Friday, February 18, 2011

Ujian: Pakej Lengkap Untuk Kita

"Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?" [ar-Rahman: 13]

Hidup ini bukan hanya ada kanan dan kiri. Sebagaimana ketika kita mahu melintas jalan. Memadai berpaling ke kiri dan ke kanan. Tetapi secara keseluruhannya, kita perlu menerima hakikat bahawa kehidupan ini mempunyai ruang lingkup depan dan belakang. Atas dan bawah. Hatta, luar dan dalam diri kita juga.

Sangat luas. Dari sudut dan posisi mana sekalipun, Allah tetap wujud. Dia berhak untuk menguji dan menduga kita. Tidak kira samada kita sudah bersedia atau pun sebaliknya.

Kadangkala, Dia menguji kita untuk satu tempoh yang panjang. Sehingga kita hampir berputus asa. Sehingga kita berada di kemuncak lemah jiwa. Sehingga kita rasa seperti hilang punca dan sebagainya.

Barangkali, dalam masa yang sama juga, Dia murah menambahkan lagi siri ujian lain. Ibarat sudah jatuh, ditimpa tangga. Belum selesai satu tugasan, disusuli pula tugasan yang lain.
Bertimpa-timpa kecil besar, berat ringan. Silih berganti untuk kita.

Semuanya bergantung kepada kehendak-Nya. Malah, tidak mustahil jika kita dikurniakan ulangan ujian dan dugaan yang sama sahaja.

Ujian yang Dia tahu benar-benar menduga ketabahan kita.

Ujian yang Dia tahu kita tidak sanggup mendepaninya lagi.

Begitulah episod kehidupan dunia. Tugasan demi tugasan yang tidak boleh tidak kita tolak. Apatah lagi getus mempersoalkan kenapa dan mengapa.

Kita perlu ingat, ini bukan urusan kerja antara pihak majikan dan pekerja. Jika rasa tidak berpuas hati, sebagai pekerja, kita layak bersuara. Itu pun jika kita berani. Dan bukan jenis yang menurut perintah sepanjang masa.

Malah, dengan kuasa akal dan ilmu, kita boleh juga membantah mana-mana yang tidak praktikal, relevan dan rasional dengan bidang kerja kita. Tetapi,
apabila kita sudah menggalas amanah sebagai hamba-Nya, inilah sebenar-benar kerja kita di dunia.

Kerja seorang hamba.

Hamba yang berhubungan dengan Tuhannya (hablun minallah).


Maka, wajar untuk kita sedar diri. Mempersoalkan kembali siapa Tuhan kita dan siapa kita dengan-Nya?

Ya. Siapalah kita untuk berhak mempertikaikannya. Hanya Dia Maha Mengetahui yang mana satu lebih sesuai dengan kita.
Semuanya, sekadar mahu melihat sejauh mana tahap keimanan dan ketakwaan hamba-Nya.

Yakinlah bahawa Allah telah menyediakan pakej yang lengkap untuk kita. Betapa segala ujian dan dugaan itu didatangkan bersama seribu hikmah. Tinggal lagi, bagaimana kita hendak mencari dan mengambil hikmah tersebut.

Demikian juga bagaimana kita mahu menyesuaikan diri kita dengan setiap situasi ujian dan dugaan tersebut. Tetapi awas! Allah Maha Menilai layanan kita terhadap setiap sesuatu.

Adakah kita mahu untuk ringan beristighfar dan bertenang?

Adakah kita mahu untuk mendidik sabar dan berlapang dada?

Adakah kita mahu berusaha dan bertawakal kepada-Nya?

Dan semestinya, adakah kita mahu bersyukur untuk semakin bergerak mendekati-Nya?

Nah, ladenilah hakikat kehidupan ini dengan paradigma yang positif. Saya suka mengulang bahawa Allah telah sediakan pakej yang lengkap. Dia bukan sahaja memberi ujian bersertakan hikmah. Tetapi Dia juga sentiasa hadir bersama kita. Membantu dan membimbing kita.

Bersyukurlah selalu. Jika kita mahu menghitung berapa banyak Allah mencabut nikmat kita, nescaya tidak terhitung banyaknya nikmat yang telah Dia berikan. Bahkan, sebahagiannya masih kekal solid dengan kita.

Allah itu Maha Pemurah. Maha Penyayang.

