah penilaian. Saya yakin, amanah dan tanggungjawab saya yang lalu masih naif dan daif. Banyak lagi sudut-sudut penting yang perlu saya perbaiki dan perhalusi. Lebih-lebih lagi bab istiqamah dan keikhlasan saya dalam mendidik murid-murid istimewa.

Alhamdulillah. Pejam celik, pejam celik, hampir dua tahun di sini sebagai guru pendidikan khas. Entah tahun ke berapa juga saya masih sudi berkelana di rantau orang. Walaupun begitu, kehidupan saya telah banyak berubah.

Saya kira, inilah siri jaulah saya yang semakin berbeza. Terutamanya dalam membentuk kekukuhan saya bermandiri di medan juang. Dulu zaman muda remaja. Bertatih pula di tengah kota raya. Lain cara berukhuwah. Lain cara berqudwah. Lain sekali cara berwajah.

Bila digugah, hilang keyakinan.

Bila diacah, lekang istiqamah.

Kini, setelah mengharungi beberapa siri tunggang terbalik yang adakalanya tersimpul, terbelit, malah ada juga hati saya yang terluka dicarik-carik, saya belum ada rasa untuk mahu berpatah balik. Apatah lagi berkata serik...

Pada air mata saya yang pernah murah mengalir.

Pada air mata saya yang tidak mudah mengalir.

Saya tidak mahu menyesalinya walau ada rasa hina yang terzahir.

Ya. Bukan mudah untuk berjuang dalam keadaan kekal tenang. Tidak mustahil, senyap-senyap pasti akan ada yang cuba berperanan menggoncang, memangkah dan membuang.

Sungguh. Jika tidak kuat, semangat juang pasti tumbang. Tiada siapa yang tahu setiap dugaan itu akan datang mengejut tanpa diundang. Tidak kira dugaan itu daripada siapa.

Sempit. Sesak. Dan tidak selesa. Tidak kurang rasa tertipu dengan senyuman palsu yang mungkin ada juga terselit di dalam jiwa. Bila mendepani rasa-rasa begini, cepat-cepat saya memintas untuk tidak mahu ambil peduli. Saya gagah harungi juga walau sesekali terasa kelelahannya.

Bila penat saya berehat sebentar.

Bila tertekan saya beralih ke tepi untuk bertenang.

Dan semestinya, sebagai seorang pejuang di jalan Allah, bukanlah namanya pejuang jika saya tidak tahan diuji. Pengalaman sebeginilah yang banyak membantu untuk saya lebih tabah dan gigih dalam meneruskan perjuangan ini.

Jenuh ini bukanlah satu pengakhiran atau penamat. Bagi saya ia hanyalah satu permulaan. Andai lautan itu punya lapisan dan kedalaman tertentu, maka ini barulah permukaan laut yang saya renangi. Masih jauh lagi untuk menjejak ke lautan dalam yang seterusnya.

Masih misterius.

Oleh yang demikian, semua yang berlalu pergi perlu ditelan dengan redha. Sekalipun ia menjadi suatu pengalaman yang mencalar memori saya sepanjang hayat. Jadikan ia sebagai ibrah dan inzar untuk masa mendatang. Dan sabar adalah senjata terbaik untuk saya tidak cepat melatah dan beralih arah.

Bukankah manusia yang sering berenang melawan gelombang, otot tangannya akan semakin lama semakin kuat?

Sejujurnya, ada masa-masanya, ketabahan saya juga goyah terhuyung-hayang. Saya rasa seperti mahu lemas dan hanyut. Saat-saat sebegini terasa benar mahu merubah posisi. Dari lautan naik ke angkasa. Terbang menghilang. Jauh mencari tenang.

Mujur tarbiyah yang pernah sampai kepada saya ini masih pekat dan melekat di dalam jiwa. Sekurang-kurangnya dapat membantu saya bila saban kali tersungkur untuk bingkas naik semula dalam mengatur kehidupan.

Alhamdulillah, kini berharap agar segalanya stabil dalam keadaan yang bersih dan cantik. Panjang umur, murah rezeki, kalendar persekolahan 2011 akan mula diselak-selak dengan 1001 ceritera baru. Hanya mengharapkan yang indah-indah belaka bersama mereka yang tersayang.

Dan kerana mereka itulah, sementara waktu ini saya setia memilih jalan yag telah sedia dilalui. Maka, siapalah saya yang semalam, hari ini dan hari esok. Melainkan Allah jualah yang berkuasa membolak balikkan jiwa kita, hamba-Nya.

InsyaAllah i'll find my way. Sesungguhnya bantuan Allah itu adalah hampir. Akal manusia mungkin gagal membayangkannya. Hanya Allah yang mengetahui segalanya.

Allahu Akbar Wa Lillah Al-Hamd~

Nota:
1. Sejak semalam, wajah-wajah di sekeliling saya sudah mulai ceria bak pelangi. Tambah lagi apabila ada yang berkata, "Lega. Nasib baik dapat!". Tahniah. Semoga anda menikmati makna kelegaan itu.

2. Saya sedang mengatur destinasi. Tidak sabar untuk mencari damai dan tenteram jiwa...

Wednesday, October 20, 2010

Cebisan-Cebisan Bahagia: Nazim vs Hafizan

"(sambil mengucapkan): "Salamun 'alaikum bima sobartum (keselamatan atasmu berkat kesabaranmu)" maka alangkah baiknya tempat kesudahannya itu." [ar-Ra'du: 24]

Semalam saya agak ralit di meja makan. Sedikit terlewat memasuki kelas pertama selepas sesi rehat. Mujurlah jarak dari kantin sekolah ke kelas tidaklah sejauh mana. Tapi berderap-derap juga kaki saya menghayun langkah. Seiring itu juga detak-detik hati menyesali lengahan tadi.

