Sunday, November 29, 2009

Mual Orang Bujang

"Janganlah kamu merasa hina dan janganlah kamu merasa sedih kerana sesungguhnya kedudukan kamu lebih tinggi (mulia) jika kamu beriman." [Ali-Imran : 139]

Morning sickness
atau bahasa basahnya disebut loya. Ada juga mesra menyebutnya sebagai mual. Lazimnya, simptom ini menggugah wanita yang sedang dalam trimester pertama kehamilan.

Tetapi simptom ini hanya berlaku pada sesetengah wanita hamil sahaja. Dan tidak pada semua. Namun, komplikasi ini juga wujud di kalangan orang bujang (
عزب ). Wanita bujang yang tidak dalam tempoh kehamilan.

Jika tidak hamil, mengapa sampai mual?

Adakah kerana tersalah makan?

Entahlah. Situasi ini tiada kaitan dengan mual yang disebabkan bencana makanan. Apatah lagi akibat keterlanjuran dek 'perbuatan orang'. Na'uzubillah. Mual-mual ringan ini cuma disebabkan kepeningan dengan betah orang sekeliling.

Begitulah kebiasannya.

Tambah lagi bila tibanya musim cuti sekolah. Atau musim cuti umum yang panjang. Seorang demi seorang akan mula menghulur kad jemputan walimah. Tidak ketinggalan yang sudah bertunang.

Mereka tidak jemu-jemu siap sedia mengingatkan tarikh walimah mereka untuk tahun hadapan. Semangat. Kekadang, yang menghulur kad ini pun tidak terkecuali menambah bisa mual. Meleret-meleret mempersoalkan itu dan ini.

Sejujurnya, saya sendiri sedar dan faham akan syariat serta sunnah alam perkahwinan. Islam merupakan agama fitrah yang diturunkan oleh Allah SWT bagi memenuhi fitrah manusia mengikut syariat-Nya.

Dan salah satu dari fitrah dalam melengkapi kehendak manusia ialah ikatan perkahwinan. Benar. Semua ini adalah kerana manusia semuanya diciptakan dengan mempunyai fitrah berpasang-pasangan. Perkahwinan itulah sebaik-baik anjurannya.

Saya yakin, kalian tentu tahu bukan?

Perkahwinan adalah kombinasi cinta. Tidak cukup yang itu sahaja. Ia juga perlu diperkukuhkan dengan kombinasi perasaan, keinginan dan tanggungjawab. Sangat salah jika perkahwinan digesa hanya semata-mata atas alasan kejaran masa kerana faktor usia.

Barangkali juga kerana takut dikata orang, anak dara tua. Dimomokkan sebagai 'andalusia!'. Lantas terjadilah hal memaksa diri. Tidak ikhlas dan sepenuh hati. Dan akhirnya, niat berkahwin sudah tersasar jauh dari syariat sebenar.

Oleh yang demikian, saya selalu melihat hal jodoh ini memerlukan kecermatan dengan penuh pertimbangan. Dan kecermatan serta pertimbangan itu letaknya pada si empunya badan. Bukan pada orang lain.

Ya. Orang lain mungkin boleh memberi saran. Orang lain mungkin boleh memberi pandangan dan nasihat. Tetapi diri sendirilah yang wajar membuat keputusan. Biarpun mereka kelihatan lebih laju membuat keputusan untuk diri kita.


"Kenapa masih belum berumahtangga lagi?"

"Sepatutnya umur lewat 20-an ni sudah beranak-pinak tau."

"Itulah, ramai yang hendak sengaja ditolak-tolak. Memilih sangat!"

Aduh! Telan liur saya seakan tersangkut-sangkut di rongga tekak. Mual hendak menjawab satu persatu. Resminya soalan biasa-biasa akan sikit-sikit menjadi berbisa.