Simbolik kasih sayang-Nya bukan semudah kata-kata. Dia datang kepada hamba-Nya dengan mengucapkan sayang. Tidak. Tetapi manis rahmat Allah, hanya yang bijak sahaja akan merasainya. Islam mengajar kita menjadi cerdik dan bukannya bodoh.

La tai'asu min rauhillah.

La tai'asu min rahmatillah.

Oleh yang demikian, beruntunglah siapa yang selalu diuji. Melainkan kita ini memilih untuk menjadi hamba yang gampang pesimis. Melihat ujian dari Allah sebagai rintangan dan bukannya tantangan. Wallahu a'lam bisshowab...

Akhir kalam, Salam Maulidur Rasul~


Nota:
1. Mabruk'alaiki ya Izzah. Ketabahan juga lambang keizzahan Islam. Saya masih dalam proses membina dan memaknakan diri di sebalik izzah yang sebenarnya.

2. Alhamdulillah. Beberapa siri ujian saya telah selesai sekaligus. Ada yang berbulan-bulan lamanya sulit dan menyulitkan. Dan akhirnya diberi jalan keluar melalui asbab ujian yang sehari dua. SubhanaAllah. Cantik dan indah sungguh teka-teki hidup ini.


Saturday, February 12, 2011

Ma'assalama Ya Huzni La Mubarak

"Dan (ada lagi) kurnia yang lain yang kamu sukai (iaitu)
pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya).
Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman." [as-Saff: 13]

Allahu Akhbar Wa Lillah Al-Hamd...

Mabruk 'alaikum ya Misr!

Akhirnya, 11 Februari 2011, runtuh sudah pemerintahan tirani seorang Hosni.
Rasa senang sekali menyambut berita pengunduran yang dinanti. Menumpang syukur seantero Mesir sana. Dan sekalian mereka di segenap penjuru dunia.

Hatta saya ini bukanlah Misriah, hanya seorang Maliziyyah, saya tetap mahu mengucapkan ma'assalama kepada An Old Misr. Enta sudah menjadi huzni. Enta tidak mubarak lagi.

Ma'assalama ya Huzni la Mubarak!

Dan ahlan wa sahlan The New Mesir with A New Misr yang akan memegang kendali pemerintahan baru.
Mendoakan A New Misr yang masih misterius itu meneladani bibit-bibit pimpinan karismatik Khalifah Umar bersama pasukan tenteranya yang bijak, Amru bin Ash Radhiyallahu 'anhu.

Ya. Pemimpin bernama Islam sahaja tidak mencukupi. Tidak menjamin apa-apa. Pemimpin bernama Islam perlu membawa roh Islam ke dalam sesebuah pimpinannya. InsyaAllah, saya yakin Islam akan lebih luhur menjadi darah daging rakyat bumi Kinanah yang baru nanti.

Semoga semilir angin pembaharuan Mesir akan menyisir hingga ke segenap pelosok benua. Harapnya sampai ke sini juga. Ahlan. Ahlan bina... ~


Nota: Kepimpinan yang paling lemah adalah kepimpinan yang hanya bergantung kepada kuasa dan jawatan. Maka, apabila hilang pengaruh, natijahnya akan menerima nasib yang sama seperti Hosni hari ini.


Friday, February 04, 2011

Hindarilah Kami Dari Fitnah

"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, "Kami telah beriman", dan mereka tidak diuji?" [al-Ankabut: 2]

Waktu rehat murid Pendidikan Khas masih berbaki kurang sepuluh minit. Kelihatan murid-murid sedang bersantaian di hadapan kelas masing-masing. Tidak kurang riuh rendah bergema dek kerana usik mengusik dan senda gurau sesama mereka.

Ada juga beberapa orang murid yang sedang menyudahkan suapan di kantin sambil ditemani Pembantu Pengurusan Murid. Tatkala murid-murid Kelas Khas Masalah Pendengaran pula lebih tangkas mendahului rakan-rakan mereka yang lain. Lazimnya, mereka bergelut untuk lekas makan. Usai menikmati kudapan, mereka akan bercempera dengan pelbagai aktiviti.

Tenang. Namun, pagi Rabu itu semakin terik disimbah mentari.

Siap mengalas perut di kantin,
Fatimah dan Nazim bergegas masuk ke kelas lebih awal. Kebetulan pula ada sedikit lagi kerja-kerja menghias kelas yang tertangguh. Peralatan memasang langsir kelihatan berselerak di penjuru kelas. Semuanya mesti dikemas sebelum subjek Komunikasi bermula selepas rehat nanti.