Lambat ke kelas memang besar risikonya. Macam-macam kompleksiti boleh berlaku. Pasti kelas bercempera dengan mainan dan gurauan anak-anak murid yang tidak ketahuan. Anak-anak rebung yang semakin hari, semakin berani membuat honar itu dan ini. Dan licik pula untuk meloloskan diri bila disoal siasat kesalahan mereka.

Apalah sangat dengan tiga kerat murid sahaja?

Benar. Bagi tahun ini juga, cuma dua kelas masalah pendengaran dibuka dengan setiap satunya hanya tiga orang murid. Bagi masa mendatang, proses penambahbaikan Pendidikan Khas di Malaysia akan berubah. Barangkali nisbah guru:murid akan menjadi lebih kecil sehingga mencapai 1:1.

Saya nantikan saat itu.

Sungguh. Bilangan nisbah yang ada sekarang ini pun sudah terasa gamat. Mereka mampu menandingi riuh-rendah belasan orang murid lain. Silap-silap yang tiada bersuara inilah lebih ganas memberantakkan segala dinding, lantai dan meja, kerusi kelas.

"Baik. Sekarang, balik ke tempat masing-masing." Tangan saya mengisyaratkan arahan ringkas. Seraya itu juga jeritan hati kecil saya turut bersuara dari dalam.

Langsir kelas teroleng-oleng. Kotak jemala saya mula bersarang soal. Entah perhitungan apa yang mereka lakukan tadi di sebalik sana. Terlihat kelibat tampang saya menuju ke daun pintu, terkocoh-kocoh mereka bergegas. Secepat kilat melarikan suasana sebelumnya.

Fikir saya sendirian, ini mesti ada yang tidak kena.

Saya hanya menantikan jawapan tanpa perlu bertanya. Dan seketika kemudian, aduan diterima daripada seorang murid. Nama pun budak-budak. Kalau tiada yang mengadu domba memang tidak sah. Mana-mana pun sama.

Saya mula berlakon.

Konon-konon mempercayai situasi yang dijelaskan.

Khali.

Apakah starategi terbaik yang perlu direncanakan? Saya harus berbuat sesuatu!

Sejenang kemudian, arahan diberikan. Kelompok meja sedia ada perlu bertukar wajah kedudukannya. Saya tidak mahu meja-meja yang bersusun rapat bertentangan seperti selalu.

Mereka akur mengalihkan meja masing-masing. Kini tiba giliran sekawan ini pula terpisat-pisat dengan permintaan saya. Lambat-lambat, mereka terpaksa menurut juga. Kebisingan tingkah-meningkah ke segenap ruang kelas. Bahkan, menyula-nyula terobos hingga ke andas telinga saya. Itu belum dicampur kira dentam-dentum yang lain. Pada situasi-situasi yang selalunya hanya beristighfar panjang.

Haruskah selepas ini, saya juga turut bersama mereka?

Ya. Menjalani pemeriksaan audiologi berkala. Menggunakan audiometer bagi mengesan tahap pendengaran. Siapa tahu jika keputusannya masih 'cantik', alhamdulillah. Andai sebaliknya, maka RM250 sebulan boleh sedia dikumpul untuk sepasang hearing aid yang canggih. Hehe...

Siap. Tiga buah meja sudah dijarakan seperti lagak suasana peperiksaan. Sebuah meja lagi, saya tarik dan rapatkan ke depan. Dikhaskan untuk tumpang-menumpang longgokan kamus, buku dan peralatan P&P yang lain.

Sengaja saya beragenda demikian. Mudah-mudahan lebih senang menyelia tampang tubuh yang suka benar berbuat onar. Dan lebih mudah mengawasi tindak-tanduk mereka bertiga. Terutamanya Nazrul. Tidak serik-serik dilarang. Didenda dan sebagainya. Malah, pantang benar saya melihat kreasi akalnya cuba mempengaruhi murid-murid yang lain.

Elok-elok ada yang tekun mahu belajar, bertumbuh tanduk merah pula di kepala.

***********************************

Kelas Khas BD1 kembali tenang apabila saya memberi arahan rutin. Mereka bangun serentak mengisyaratkan salam dan selamat pagi. Seterusnya doa belajar juga tidak dilupa. Beragah-agah doa diisyaratkan. Manakan tidak lupa mana yang dulu, mana yang kemudian. Kalau tidak disuruh, pasti tidak diamalkan doa sejemput itu.

Setelah berpuas hati, P&P diteruskan dengan suasana baru. Nampaknya agak formal untuk mereka. Pelik. Barangkali mereka mengandaikan saya mahu menjalankan ujian atau peperiksaan bertulis.

Tidak kisah apa andaian mereka. Asalkan susun atur begini lebih selesa dari keadaan biasa. Bagus! Jelas sekali segala pandangan. Boleh menjegil mata berdepan-depan. Boleh menyergah setentang mata. Boleh menangan setampar dua.

Baru hendak memanaskan enjin P&P, tiba-tiba ekor mata saya tertangkap pada perlakuan menghantar kertas nota dari meja kanan ke meja tengah. Dengan cara yang mencurigakan.

Fikir mereka, saya tidak sedar kerana sibuk menulis di papan putih.

Saya terus berlakon.

Membiarkan selama lima minit berlalu. Saya hanya mencuri pandang perlakuan ganjil dua orang anak murid ini. Sembunyi-sembunyi mereka bergilir-gilir mengisyaratkan sesuatu. Akhirnya, kertas yang menjadi perantaraan tersebut berjaya dirampas!

P&P tersekang.

Jeda seketika dek mengamati nota rampasan itu. Rasa kelakar sungguh. Senyuman saya berbunga sengeh. Ada rasa kagum bila melihat kesahajaan nota itu dilukis. Ya. Mereka belum hebat menghasilkan nota bertulis. Siapa tahu suatu hari nanti.

