Friday, October 29, 2010

Sepatutnya Izzah

"Bukankah Allah hakim yang paling adil?" [at-Tin: 8]

Pagi Jumaat ini saya terpaku lama. Hah, tidak semena-mena ditembak dengan peluru analogi 'durian vs mentimun'. Selamba lagi bersahaja si penembak itu. Sungguh. Bilah-bilah seloroh ini ada benarnya. Tetapi libasannya semacam membelasah juga.


Agaknya selepas ini saya perlu lebih bersiap sedia. Siapa tahu, akan ditembak dengan peluru versi 'jerung vs bilis' pula.

Dalam legar-legar fikiran mengelamun panjang, sedar-sedar, mee goreng di pinggan siap licin dijamah. Pandangan saya jatuh tertumpah hingga menembusi pinggan kaca di depan mata. Air suam segelas masih penuh berisi.

Saya hanya tersenyum panjang.

Barangkali sebagai penawar untuk tidak mahu mengambil hati.

Cuma tidak menyangka, pagi-pagi lagi sudah ada yang berfikiran semberono.

Tidak tentu hala.

Awalnya, terasa juga mahu merespon. Dengan serta-merta niat itu saya matikan sahaja demi mengawal ketenangan pagi Jumaat yang barakah. Fikir saya, tiada faedah jika hendak berbasa-basi membalas tembak. Sudah persepsi dan cara fikir mereka begitu.

Dalam diam, saya cuba mencerdikkan analogi bebal itu dengan logik sendiri.

Bukankah lazimnya, durian jarang bertembung dengan mentimun. Lihat saja di pasar-pasar. Mustahil si penjual dengan sengajanya mahu melonggokkan durian dan mentimun di dalam bakul yang sama. Atau kita sendiri seperti kekurangan akal, meletakkan kedua-duanya tergolek bersama.

Barangkali hal ini ditakdirkan bertemu mesra jika ulam mentimun berjodoh untuk dicicah bersama tempoyak durian. Itupun setelah durian dirobek-robek isinya. Mentimun pula siap dicincang-cincang tubuhnya.

Kalau hendak disandingkan pun cantik juga. Durian itu sifatnya memanaskan. Sedangkan mentimun pula menyejukkan. Saling melengkapi. Elok sangatlah!

Namun, natijahnya serupa.

Tetap akan lumat dikunyah dan dicerna.

Secara peribadi, saya amat tidak 'merestui' jika ada yang suka melabel 'siapa durian, siapa mentimun'. Sementelah, kita adalah manusia sebaik-baik kejadian. Maka, berusahalah kita untuk menjadi hamba-Nya yang cemerlang. Seimbang dunia dan akhirat.

Tidak usahlah kita berbesar hati mengadili diri kita sehebat durian atau sebiasa timun. Kita ada peranan dan tanggungjawab masing-masing. Hamba yang sepatutnya Izzah, lantaran sujud dan tunduk hanya kepada Allah.

"Kau kena ingat, durian tu besar. Ni ha, macam pinggan sebelah cawan."

Alhamdulillah. Analogi yang sebegitu tiada erti bagi kehidupan yang sememangnya maha adil. Dan
saya mahu lebih menghayati makna yang sangat literal ini. Allah Maha Besar~

Nota:
1. Saya gemar makan durian kerana nikmat isinya. Bukan kerana simbol kuasanya. Saya tahu ada orang tidak suka durian kerana tidak tahan dengan baunya. Kalau ada orang takut durian pun, barangkali kerana duri-duri kulitnya.

2. Dan saya belum pernah dengar, orang tunduk hormat kepada durian kerana durian itu dianggap raja segala buah.

3. Ya. Durian cuma sebiji buah.

Wednesday, October 20, 2010

Cebisan-Cebisan Bahagia: Nazim vs Hafizan

"(sambil mengucapkan): "Salamun 'alaikum bima sobartum (keselamatan atasmu berkat kesabaranmu)" maka alangkah baiknya tempat kesudahannya itu." [ar-Ra'du: 24]

Semalam saya agak ralit di meja makan. Sedikit terlewat memasuki kelas pertama selepas sesi rehat. Mujurlah jarak dari kantin sekolah ke kelas tidaklah sejauh mana. Tapi berderap-derap juga kaki saya menghayun langkah. Seiring itu juga detak-detik hati menyesali lengahan tadi.

