Showing posts with label al-kisah. Show all posts
Showing posts with label al-kisah. Show all posts

Friday, January 21, 2011

Sila Ambil Kesah!

“...Oleh itu mahukah kamu berhenti daripada melakukan perkara keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil?" [al-Ma'idah: 91]

Pernahkah anda terlihat kelibat papan notis sebegini?

Sungguhpun nampak uzur bersopak, tetapi ia tidak jemu-jemu berhujan berpanas di situ. Taat terpampang memberi peringatan kepada yang 'jenuh taat'. Dan hanya yang 'tunggul' sahaja melihat ia tidak lebih dari sekeping papan tunggul semata-mata.

Tidak membawa makna apa-apa.

Bagi mereka, jika MDSB hendak menambah sepuluh papan notis lagi pun mereka tidak kesah. Taja dan pacaklah. Mereka tidak heran dan hairan. Apa yang mereka lebih kesahkan adalah habuan. Habuan 'mudah' untuk menjayakan harapan mereka yang melangit.

Justeru, 'langganan nasib' inilah sebahagian dari habuan (jika mengena) dalam memburu segala bentuk impian-impiana mereka itu. Kalian tahu? Kereta dan kediaman mereka belum cukup mewah dan besar. Pangkat mereka belum cukup gah untuk diwar-war. Harta dan pengaruh mereka belum cukup kukuh untuk membina empayar.

Pendek kata, serba-serbi belum cukup untuk mengajar mereka erti syukur.

Oleh yang demikian, ada MDSB mahu kesah dan tolong cukupkan?

Fikir saya, kalaulah papan notis ini boleh bersuara lantang, tentu nada sinikalnya berbunyi begini...

"Tidak mengapa. Aku mahu kesah. Aku pelik dengan Melayu
. Dan aku lagi jelek dengan Melayu bernama Islam. Semangatnya kuat, tetapi selalu tidak bertempat. Semakin berpangkat, berilmu, entah kenapa semakin dungu. Pandai baca Rumi Jawi, sayang sekali tak faham bahasa. Hish, memalukan agama dan kerjaya sahaja. Kau tolong tegur-tegurkan mereka. Mereka itu bukan siapa-siapa. Suku-sakat seangkatan, rakan taulan kau juga."

Astaghfirullah. Saya mengucap panjang. Sungguh sama sekali saya tidak menyangka. Terasa seperti ditibai sama.

Ya. Memang ada betulnya. Islam itu agama peduli dan ambil berat. Agama yang bersifat mengambil tahu. Tetapi perlu kena dengan caranya. Dalam mengambil kesah kita harus berpegang pada asas tahassus. Saya ulang, tahassus ya. Dan bukannya tajassus.

Lihat kembali pada dasar niat kita. Adakah soal mengambil berat ini demi kebaikan seseorang? Atau adakah sebaliknya, sekadar mahu menjatuhkan seseorang? Sejujurnya, tradisi tajassus inilah yang sering saya temui. Selalu terhidu. Pelik dan sangat jelek!

Baiklah. Tetapi mengapa perlu kepada tahassus?

Rasionalnya, bukankah Allah SWT tidak menjadikan manusia ini berdiri tunggal tidak berhajat kepada manusia lain. Siapa tahu, takdir Allah Taala selalunya tidak mustahil.

Esok lusa dibuatnya si fulan bin si fulan ini menjadi sebahagian dari keluarga saya. Barangkali bapa mertua atau sedara-mara saya. Bukankah, pada masa itu saya juga yang haru-biru. Terdiam membisu.

Tentu. Sedangkan hubungan yang sekarang ini pun saya sudah terasa malunya.

Maka, sila ambil kesah!

Berkatalah yang benar walaupun pahit. Sekalipun yang benar itu bisa merentan hati yang dikesahkan. Mohon pada-Nya, Rabbuna yusahhil~

Nota Eksklusif:
1. Sila jauhi melanggan nasib. Ia bukan sahaja suatu kesalahan. Suatu keaiban juga.

2. 'Man jadda wa jada wa Man zar'a hasoda wa Man kasal fa shala'. Boleh? (Signifikan bukan sahaja untuk orang Islam).



Thursday, June 24, 2010

Hampir Hilang Siuman

"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.” [ali-Imran: 8]

Ini bukan cerita seorang cikgu menghempas kerusi ke kepala anak muridnya. Jauh sekali cerita kekasih menikam bekas kekasihnya. Malah, tiada kaitan dengan sindrom skizofrenia yang pernah melanda amukkan bekas komando, Rambo, Ronaldo dan Sarip Dol.

Hehe, tapi siapa pula yang mengamuk?