Nah, ini gambaran kronologi yang dilukis oleh mangsa. Beliau cuba untuk menyakinkan hal ini kepada rakan sekepalanya, Nazrul.

Nazim yang bersongkok telah dituduh cuba menumbuk Hafizan. Baru saya perasan gelagat tubuh masing-masing. Patutlah sedari tadi lagi Nazim seperti tidak tenteram emosi. Matanya mencerlang, menahan kegeraman. Masih lagi bergumpal dengan amarah dek rasa tidak puas hati. Hafizan pula berwajah keruh. Matanya berkaca-kaca menahan empangan air jernih.

Itulah, bukan mereka tidak tahu sikap Nazim yang selalu berangin satu badan. Sangat sensitif. Tetapi, 'abang songkok' itu juga yang gemar diusik dan diasap-asapkan. Berapilah dia. Sebagai gurunya, adakalanya saya sendiri cemas bila berdepan dengan baran Nazim yang sukar ditahan.

Namun begitu, Nazim tidak seagresif dan senakal berbanding yang lain. Cuma emosinya sahaja mudah berkocak kencang. Maklumlah, sedang dalam peralihan fasa akil baligh. Kawalan hormon badan belum stabil.

Sejak saya mengenali Nazim, semakin hari, semakin kurus melidi pula budaknya. Ketingginya pun sudah mengalahkan saya. Begitu juga raut kulit mukanya. Semakin ketara simptom-simptom perubahan fizikal dan fisiologikal seorang kanak-kanak lelaki menginjak alam remaja.

Baiklah. Dari hasil siasatan, nota ringkas itu menunjukkan gambar situasi Nazim mengacu ketulan penumbuknya. Alah, baru mengacu sahaja. Sebenarnya, mangsa belum sempat diapa-apakan lagi. Saya kira, ini kes ugutan. Tetapi kenapa wajah jawa Hafizan nampak kucam sekali?

Aduh!

Macam biasa, sudah berkali-kali saya menjumpai kronologi sebegini. Selalunya Nazim yang akan menunjukkan lukisan kronologinya. Berbagai situasi cerita menarik. Malah, saya pernah menjumpai lukisan mereka mengintai saya. Teruk dan agak lucu kronologinya.

Tidak senonoh betul!

Apa pun, bagi kes kali ini saya tidak mahu berkriminologi. Waktu begitu terhad hendak berbasa-basi mengadili siapa yang patut dipujuk dan siapa yang patut dihukum. Bukan masa yang sesuai untuk membetulkan hubungan yang tidak terlalu keruh. Sejam dua nanti jernihlah. Maka, adalah lebih baik menyelesaikan kes tersebut dengan cara meneruskan P&P yang tertangguh.

Minggu depan mereka akan menduduki peperiksaan akhir tahun. Sedangkan, penguasaan dan pemahaman mereka masih lemah pada yang asas-asas. Walaupun hari ini bukan main beriaya-iya faham. Sudah-sudah esok terlupa semuanya.

Mana cikgunya tidak risau.

Dalam masa yang sama, redha berbelah bahagi.

Kronologi kes semalam berakhir dengan geli hati yang dibungkus pulang bersama. Selalunya inilah antara cebisan-cebisan bahagia saya sebagai guru khas. Melayan karenah mereka dalam apa jua keadaan. Adakalanya terpaksa menjadi hakim, peguam bela, dan juga saksi yang kompeten. Boleh juga menjadi pegawai polis yang bersedia di kaunter aduan. Dan selalunya lebih kepada teman sakatan dan gurauan.

Sejujurnya, memahami murid masalah pendengaran tidaklah sesukar mana. Tidak boleh mudah menyerah kalah membetulkan salah laku mereka. Saya perlu juga berlagak seperti mereka. Dalam masa yang sama, kena pura-pura berlakon menjadi guru yang 'pekak badak'. Buat tidak tahu bagi sesuatu perkara yang tiada kepentingan. Tidak usah direncamkan.

Kerjaya ini ada digniti tersendiri. Terima sahaja cebisan-cebisan bahagia itu. Hari ini Nazim vs Hafizan. Dan tidak mustahil esok lusa akan ada pertembungan regu lain pula. Inilah namanya lawan sejam dua, akhirnya tetap kawan sampai bila-bila. Tidak ke mana andai itu takdirnya~


Nota: Dulu, Nazrul sukar menerima Hafizan dalam komuniti mereka. Selalu saja diherdik dan dibuli. Tahun ini, Hafizan sudah diterima menjadi pengikut setia Nazrul. Sekutu yang semakin sebulu.

Sunday, October 10, 2010

Jaga Hati, Jangan Berkecil Hati

"Sesungguhnya Allah mengetahui akan segala isi hati yang tersemat di dada hambanya." [al-Ma'idah: 7]

Terlalu cepat masa berpapasan.

Belajar dan mengajar bersama murid-murid khas bukan perkara asing lagi sepanjang rutin kehidupan saya. Mengapa belajar? Bukankah guru itu hanya mengajar?

Tidak.

Bagi saya, hari-hari persekolahan juga adalah sesi pembelajaran buat diri saya. Tidak kira sama ada belajar perkara baru atau yang selalu. Sama ada ia berlaku atas dasar keperluan P&P atau kebetulan situasi. Mesti. Selagi ada kehidupan ini,
proses belajar harus berterusan.

Saya adalah guru yang belum 'pekat' ilmunya. Belum 'masak' praktikalnya. Ilmu memahami murid-murid berkeperluan khas seperti masalah pendengaran sangat bererti untuk kelangsungan pembelajaran murid ini. Mereka bukan sahaja datang dengan satu pakej kelainan upaya. Boleh jadi, berpakej-pakej keunikan masing-masing.