Fikir saya, takut juga balasan gurauan saya seakan celupar bunyinya. Lebih baik senyum membisu. Jika menjawab, silap-silap ada pula hati lain yang tercedera. Mungkin selepas ini, ketika disoal oleh kaum keluarga dan sahabat-handai, ini sahaja jawapan yang sesuai..."Semua ini adalah rahmat Allah."

Walaupun bujang, banyak rahmat-Nya...

Ah, tidak semestinya bujang bererti menyusahkan orang. Tidak semestinya bujang bererti sunyi keseorangan. Tidak semestinya bujang bererti lapok dan gersang. Tidak semestinya bujang bererti sedang mengumpan suami orang. Tidak semestinya bujang bererti mudah melakukan perbuatan sumbang.

Selalu juga saya ingatkan diri ini, husnu dhzon kepada Allah itu lebih baik. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan keadaan hamba-Nya. Lain orang, lain maslahat dan awlawiyatnya.


Namun begitu, walau sering tergugah dalam dilema dan kerendahan diri dek pandangan serong dan sinisan orang, insyaAllah status bujang tetap mulia di sisi Islam. Waima bujang, wanita seperti saya, insyaAllah masih mampu memecut laju ke hadapan kerana keyakinan bahawa dia tidak goyah oleh tipuan dunia.

Maaf jika terdapat kekhilafan di dalam penulisan santai ini. Ia sekadar luahan hati dan pandangan seorang muslimah yang masih عزب. Harap maklum.

Dan mual yang saya lampiaskan di sini juga tidak bererti saya dirundung sedih mahu pun marah. Apatah lagi mencemburui akan kebahagian orang lain.

Wallahu a'lam bisshowab~


Saturday, November 21, 2009

Tahaadu Tahaabbu

Buah tangan bulan November... nilaiannya bukan pada harga dan cantik kulit

Islam mensyariatkan perantaraan yang dapat menyebabkan keakraban, mendamaikan dan menghilangkan kabut hati. Salah satu perantaraan itu adalah saling memberikan hadiah diantara sesama muslim. Hadiah selalu memberikan kesan perdamaian, rasa cinta dan penghargaan daripada si pemberi kepada yang diberi. Kerana itulah Nabi Muhammad S.A.W menganjurkan agar memberi dan menerima hadiah. Beliau menjelaskan pengaruh hadiah di dalam meraih kecintaan dan kasih sayang diantara sesama manusia.

Tahaadu tahaabbu... "Saling memberi hadiahlah kalian, nescaya kalian akan saling mencintai." [HR. Al-Bukhari]

Kesempatan yang ada ini, saya dengan berlapang hati untuk mengucapkan جزاك الله خيراً kepada sahabat-sahabat saya atas pemberian naskah ilmiah. Budi baik kalian hanya Allah S.W.T sahaja mampu membalasnya. Mungkin hadiyyatun ini dapat melakukan apa yang tidak dapat dilakukan melalui ucapan dan permintaan maaf sesama kita.

Positifkan pemikiran. Hindarkan perasaan syak wasangka yang hanya akan membina rasa sulit terhadap kebaikan orang. Usah dianggap hadiah yang diberi itu ibarat rasuah atau 'ada udang disebalik batu'. Pemberian yang baik dan halal, apa salahnya terima sahaja dengan hati terbuka. Bersyukur atas nama rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari.

Alhamdulillah...

Segala puji bagi Allah Subhanahu wa Ta’aala yang maha melimpah ruah kasih sayang dan kemurahan-Nya kepada kita. Persekolah 2009 sudah pun melabuhkan tirainya. Moga ujian-ujian Allah yang lepas merupakan seribu satu hikmah yang mesti direnungi. Saya percaya Qadha’ dan Qadar Allah tiada yang negatif kerana setiap satu kejadian, datang sebagai pelajaran. Apa yang diharap, saya akan lebih thabat dalam menganyam perjuangan tahun mendatang. Kabut dan serabut semalam perlu ditinggalkan dengan segera. Jom pulang bercuti~