Sebelum itu, sila ambil perhatian. Artikel di dada kanvas MyHumairaKu ini bukan sengaja ditulis secara membuta-tuli. Bukan sembarangan untuk mengaibkan sesiapa. Maafkan saya, andai terdapat gelaran yang tidak muluk-muluk buat si fulan dikiaskan di sini.

Al-kisahnya...


Hari ini, entah dari mana kuasa strike Ultraman Cosmos telah menyinggah ke dalam diri muslimah saya. Kejadian 'ala amuk' yang tidak pernah saya jangkakan berlaku. Semuanya gara-gara si fulan yang berjaya menggoncang kewarasan akal saya. Hampir-hampir saya bertindak seperti orang hilang siuman.

Ya, hilang siuman seketika!

Barangkali kesan psikologikal lampau. Kesan rimas yang terpaksa ditahan-tahan. Kesan isu lapuk yang kembali meruncing. Maklumlah, sudah setahun saya berdiam diri tanpa sebarang tindakkan. Tanpa sebarang amaran. Berkali-kali itu juga kebaikkan dan kompromi saya disalahguna. Diambil kesempatan.

Sungguh setahun itu terlalu panjang tempohnya. Sebaliknya, peluang dan kesempatan untuk tidak mengulangi kesilapan seperti disia-siakan. Siapa yang tahu, dalam tempoh ini juga saya hanya diam memendam rasa. Maka, secara automatiknya 'bom jangka' saya mula menghitung detik. Hanya menanti masa untuk meletup.

Fikir saya, tidak perlu sampai bom mengebom. Sebolehnya, biarlah duduk bersemuka ini menemui jalan penyelesaian. Selesai dengan aman dan damai. Ini bukan proses mahkamah. Tiada hakim selayaknya. Tidak perlu junjung menjunjung al-Quran. Yang ada pun, cuma fakta dan auta. Selebihnya, hanya penyaksi-penyaksi bebas yang hebat mengomel di belakang. Bila di depan, semuanya kecut menunduk.

Ada juga si fulan-si fulan yang sempat membuat permintaan agar nama mereka tidak disebut. Tetapi tidak mengapa jika itu kehendak masing-masing. Cuma, bukankah menyampaikan kebenaran merupakan sesuatu yang wajib? Sekalipun sangat pahit untuk dinyatakan. Sedangkan ia juga selaras dengan firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

"Dan jangan kamu menyembunyikan keterangan sebagai saksi dan sesiapa yang menyembunyikannya, adalah orang yang busuk hati." [al-Baqarah: 283]

Baiklah, berbalik kepada misi ultra. Di awal 'muqabalah', peluang mempertahankan diri kedua belah pihak agak terkawal. Alhamdulillah, putar belit si fulan masih mampu saya patah-patahkan dengan rasional. Namun, sudah fitrah seorang wanita, adakalanya emosi saya menyekat-nyekat nafas. Kelu juga mahu menyusun kata dan fakta. Bahasa dan intonasi saya pula semakin bersepah.

Akhirnya, kuasa ultra saya mula berkelip-kelip lampu amaran. Situasi kian mendesak. Adrenaline saya terasa mengalir kencang. 'Bom jangka' tidak dijangka. Detik dan terus berdetik laju. Adalah lebih baik saya tidak membuang masa lagi. Mahu baling kerusi? Baling meja? Angkat penumbuk? Angkat sniper? Itu melulu sedungu namanya.

Dengan kewarasan akal yang hampir mencecah tahap minimum, peti suara saya gegar menyaring. Gulungan pengajaran segera dibuat supaya si fulan ini tidak melalut lagi. Pengajaran itu ditegas berkali-kali. Biar ia tersemat. Biar ia menjadi pedoman kalau-kalau si fulan ini teringin untuk menjadi tupai buat kali kedua. Sekali pun bukan di dahan pokok, melompat di atas anak tangga juga besar risikonya.


Selesai. Bom jangka saya selesai meledak!

Saya bingkas bangun meninggalkan kepulan asap berpual-pual di situ.

Untuk makluman, si fulan ini adalah spesis 'buaya tua' yang selayaknya dipanggil abi.
Di sekolah, dihormati sebagai murabbi. Di luar, disegani sebagai tok kadi. Kalau terlalu tebal dompet berisi, elok nikahkan sahaja anak-anak sendiri. Ini dia pula teringin beristeri lagi.

Hendak dihitung bab mohon maafnya kepada saya, memang tidak henti-henti. Dari tanah air hingga ke tanah suci. Makin saya jauhi, makin dia meniti ke mari. Meniti dengan pembaharuan strategi. Tetapi sayangnya, sukar menjadi. Senyap-senyap, ada hati hendak menjadi keladi. Konon-konon keladi sejati. Ala-ala Dato' K memikat Siti. Ala-ala Bung Mokhtar menawan Zizie Ezzete. Huh, geli!