Redha.

Barangkali, bagi sesetengah orang, dunia pendidikan khas ini adalah syurga keseronokan yang mengagumkan. Manakala yang lain, ia adalah mimpi yang maha dahsyat. Bosan dan menjengkelkan.

Malah, ada juga yang mengecam sinis-sinisan. Seolah-olah mereka terlebih 'asam dan garam' mengenai apa itu pendidikan khas.

"Alah, jadi cikgu khas ni mudah je!"

"Untungnya korang ya. Murid sudahlah sikit, balik pun awal."

"Syok kan, senang-senang je dapat elaun khas, RM250."

"Kelas-kelas khas ni dekat-dekat je. Em, tak lencun la korang nak memanjat tangga."


Kalau diturutkan sangat hati ini, mahu juga terbakar emosi.


Benar. Ini baru provokasi biasa-biasa secara berdepan. Di belakang, entah apa lagi gugusan ketidakpuasan hati yang dibuat. Desus-desus dan suara-suara sumbang yang terbit dari hati mereka siapa yang tahu. Ah! memang rencam hidup begini. Bukan sahaja guru, makcik-makcik tetangga pun pandai bergosip tentang hal ini. Konon-kononnya, anak mereka lebih hebat as a teacher in the world.

Wah! kagum saya. Tahniah kerana anda dan anak anda juga sama hebat.

Apa pun, jalan paling selamat, senyum dan maafkan sahaja kesentengan siapa-siapa dalam menilai hal ini.

Sebaiknya, hanya lafaz hamdalah yang paling layak dibalas. Moga-moga mereka sedar dan tahu bahawa kerjaya ini adalah rahmat dari Allah SWT. Hanya yang istimewa sahaja akan terpilih bersama insan istimewa.

Anggaplah mereka tidak tahu menahu akan tugas dan tanggungjawab guru khas mencapah lebih dari apa yang mereka sangkakan. P&P guru khas bukan untuk mengejar dan mengumpul jumlah A. Keperluan murid khas bukan semata-mata meraih kecemerlangan di atas kertas. Jauh sekali untuk menggegarkan prestasi akademik sekolah ke tahap yang membanggakan.

Wahai abang kakak, pakcik makcik, mengajar murid khas adalah sangat berbeza. Tidak ada misi guru-guru khas untuk berkejaran menghabiskan sukatan silibus mereka sebagaimana keperluan murid aliran perdana. Kandungan sukatan pendidikan khas juga perlu diselaraskan dengan mengambil kira situasi murid. Bahkan, tahap akademik dan sahsiah murid khas sangat berperanan dalam menentukan hala tuju P&P.

Saya akui, adakalanya P&P akan bertukar kepada aktiviti santai yang lebih memberi manfaat, praktikal dan berfungsi untuk murid. Itu belum dikira jika tiada seorang pun murid kelas berkenaan yang hadir pada hari tersebut. Hal ini bukan sengaja atau sesuka hati supaya dapat 'mencuri tulang'. Wallahu'alam, lain individu lain niatnya.

Maka...


Apa yang anda perlu tahu, apabila lain murid, lain keperluannya.

Sudah tentu, apabila lain guru, lain keistimewaannya juga.

Tetapi, apa lagi yang tidak kena?


Banyak yang tidak kena kerana ramai sangat orang dewasa tetapi tidak berfikiran ranum. Apakah ini cara 'ketuaan' mereka menilai? Sikap membanding beza hanya akan membuatkan ada hati-hati yang akan mula berbuah dengki dan iri hati. Sikap tidak bersyukur hanya akan menjadikan ada hati-hati yang serba tidak tenteram dengan keistimewaan orang lain.

Barangkali mereka cuma pandai menilai kedudukan dan tugasan orang lain. Mereka setakat tahu menimbang berat ringan bebanan mereka. Hakikatnya, dari satu sisi lain, mereka tidak merasa cabaran sebenar yang kami hadapi.


Bebanan dan cabaran adalah dua perkara yang sangat berbeza.

Ya, berbeza sama sekali.

Justeru itu, untuk meneruskan kehidupan yang masih panjang ini, jadilah guru khas yang tidak mudah berkecil hati. Di samping itu, didiklah diri untuk menjadi guru yang pandai menjaga hati orang lain.

Sebagai guru khas, sikap menjaga hati murid khas adalah asas latihan buat diri saya. Bagaimana saya berkomunikasi dan bertingkah laku adalah penghargaan buat mereka. Ya, sekalipun ada murid-murid saya yang tidak dapat mendengar dengan baik. Saya perlu menghormati dan menganggap mereka seperti biasa.

Sebaik mana pun sistem auditori yang Allah pinjamkan ini, mereka juga mempunyai perasaan inferioriti yang tinggi.
Saya selalu yakin, air muka dan reaksi mereka cukup mengatakan mereka sentiasa mendengar bisikan dari hati saya. Mereka mahu memahami apa yang saya rasa dan anda perkata tentang guru mereka.

Alhamdulillah. Semakin hari, semakin bahagia menjadi guru khas. Namun,
kebahagian yang diberi tidak akan lekang diiringi dan disusuli seribu satu ujian. Semoga saya tidak mudah lupa diri untuk terus bersyukur dan bersabar. Bukan sahaja kuat ilmu dan tajam minda, malah kuat emosi dan kukuh keimanan.

"Ya Allah, jagalah hati ini supaya dapat menjaga hati-hati insan lain di samping tidak mudah berkecil hati. Amin Ya Rabbal 'Alamin."
~

Nota: Setiap murid perlu ditangani dengan kaedah yang berbeza. Begitu juga dengan individu-individu di sekeliling kita. Ada yang perlu dijentik telinganya. Ada juga yang perlu dijentik hatinya.