Lambat ke kelas memang besar risikonya. Macam-macam kompleksiti boleh berlaku. Pasti kelas bercempera dengan mainan dan gurauan anak-anak murid yang tidak ketahuan. Anak-anak rebung yang semakin hari, semakin berani membuat honar itu dan ini. Dan licik pula untuk meloloskan diri bila disoal siasat kesalahan mereka.

Apalah sangat dengan tiga kerat murid sahaja?

Benar. Bagi tahun ini juga, cuma dua kelas masalah pendengaran dibuka dengan setiap satunya hanya tiga orang murid. Bagi masa mendatang, proses penambahbaikan Pendidikan Khas di Malaysia akan berubah. Barangkali nisbah guru:murid akan menjadi lebih kecil sehingga mencapai 1:1.

Saya nantikan saat itu.

Sungguh. Bilangan nisbah yang ada sekarang ini pun sudah terasa gamat. Mereka mampu menandingi riuh-rendah belasan orang murid lain. Silap-silap yang tiada bersuara inilah lebih ganas memberantakkan segala dinding, lantai dan meja, kerusi kelas.

"Baik. Sekarang, balik ke tempat masing-masing." Tangan saya mengisyaratkan arahan ringkas. Seraya itu juga jeritan hati kecil saya turut bersuara dari dalam.

Langsir kelas teroleng-oleng. Kotak jemala saya mula bersarang soal. Entah perhitungan apa yang mereka lakukan tadi di sebalik sana. Terlihat kelibat tampang saya menuju ke daun pintu, terkocoh-kocoh mereka bergegas. Secepat kilat melarikan suasana sebelumnya.

Fikir saya sendirian, ini mesti ada yang tidak kena.

Saya hanya menantikan jawapan tanpa perlu bertanya. Dan seketika kemudian, aduan diterima daripada seorang murid. Nama pun budak-budak. Kalau tiada yang mengadu domba memang tidak sah. Mana-mana pun sama.

Saya mula berlakon.

Konon-konon mempercayai situasi yang dijelaskan.

Khali.

Apakah starategi terbaik yang perlu direncanakan? Saya harus berbuat sesuatu!

Sejenang kemudian, arahan diberikan. Kelompok meja sedia ada perlu bertukar wajah kedudukannya. Saya tidak mahu meja-meja yang bersusun rapat bertentangan seperti selalu.

Mereka akur mengalihkan meja masing-masing. Kini tiba giliran sekawan ini pula terpisat-pisat dengan permintaan saya. Lambat-lambat, mereka terpaksa menurut juga. Kebisingan tingkah-meningkah ke segenap ruang kelas. Bahkan, menyula-nyula terobos hingga ke andas telinga saya. Itu belum dicampur kira dentam-dentum yang lain. Pada situasi-situasi yang selalunya hanya beristighfar panjang.

Haruskah selepas ini, saya juga turut bersama mereka?

Ya. Menjalani pemeriksaan audiologi berkala. Menggunakan audiometer bagi mengesan tahap pendengaran. Siapa tahu jika keputusannya masih 'cantik', alhamdulillah. Andai sebaliknya, maka RM250 sebulan boleh sedia dikumpul untuk sepasang hearing aid yang canggih. Hehe...

Siap. Tiga buah meja sudah dijarakan seperti lagak suasana peperiksaan. Sebuah meja lagi, saya tarik dan rapatkan ke depan. Dikhaskan untuk tumpang-menumpang longgokan kamus, buku dan peralatan P&P yang lain.

Sengaja saya beragenda demikian. Mudah-mudahan lebih senang menyelia tampang tubuh yang suka benar berbuat onar. Dan lebih mudah mengawasi tindak-tanduk mereka bertiga. Terutamanya Nazrul. Tidak serik-serik dilarang. Didenda dan sebagainya. Malah, pantang benar saya melihat kreasi akalnya cuba mempengaruhi murid-murid yang lain.

Elok-elok ada yang tekun mahu belajar, bertumbuh tanduk merah pula di kepala.

***********************************

Kelas Khas BD1 kembali tenang apabila saya memberi arahan rutin. Mereka bangun serentak mengisyaratkan salam dan selamat pagi. Seterusnya doa belajar juga tidak dilupa. Beragah-agah doa diisyaratkan. Manakan tidak lupa mana yang dulu, mana yang kemudian. Kalau tidak disuruh, pasti tidak diamalkan doa sejemput itu.