Bila dibiarkan dia bertepuk tangan seorang diri, tergamak pula saya yang disalahi. Ya, asalkan dia dapat menutup keaiban peribadi. Siapa yang tidak panas hati dengan drama swasta garapan 'pak aji' ini. Barangkali sehebat telenovela bersiri yang pernah ditayang di kaca TV. Atau yang pernah anda saksikan secara realiti. Hehe...

Apa pun isunya, mendedahkan kesalahan orang lain bukanlah hal yang utama. Saya tidak berhasrat ke arah itu. Betapa keimanan saya juga ada pasang surutnya. Marilah kita sama-sama mendoakan agar si fulan ini kekal beristighfar. Harap-harap, dia akan insaf beristiqamah sampai ke mati.

Ya Allah, tetapkanlah juga iman kami~

Nota:
1. Astaghfirullah, saya sudah pandai berkata menyampah berkali-kali.

2. 'Buaya tua' lebih banyak asam garamnya. Lebih berusaha berbanding 'buaya muda' yang mudah berputus asa.

3. Pada kalian yang sedia maklum, tidak perlulah kepoh bersok-sek. Artikel ini dimaju bukan untuk disensasikan seperti rancangan Melodi atau Galeksi.


4. Sentiasa berhati-hati dengan berita yang disampaikan oleh golongan fasik. Golongan yang diragui akan keimanan dan keadilannya.

Sunday, April 25, 2010

Hikayat Tun Dara Puteri Kayangan

Diam memekak menuli, membisu menyepi tiada bererti akan kalah mati

Arakian, tersebutlah sebuah kisah yang julung-julung diceritera, bahawasanya Tun Dara yang asal usulnya diketahui ramai, puteri kedua Tun Mansor Shah dari negeri seharum manis, Indera Kayangan, Paris.

Adapun juga ramai tiada ketahuan bahawasanya Tun Dara sedang dalam dilema untuk beberapa perkara yang dihajatinya berserta kaum keluarga, teman serapat. Betapa gundah gulana akan hati Tun Dara tiada terperi. Waktu belum habis dihitung, pantas memintas juga ia berlalu pergi...

Akhirnya, setelah sidang senat bermusyawarah, sayugia dikhabarkan buat bapak-bapak, kakek-kakek, tuan dan puan sekalian. Adapun tanpa mengira kembang kempis, gelap gebu, kecut kental, lurus rencong, jantan betina, celik buta, tuli cacat, tempang dengkot, bulan dacing dan tidak tertinggal barang seorang pun yang berlabuh ke mari.

Dengan penuh kerelaan, kebijaksanaan dan berhikmah, Tun Dara sedia menyatakan akan maksud perutusan dan hajat keberanian hati, jantung berserta limpa bagi menangguhkan keputusan yang mendesak dirinya.

Ya, setelah setuju sepakat, sebulat sesuara tanpa hasutan serasuah, nafsu serakah, dendam sekesumat, adanya akan sebab musabab kecil semata-mata. Begini sebabnya diyakini Tun Dara. Rupa-rupanya, terus-terusan lintasan wajah-wajah polos di atas sedikit sebanyak membuatkan batang tubuh Tun Dara tiada tergamak melangkah pergi.

Sunguh-sungguh Tun Dara pekenan mengalah. Lalu, Tun Dara lolos untuk segera merencanakan apa yang sulit dan rencam. Perutusan sejujur ini tiada ketinggalan menjadi pucuk pengetahuan akan restu redha bondanya di Kayangan sana.


Kuasa cinta apakah yang mereka pertaruhkan buat Tun Dara?

Hebat sekali. Bagaikan sakti! Hehehe...

Adapun juga kedapatan, Tun Dara tiada sempurna atau sebaik seperti yang orang lain ramalkan. Kelemahan ketara dalam diri Tun Dara ialah Tun Dara seorang yang mudah perasa. Sensitif. Sejujurnya, Tun Dara sedia mengakui tentang itu.

Waima, ia sekadar tindakkan atau kata-kata yang menyakitkan hati. Kata-kata yang berinspirasi atau apa sahaja yang mencuit geletek hatinya. InsyaAllah selagi diizinkan, ia akan sangat jelas dalam ingatan Tun Dara untuk dijadikan sebagai teladan dan sempadan.


Barangkali, dengan rasa sensitif ini, Tun Dara harap Tun Dara lebih mampu memahami jiwa wajah-wajah polos sebegitu. Dengan rasa sensitif ini, Tun Dara berharap juga akan lebih memahami tuntutan besar sebagai seorang muaddib. Bukan siapa-siapa untuk perkara yang tiada signifikannya.