Friday, May 28, 2010

Ambil Iktibar

"Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh." [al-A'raf: 99]

Kerjaya guru sering dinilai sebagai kerja yang indah dan murni. Kerjaya 'laku keras' di zaman yang serba sukar mendapatkan pekerjaan tetap. Kerjaya rebutan bagi mereka yang sedang merisik calon isteri dan menantu. Sebut sahaja kerja guru, "Wah, jadi cikgu. Mulianya!"...

Sepanjang terjebak dengan dunia ini, saya pernah menerjah soalan santai kepada anak-anak bermasalah pembelajaran. Soalan tentang kerjaya pilihan yang ingin mereka ceburi ketika dewasa nanti. Sungguh pun mereka begitu, rata-rata berkeyakinan menyatakan hasrat hati.

"Saya nak jadi cikgu macam cikgu" cepat kilat menjawab. Tapi ada silu-silu tersengeh malu.

"Saya nak jadi cikdu. Nak pepandai" pelat dan selamba pula air mukanya.

Wahai anak-anak comel yang luhur hati, dunia perguruan ini indah dan mulianya cuma di mata. Tapi sangat jenuh. Hanya seorang guru yang mengerti dunia wayang seorang guru. Hanya seorang guru yang merasai gelombang sebenar seorang guru.

Apa yang cikgu tahu, hidup kami tidak ubah seperti sebatang lilin. Asyik membakar diri sehingga tidak sedar sedang memalapkan dirinya sendiri. Jangan kamu terpedaya akan kehebatan guru yang tidak lebih dari rutin hariannya.

Terlalu mulia untuk kamu ketahui bahawa...

Guru suka marah dan menengking. Guru suka melepak, mengomel dan menceloteh tentang itu dan ini. Guru suka menjadi penjuak terhormat. Guru suka mengkritik dan mengeji tentang keburukkan orang lain. Guru suka bersenda gurau hingga terbuka aib sendiri.

Menjengkelkan bukan? Malah, guru suka menyibuk dan meletihkan diri dengan political corectness. Yang syoknya, guru tidak pernah sunyi kedepang-kedepong cepoh bersyarah tentang bla-bla-bla...

Ia lazim dan biasa.

Entahlah, barangkali ini tanggapan naif saya yang masih 'hingusan' sebagai guru. Tapi, i'm not proud and snob melihat guru itu sendiri yang merendahkan kemuliaan dunianya. Lebih dari itu, saya menilai tidak merasa ada apa-apa nikmat yang boleh dibanggakan. Sungguh malang dan kasihan. Demikian jahatnya hati saya berbisik.

Namun, tidak semua guru begitu.

Di celah-celah golongan sebegini, masih ada yang bagus-bagus untuk diteladani.

Semua orang tahu, menyampaikan ilmu adalah tugas hakiki pendidik. Sepanjang tugas itu, guru juga harus belajar mendidik diri. Guru juga patut belajar mengasuh diri. Mulia seorang guru bukan sekadar mencurahkan ilmu. Tapi menguasai dan mengamalkan ilmu untuk sinergi diri sendiri. Kerana dosa dan pahala begitu sinonim dengan kehidupan seorang guru.

Inilah peluang kita.
Anak-anak bermasalah pendengaran (pekak/bisu) ini penuh ekspresif dan agresif mengiringi perjuangan kecil saya

Syukur sekali. Ada mereka yang selalu menjadi batu asah kepada kesabaran saya. Ada mereka yang memberi inspirasi untuk cikgu sebiasa ini. Ada mereka yang menyemai rasa kasih dan sayang saya pada kerjaya ini. Ada mereka yang punya kelebihan mengingatkan kelalaian saya.

Terima kasih kerana dengan 'halus' kalian menyedarkan cikgu akan erti hidup yang perlu dijalani dengan bersungguh-sungguh dan benar. Cikgu tahu, jika tidak melakukannya dengan betul, pasti suatu hari nanti cikgu kamu ini akan menyesalinya.

Barangkali, tulisan 'halal' yang sesekali berjeda di blog saya ini akan dianggap sinikal lagi. Saya bukan minta kalian mengangguk atau menggeleng kepala. Soalnya, kita telah terbiasa dan sebati dengan hal ini sedemikian lama. Kata orang, sudah jadi 'perangai'.

Ambil iktibar ya wahai cikgu-cikgu dan bakal cikgu. Anda hanyut dalam resam sendiri tetapi anda tidak perasan. Saya juga. Apakah kita tidak mahu sama-sama membetulkannya?~

Nota: Selamat Penganti Baru kepada cikgu Azwani dan cikgu Adila yang sedang menanti 'saat lafaz sakinah' dalam tempoh terdekat ini. Bertambah tinggilah kemuliaan kalian selepas status guru dan diangkat pula sebagai isteri. Tahniah!

Sunday, May 16, 2010

Selamat Hari Guru, Cikgu!

"Terimalah apa yang Aku kurniakan kepadamu dan jadikanlah dirimu dari orang-orang yang bersyukur." [al-A'raf: 144]

Tanggal 16 Mei bersua lagi...

Selamat Hari Guru, cikgu!

Selamat Hari Guru, ustazah!

Terima kasih kepada kalian yang mengingati guru sebiasa ini.


Alhamdulillah, tahun kedua saya menyambutnya sebagai guru. Rasa terima kasih juga harus saya ucapkan kepada mereka yang pernah mendidik saya sehingga kini realis seorang guru.

Ya, guru semalam. Guru hari ini. InsyaAllah, guru hingga akhir nanti. Esok dan selamanya sebagai pejuang 'GTO'. Bukan Great Teacher Onizuka. Bukan juga Guru Terhebat Olan. Bukan dan bukan sama sekali.