Setelah berpuas hati, P&P diteruskan dengan suasana baru. Nampaknya agak formal untuk mereka. Pelik. Barangkali mereka mengandaikan saya mahu menjalankan ujian atau peperiksaan bertulis.

Tidak kisah apa andaian mereka. Asalkan susun atur begini lebih selesa dari keadaan biasa. Bagus! Jelas sekali segala pandangan. Boleh menjegil mata berdepan-depan. Boleh menyergah setentang mata. Boleh menangan setampar dua.

Baru hendak memanaskan enjin P&P, tiba-tiba ekor mata saya tertangkap pada perlakuan menghantar kertas nota dari meja kanan ke meja tengah. Dengan cara yang mencurigakan.

Fikir mereka, saya tidak sedar kerana sibuk menulis di papan putih.

Saya terus berlakon.

Membiarkan selama lima minit berlalu. Saya hanya mencuri pandang perlakuan ganjil dua orang anak murid ini. Sembunyi-sembunyi mereka bergilir-gilir mengisyaratkan sesuatu. Akhirnya, kertas yang menjadi perantaraan tersebut berjaya dirampas!

P&P tersekang.

Jeda seketika dek mengamati nota rampasan itu. Rasa kelakar sungguh. Senyuman saya berbunga sengeh. Ada rasa kagum bila melihat kesahajaan nota itu dilukis. Ya. Mereka belum hebat menghasilkan nota bertulis. Siapa tahu suatu hari nanti.

Nah, ini gambaran kronologi yang dilukis oleh mangsa. Beliau cuba untuk menyakinkan hal ini kepada rakan sekepalanya, Nazrul.

Nazim yang bersongkok telah dituduh cuba menumbuk Hafizan. Baru saya perasan gelagat tubuh masing-masing. Patutlah sedari tadi lagi Nazim seperti tidak tenteram emosi. Matanya mencerlang, menahan kegeraman. Masih lagi bergumpal dengan amarah dek rasa tidak puas hati. Hafizan pula berwajah keruh. Matanya berkaca-kaca menahan empangan air jernih.

Itulah, bukan mereka tidak tahu sikap Nazim yang selalu berangin satu badan. Sangat sensitif. Tetapi, 'abang songkok' itu juga yang gemar diusik dan diasap-asapkan. Berapilah dia. Sebagai gurunya, adakalanya saya sendiri cemas bila berdepan dengan baran Nazim yang sukar ditahan.

Namun begitu, Nazim tidak seagresif dan senakal berbanding yang lain. Cuma emosinya sahaja mudah berkocak kencang. Maklumlah, sedang dalam peralihan fasa akil baligh. Kawalan hormon badan belum stabil.

Sejak saya mengenali Nazim, semakin hari, semakin kurus melidi pula budaknya. Ketingginya pun sudah mengalahkan saya. Begitu juga raut kulit mukanya. Semakin ketara simptom-simptom perubahan fizikal dan fisiologikal seorang kanak-kanak lelaki menginjak alam remaja.

Baiklah. Dari hasil siasatan, nota ringkas itu menunjukkan gambar situasi Nazim mengacu ketulan penumbuknya. Alah, baru mengacu sahaja. Sebenarnya, mangsa belum sempat diapa-apakan lagi. Saya kira, ini kes ugutan. Tetapi kenapa wajah jawa Hafizan nampak kucam sekali?

Aduh!

Macam biasa, sudah berkali-kali saya menjumpai kronologi sebegini. Selalunya Nazim yang akan menunjukkan lukisan kronologinya. Berbagai situasi cerita menarik. Malah, saya pernah menjumpai lukisan mereka mengintai saya. Teruk dan agak lucu kronologinya.

Tidak senonoh betul!

Apa pun, bagi kes kali ini saya tidak mahu berkriminologi. Waktu begitu terhad hendak berbasa-basi mengadili siapa yang patut dipujuk dan siapa yang patut dihukum. Bukan masa yang sesuai untuk membetulkan hubungan yang tidak terlalu keruh. Sejam dua nanti jernihlah. Maka, adalah lebih baik menyelesaikan kes tersebut dengan cara meneruskan P&P yang tertangguh.

Minggu depan mereka akan menduduki peperiksaan akhir tahun. Sedangkan, penguasaan dan pemahaman mereka masih lemah pada yang asas-asas. Walaupun hari ini bukan main beriaya-iya faham. Sudah-sudah esok terlupa semuanya.

Mana cikgunya tidak risau.