Sunday, October 18, 2009

Mencari & Menilai Hasil Yang Manis

Sepanjang minggu lepas saya agak sibuk dan banyak menyibukkan diri dengan beberapa program yang dirancangkan dalam bulan Syawal. Semuanya berkisarkan jamuan dan rumah terbuka sempena Hari Raya Idulfitri. Saya juga turut menyertai rombongan 'baraan' raya anjuran KESUMA sekolah. Itu pun setelah puas berkira-kira dan bertolak campur mahu juga terpaksa bagi mendapatkan keputusan positif. Difikirkan semula, bila lagi hendak melebarkan pengalaman bersama masyarakat Jawa kalau bukan sekarang.


Alhamdulillah, sebanyak lapan buah rumah cikgu-cikgu SK Seri Utama yang sempat diziarahi pada sesi kedua 'baraan'. Program bermula dari jam 3 petang dan berakhir lewat isya' malamnya. Keletihan dan kekenyangan bercampur aduk dalam kepuasan...

Kepada anda yang tidak pernah mendengar perkataan 'baraan' ini berasal daripada bahasa Jawa. Ia bermaksud kunjungan atau ziarah ahli kariah kampung secara beramai-ramai dari rumah ke umah. Sepatutnya, sebelum menjamu selera bacaan doa akan diaminkan beramai-ramai. Demi menjimatkan masa, apatah lagi pelbagai menu sangat mengujakan, semuanya kami aminkan sendiri.
Rupanya amalan 'baraan' merupakan satu budaya masyarakat Ja
wa yang masih kekal turun temurun. Saya melihat amalan ini bersesuaian dengan ajaran Islam itu sendiri. Ziarah walau sekejap, tapi cukup terkesan. Bagi kanak-kanak, apa yang paling menyeronokkan mereka ialah ketika mendapat 'ang pow' raya. Lain pula golongan dewasa. Kalau perut kenyang berisi, hati senang berlagu untuk bergerak ke rumah seterusnya. Saya hanya dapat menjamah secubit dan sesuap rasa. Selebihnya tidak terdaya mengikut rentak selera rakan guru yang lain.

Apa pun, saya amat terharu dan teruja dapat bersama rombongan 'baraan' sekolah. Mungkin ia akan menjadi pengalaman manis dalam tahun pertama saya bergelar guru di rantau orang. Terima kasih tidak terhingga kepada semua rakan guru yang berbesar hati juga tidak lokek menjamu kami dengan pelbagai juadah. Semuanya sedap-sedap belaka. InsyaAllah tahun depan jika ditakdirkan panjangkan umur pasti akan berjumpa lagi dalam siri 'baraan' 1431H...
Agar-agar 'pink panther' cikgu Rugayah sebagai pencuci mulut kepada bihun sup...

Penangan raja buah di rumah cikgu Razak...'mengakar' kami dibuatnya.

Aneka selera bubur hitam manis dan tapai di rumah cikgu Anona...

TANG MANA MANIS?

Kalau dicermati kembali siri pembabitan saya dalam program tersebut, nampaknya ia bukan sekadar perihal mengisi perut semata-mata. Apa yang saya terima dan isi sememangnya lebih daripada itu. Banyak perkara baru telah saya pelajari. Episod 'gejubus' jamuan raya Pendidikan Khas juga selesai dilaksanakan dengan baik. Bagi pihak diri sendiri, bukan semahu menghasilkan kuah durian untuk mendapat pujian. Tetapi belajar mencari dan menilai hasil yang manis daripada tangan yang memberi dan menerima.