Kebiasaannya, awal-awal tahun begini, yang paling sibuk adalah menceriakan bilik kelas. Setiap kelas tidak ketinggalan berlumba-lumba. Menata rias wajah kelas dibuat beransur-ansur. Mengikut kesempatan dan kemampuan gurunya. Dan mengikut mood kerajinan juga. Manakala murid-muridnya pula lebih teruja dan bersiap sedia menerima arahan untuk membantu.

"Nazim, awak pernah tahu tak, apa
pesan Allah SWT pada hamba-Nya?"

"Alahai Timah, banyak pesan-Nya. Maksud awak yang mana satu?"

"Pesanan dalam surah an-Nur, ayat 30, "Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat."


"Ha, cuba awak fikir, pada siapakah terlebih dahulu Allah SWT sampaikan pesanan-Nya?"

Khali.

Nazim masih menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Songkoknya dibetulkan berkali-kali. Dahinya sedikit berkerut memikir tanpa ada sebarang reaksi jawapan. Tidak mahu berlengah, Timah terus memintas.

"Aduh, lambatlah awak ni. Bukankah jelas, ini pesanan pada hamba-Nya yang bergelar Ar-Rijal? Awaklah tu!"

"Ini Kerana, andai lelaki seperti awak ni Nazim, pandai menjaga pandangannya, maka tidak akan terlihatlah akan wanita yang menjadi fitnah pada diri awak," Timah menambah lagi.

"Alamatnya, mesti lelaki lebih ramai terlanggar tiang kan? Yelah, nak jaga pandangan mata. Maka, kena la selalu tunduk tawaduk. So, statement 'make eye contact with the person you're talking to' pun kira dah tak relevanlah ya?"


"Awak ni Nazim. Rasional la sikit, guna 9/10 dari akal awak tu. Tak pandang saya, macam mana awak nak faham sign saya ni!"

Nazim memecah suasana. Dia tergelak besar dengan suara baru yang semakin garau.

Timah menggeleng. Dia kembali melanjutkan mauduk mereka.

"Oh ya, dan lagi, Allah SWT juga tidak abaikan pesanan buat wanita agar memelihara aurat mereka. Kerana di situlah kehormatannya. Awak boleh rujuk surah tadi. Ayat 31 selepas pesanan untuk ar-Rijal."

Sambil mengangguk, Nazim membalas pandangan Timah.

"Saya setuju dengan Ustazah Fatimah. Tiadalah fitnah semata-mata ya jikalau ar-Rijal dan an-Nisa' mematuhi pesanan Ilahi itu. Sama-sama menjaga."

"Eh Timah, sedar-sedar kita ni dah besar panjang kan. Tahun ni umur kita dah 13 tahun. Patut pun Cikgu Izzah pisahkan meja kita berjarak. Lagi pula, kita berdua saja di kelas ni. Ikhtilat kena jaga juga. Tak manis kan kalau rapat-rapat. Ha, biar renggang-renggang tau. Nanti difitnah pulak! Awak pun tahu kan. Geng KKBD2 tu boleh tahan jugak akalnya. Kang sia-sia saja saya rajin pakai songkok, awak pakai tudung."

Timah mencebik. Pantas menyusun kata.

"Yelah sahibus samahah al-Fadhil Ustaz Nazim, saya tahu. Sesungguhnya wanita beriman yang solehah itu lebih baik dari ribuan lelaki yang soleh. Tak gitu Abang Songkok?"

Nazim mengangkat kening. Kembali memprovok Timah.

"Em, tapi kan Timah, kenapa pula wanita tu suka sangat menjadi peragaan? Hias sana sini. Tidakkah mereka merasa malu?"

"Entahlah Nazim. Err, sepatutnya malu! Apa yang saya tahu dari Cikgu Izzah, al-Haya' (malu) tu ada dalam diri setiap insan. Wujudnya seiring dengan nafas insani. Dan al-Haya' itulah pakaian iman seseorang."

"Haha... macam lagu Ana Raffali feat Sohaimi dan Altimet tu ya... biar malu-malu, biar segan-segan, kerna malu itu perisai orang beriman..."

Timah mengangkat thumbs up.

"Tapi kan Timah, takkan pakaian iman tu hanya ada pada diri wanita saja? Habis tu lelaki pakai apa pulak?"