Dalam masa yang sama, redha berbelah bahagi.

Kronologi kes semalam berakhir dengan geli hati yang dibungkus pulang bersama. Selalunya inilah antara cebisan-cebisan bahagia saya sebagai guru khas. Melayan karenah mereka dalam apa jua keadaan. Adakalanya terpaksa menjadi hakim, peguam bela, dan juga saksi yang kompeten. Boleh juga menjadi pegawai polis yang bersedia di kaunter aduan. Dan selalunya lebih kepada teman sakatan dan gurauan.

Sejujurnya, memahami murid masalah pendengaran tidaklah sesukar mana. Tidak boleh mudah menyerah kalah membetulkan salah laku mereka. Saya perlu juga berlagak seperti mereka. Dalam masa yang sama, kena pura-pura berlakon menjadi guru yang 'pekak badak'. Buat tidak tahu bagi sesuatu perkara yang tiada kepentingan. Tidak usah direncamkan.

Kerjaya ini ada digniti tersendiri. Terima sahaja cebisan-cebisan bahagia itu. Hari ini Nazim vs Hafizan. Dan tidak mustahil esok lusa akan ada pertembungan regu lain pula. Inilah namanya lawan sejam dua, akhirnya tetap kawan sampai bila-bila. Tidak ke mana andai itu takdirnya~


Nota: Dulu, Nazrul sukar menerima Hafizan dalam komuniti mereka. Selalu saja diherdik dan dibuli. Tahun ini, Hafizan sudah diterima menjadi pengikut setia Nazrul. Sekutu yang semakin sebulu.

Friday, October 15, 2010

Saat Menikmati Roti Dan Air

"Berpegang teguhlah kepada apa yang Aku berikan kepadamu dan hendaklah kamu termasuk orang-orang yang bersyukur." [al-A'raf: 144]

Alhamdulillah. Malam ini tenang. Cuaca agak baik. Tidak terlalu panas dan tidak pula terlalu sejuk. Nyaman dan sunyi. Tiada usikan angin ribut yang mendesau-desau. Kipas tetap dibuka perlahan. Sengaja saya biarkan libasan bilah-bilahnya berdesiran mengiringi alunan jiwa di kantung MP3.

Selalunya waktu malam begini paling bererti.
Lebih lapang dari siang yang sibuk mengerah. Lebih tenang dari siang yang leka melelahkan. Lebih lengang dari siang yang hingar-bingar membingitkan. Harap-harap malam ini akan merangkak perlahan menuju fajar subuh.

Lazimnya, setiap kali melangkah keluar dari rumah, saya memasang niat dan azam. Saya akan cuba untuk cepat-cepat kembali ke rumah. Bukan lagi lengah di jalanan. Bukan lagi asyik di persinggahan. Bukan lagi di mana-mana tanpa urusan dan keperluan.

Ya, sungguh nikmatnya bila sudah berada di dalam rumah. Sangat menyenangkan hati bila dapat melapangkan minda.

Namun malam ini,
jauh sekali untuk memikirkan hal belanjawan negara yang sudah dibentang. Sarat. Sejak petang tadi, terlalu banyak yang dicadang dan dibincangkan. Analisisnya berulang-ulang. Inilah hakikat belanjawan saban tahun. Bila ada yang ditambah, tentu ada yang dikurang.

Apa jua yang diputuskan, semoga kita beroleh kebaikkan dan dikurniakan keredhaan-Nya kepada kita.

Lega. Siaran TV dimatikan.

Ada bajet lain yang menerpa fikiran saya. Entah kenapa saya membayangkan jika saya hanya hidup untuk satu hari ini saja. Seolah-olah dilahirkan ke dunia seawal pagi tadi. InsyaAllah akan dimatikan di hujung malam ini. Ya, mati pada hari ini juga!

Buang tabiat?

Tidak.

Begitulah signifikannya gelap malam dan kematian. Malah, adalah lebih bijak jika dapat difikirkan selalu.

Bagaimana untuk saya berbahagi masa?

Mahu menikmati matahari dan bulan dengan sekelip mata?

Sungguh sekejap bukan?

Barangkali berbagai-bagai persepsi yang boleh diandaikan. Mungkin saya dan anda akan terfikir begini. Jika sehari yang diberi, kita hanya akan mengenal sehari itu sahaja. Tiada peluang untuk mengenali semalam dan hari esok. Tiada perjalanan panjang yang akan ditempuhi.