Siapalah saya untuk berlagak menjadi cikgu Jepun, Eikichi Onizuka. Apatah lagi untuk berangan menjadi cikgu Jawa, Olan Bin Ngadiman. Walaupun saya menyukai watak cikgu-cikgu ini...

Saya tetap saya. Kami tetap kami. Geng cikgu yang sering dicemburui. Geng cikgu yang sememangnya berbakat serba-serbi. Geng cikgu yang mesra dan baik hati. Geng cikgu yang suka masak dan makan tak henti-henti (saya suka makan sahaja).

Kalau bukan kami, Great Teacher OKU, siapa lagi? Kalau bukan kami, Guru Terhebat OKU, siapa lagi? Ya, kamilah pejuang 'GTO' itu. Maafkan saya, andai pengakuan jujur ini berbaur 'masuk bakul dan terangkat sendiri'. Hehe...

Namun, saya akui segalanya masih misteri. Saya masih belajar menjiwai diri, kenapa dan mengapa diri ini terpilih sebagai guru. Terpilih untuk bersama insan-insan istimewa. Adakah kerana saya juga seorang yang istimewa?

Dek kerana persoalan dan alasan itulah, saya masih setia di sini.
Mencari dan terus mencari. Memberi semampu cara sendiri.

Sempena hari kebesaran guru ini, tahniah dan Selamat Hari Guru juga kepada kalian yang bergelar guru. Tekadkan semangat. Tabahkan hati. Perjuangan kita mendidik anak bangsa masih belum selesai. InsyaAllah, dengan terus berusaha, dengan selalu bersabar, sesiapa pun pasti bisa! Ganbatte kudasai~

Nota: Sempena acara pertukaran hadiah antara guru, tahun ini saya dapat hadiah baby comforter. Barangkali, rezeki anak-anak buah agaknya. Barangkali juga...

Friday, April 30, 2010

Greenpeace Untuk Semua

Hijau ada disebut-sebut sebagai warna penghias syurga. Rujuk surah al-Kahfi; ayat 31, al-Insan; ayat 21 dan surah ar-Rahman; ayat 76

Sejujurnya, hijau bukanlah warna yang paling saya gemari. Tiada dalam senarai utama. Seingat saya, jarang-jarang sekali saya berkerudung hijau. Entah mengapa, kekok benar untuk mengenakan warna ini. Bukan kerana hijau dilihat sebagai warna kontroversi. Cuma kurang serasi.

Namun, hijau tidak pernah terpinggir dari hidup saya. Warna hijau sejati ini masih dapat memikat hati saya tetapi tidak berlebihan sehingga taksub atau 'takdol' (mengidolakan).

Pada tahun ini, saya telah menata rias konsep meja guru sendiri. Walaupun simple, saya cukup selesa dengan tema greenpeace. Lunak ditatap dan menyegarkan. Pendek kata, bagus untuk kesihatan mata. Indahnya memberi ketenangan dan kedamaian di hati saya.

Lain orang, lain mata hatinya. Barangkali mereka mengagumi warna 'alam' ini, tetapi diam-diam, nikmatnya terpaksa dianaktirikan. Anggapan mereka, warna gerun seperti hijau boleh membejatkan majlis. Warna sinikal ini bisa membobrokkan pihak-pihak tertentu. Warna provokasi yang mudah menghantui kepala-kepala partisan.

Sikap paranoid ini secara automatisnya akan ulang memberi amaran "Jangan cari pasal dengan warna hijau!". "Kalau boleh elakkan warna hijau!"...

Telan liur juga mendengar orang yang takutkan warna. Pelik! Pelik!

Dari satu sisi, kelakar pun ada. Mujur tidak terbahak-bahak.

Itu acuan pemikiran konservatif mereka.

Bagi saya,
mengapa perlu menjadi 'korban' ikut-ikutan. Sedangkan warna ini tidak menyusahkan hidup sesiapa. Terlalu menyenangkan. Warna kurniaan Allah yang diangkat sebagai warna istimewa. Warna milik semua, penghuni alam juga penghuni syurga.

Kadangkala saya tersenyum sendiri mengenangkan golongan yang sengaja mengkarenahkan warna ini. Mereka sedar, tetapi tidak telus. Maka, adalah lebih baik abaikan sahaja. Semuanya perlu dikuis ke tepi sebelum pemikiran saya pula menjadi 'hijau berlumut'.

Maafkan saya andai artikel ini bersifat sarkastik di minda anda. Harap-harap tidak ada yang 'hijau muka' (puke) atau 'hijau muka' macam incredicble Hulk. Peace for all~


Nota:
1. Makan nasi lemak bersama kuih tepung pelita tanpa daun pisang dan daun pandan yang hijau tentu tidak harum menyentap.

2. Pandang langit biru yang cerah, tanpa bukit-bukau menghijau tentu kurang memukau.


Saturday, February 13, 2010

Tidak Seindah Idealis Dan Romantis

"Sedang kamu masih dapat mengharapkan daripada Allah apa yang tidak dapat mereka harapkan. Allah Maha Mengetahui, Maha Bijaksana." [an-Nisa': 104]

Ramai orang bersungut dengan persepsi yang agak stereotaip. Menjadi guru itu mudah. Apatah lagi guru Pendidikan Khas. Kerjanya enteng. Hanya mengajar tiga empat orang murid di dalam satu kelas. Tidak perlu menyemak buku yang menimbun. Tidak perlu menanda lembaran kerja berhelai-helai. Dapat pembantu murid, siap merangkap pembantu peribadi lagi. Murid pulang seawal tengahari, guru pun mula bergoyang kaki.

Perihal cuti pula. Lihat sahaja takwim guru. Cuti semester sudahlah berderet. Apatah lagi bila dicampur cuti-cuti sampingan. Ah, bukan main berlambak. Hari ini cuti lagi, sempena Perayaan Tahun Baru Cina. Malahan, ada sekolah yang mengambil cuti tambahan. Bermakna esok lusa, cuti mereka bakal sambung menyambung. Boleh jadi lanjut sampai seminggu lamanya.

