"Janganlah kamu merasa hina dan janganlah kamu merasa sedih kerana sesungguhnya kedudukan kamu lebih tinggi (mulia) jika kamu beriman." [Ali-Imran : 139]
Morning sickness atau bahasa basahnya disebut loya. Ada juga mesra menyebutnya sebagai mual. Lazimnya, simptom ini menggugah wanita yang sedang dalam trimester pertama kehamilan.
Tetapi simptom ini hanya berlaku pada sesetengah wanita hamil sahaja. Dan tidak pada semua. Namun, komplikasi ini juga wujud di kalangan orang bujang (عزب ). Wanita bujang yang tidak dalam tempoh kehamilan.
Jika tidak hamil, mengapa sampai mual?
Adakah kerana tersalah makan?
Entahlah. Situasi ini tiada kaitan dengan mual yang disebabkan bencana makanan. Apatah lagi akibat keterlanjuran dek 'perbuatan orang'. Na'uzubillah. Mual-mual ringan ini cuma disebabkan kepeningan dengan betah orang sekeliling.
Begitulah kebiasannya.
Tambah lagi bila tibanya musim cuti sekolah. Atau musim cuti umum yang panjang. Seorang demi seorang akan mula menghulur kad jemputan walimah. Tidak ketinggalan yang sudah bertunang.
Mereka tidak jemu-jemu siap sedia mengingatkan tarikh walimah mereka untuk tahun hadapan. Semangat. Kekadang, yang menghulur kad ini pun tidak terkecuali menambah bisa mual. Meleret-meleret mempersoalkan itu dan ini.
Sejujurnya, saya sendiri sedar dan faham akan syariat serta sunnah alam perkahwinan. Islam merupakan agama fitrah yang diturunkan oleh Allah SWT bagi memenuhi fitrah manusia mengikut syariat-Nya.
Dan salah satu dari fitrah dalam melengkapi kehendak manusia ialah ikatan perkahwinan. Benar. Semua ini adalah kerana manusia semuanya diciptakan dengan mempunyai fitrah berpasang-pasangan. Perkahwinan itulah sebaik-baik anjurannya.
Saya yakin, kalian tentu tahu bukan?
Perkahwinan adalah kombinasi cinta. Tidak cukup yang itu sahaja. Ia juga perlu diperkukuhkan dengan kombinasi perasaan, keinginan dan tanggungjawab. Sangat salah jika perkahwinan digesa hanya semata-mata atas alasan kejaran masa kerana faktor usia.
Barangkali juga kerana takut dikata orang, anak dara tua. Dimomokkan sebagai 'andalusia!'. Lantas terjadilah hal memaksa diri. Tidak ikhlas dan sepenuh hati. Dan akhirnya, niat berkahwin sudah tersasar jauh dari syariat sebenar.
Oleh yang demikian, saya selalu melihat hal jodoh ini memerlukan kecermatan dengan penuh pertimbangan. Dan kecermatan serta pertimbangan itu letaknya pada si empunya badan. Bukan pada orang lain.
Ya. Orang lain mungkin boleh memberi saran. Orang lain mungkin boleh memberi pandangan dan nasihat. Tetapi diri sendirilah yang wajar membuat keputusan. Biarpun mereka kelihatan lebih laju membuat keputusan untuk diri kita.
"Kenapa masih belum berumahtangga lagi?"
"Sepatutnya umur lewat 20-an ni sudah beranak-pinak tau."
"Itulah, ramai yang hendak sengaja ditolak-tolak. Memilih sangat!"
Aduh! Telan liur saya seakan tersangkut-sangkut di rongga tekak. Mual hendak menjawab satu persatu. Resminya soalan biasa-biasa akan sikit-sikit menjadi berbisa.
Fikir saya, takut juga balasan gurauan saya seakan celupar bunyinya. Lebih baik senyum membisu. Jika menjawab, silap-silap ada pula hati lain yang tercedera. Mungkin selepas ini, ketika disoal oleh kaum keluarga dan sahabat-handai, ini sahaja jawapan yang sesuai..."Semua ini adalah rahmat Allah."
Walaupun bujang, banyak rahmat-Nya...
Ah, tidak semestinya bujang bererti menyusahkan orang. Tidak semestinya bujang bererti sunyi keseorangan. Tidak semestinya bujang bererti lapok dan gersang. Tidak semestinya bujang bererti sedang mengumpan suami orang. Tidak semestinya bujang bererti mudah melakukan perbuatan sumbang.
Selalu juga saya ingatkan diri ini, husnu dhzon kepada Allah itu lebih baik. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan keadaan hamba-Nya. Lain orang, lain maslahat dan awlawiyatnya.
Namun begitu, walau sering tergugah dalam dilema dan kerendahan diri dek pandangan serong dan sinisan orang, insyaAllah status bujang tetap mulia di sisi Islam. Waima bujang, wanita seperti saya, insyaAllah masih mampu memecut laju ke hadapan kerana keyakinan bahawa dia tidak goyah oleh tipuan dunia.
Maaf jika terdapat kekhilafan di dalam penulisan santai ini. Ia sekadar luahan hati dan pandangan seorang muslimah yang masih عزب. Harap maklum.
Dan mual yang saya lampiaskan di sini juga tidak bererti saya dirundung sedih mahu pun marah. Apatah lagi mencemburui akan kebahagian orang lain.
Wallahu a'lam bisshowab~