Maka tiadalah kita terpengaruh dengan cerah dan kelamnya masa lalu. Maka tiadalah juga kesempatan untuk kita membayangi mimpi indah dan buruk yang bakal menimpa pada masa mendatang.

Jika sekarang saya sedang menikmati roti bakar yang panas dan rangup, inilah lazatnya. Tiada lagi pengaruh roti kering dan keras semalam. Malah tiada pengaruh kelembutan dan standard roti akan datang.

Jika sekarang saya sedang meneguk air panas dan manis berkrim, inilah enaknya. Tiada pengaruh air keledak dan tawar semalam. Malah tiada pengaruh air segar dan berkhasiat akan datang.

Jika ia benar-benar terjadi untuk hari ini sahaja, anggaplah sekarang ini adalah peluangnya. Realiti untuk kita uruskan waktu dan ciptakan hari kita sebaik mungkin. Baik keseimbangan kesihatan, perkataan, perbuatan dan penghayatan juga.

Semata-mata hari ini sahaja, kita perlu curahkan segala perhatian dan usaha sesungguh mungkin. Semata-mata hari ini sahaja, kita perlu kerahkan segala kemampuan dengan apa daya yang kita miliki.

Demi hari dan saat sekarang. Inilah peluangnya. Saya perlu bersyukur dengan roti dan air yang sedang saya nikmati ini. Alhamdulillah, sedap. Jika anda di sini, mahu juga saya pelawa untuk mereguk rangup dan manisnya bersama. Hanya untuk hari ini sahaja kerana sekejap lagi saya akan dijemput 'pulang'.

Wallahu'alam, jika itu ketentuan-Nya~


Nota: Siang tadi saya terlelap saat-saat menanti bajet kerajaan. Sedar-sedar, saya teringatkan kupon dan Hari Usahawan Muda sekolah. Antara yang terlalu kedekut dan terlalu boros. Semuanya meriah berbelanja.

Sunday, October 10, 2010

Jaga Hati, Jangan Berkecil Hati

"Sesungguhnya Allah mengetahui akan segala isi hati yang tersemat di dada hambanya." [al-Ma'idah: 7]

Terlalu cepat masa berpapasan.

Belajar dan mengajar bersama murid-murid khas bukan perkara asing lagi sepanjang rutin kehidupan saya. Mengapa belajar? Bukankah guru itu hanya mengajar?

Tidak.

Bagi saya, hari-hari persekolahan juga adalah sesi pembelajaran buat diri saya. Tidak kira sama ada belajar perkara baru atau yang selalu. Sama ada ia berlaku atas dasar keperluan P&P atau kebetulan situasi. Mesti. Selagi ada kehidupan ini,
proses belajar harus berterusan.

Saya adalah guru yang belum 'pekat' ilmunya. Belum 'masak' praktikalnya. Ilmu memahami murid-murid berkeperluan khas seperti masalah pendengaran sangat bererti untuk kelangsungan pembelajaran murid ini. Mereka bukan sahaja datang dengan satu pakej kelainan upaya. Boleh jadi, berpakej-pakej keunikan masing-masing.

Redha.

Barangkali, bagi sesetengah orang, dunia pendidikan khas ini adalah syurga keseronokan yang mengagumkan. Manakala yang lain, ia adalah mimpi yang maha dahsyat. Bosan dan menjengkelkan.

Malah, ada juga yang mengecam sinis-sinisan. Seolah-olah mereka terlebih 'asam dan garam' mengenai apa itu pendidikan khas.

"Alah, jadi cikgu khas ni mudah je!"

"Untungnya korang ya. Murid sudahlah sikit, balik pun awal."

"Syok kan, senang-senang je dapat elaun khas, RM250."

"Kelas-kelas khas ni dekat-dekat je. Em, tak lencun la korang nak memanjat tangga."


Kalau diturutkan sangat hati ini, mahu juga terbakar emosi.


Benar. Ini baru provokasi biasa-biasa secara berdepan. Di belakang, entah apa lagi gugusan ketidakpuasan hati yang dibuat. Desus-desus dan suara-suara sumbang yang terbit dari hati mereka siapa yang tahu. Ah! memang rencam hidup begini. Bukan sahaja guru, makcik-makcik tetangga pun pandai bergosip tentang hal ini. Konon-kononnya, anak mereka lebih hebat as a teacher in the world.

Wah! kagum saya. Tahniah kerana anda dan anak anda juga sama hebat.