Memberi tidak semestinya dengan jumlah yang banyak. Tidak perlu malu untuk kita memberi atau mengadakan jamuan walaupun dengan kadar bilangan yang sedikit. Walau ia sesuap makanan umpamanya. Biar zahirnya nampak sahaja kecil dan halus kuantiti, tetapi yang demikian itulah amat bernilai di sisi Allah Subhanahu wa Ta'ala sebagaimana firmanNya yang bermaksud:

“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).” [Az-Zalzalah: 7]

Dalam memberi dan menerima perlukan keikhlasan. Ikhlas merupakan kunci kejayaan untuk mendapat ganjaran daripada amalan pemberian dan penerimaan kita. Biarlah apa yang kita keluarkan dan perolehi itu dengan niat mendekatkan diri kepada Allah Ta'ala. Bukan kerana terpaksa atau dipaksa. Bukan juga untuk mendapat pujian dan menunjuk-nunjuk. Anggaplah pemberian dan penerimaan kita yang tidak selalu ini merupakan jalan penghubung dan pengerat ukhuwah sesama kita. Bukan jalan untuk kita memperlekeh dan memperkecilkan sesama sendiri.

Kualiti memberi itu menjadi ukuran dan bukannya kuantiti pemberian. Jangan kita suka mengungkit-ungkit pemberian kita dan menyakiti pula hati orang lain dengan membanding beza. Kerana itu akan menjejaskan amalan kita. Malah dalam tidak sedar, akhirnya kita menjerat dan menghumbankan diri sendiri ke dalam golongan orang yang rendah akhlak. Letih sahaja andai zahir di mulut kita terasa manis isi buah. Namun ditelan dek orang terasa duri kulit buahnya. Wallahu'alam~

Episod kuah durian sulong berjaya juga..sabar dan ikhlas pasti hasilnya manis.

Tuesday, October 06, 2009

Murah Berbaloi


Pada hari Ahad yang lalu saya singgah beraya di IKEA Damansara Utama. Nampaknya sudah lama saya tidak ke sana semenjak terlibat dengan insiden kemalangan kecil di hadapan entrance parking IKANO. Rindu pula rasanya. Kali ini saya amat berhajat untuk membuat sedikit pelaburan keperluan asas rumah.

Kenapa saya suka membeli-belah di sana?

Hebat sangatkah IKEA?

Sebenarnya tidak semua barangan jualan di IKEA menjadi pilihan hati saya. Hanya barang-barang yang menarik dan murah sahaja akan disambar dahulu. Kalau bijak memilih, insyaAllah kita akan mendapat barang yang pasti tidak mengecewakan. Malah, setiap kali ke IKEA saya akan berkira-kira budget yang sesuai supaya perbelanjaan mengikut nafsu lebih terkawal.

Nafsu membeli itu selalu ada tetapi awas dan berpada-pada supaya tidak tergoda...

Dari tingkat atas sampai ke ceruk reject corner telah saya risik. Pelbagai barang yang bersesuaian dengan harga diteliti dan diamati. Ada juga barangan yang langsung tiada hati untuk didekati. Kebiasaanya bila ada barangan yang menarik perhatian saya, proses mengangkat dan meletak semula akan berulang sehingga saya betul-betul rasa yakin samada berkehendak atau perlu. Keperluan membeli mungkin menguasai, sebaliknya tujuan keperluan itu sangat mendahului dan mempengaruhi saya. Akhirnya keputusan untuk membeli selesai terjawab di kaunter pembayaran.

Alhamdulillah saya pulang dengan senang hati kerana perbelanjaan pada hari tersebut tidak mencecah RM60.00. Dengan sejumlah wang ini, saya rasa berbaloi memiliki lima jenis barangan keperluan asas yang agak praktikal, simple dan comel made in IKEA.
Hari ini kegembiraan itu bertambah setelah saya menggunakan sebahagian daripada barangan tersebut. Biar pun murah, ternyata materialnya sangat baik dan terbukti berkualiti~
Percubaan memasak menggunakan peralatan dapur IKEA...

Tuesday, September 22, 2009

Ziarah Khusus Bermusim

Pengalaman baru..."Kita bukan nak ke Tesco ya Amir"

Setelah masuk hari ketiga Syawal, pagi ini keluarga kami berkesempatan menziarahi kubur arwah Tok Ah dan Tok Hussein. Anak menantu juga cucu cicitnya yang tidak dapat turut serta hanya mampu mengirimkan salam doa buat arwah berdua. Siap berwudhu' dan berpakaian menutup aurat, dengan berbekalkan dua cerek air, surah-surah Yassin dan helaian suratkhabar, kami pun berkereta menuju ke tanah perkuburan.

