Showing posts with label kesihatan. Show all posts
Showing posts with label kesihatan. Show all posts

Friday, March 05, 2010

Enigma Antara Milo Dan Ubat

Hidup ini tidak selamanya mulus. Selesai satu musibah, menyusur lagi musibah lain menghampiri kita

Dua tiga hari ini saya terujakan sesuatu. Air minuman yang enak dan lazat. Barangkali pernah menjadi minuman kegemaran anda juga. Sejak dewasa sehingga bertambah dewasa ini, saya jarang sekali menikmatinya. Ada pilihan lain yang lebih dekat di hati. Cuma sedari kecil lagi, air ini menjadi 'minuman kegeringan' saya. Ketika itu sahaja, kepingin saya membuak-buak.


Entah mengapa, air milo yang diidam-idamkan. Barangkali milo ini sinonim dengan kanak-kanak. Semasa sakit, saya seperti keanak-anakkan. Terawang-awang di fikiran saya membayangkan milo, milo dan milo...

Secawan air milo yang dingin. Lemak bersusu dengan adunan coklat dan malt. Apatah lagi kalau dapat menyedut air milo kotak berkulit hijau itu. Aduh! Rasanya pekat menyentap. Lain benar berbanding bancuhan milo di rumah.

Semalam dan hari ini...

Keluarga sering memonitor keadaan saya di sini. Dari kejauhan, mereka seakan kaget. Prihatin dengan keuzuran yang saya hadapi. Pandai-pandai saya sembunyikan rasa sebak dan sebu di hati ini. Tetapi mereka masih sempat berseloroh dengan ucapan istimewa.

Tidak lupa juga pada
sahabat-sahabat yang mengirimkan SMS. Terima kasih kerana masih sudi seperti tahun-tahun lalu. Dalam lemah-lemah, saya menatap screen handset. Hanya mampu menguntum senyum. Kalau pun berbalas, mungkin agak lewat dan sekadarnya. Moga doa kalian itu bisa menjadi penawar kepada musibah kesihatan saya.

Hampir tiga hari saya lemah di pembaringan. Bertemankan baju panas, pagi, petang dan malam hanya dibuai sindrom tidur yang bersangatan. Saya kira, inilah siri tidur yang paling panjang selama hayat saya dikandung badan.

Sesekali terjaga, saya teringatkan anak-anak kenit di sekolah. Sesekali tersedar, ingatan saya meracau pula pada air milo dan racauan lain. Kebetulan perut saya kekosongan. Sudah beberapa hari tiada selera makan.
Dalam keuzuran ini juga saya masih mencari sesuatu yang bernama bahagia.

Bahagia itu ada. Tidak ketemunya kerana tidak mahu mencari. Bahagia itu ada. Tidak berjumpanya kerana tidak cuba merasa. Pastinya milo dan bukannya ubat! Tentu kak Basimah akan tersengeh dengan madah ini. Madah orang sakit yang baru dapat menyedut air milo. Nikmat sekejap.


Pada yang bertanya, apa menu special sempena hari istimewa? Jawapannya, milo dan ubat. Kedua-duanya meloyakan tekak. Saya enigma. Tetapi inilah rahsia ketika saya beruzlah sendirian di rumah. Wekk!~

Thursday, February 12, 2009

Manis di luar, perit di dalam...


Februari tahun lepas mengingatkan saya tentang sakit dan wad. Baru lagi bulan kedua di IPPM, demam saya menjadi-jadi dan berlarutan hampir seminggu. Akhirnya, dipaksa ke hospital. Setelah mendapatkan rawatan, saya ditahan di wad kecemasan Hospital Besar Melaka.

Alhamdulillah, Februari kembali...


Sudah seminggu lebih ulcus bermaharajalela. Ini bermakna sudah seminggu lebih juga saya menanggung sengsara di sekitar bibir dan bahagian dalam rongga mulut. Inilah azab ulcus.
Nampak di luar manis tersenyum, tapi hakikat di dalam perit terseksa.

Beradoi je...

Untuk pengetahuan pembaca, ulcus ni berasal daripada perkataan Latin yang selalu disebut sebagai ulser mulut. Biasanya
ia wujud seakan-akan kawah dengan bukaan berwarna putih atau kuning. Dikelilingi oleh persekitaran yang agak merah dan mempunyai saiz sekitar 2-5mm.

Kali ini
, ulcus di dalam mulut saya wujud lebih daripada satu 'kawah' di kawasan yang berbeza. Malah ia mengakibatkan dinding mulut dan gusi saya sedikit membengkak dan cedera. Penyakit ini memang menyeksakan yang empunya badan. Biarpun ia kerap terjadi di musim panas, tetapi ulcus bukanlah dikategorikan sebagai penyakit berjangkit.

Sakitnya banyak membataskan saya untuk bercakap seindah biasa. Paling tidak tahan apabila hendak menggosok gigi dan makan. Namun, makan tetap makan walaupun sedikit dan berpantang menu. Saya berusaha mengunyah sedaya yang mungkin. Tak sangka juga, sejak kehadiran ulcus nampaknya saya mudah pula untuk mendapatkan ais-krim. Dua hari berturut-turut dapat pekena ais-krim. Nikmatnya!


Selagi ulcus bermukim, selagi itu saya perlu menahan sabar dan banyakkan minum air masak. InsyaAllah ia akan beransur pergi dalam masa tiga minggu. Mudah-mudahan sepanjang menanggung perit ni, senyum saya semakin murah~