Indah bukan? Siapa yang tidak cemburu bila melihat si guru dapat mengulit cuti. Murid bercuti, guru beria tumpang sekaki. Balik-balik, kerjanya cuti sahaja. Ia lazim dan biasa. Ini telahan berzaman semenjak saya belum bergelar guru. Betul! Tiada salah orang yang bersungut itu.

Secara rambangnya, komentar yang menjengkelkan dan pandangan prejudis anda tetap betul. Cuma harus memperhalusi lagi tanggapan itu. Biar betul hakikatnya. Bukan andaiannya. InsyaAllah, saya pasti anda tidak akan berat sebelah tentang dunia perguruan yang kami hayati ini.

Kenapa kerjaya ini habuannya cuti sahaja? Andai diberi pilihan sama ada cuti dan ganjaran lain, saya yakin jawapan dominannya. Tentu ramai guru di luar sana senang dengan hanya memilih cuti. Ini sahaja penawar yang paling aula. Ia ibarat air. Hanya air yang mampu memberi kelegaan setelah penat berlari. Namun, cuti yang banyak itu bukan semuanya milik guru.

PUDARNYA SERI IDEALIS DAN ROMANTIS

Dunia perguruan dan pendidikan tidaklah seidealistik dan seromantis yang anda fikirkan. Tuntasnya, ia tidaklah seindah yang disangka. Menjadi seorang guru bukanlah semudah A B C. Masalah dan tugasan sentiasa bertambah. Malah, menjadi semakin dalam dan mendalam. Silap-silap, anda mungkin akan menjerit sekuat hati. Barangkali seperti berada di dalam gaung. There is no turning point beb!

Menjadi pendidik ini, banyak lapisan rintangan yang perlu ditempuhi. Kalau silap dan culas sedikit menggalas amanah, tidak mustahil banyak dosa berbanding pahala. Setahun dua ini saya sedang menghayati permainan 'politik pejabat' kerjaya ini. Pelbagai watak telah saya temui. Baik mereka yang kukuh berjawatan dan tidak kurang yang 'sedang-sedang' sahaja.

Masing-masing hebat mengadun fakta dan auta. Barangkali mahu merebut APC tahunan. Paling tidak, cukup sekadar pujian 'orang dalam'. Moga saya bijak memilih yang dihormati untuk diteladani. Bukan yang ditakuti tetapi pura-pura disegani. Hehe... izinkan saya menekup mulut sekejap buat pengubat geli di hati. Siapa yang hendak gelak senada dengan saya, sila angkat jari anda tanda two thumbs up.

Kini, fasa hidup saya sebagai guru novis (baru) sudah berlalu. Tetapi saya masih merasai nikmat novis itu. Masih serba mentah. Sedang belajar menilai itu dan ini. Dalam teraba-raba sendiri, semangat dan inspirasi saya seakan 'biskut' kering yang dicelup air. Sekejap menjelma, sekejap menghilang. Tenggelam timbul ditelan rutin harian yang membosankan.

Saya sendiri tidak tahu, sampai bila saya mampu mempertahankan keghairahan atau passion kerjaya ini. Jauh di sudut hati, itu yang sering saya bimbangkan. Lebih dirisaukan, saya tidak pasti bilakah saya akan menjadi seorang guru 'murabbi'. Boleh mendekatkan diri anak muridnya dengan tuhan pencipta. Bukan menjadi seorang guru yang biasa-biasa sahaja. Wallahu'alam~

*** 1. Mohon kemaafan andai tulisan ini wujud kekhilafan yang melampau. Mungkin tulisan saya agak kurang sopan. Anda membaca, anda merasa!

*** 2. Orang yang pandai boleh berpura-pura bodoh. Awas pada orang yang bodoh. Jangan sekali-kali berpura-pura pandai.

*** 3. Saya suka CUTI. Barangkali CUTI juga menyukai saya.

Thursday, February 11, 2010

Saya 'Cikgu Ustazah'

"Assalamu'alaikum ustazah!". Harith ini rajin datang belajar mengaji. Celotehnya memeriahkan rumah saya

Dengan rasa penuh rendah diri, serba fakir dan dha'if, saya ini bukan ustazah. Apatah lagi 'protazah'. Saya terjun ke dunia perguruan bukan di dalam bidang agama. Kalau hendak dicermati ilmu agama saya, memang banyak yang 'mentah'. Baik dalam Pendidikan Islam, Bahasa Arab dan ilmu yang seumpamanya.

Isunya sekarang, gelaran ustazah sudah sebati dengan diri saya. Walaupun saya tahu, dari segi bahasa, guru perempuan di dalam Bahasa Arab dipanggil ustazah. Namun, dari segi istilahnya di Malaysia, ia lebih khusus dituju kepada golongan tertentu berkelayakkan sahaja.

Gelaran ini bukan asing lagi sejak saya di alam persekolahan dan pekerjaan. Rata-rata mengandaikan saya ini adalah seorang ustazah. Adakalanya saya sendiri konfius dan lucu memikirkannya. Waima, tersipu malu juga bila mana siang dan malam disapa salam dengan gelaran itu. Senyuman saya meleret dilanjuti ketawa kecil. Mujur tidak sampai berdekah.

Kenapa dan mengapa?

Wallahu'alam dari sudut mana penilaian mereka. Saya kira, hanya yang arif menyapa itu ada jawapannya. Barangkali, ini gelaran usikan atau sindiran untuk saya. Boleh jadi juga, ini gelaran mulia yang menginsafkan saya. Paling tidak, ia dapat mendidik saya menjadi insan yang lebih baik.


Ustazah?