Sekian, adanya dengan limpah rahmat, Tun Dara masih ampuh melara rasa~

Nota: Sementelah, Tun Dara getik akan wajah-wajah 'polos' seperti Tun Pura-Pura Menggula dan Tun Pura-pura Menyibuk yang hakikinya cukup hipokrit bermuka-muka. Harus waspada!

Saturday, February 20, 2010

Saya Belum Boleh Berkahwin

Anak kecil ingin segera dewasa, orang tua ingin kembali muda... alahai

Al-kisahnya kenapa saya belum boleh berkawin. Barangkali entry trivia kali ini dapat membantu anda. Terutamanya untuk makluman 'wartawan-wartawan' yang sering mengajukan soalan cepu emas versi lama. Soalan kenapa saya belum berkahwin? Soalan bila saya hendak berkahwin? Dan soalan siapa lagi yang saya tunggu-tunggu?

Wah, ini tanda prihatin!

Cuma untuk dilain kalinya, kalau hendak menerjah soal, apa kata ubahsuailah sikit method pertanyaan kalian. Barulah bersemangat hendak menjawab.

Sungguhpun nampak typical, tetapi tidak mengapa. Saya kira anda masih beretika dan tidak agresif menyoal yang bukan-bukan. Semuanya boleh diterima akal. Makanya, saya sedia berkongsi rahsia ini. Komentar peribadi daripada seorang teman aka tuan penasihat yang sangat jujur budaknya.


Acap kali datang mengaji, Harith gemar berlama-lama di rumah saya sehingga melewati waktu Isya'. Ada-ada sahaja yang hendak dibuatnya. Hendak mengajak saya berboraklah. Melukis dan menulislah. Segala macam barang saya teringin digodamnya. Kebetulan saya pula 'kaki layan'. Tercuit juga dengan gelagatnya yang bersahaja.

Gaya budak bandar yang baru balik bersekolah di kampung. Semangat mengajinya jenuh dipujuk. Di depan muqaddam selalu beralasan mengantuk, lapar, bosan dan sebagainya.


Pernah sekali bonda saya menasihatkan dia supaya dia tidak berlama-lama setelah selesai mengaji. Maklum sahaja, ustazah Harith ini berstatus anak dara. Kalau hari sekolah, banyak kerja yang hendak dihadap. Tambah lagi, ustazah mahu tidur awal. Sengaja bonda saya memujuk Harith dengan mencipta alasan-alasan sebegitu.

Harith mengangkat kening kepada saya. Tanda well!

Agaknya Harith sudah terlupa apa yang neneknya (bonda saya) sebutkan. Di hari yang lain, dia kembali menyoal. Istifham budak sekecil Harith pun boleh tahan jugak. Lagak dan petah budak berumur 6 tahun ini sama seperti kawan saya yang seusia sebelia.

"Ustazah, kite nak tanya la." Pandangannya lebih tertumpu kepada mainan di tangan. Bibir mugil itu pantas mengomel.

"Hah, tanyalah." Saya membenarkan. Sambil tangan saya terus menyapu sampah. Jeling-jeling, mata saya mencuri pandang.

"Hish, kita tak faham la...ustazah ni kan dah kahwin ke belum ya? Kat tingkat atas tu ada suami ustazah ek?" Harith terus menjama'kan soalan cepu emasnya.

"Haa, kenapa tanya?" Hati saya sudah menggeli. Jawapan disimpan dan melipat dengan soalan balas.

"Hmm...takde pape la. Kite tanye je" Harith menjawab ringkas. Mata kami berpandangan. Malu-malu dia hendak meneruskan perbualan.

"Ustazah belum kahwin la. Hah, ada soalan lagi ke da habis ni?" Saya masih menahan ketawa tetapi berlagak selamba.

"Takde la. Kita rase kan...takyah la ustazah kahwin lagi (dulu)." Bukan main bersungguh dia menasihatkan saya.

"Yealah. Tapi kenapa belum boleh kahwin?" Saya sengaja mengorek maksud isi hatinya.

"Yealah. Ustazah kan kecik lagi. Kite rase, tunggulah besar dulu. Haa, baru boleh kahwin!" Tanpa berselindung, Harith melontarkan nasihat.

"Oh! Betul jugak yek." Saya membenarkan jawapannya tetapi bukan mengangguk. Sebaliknya menggelengkan kepala.

Aduh, beginikah penilaian seorang budak kecil. Sesuka hati sahaja menasihatkan orang dewasa. Mentang-mentanglah fizikal saya ini agak 'remaja' di pandangannya. Apa pun, saya tetap menghargai usul 'Hang Nadim' itu.