Nampaknya parkir di hadapan pintu masuk Tanah Perkuburan Islam Kampung Wai sangat lengang. Kelihatan di suatu sudut, beberapa orang kampung sedang menggali liang kubur untuk kematian baru. Dengan rasa debaran dan insaf, saya melangkah dengan iringan doa berserta salam ziarah buat penghuni di sini...
"Sejahtera atas kamu penghuni tempat kaum Mukminin. Kamu telah mendahului dan kami akan menyusul kamu. Semoga Allah mengampuni kami."

KEMESTIAN ZIARAH KHUSUS
Amir menghadiahkan bacaan surah kepada arwah moyangnya... [berlakon je tu]

Tidak ada sebarang dalil yang terang tentang menziarahi kubur pada pagi Hari Raya. Ini hanya merupakan amalan kebiasaan orang-orang Islam kita di sini. Mungkin mereka berpendapat bahawa kerana pada hari raya kita menziarahi kaum kerabat dan sahabat handai kita yang hidup. Maka eloklah kita menziarahi juga yang sudah meninggal dunia. Selagi tidak ke kubur, mesti ditanya dan disebut-sebut.

Sebenarnya, menziarahi kubur pada asasnya digalakkan oleh Rasulullah s.a.w. kerana menziarahi kubur itu mengingatkan kita kepada kematian.
Menziarahi kubur itu boleh menimbulkan sifat zuhud terhadap dunia dan ingat kepada akhirat. Jika menziarahi kubur hanya dikhususkan pada hari raya sahaja, nampaknya itu tidak betul. Sebetulnya ziarahi kubur boleh dilakukan pada bila-bila masa. Tidak perlu sampai menjadikan ia sebagai ziarah khusus.

Akan tetapi di Malaysia, saya pelik melihat amalan menziarahi kubur seolah-olahnya sudah menjadi suatu adat pada hari raya. Ziarah kubur bukan adat, ia adalah agama. Maka lakukanlah kerana agama, bukan kerana raya. Mungkin secara kebetulan setahun tidak pernah pulang ke kampung dan pulang ke kampung hanya pada hari raya. Pada hari itulah ada kesempatan, tidak mengapa. Berziarahlah ke kubur kerana itu suruhan agama tetapi bukan khusus di hari raya. Wallahu'alam~

Friday, September 18, 2009

Selamat Semua...

Kesiannya si yatim piatu yang ditugaskan untuk menjaga rumah saya di SB...

InsyaAllah, pagi ini saya akan bertolak pulang ke kampung halaman. Dalam keghairahan membuat persiapan, suka untuk saya sama mengingatkan pada diri sendiri dan anda di luar sana agar selalu untuk berhemah dan berhati-hati di perjalanan.

Pandu dengan cermat ya.

Biar tiba ke destinasi lewat sedikit. Asalkan selamat tiba kepangkuan orang yang tersayang. Itu lebih baik daripada menyesal dihantar ke tempat-tempat yang tidak kita ingini. Malah lagi meyesal meratapi nasib diri yang 'terkurang sifat' tidak bertangan atau berkaki. Na'uzubillah...


Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat pulang ke kampung halaman pada yang berpeluang. Pada mereka yang jauh nun di perantauan, jangan bersedih hati. InsyaAllah kegembiraan itu ada di mana-mana andai kita menjadi insan yang sabar dan bersyukur. Semoga Allah SWT sentiasa bersama-sama kita semua.

Selamat Hari Raya Eidulfitri... maaf zahir & batin dari saya~
Kurang lebih 10 minit lagi akan tiba di pekan Kuala Perlis... 5, 4, 3, 2, 1... Assalamu'alaikum!