Apa pun, jalan paling selamat, senyum dan maafkan sahaja kesentengan siapa-siapa dalam menilai hal ini.

Sebaiknya, hanya lafaz hamdalah yang paling layak dibalas. Moga-moga mereka sedar dan tahu bahawa kerjaya ini adalah rahmat dari Allah SWT. Hanya yang istimewa sahaja akan terpilih bersama insan istimewa.

Anggaplah mereka tidak tahu menahu akan tugas dan tanggungjawab guru khas mencapah lebih dari apa yang mereka sangkakan. P&P guru khas bukan untuk mengejar dan mengumpul jumlah A. Keperluan murid khas bukan semata-mata meraih kecemerlangan di atas kertas. Jauh sekali untuk menggegarkan prestasi akademik sekolah ke tahap yang membanggakan.

Wahai abang kakak, pakcik makcik, mengajar murid khas adalah sangat berbeza. Tidak ada misi guru-guru khas untuk berkejaran menghabiskan sukatan silibus mereka sebagaimana keperluan murid aliran perdana. Kandungan sukatan pendidikan khas juga perlu diselaraskan dengan mengambil kira situasi murid. Bahkan, tahap akademik dan sahsiah murid khas sangat berperanan dalam menentukan hala tuju P&P.

Saya akui, adakalanya P&P akan bertukar kepada aktiviti santai yang lebih memberi manfaat, praktikal dan berfungsi untuk murid. Itu belum dikira jika tiada seorang pun murid kelas berkenaan yang hadir pada hari tersebut. Hal ini bukan sengaja atau sesuka hati supaya dapat 'mencuri tulang'. Wallahu'alam, lain individu lain niatnya.

Maka...


Apa yang anda perlu tahu, apabila lain murid, lain keperluannya.

Sudah tentu, apabila lain guru, lain keistimewaannya juga.

Tetapi, apa lagi yang tidak kena?


Banyak yang tidak kena kerana ramai sangat orang dewasa tetapi tidak berfikiran ranum. Apakah ini cara 'ketuaan' mereka menilai? Sikap membanding beza hanya akan membuatkan ada hati-hati yang akan mula berbuah dengki dan iri hati. Sikap tidak bersyukur hanya akan menjadikan ada hati-hati yang serba tidak tenteram dengan keistimewaan orang lain.

Barangkali mereka cuma pandai menilai kedudukan dan tugasan orang lain. Mereka setakat tahu menimbang berat ringan bebanan mereka. Hakikatnya, dari satu sisi lain, mereka tidak merasa cabaran sebenar yang kami hadapi.


Bebanan dan cabaran adalah dua perkara yang sangat berbeza.

Ya, berbeza sama sekali.

Justeru itu, untuk meneruskan kehidupan yang masih panjang ini, jadilah guru khas yang tidak mudah berkecil hati. Di samping itu, didiklah diri untuk menjadi guru yang pandai menjaga hati orang lain.

Sebagai guru khas, sikap menjaga hati murid khas adalah asas latihan buat diri saya. Bagaimana saya berkomunikasi dan bertingkah laku adalah penghargaan buat mereka. Ya, sekalipun ada murid-murid saya yang tidak dapat mendengar dengan baik. Saya perlu menghormati dan menganggap mereka seperti biasa.

Sebaik mana pun sistem auditori yang Allah pinjamkan ini, mereka juga mempunyai perasaan inferioriti yang tinggi.
Saya selalu yakin, air muka dan reaksi mereka cukup mengatakan mereka sentiasa mendengar bisikan dari hati saya. Mereka mahu memahami apa yang saya rasa dan anda perkata tentang guru mereka.

Alhamdulillah. Semakin hari, semakin bahagia menjadi guru khas. Namun,
kebahagian yang diberi tidak akan lekang diiringi dan disusuli seribu satu ujian. Semoga saya tidak mudah lupa diri untuk terus bersyukur dan bersabar. Bukan sahaja kuat ilmu dan tajam minda, malah kuat emosi dan kukuh keimanan.

"Ya Allah, jagalah hati ini supaya dapat menjaga hati-hati insan lain di samping tidak mudah berkecil hati. Amin Ya Rabbal 'Alamin."
~

Nota: Setiap murid perlu ditangani dengan kaedah yang berbeza. Begitu juga dengan individu-individu di sekeliling kita. Ada yang perlu dijentik telinganya. Ada juga yang perlu dijentik hatinya.