"Eh awak ni, lelaki pakai baju la. Hehe... Em, indah al-Haya' tu ada pada setiap insan. Allah SWT tu kan Maha Adil dan Bijaksana. Cuma nisbah untuk wanita lebih banyak, 9/10. Berbanding lelaki cuma 1/10. Sebab tulah wanita sangat lembut sifatnya."

"Dan lagi, Dia anugerahkan rasa malu ini sebagai pembenteng untuk diri kita. Rasulullah SAW kan pernah bersabda, Rasa malu adalah kebaikan seluruhnya.
Atau rasa malu seluruhnya adalah kebaikan. Namun..."

"Hmm, apa namunnya tu makcik Timah?"

"Hish, tak boleh sabar! Namunnya tu, bila mana al-Haya' itu lebur, imannya runtuh la."

"Tapi kan Timah, bukankah wanita ini sebaik-baik hiasan? Maksud saya, kira dah cukup cantik Allah SWT jadikan. Tapi kan, kenapa mereka masih merelakan diri jadi peragaan?"

Belum sempat Timah menjawab. Nazim menokok lagi.

"Entahlah. Saya pun pelik dengan wanita. Sejauh mana pemahaman mereka tentang aurat? Tengoklah. Mereka bertudung tapi fesyennya berlebih-lebihan. Siap sengaja menenggekkan bonggol unta lagi di atas kepala. Mereka berbaju tapi bersendat marat. Paling tak tahan bab bersolek bagai. Wanginya jangan cakaplah. Semacam je."

"Ehem, awak mengata siapa ni?"

"Tak ada sesiapa pun. Awak kena tahu, bila kita terkurang sesuatu, tentulah kita terlebih sesuatu. Allah SWT beri kita pengamatan yang baik walaupun kita tidak mampu mendengar dengan baik. Betul tak?"

Timah hanya merekahkan senyuman.

"Okay, berbalik kepada soalan awak tadi tu, wallahu'alam. Agaknya disebabkan wanita ni mudah paranoid kot. Merasakan dirinya belum cukup menarik. Itu yang kekadang perbuatan ni nampak seakan murahan. Maaf, bukan murahan. Salah urus diri."

"Amboi Timah. Awak ni kan, buat saya geli hati saja. Pengurusan Diri tu kan subjek bidang pengurusan kehidupan untuk kawan-kawan kita di Kelas Khas Bermasalah Pembelajaran."

Timah tergelak halus.

"Eh, apa awak cakap tadi Timah? Paranoid? Haha... paranoid tu kurang lebih macam awak ya?"

"Woi, dah melampau ni! Nak kena sekeh."

"Ops Timah. Jaga-jaga sikit tangan mulus awak tu. Mana al-Haya' awak? Dah lebur ke?"

Timah tersentak. Ya Allah, malunya! Dia menekup muka. Dalam hatinya sempat menggerutu. Ah, lelaki semuanya sama. Hanya tahu berkata-kata. Sengaja berlagak bagus di hadapan wanita lemah... lembut!

Nazim hanya tergelak.

Tiba-tiba tampang Cikgu Izzah muncul di hadapan kelas. Berdehem-dehem konon-konon tersedak. Barangkali ada yang menyebut-nyebut namanya.

Masing-masing terkesiap. Saling berpandangan. Timah dan Nazim memang tidak dapat mendengarnya. Tetapi mereka memahami dalam intuisi dunia mereka.

Sejurus kemudian, ar-Rijal dan an-Nisa' berdua itu sama-sama berdoa dari dalam hati...

Ya Allah, hindarkanlah kami dan Cikgu Izzah dari fitnah!

Ameen ya Rabbal 'Alameen~

Nota:
1. Cerpen pendek ini menampilkan watak sebenar, murid dan guru Kelas Khas Bermasalah Pendengaran. Cuma dialihsuara menggunakan teknik monolog khayalan Cikgu Izzah.

2. Kredit kepada Timah dan Nazim. Acapkali P&P KKBD1 tergendala kerana mereka sering berkonflik.

3. Moral dan nilai murni: Jangan merasakan diri kita sudah cukup bagus. Baguskan diri kita dengan hemah dalam menegur kesilapan. Bukan memboikot dan membiarkan orang lain terus hanyut. '
wa zakkir, fainna zikra tanfa'ul mukminin'.