Tersenyum berbunga-bunga. Dalam hati berdesis, wah, berdampingan dengan anak-anak murid barangkali 'memudakan' saya!


Tanpa menahan lagi, saya terus tergelak besar. Look, kids always say the darndest things! How cute ini budak! Sangat geliga! Sesuai sekali kalau dilantik menjadi 'PR' saya~

Nota:
1. Saya belum boleh berkahwin dan bukan bererti saya tidak ingin bernikah. Adakalanya, situasi semasa menyebabkan kemahuan dan kemampuan agak terbatas.

2. Semestinya bernikah itu satu keperluan. Sebahagian tuntutan sunnah. Tetapi ada yang lain lebih berhak untuk didahulukan. Bukan sunnah, sebaliknya kewajiban saya yang maha utama.


Tuesday, January 19, 2010

Cerita Lama Dimurnikan Kembali

"Dan boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu." [al-Baqarah: 216]

Al-kisah cerita lama dimurnikan kembali. Inilah sejarah pertama kanvas MyHumairaKu menukar tiga 'hidangan' posting berlainan di atas 'meja' entry yang sama. Pada pengunjung yang menyedarinya, abaikan sahaja persoalan anda. Saya mohon maaf atas kesulitan yang tidak disengajakan.


Sepanjang dua minggu persekolahan 2010 berlalu, saya kira ada sesuatu yang baru dalam perjalanan hidup ini. Kunjungan kerja yang semakin bersusun sukar ditolak. Apatah lagi kehadiran peristiwa yang silih berganti. Semacam mimpi sahaja. Hakikatnya bukan kebetulan. Tetapi ketentuan untuk mewarnai ambang 2010 saya. Sudah pasti, tiada yang sia-sia, melainkan ada hikmah-Nya kan? Saya fikir, terima sahaja dengan senyuman, beri juga dengan senyuman. Mudah-mudahan yang digalas itu terasa ringan tidak terbeban. InsyaAllah...

Tahun ini...

Saya melihat rata-rata rakan blogger rajin betul menukar templete di blog masing-masing. Makanya, berkat sedikit cemburu, kanvas saya juga berjaya membuahkan perubahan. Keinginan ini telah lama tersemat. Akhirnya kerja-kerja menukar 'wajah' mampu dilakukan sedikit demi sedikit. Seronok juga belajar 'mengodek' blog. Biarpun peluang mengadap cuma di celah-celah kesibukkan. Nampaknya, banyak lagi 'term-term xml' yang teringin saya tahu dan tanya pada kawan-kawan. Diharap, tolong bersedia untuk sudi berkongsi ilmu. Hehe...

Bulan ini...

Ramai sungguh sahabat saya yang menyambut ulangtahun kelahiran. Meriah betul. 'Sannah Helwah' buat semua sahabat yang dirindui. Hendak mengucap satu persatu, takut pula langsung terlupa. Moga kalian sentiasa dalam keredhaan Allah SWT. Tidak ketinggalan, sekalung takziah bersama butiran doa buat sahabat yang telah 'jauh pergi' menemui Ilahi... Ustaz Hidayatus Saufi. Terakhir kelibatnya pergi bersama status 'kita bertemu di penghujung rindu'. Al-Fatihah~

Thursday, December 18, 2008

Aisyah Gadis Merah Jambu [Qishshotun 2]


"Lembar demi lembar kutelusuri pesona peribadinya. Hati yang kagum ini selalu tergerak untuk berupaya mengikuti Ash-Shiddiiqah Binti Ash-Shiddiiq. Si Gadis Merah Jambu... special like 'tsarid'!", the true story dari saya yang hanya seorang Aisya Humaira.