Jauh di sudut hati, tiada sekelumit rasa bagus dan 'poyo'. Saya belum 'kelabu mata' dan tenggelam dengan gelaran ini.
Apa jua gelaran itu dinilai orang, saya tidak berniat untuk mendapat gelaran itu. Tetapi pandangan sesiapa sahaja bila melihat suka sekali melabel.

Saya sekadar guru biasa. Dikhaskan mengajar anak-anak istimewa. Sejujurnya, saya belum ke tahap multy skill. Kalau hendak berdebat, berforum dalam hal agama, saya bukanlah ahli yang sesuai di dalamnya. Kalau hendak mencuba bakat, takut terpamer aib bodohnya saya.

Sungguh!


Pernah juga terlintas di hati kecil ini untuk memperkemaskan segala bentuk ilmu di dada. Seimbang syariatullah dan sunnatullah. Barulah terasa duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan ilmu dan gelaran. Itulah yang sepatutnya sebagai seorang da'ie. Setiap muslim adalah seorang da'ie. Seorang pendakwah. Perlu ada perasaan risau dan takut kerana tidak cukup.

Lewat hari ini, cikgu atau ustazah, kedua-duanya mengusik fikiran ini. Saya tidak mahu hilang peranan saya sebagai guru yang da'ie. Saya adalah agen yang paling dekat dalam membangunkan modal insan. Saya belum cukup gagah hanya sebagai 'cikgu ustazah'.

Sudah pasti, kefakiran ini boleh mencetuskan apa sahaja. Fakir yang punya ilmu tetapi tidak mahu menambah. Fakir yang punya ilmu tetapi tidak sudi mencurah. Fakir yang punya ilmu tetapi tidak bijak mengarah. Penghujungnya, semakin gelap dan membakar diri.

Parah... parah~


Thursday, December 31, 2009

Bicara Laskar Pelangi

Bisa menghembus semangat baru

Di dada kanvas hitam pekat berona merah jambu ini aku ingin bicara. Aku bicara kerana ada jiwa yang diusik rasa. Aku bicara kerana ada jiwa yang angau bercinta. Aku bicara kerana ada jiwa yang derai air matanya. Hehe... aku itu adalah gejolak jiwa saya yang telah usai menonton filem 'Laskar Pelangi'. Filem yang sangat dekat di hati saya. Karya yang benar kisahnya dan cukup telus garapannya. Membuatkan saya benar-benar kagum. Kagum dengan dunia pendidikan anak desa. Kagum dengan insan-insan kecil yang punya semangat untuk keluar dari kepompong kejahilan.

Ya Allah, ia betul-betul menjadi pembakar semangat kepada kehidupan dan kerjaya saya sekaligus!

Sebagaimana KCB, LP juga lahir dari adaptasi novel terlaris karya halusan Indonesia. Acap kali mengulangnya, acap kali itu juga seluruh perasaan dan motivasi tersulam dalam keindahan jalan cerita ini. Kehebatan Pulau Belitong bukan pada kaya timahnya tetapi kerana semangat juang sepuluh orang anak pingitan yang kuat tekad untuk bersekolah. Pemandangan yang terpapar dalam filem ini juga sangat cantik keserian alam-Nya. Betul, 'cocok' sekali untuk ditonton dan dihayati. Bisa 'terjerlus' cinta dibuatnya.

Ayuh! "Kejar pelangi sampai ke hujung dunia. Jangan pernah menyerah. Memberi sebanyak-banyaknya dan bukan menerima sebanyak-banyaknya."

Sedikit waktu lagi, cuti sekolah musim ini bakal berlepas pergi. Tiada lagi saat-saat memanjakan diri di rumah. Titik asal saban tahun akan bermula. Makanya, berbondong-bondonglah segala bentuk tugasan yang bakal mengalir tiba. Rutin harian akan kembali rigid. Rigid dengan tuntutan semasa 'gelora' dunia perguruan. Ini bermakna saya perlu bersiap sedia untuk 'menata rias' wajah persekolahan tahun kedua saya bergelar guru.

Saya tidak mahu dihantui 'hari-hari menyeksakan'. Atas dasar keterpaksaan, sememangnya menyakitkan. Buat diri rengus terseksa. Itu natijahnya. Malang sekali bukan? Kemurnian seorang pendidik pasti semakin luntur. Kini, saya telah berjanji akan menjadi sehabis daya yang mampu, memperbaiki segala bentuk kesalahan dan kesilapan diri. Saya perlu lebih nekad. Nah, lihat sahaja hasilnya nanti. Bisakah ia menjadi?

Seharusnya, dari relung hati ini saya perlu berkata jujur. Saya sendiri tidak ketahuan...

Mahu bicara lagi. Saat puas menghayati LP, saya seperti sedang 'bermekaran' dalam keceriaan lagu OST Laskar Pelangi nyanyian Nidji. Hehe... bicara ini sekedar ngasih tau aja. Apa pun terjadi, berjalanlah tanpa henti. Kerana tiada siapa yang mengerti, kecuali engkau sendiri~ Deaf Teacher

Mimpi adalah kunci
untuk kita menaklukkan dunia
berlarilah tanpa lelah sampai engkau
meraihnya

Laskar pelangi
takkan terikat waktu
bebaskan mimpimu di angkasa
warnai bintang di jiwa

Menarilah dan terus tertawa
walau dunia tak seindah surga
bersukurlah pada yang kuasa
cinta kita di dunia

selamanya...

Cinta kepada hidup
memberikan senyuman abadi
walau hidup kadang tak adil
tapi cinta lengkapi kita

Laskar pelangi
takkan terikat waktu
jangan berhenti mewarnai
jutaan mimpi di bumi

Menarilah dan terus tertawa
walau dunia tak seindah surga
bersukurlah pada yang kuasa
cinta kita di dunia

Selamanya...