Gambar sekadar hiasan
[...sambungan qishshotun 1]
Rumah yang didiami Rasulullah SAW bersama Sayyidatina Aisyah r.a bukanlah sebuah istana yang megah dan besar. Rumah yang baginda tempati bersama isteri-isteri beliau lebih tepat dikatakan sebagai bilik-bilik kecil di perkampungan Bani Najjar di sekeliling Masjid Nabawi. Bilik Sayyidatina Aisyah r.a terletak sebelah timur masjid. Pintunya pula di sebelah barat bilik Sayyidatina Aisyah r.a terletak dalam Masjid Nabawi sehingga masjid itu seakan-akan menjadi serambi ruangan.
Rasulullah SAW biasa memasukkan kepala Baginda ke bilik Sayyidatina Aisyah r.a sementara baginda beriktikaf di masjid. Pada saat itu, Sayyidatina Aisyah r.a pun menyisir rambut Baginda [HR Bukhari dan Muslim]
Perabot-perabot yang ada di rumah Rasulullah SAW hanyalah tempat tidur dan sehampar tikar juga sebiji bantal dari kulit yang diisi sabut. Beberapa helai kulit yang digantung, geriba tempat air minum, bejana untuk menyimpan air dan kurma serta sebuah mangkuk untuk meminum air. Langsung tidak memiliki lentera duniawi. MasyaAllah... sedangkan kita hari ini hidup lebih sempurna dari itu. Namun masih ada yang tidak tahu bersyukur.
Sayyidatina Aisyah r.a begitu cinta pada Rasulullah SAW. Sehinggakan jika dia tidak menemui Baginda di sampingnya pada malam hari gilirannya, dia akan merasa gelisah. Sayyidatina Aisyah r.a menuturkan bahawa, "Suatu malam, aku tidur di sisi Rasulullah SAW. Malam telah larut ketika aku terbangun dan aku tidak menemukan beliau di sampingku. Saat itu rumah-rumah tidak berlampu. Aku bergerak meraba-meraba dalam gelap. Tiba-tiba tanganku menyentuh kaki Baginda yang tengah bersujud. Dalam sujud itu, Baginda berdoa," Ya Allah, aku berlindung kepada redhaMu dari murkaMu. Aku berlindung kepada perlindunganMu dari seksaMu. Aku berlindung kepadaMu dari diri
Mu. Tidak bisa kuhitung pujian untukMu. Engkau adalah sebagaimana Engkau puji diriMu sendiri" [HR Muslim, Malik, Abu Dawud, Tirmidzi dan Ibnu Majah]
Special like 'Tsarid'

Tsarid ke ni...

Rasulullah SAW sangat sayang kepada Sayyidatina Aisyah r.a. Memanglah Sayyidatina Aisyah r.a wanita yang cantik jelita. Tetapi Sayyidatina Aisyah r.a juga wanita yang bijak dan cergas. Walaupun usianya masih muda, dia rajin dan cepat mempelajari sesuatu. Dari Anas bin Malik radhiallahu ‘anhu berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
"Keutamaan Aisyah atas wanita-wanita lain adalah seperti keutamaan tsarid (bubur daging dan roti) atas makanan yang lainnya." Tsarid adalah sejenis makanan yang paling istimewa ketika itu.
Kecintaan Rasulullah kepada Sayyidatina Aisyah r.a melebihi kecintaannya kepada isteri-isteri Baginda yang lain. Pada suatu ketika Rasulullah SAW ditanya, "Siapakah orang yang paling engkau cintai?", maka beliau menjawab, "Aisyah".
Hal ini didasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Amr bin ‘Ash, dimana dia datang kepada Nabi seraya bertanya,"Wahai Rasulullah SAW, siapakah orang yang paling engkau cintai?", beliau menjawab, "Aisyah". Kemudian Amr bin Ash bertanya, "Siapakah orang lelaki yang paling engkau cintai?", beliau menjawab, "Bapaknya (Abu Bakar)". Dia bertanya, "Kemudian siapa lagi?", beliau menjawab, "Umar", yakni Ibnu Al-Khathab, semoga Allah meredhai semuanya.
Ini pula keadaannya ketika mula-mula berpindah ke rumah Rasulullah SAW. Sayyidatina Aisyah r.a membawa permainannya, kerana kelakuannya yang masih keanak-anakan. Suatu hari ketika Rasulullah SAW sampai ke rumah, dilihatnya Sayyidatina Aisyah r.a sedang bermain. Lalu Rasulullah SAW bertanya:
"Apakah itu ya Aisyah?"."Ini adalah kuda nabi Sulaiman", jawab Sayyidatina Aisyah r.a.
"Sayap apakah itu?", tanya Baginda lagi.
"Ini adalah sayap kuda. Bukankah kuda nabi Sulaiman ada sayap untuk membolehkannya terbang?", jawab Sayyidatina Aisyah r.a.
Jawapan Sayyidatina Aisyah r.a yang bersahaja dan agak melucukan itu membuat Rasulullah SAW ketawa.
Pada suatu hari yang lain pula, ketika Rasulullah SAW sampai, Baginda mendapati Sayyidatina Aisyah r.a sedang tidur. Sedangkan seekor kambing memakan roti di dalam rumah. Rasulullah SAW ketawa melihat keadaan itu. Baginda lalu membangunkan Sayyidatina Aisyah r.a dengan perlahan-lahan.
Rasulullah SAW memang selalu berlemah-lembut terhadap Sayyidatina Aisyah r.a kerana dia masih terlalu muda. Oleh itu, Rasulullah SAW memberinya kesempatan dan peluang untuk mempelajari dan memperbaiki diri.
Begitu banyak keutamaan dan kemuliaan yang dimilikinya. Semoga setelah membaca kisah pada qishshotun kali ini, hati kita akan tersentuh dan semakin menambah rasa cinta kita kepada Gadis Merah Jambu ini.
Terlalu banyak keutamaannya, sehingga hanya sebahagian kecil sahaja yang mampu saya ceriterakan.
Al-kisah 'black girl' berimej merah jambu berakhir di sini...insyaAllah temui anda pada qishshotun akan datang. Jangan lupa ikuti! [wah, macam Aisyah GMJ The Movie pula]... Assalamu'alaikum WBT~
*** Terima kasih kepada penyumbang rujukkan dan sahabat yang menghadiahkan buku kepada penulis. Kebaikkan kalian, hanya Allah SWT sahaja mampu membalasnya.

Monday, December 15, 2008

Aisyah Gadis Merah Jambu [Qishshotun 1]


"Lembar demi lembar kutelusuri pesona peribadinya. Hati yang kagum ini selalu tergerak untuk berupaya mengikuti Ash-Shiddiiqah Binti Ash-Shiddiiq. Si Gadis Merah Jambu... the true beauty!", the true story dari saya yang hanya seorang Aisya Humaira.

Gambar sekadar hiasan
Sayyidatina Aisyah r.a adalah salah seorang wanita yang amat terkenal dalam Islam. Namun, popularitinya tidak sehebat
celebrity mininovela hasil kerjasama produk penjagaan wajah Fair & Lovely itu. Darjat mulianya, amal dan karyanya cuma nyata dan ketara hanya pada yang mengetahuinya.
Dia dilahirkan di Makkah, kira-kira 9 tahun sebelum Hijrah. Sayyidatina Aisyah r.a adalah anak kepada Ummu Ruman binti Amir. Ibu Sayyidatina Aisyah r.a merupakan seorang wanita yang pintar dan cergas. Malah ibunya juga adalah antara wanita yang awal memeluk Islam.
Bapa Sayyidatina Aisyah r.a pula terkenal kerana dialah lelaki pertama yang memeluk Islam. Di samping itu, Abu Bakar juga sahabat nabi paling disayangi oleh Baginda. Abu Bakar seorang yang sangat lemah lembut, bijaksana dan berharta.
Sayyidatina Aisyah r.a mempunyai seorang adik beradik kandung iaitu Abdul Rahman. Sedangkan Asma’ adalah kakaknya dari ibu yang lain. Melalui ibu bapa yang terkenal, mulia dan berakhlak terpuji ini, Sayyidatina Aisyah r.a mewarisi sifat-sifat kedua ibu bapanya. Bapanya terkenal dengan panggilan Abu Bakar as Siddi.
Sayyidatina Aisyah r.a pula dipanggil Aishah Siddiqah. Didikan sempurna yang diterima oleh Sayyidatina Aisyah r.a menjadikan dia cergas, pintar, fasih dan kuat keimanannya kepada Allah SWT.
Kerana wahyu, aku isterimu.
Dari Aisyah radhiallahu ‘anha, ia berkata: Rasulullah SAW pernah bersabda:
"Tiga malam aku bermimpi melihat kamu. Malaikat datang kepadaku menghantarkanmu dengan memakai sepotong baju sutera seraya berkata: Inilah istrimu. Ketika aku buka wajahmu, ternyata itu memang benar-benar kamu. Lalu aku katakan: Kalau itu memang datang dari sisi Allah, maka Allah pasti akan menjadikannya kenyataan."
Setelah Rasulullah SAW kematian isterinya, Sayyidatina Khadijah r.a, Rasulullah SAW berkahwin dengan Sayyidatian Aisyah r.a. Ketika itu Sayyidatina Aisyah r.a berusia 9 tahun. Perkahwinan itu berlangsung pada bulan Syawal, 2 tahun sebelum Hijrah.
Dikalangan orang-orang Arab, ketika itu perkahwinan antara pasangan yang jauh beza usia adalah tidak dianggap pelik atau luar biasa. Iklim Arab yang panas menyebabkan
physical changes yang cepat pada anak-anak perempuan termasuk Sayyidatina Aisyah r.a. Di samping kelebihan dan potensinya untuk mengembangkan kemampuan intelektual. Karakter ini disebut precocious yang bermaksud menjadi dewasa lebih cepat dari usia
.
The true beauty without
Fair and Lovely.
Fair and Lovely GMJ TV9
B
iar pun precociousnya gadis itu, Imam Al-Tabari meriwayatkan bahawa isteri Abu Ishaq pergi ke rumah Aisyah Ummul-Mukminin, puteri Rasulullah s.a.w. Pada waktu itu rupa parasnya sangat jelita. Sudah tentu the true beauty itu tanpa calitan Fair and Lovely. MasyaAllah... Beliau lalu bertanya kepada Aisyah mengenai hukum seorang wanita yang membuang bulu-bulu yang terdapat di dahinya untuk tujuan menambat hati suaminya. Sayyidatina Aisyah r.a menjawab:
"Hapuskanlah kejelekan yang ada pada dirimu sedaya yang kamu mampu."
Menghilangkan sebarang tanda yang menjelekkan pandangan di badan, termasuk muka seperti jerawat, jeragat dan bintik hitam, adalah dibenarkan sama ada wanita sudah bersuami atau sebaliknya. Tetapi sebarang produk kecantikan itu mestilah yang disahkan halal materialnya.
Dalam keghairahan wanita mencantikkan wajah untuk menambat hati suami atau sebagainya, jangan sampai terkeluar daripada sempadan yang digariskan oleh syarak kerana kecantikan bercanggah dengan syarak akan menggadaikan diri sendiri.
Sekian dahulu al-kisah penulis 'black girl' berimej merah jambu. InsyaAllah, sama-sama kita 'mengikat' hati dengan kehebatan Aisyah Gadis Merah Jambu di entry qishshotun 2... Assalamu'alaikum WBT~
*** Terima kasih kepada penyumbang rujukkan dan sahabat yang menghadiahkan buku kepada penulis. Kebaikkan kalian, hanya Allah SWT sahaja mampu membalasnya.

Sunday, December 14, 2008

"Gadis Merah Jambu"


"Wah, cerita apa tu mak? Tak kenal pun!", saya bertanyakan pada mak tentang topik yang dibincangkan oleh pelakon-pelakon jemputan itu. Bunyi macam menarik, teringin juga hendak mengambil tahu.

"Laa... dah habis colour lain ka nak letak tajuk dia?", saya kembali memprovok mak tentang tajuk drama bersiri itu. Kalau gadis mawar mungkin saya boleh terima. Sedikit geli hati kerana dalam fikiran saya terbayangkan kartun pink panther.

Gadis Merah Jambu vs Pink Panther

Gadis Merah Jambu? Aduh! Saya serasa pelik dengan tajuk drama bersiri yang ditayangkan di saluran TV9. Jangan katakan tidak puas hati dengan tajuknya, pelakon-pelakon cerita berkenaan pun saya tidak kenal. Sari Yanti? Fizow Omar? Asing... asing...
Maklumlah, saya ini bukan 'kaki' TV. Dari dahulu lagi, saya cuma memilih masa dan siaran-siaran tertentu sahaja untuk ditonton. Bila bercerita tentang perkembangan drama di TV atau pelakon-pelakon baru, memang saya mengaku naif. Pendek kata, tidak perlu masuk campur atau mencelah jika ada ruangan sembang-sembang berkaitan semua ini.
Dulu pernah juga menjadi penonton setia drama bersiri Solehah. Itu pun cuma bersemangat pada siri pertengahan sahaja. Selebihnya saya hanya menanti episod akhir dan mengikuti perkembangannya melalui cerita-cerita teman serumah.
Sebagaimana yang diberitahu mak, saya langsung tidak teruja untuk menantikan episod Gadis Merah Jambu. Malah, dengan mudah pula saya terlupa tentang hari dan masa siaran yang diberitahu mak.
Berbalik pada cerita berkenaan, saya terfikir-fikir sesuatu...Kebetulan hari ini saya mengenakan pakaian berwarna merah jambu. Tafsir al-Quran di tangan juga berwarna merah jambu. Itu belum lagi memakai sandal merah jambu snowfly London. Saya sukakan warna pink. Namun warna-warna lain juga tetap menjadi pilihan selain hitam dan coklat. Semua warna ciptaan-Nya menarik dipandangan saya.
Setiap kali melihat iklan TV mengenai drama tersebut, pemikiran saya cuma beralih dan terkisah pada dia seorang. Gadis merah jambu yang selayaknya. Sengaja saya bergurau dengan mak. Saya mengatakan yang gadis merah jambu yang sebenar bukan pelakon cerita itu.Tapi si merah jambu itu adalah saya.... Aisya Humaira. Kisahnya lebih hebat berbanding Gadis Merah Jambu yang disiarkan sekarang ini.
Nantikan episod Aisya Humaira pada
entry akan datang! Gadis Merah Jambu yang pastinya tidak 'mengikat' kaki anda dari berganjak menonton drama itu. Tetapi akan memikat hati anda mendengarkan kisah si Merah Jambu ini. InsyaAllah... setakat ini dulu al-kisah dari 'black girl' yang berimej merah jambu.
Kini mata sepetku mula memberat. Jemari pula seperti segan yang amat. Nampaknya semua sudah memberi signal. Mohon permisi ya... Assalamu'alaikum WBT~